Sekitar 225 SM, seorang jurutera Yunani bernama Philo of Byzantium menghasilkan satu senarai monumen yang digelar Tujuh Keajaiban Dunia Purba hari ini. Monumen yang tersenarai ialah Piramid Agung Giza, Patung Zeus di Olimpia, Kuil Artemis di Ephesus, Makam Mausolus di Halicarnassus, Patung Colossal Pulau Rhodes, Rumah Api Iskandariah dan Taman Tergantung Babylon. Semua lokasi berjaya dikenalpasti tetapi sehingga hari ini, lokasi taman itu masih menjadi misteri.
Mengikut cerita tradisi yang kita ketahui, Taman Tergantung Babylon dikatakan dibina atas arahan pemerintah kerajaan itu, Raja Nebuchadnezzar II. Bagaimanapun, tiada satu pun sumber Babylon yang menyebut perihal taman itu dan bikin komuniti arkeologi menggaru kepala. Malah, terma taman tergantung itu sendiri menjadi sumber perdebatan termasuk dari segi rupa, cara air disalurkan ke taman dan sama ada ia wujud atau sebaliknya.
Jika diteliti senarai monumen yang dibuat Philo, semua monumen berada dalam pengaruh dunia Yunani kecuali Babylon dan Parsi. Kedua-dua kerajaan ini tumbang satu abad sebelumnya selepas dilanggar Iskandar Agung (Alexander the Great) dengan baginda mangkat di Babylon pada tahun 323 SM. Walaupun pengaruh Yunani disebarkan ke Asia Tengah menerusi angkatan Yunani pimpinan Alexander, Babylon dipilih Philo kerana dianggap tempat eksotik dan jauh dari dunia Yunani.
Dalam keterangannya, Taman Tergantung Babylon didirikan di atas platform-platform besar yang disokong oleh tiang-tiang batu. Platform-platform ini kemudiannya ditutup dengan lapisan tanah yang tebal sebelum pelbagai jenis bunga dan pokok menarik ditanam. Bagi memastikan pokok dan bunga mendapat air yang mencukupi, air disalirkan ke bahagian tertinggi taman sebelum disalurkan kepada semua teres yang menempatkan tanaman taman berkenaan.
Keterangan Philo turut disokong oleh dua orang sejarawan iaitu Strabo and Diodorus Siculus. Menerusi ensiklopedia sejarahnya yang berjudul Bibliotheca historica, Diodorus menerangkan platform ini turut dilapisi dengan batu-bata yang disimen dan plumbum. Menurutnya, ia bertujuan untuk mengelak lapisan tanah yang berada di atas daripada tidak menembusi platform berkenaan. Tambahnya, taman ini turut diairi menggunakan mesin-mesin yang membawa air yang banyak dari sungai.
Tetapi, dari mana asal-usul keterangan Philo dan Diodorus ini? Ramai sejarawan percaya semua keterangan berkenaan Taman Tergantung Babylon diambil daripada sejarawan Yunani era Alexander dan cucu saudara Aristotle, Callisthenes. Malah, sesetengah keterangan taman yang direkodkan dalam Bibliotheca historica diambil daripada penulis biografi Alexander abad keempat SM, Cleitarchus.
Walaupun kebanyakan rekod yang dibuat Cleitarchus sudah tidak wujud, ramai penulis yang menggunakan keterangannya dalam buku-buku mereka. Biografi Alexander pada dasarnya ialah kompilasi gosip yang menyelubungi baginda dengan sesetengah daripadanya bersifat liar dan pelik.
Satu lagi sumber Taman Tergantung Babylon ialah anekdot seorang pendeta Babylon abad ketiga SM iaitu Berossus. Ramai sejarawan percaya anekdot beliau menjadi sumber utama kepada kisah taman ini termasuk perihal taman tergantung yang indah dan manifestasi cinta Nebuchadnezzar II kepada isterinya, Amytis of Media. Menurut Berossus, ia dibina bagi menghilangkan rasa rindu Amytis kepada kawasan pergunungan hijau di tanah Parsi.
Bagaimanapun, semua keterangan ini mengundang masalah besar kepada para sejarawan. Ini kerana bila mereka menyemak rekod sejarawan selepas Philo dan Diodorus seperti Herodotus, tiada langsung rekod yang menyebut Taman Tergantung Babylon dalam ensiklopedia Historienya. Di samping itu, semua rekod dari era Nebuchadnezzar II langsung tidak menyebut tentang perihal taman tergantung.
Di sebalik keterangan yang bercanggah antara satu sama lain, masih ada sejarawan dan ahli arkeologi yang percaya kewujudan Taman Tergantung Babylon. Salah seorang daripadanya ialah ahli arkeologi Jerman Robert Koldewey. Semasa membuat kerja ekskavasi di Istana Selatan dari 1899 hingga 1917, mereka menemui struktur gerbang di timur laut istana berkenaan.
Selepas mengamati struktur berkenaan diperbuat daripada batu berukir dan bukan batu-bata lumpur serta tebal, Koldewey percaya inilah struktur yang menjadi sebahagian daripada taman berkenaan. Selain itu, mereka turut menemui perigi-perigi dengan beliau berspekulasi ia menjadi sebahagian daripada sistem pengairan taman berkenaan.
Bagaimanapun, pada hari ini, ramai sejarawan melihat kesimpulan Koldewey jauh tersasar. Mereka percaya struktur gerbang itu sebenarnya sebuah gudang yang digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis komoditi termasuk gandum, kurma dan tawanan-tawanan pe.ra.ng. Ini berdasarkan penemuan sebuah tablet cuneiform yang menyimpan rekod simpanan gudang dan berasal dari era Nebuchadnezzar II.
Di sebalik semua itu, ekspedisi Koldewey mendedahkan asas struktur paling terkenal untuk Babylon dan Mesopotamia iaitu zigurat. 10 tahun kemudian, ahli arkeologi British Leonard Wooley yang membuat ekskavasi di kota Ur pula mendapati wujud lubang pada batu-bata yang menjadi sebahagian daripada struktur zigurat.
Pada awalnya, beliau menyangka lubang-lubang ini merupakan cara air disalurkan ke zigurat di Ur seterusnya sebagai sistem pengairan Taman Tergantung Babylon. Tetapi pada akhirnya, Wooley menolak kesimpulan itu dan menyifatkan lubang-lubang ini dibuat untuk mengeringkan batu-bata untuk kegunaan pembinaan zigurat.
Jadi, persoalan yang bermain di fikiran komuniti arkeologi ialah di mana sebenarnya lokasi Taman Tergantung Babylon? Ini mengundang sesetengah pengkaji membuat kesimpulan radikal: ia tidak terletak di Babylon tetapi di Nineveh. Kesimpulan ini dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai kisah tentang negara-negara kota Mesopotamia bercampur aduk dengan mitos dan sejarah seperti Babylon dan Assyria.
Kesilapan ini dapat dikesan dalam Bibliotheca historica yang dikarang Diodorus. Dalam ensiklopedia itu, beliau menyatakan Nineveh yang juga ibu kota Empayar Assyria terletak di tebing Sungai Euphrates (Furat). Tetapi dari segi rekod arkeologi dan geografi, ia terletak di tebing Sungai Tigris (Dajlah).
Satu lagi kesilapan ialah anekdot beliau tentang perihal aktiviti memburu binatang liar oleh Ratu Semiramis dan suaminya, Ninus. Bagaimanapun, aktiviti tersebut langsung tidak wujud di Babylon. Tetapi anekdot ini wujud pada ukiran-ukiran Neo-Assyria pada dinding Istana Utara di Nineveh.
Dengan semua bukti yang dinyatakan, pembina sebenar Taman Tergantung bukan Nebuchadnezzar II tetapi pemerintah Assyria, Sennacherib. Kesimpulan ini dibuat pakar Assyria dari Universiti Oxford, Stephanie Dalley selepas meneliti pelbagai hikayat yang berkaitan dengan Assyria. Ini termasuk kenyataan Sennacherib yang ingin membina sebuah taman yang menyerupai Pergunungan Amanus dan ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan beraroma.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, kebanyakan perkara yang dinyatakan hampir serupa dengan keterangan Taman Tergantung Babylon. Pergunungan Amanus pula bukan satu lokasi khayalan tetapi sebuah kawasan pergunungan yang terletak di selatan Turki hari ini.
Dan jika kita teliti ukiran taman tergantung yang dihasilkan semasa era cucunda Sennacherib, Ashurbanipal, ia kelihatan seperti Taman Tergantung yang diletakkan dalam senarai Philo. Bukti ini diperkukuhkan dengan kenyataan arkib Assyria bahawa baginda seorang yang bijak dalam hal ehwal kejuruteraan termasuk pengairan dan saliran.
Salah satu bukti kebijaksanaan Sennacherib ialah merealisasikan projek akueduk di Lembah Jerwan. Menerusi projek yang memerlukan bahan binaan sebanyak dua juta blok batu itu, ia membolehkan penduduk tempatan mendapat akses kepada bekalan air. Di samping itu, sesetengah sejarawan turut merujuk baginda sebagai pencipta sebenar skru Archimedes dan bukan cendekiawan Yunani itu.
Menariknya, Lembah Jerwan juga merupakan saksi pertempuran sengit angkatan Alexander dan pihak Parsi di Gaugamala pada 313 SM. Dalley percaya akueduk dan Taman Tergantung Nineveh disaksikan baginda semasa meneruskan perjalanan ke sebelah timur. Selepas mendengar keterangan penduduk tempatan dan melihat sendiri apa yang dianggap keajaiban dunia itu, ia menjadi teras utama kisah Taman Tergantung Babylon yang kita ketahui hari ini.
Jadi, rupanya Taman Tergantung Babylon tidak dapat dikesan bukan kerana ia sekadar fantasi Philo. Tetapi ia terletak di kota berbeza dan dibina oleh pemerintah berbeza. Justeru, taman ini harus dinamakan semula kepada Taman Tergantung Nineveh kerana bertepatan dengan fakta sejarah dan gambaran Philo sendiri.
Nota kaki
- Philo ialah seorang jurutera, ahli fizik dan penulis mekanikal Yunani abad ketiga SM. Walaupun dikatakan berasal dari Rom Timur/Byzantine, kebanyakan kehidupannya dihabiskan di Iskandariah, Mesir.
- Diodorus Siculus ialah sejarawan dan pengarang ensiklopedia Bibliotheca historica di mana ia mempunyai 40 jilid. Hanya 15 jilid saja yang terselamat dan masih wujud sehingga hari ini. Ia dianggap memecah tradisi kerana tidak berkisar kepada sejarah dunia Yunani semata-mata.
- Nebuchadnezzar II merupakan pemerintah terbaik Babylon dari Dinasti Chaldea dan memerintah dari 605 hingga 562 SM. Wujud perdebatan sama ada baginda seorang penakluk atau pembina berikutan pencapaiannya dalam bidang keten.te.raan dan seni bina. Memerintah selama 43 tahun sebelum mangkat pada Oktober 562 SM.
RUJUKAN:
Montero Fenollos, J.L. (2020). We know where the 7 wonders of the ancient world are—except for one. National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih