Di dataran wilayah Shaanxi berdekatan kota kuno bernama Xi’an, terdapat berdozen-dozem makam berupa piramid yang tidak dikenali dunia. Dikatakan terdapat piramid putih setinggi 300 meter yang kisahnya mampu tenggelamkan kisah Piramid Giza. Walaupun saintis percaya bahawa piramid putih itu ialah piramid Maoling iaitu makam milik maharaja Wu dari dinasti Han, namun kisah lagendanya masih misteri untuk dirungkaikan.
Wujudkah piramid putih di China? Apakah misterinya sehingga menjadi perhatian sejarahwan?
SEJARAH PENAMPAKAN PIRAMID PUTIH
Penampakan pertama piramid putih berlaku pada tahun 1912, di mana ejen perlancongan Amerika bernama Fred Meyer Schroder melaporkan penampakan tersebut dari jauh apabila berjalan bersama sami Buddha ketika lawatan di wilayah Shaanxi.
Beliau menjelaskan bahawa piramid itu begitu besar dan dikelilingi oleh piramid-piramid kecil. Tambah beliau, piramid putih itu sangat menyerlah namun kewujudannya masih tidak diketahui oleh dunia barat.
Schroder menganggarkan bahawa tinggi piramid putih adalah sekurang-kurangnya 300 meter dan tepinya sepanjang 500 meter. Ukuran ini menjadikan piramid ini lebih besar dari piramid Giza yang tingginya hanya 140 meter. Menurut pembimbing Schroder bernama Bogdo, dia memberitahu usia piramid putih sekurang-kurangnya 3,000 tahun. Usia ini pernah dicatatkan dalam dokumen kuno milik biarawan tempatan.
Penampakan kedua piramid putih China telah dilaporkan oleh juruterbang tentera laut AS bernama James Gaussman yang menerbangkan pesawat dari China ke wilayah Assam di India pada tahun 1945.
Beliau melaporkan bahawa piramid itu begitu besar dan bercahaya seperti dalam kisah pari-pari. Piramid tersebut kelihatan berkilau, mungkin ia diperbuat dari bahan logam atau jenis batu khas yang boleh memantulkan cahaya. Yang menarik perhatian Gaussman ialah batu penjuru yang kelihatan seperti diperbuat dari permata.
Dua tahun kemudian selepas penampakan Gaussman, giliran Kolonel Maurice Sheahan menjadi orang ketiga melihat monumen misteri itu. Beliau yang bekerja sebagai pengarah syarikat penerbangan Trans World Airlines menerbangkan pesawat ke lembah berdekatan pergunungan Qin Ling, barat daya kota Xi’an, kemudian melihat piramid gergasi tersebut.
Laporan Sheahan kemudian menjadi berita hangar dalam surat khabar New York Times pada 28 haribulan Mac tahun tersebut. Dalam artikel itu, Sheahan menyatakan bahawa ketinggian piramid putih China itu lebih besar dari piramid Giza. Dua hari kemudia, New York Times menerbitkan foto yang didakwa ialah piramid putih China yang kemudian disahkan oleh Gaussman. Walau bagaimanapun, para ahli arkeologi China menafikan tentang kewujudan piramid tersebut.
Foto yang didakwa sebagai piramid putih sebenarnya mengecewakan setelah disiasat dengan teliti. Piramid yang ditangkap itu tidak seperti apa saksi bayangkan: tidak putih, tiada permata di bahagian bucu batu, dan tidak setinggi 300 meter.
Piramid tersebut sebenarnya ialah makam Maoling, makam milik maharaja Wu yang memerintah pada 156 SM hingga 87 SM. Makam ini terletak di Xingping, wilayah Shaanxi yang lokasinya sejauh 40 kilometer dari kota Xi’an.
SEJARAH PIRAMID MAOLING
Sebelum membuat andaian lebih lanjut, kita berkenalan dulu dengan makam Maoling ini. Makan Maoling adalah makam terbesar yang pernah dibina pada dinasti Han untuk pengebumian diraja sejak lebih 2,000 tahun lalu. Walaupun begitu, makam ini tidak sebesar piramid putih yang didakwa oleh 3 orang saksi terdahulu. Tinggi makam Maoling hanyalah 50 meter saja.
Makam ini dibina pada tahun kedua pemerintahan maharaja Wu iaitu 139 SM dan telah selesai pada 53 tahun kemudian, saat kemangkatan baginda. Makam Maoling penuh dengan harta pengebumian yang kini dipamerkan dalam muzium terdekat. Di sekeliling makam Maoling adalah beberapa makam kecil milik gundik kegemaran maharaja Wu bernama Li, perancang ketenteraan bernama Hao Qubing, dan beberapa kerabat diraja.
WUJUDKAH PIRAMID PUTIH GERGASI INI?
Ramai pengkaji turun padang bagi mencari piramid tersebut kerana tidak percaya bahawa makam Maoling ialah piramid yang 3 orang saksi yang nyatakan. Mereka percaya bahawa piramid tersebut berkemungkinan berada di pergunungan Qin Ling.
Tambahan pula, lokasi kedua-dua piramid tidak sama. Makam Maoling berada dj barat laut Xi’an, manakala piramid putih pula lokasi penampakannya di barat daya Xi’an. Sheahan juga pernah nyatakan bahawa piramid putih mempunyai bentuk yang lengkap berbanding makam Maoling yang bahagian puncaknya adalah rata, sekaligus bukan rupa piramid yang lengkap.
Adakah foto makam Maoling yang New York Times terbitkan, sengaja berbuat begitu demi menaikkan semangat pembaca untuk mencari piramid misteri itu? Atau mungkinkah Schroder, Gaussman, dan Sheahan mengalami halusinasi sehingga percaya bahawa makam Maoling itu adalah piramid putih rekaan mereka bertiga?
Walau bagaimanapun, pencarian piramid putih masih lagi diusahakan oleh mereka yang percaya akan penampakan ketiga-tiga saksi ini. Sehingga kini, piramid putih masih tidak dapat ditemui. Adakah monumen misteri ini benar-benar wujud atau ilusi semata-mata, biarkan masa tentukan.
RUJUKAN:
Holloway, April. 25 December 2021. In Search of the Fabled 1,000-ft White Pyramid of Xian in China. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih