Di Kuil Enjuin, Asakuchi, terdapat satu objek aneh yang menjadi sembahan penduduk tempatan selama ratusan tahun. Jika diamati betul-betul objek yang terkandung dalam kotak berkenaan, ia kelihatan seperti mumia ikan duyung!
Tidak diketahui bagaimana kuil itu mendapat mumia berkenaan. Tetapi mengikut kisah yang dicoret pada sehelai nota, makhluk yang didakwa ikan duyung itu ditangkap nelayan sekitar wilayah Tosa (kini Kochi) antara tahun 1736 hingga 1741.
Mumia ini kemudiannya dibeli dan dimiliki oleh keluarga Kojima dari wilayah Bingo-Fukuyama. Ia kemudiannya beberapa kali mengalami pertukaran pemilik selepas Zaman Pemulihan Meiji (1868 hingga 1912).
Kuil Enjuin bukan satu-satunya kuil yang menjadikan mumia ikan duyung sebagai objek penyembahan. Selain Enjuin, kuil di Gunung Koyasan, Wakayama dan Pulau Amami-Oshima, Kagoshima turut mempunyai objek sama.
Dengan haiwan berstatus kriptozoologi seperti ini, agak sukar mengetahui sama ada mumia tersebut sebenarnya asli atau tidak. Justeru, bagi menjawab persoalan ini, seorang ahli lembaga Persatuan Cerita Rakyat Okayama bernama Hiroshi Kinoshita mencadangkan agar mumia ikan duyung ini diperiksa dan dianalisis.
Cadangan tersebut dibangkitkan Kinoshita selepas membaca buku-buku peninggalan sejarawan alam semulajadi Kiyoaki Sato. Sato yang berasal dari Satosho dipercayai menulis ensiklopedia Jepun pertama berkenaan yokai (makhluk-makhluk ghaib) yang muncul dalam banyak cerita rakyat Jepun.
Antara makhluk yang disebut dalam ensiklopedia ini seperti kitsune (musang berekor sembilan), amabie (yokai persis ikan duyung) dan tengu (semangat hutan dan gunung-ganang). Selepas mendapat tahu kewujudan mumia tersebut di Eunjin, Kinoshita menghubungi pihak kuil dan Universiti Sains dan Kesenian Kurashiki untuk kajian berkenaan.
Selepas mendapat lampu hijau daripada pengurusan kuil, mumia itu dibawa ke hospital veterinar universiti pada 2 Februari lepas bagi membolehkan imbasan CT dijalankan ke atasnya. Pemeriksaan fizikal mendapati ia mempunyai badan manusia tetapi mempunyai badan ikan pada bahagian bawahnya.
Bila diamati, ia seperti menjerit berdasarkan kedudukan tangan pada mulutnya. Selain mempunyai kuku dan gigi, mumia tersebut turut mempunyai rambut pada bahagian kepala dan sisik pada bahagian bawah badan. Panjang mumia kira-kira 30 cm.
Di pihak Kurashiki, kajian mereka akan tertumpu kepada iktiologi dan analisis DNA. Sementara Kinoshita pula akan meneruskan kajian dengan meneliti kisah-kisah rakyat Jepun berkenaan ikan duyung.
Yang pasti bagi penjaga kuil Kozen Kuida, 60, mumia tersebut persis amabie yang dikatakan mempunyai kuasa menghalau wabak penyakit. Penduduk tempatan banyak menyembah mumia ini dengan harapan ia dapat mengurangkan kesan pandemik Covid-19. Kuida juga berharap menerusi kajian ini, ia menjadi rekod saintifik sebagai tatapan generasi seterusnya.
RUJUKAN
Ozawa, K. (2022, 19 Februari). Scientists try to unravel mystery of eerie ‘mermaid mummy’. Asahi Shimbun.
Sumber gambar: Kunio Ozawa
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih