Pada tahun 2017, kumpulan ahli arkeologi menemui 41 keping syiling emas yang berbentuk separa sfera di timur laut Jerman iaitu wilayah Brandenburg berdekatan ibu kota Berlin. Dalam laporan dari laman web Live Science, kepingan syiling emas ini mempunyai nama yang unik iaitu ‘cawan pelangi’.
Penemuan ini kemudian dibentang dan syilingnya dipamerkan dalam sidang media oleh Menteri Sains, Penyelidikan, dan budaya Brandenburg iaitu Manja Schüle, bersama ahli arkeologi bernama Profesor Dr. Franz Schooler, ahli numismatik (mengkaji mata wang) iaitu Marjanko Pilekic, dan Wofgang Herkt iaitu ahli arkeologi amatur yang pertama menemui syiling emas ini.
Herkt adalah ahli arkeologi sukarela yang bertugas di muzium Brandenburg State Office for the Preservation of Monuments and Archeological State Museum (BLDAM). Beliau menemui kepingan syiling emas aneh ini berdekatan kampung Baitz setelah mendapatkan kebenaran dari tuan rumah untuk melakukan pencarian.
Pada awal pemerhatian, Herkt anggap bahawa syiling ciptaan orang Celt ini adalah penutup botol arak. Setelah menemui 10 lagi keping syiling ini, beliau kemudian laporkan kepada BLDAM, kemudian ahli arkeologi lain menemui lagi 30 keping syiling berdekatan lokasi penemuan Herkt.
Beliau berkata, penemuan ini adalah yang pertama dalam seumur hidup. Perasaan sebegini amat bagus kerana dapat menyertai penyelidikan demi membongkar sejarah wilayahnya.
Sebenarnya kepingan syiling emas bernama Cawan Pelangi ini berkaitan dengan kisah lagenda orang dahulu kala. Menurut Marjanko Pilekic iaitu ahli numismatik yang ikut serta dalam sidang media, Cawan Pelangi ditemui ketika pelangi menyentuh permukaan Bumi.
Pilekic menambah lagi bahawa terdapat kisah lagenda di mana Cawan Pelangi dikatakan turun dari langit. Sesiapa yang menemuinya akan mendapat nasib baik dan jadikannya sebagai objek penyembuhan.
Pilekic ceritakan bahawa penciptaan syiling logam bermula antara tahun 125 dan 30 SM, ketika ini berlaku fasa akhir Zaman Besi di mana budaya Celtic La Tene mendominasi barat Eropah. Budaya ini berkembang di Perancis, England, Belgium, Switzerland, Austria, selatan Jerman, dan Republik Czech antara 450 SM dan abad pertama SM.
Jika benar apa yang Pilekic katakan, sudah semestinya kepingan syiling banyak ditemui di selatan Jerman. Penemuan yang berlaku di timur laut Jerman ini mengelirukan saintis kerana tidak ada rekod tentang penempatan orang Celt di Brandenburg atau kawasan berdekatan. Berkemungkinan kepingan syiling ini lebih kepada bukti hubungan dagangan orang Celt pada fasa akhir Zaman Besi sebelum invasi tentera Rom.
Syiling-syiling emas ini ternyata tidak mempunyai sebarang corak pada permukaannya. Kata Pilekic, ini adalah penemuan emas yang jarang berlaku di Brandenburg, namun tidak sangka bahawa penemuan ini adalah syiling emas Celt. Penggalian harus dijalankan lebih kerap lagi supaya misteri syiling emas dapat dibongkar.
Terdapat mitos popular tentang syiling emas ini iaitu orang Celt berdagang dengan menggunakan sistem barter saja dan tidak menggunakan syiling. Namun pengkaji masih tidak jelas akan sistem amalan perdagangan dan sistem kewangan dalam era budaya Celtic La Tene. Yang diketahui adalah syiling emas banyak digunakan dari syiling perak.
Dari fakta ini dapat dijelaskan sebahagian dari misteri syiling emas Celt ini. Selepas invasi tentera Rom, syiling perak dan gangsa menjadi mata wang baru.
RUJUKAN:
Sahir. 14 January 2022. Rare Hoard of 2000-year-old Curved Celtic Gold Coins Found in Germany. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih