Pencarian harta karun sentiasa menarik perhatian manusia sepanjang lipatan sejarah. Yalah, siapa yang tidak mahu jadi kaya cepat kerana menemui khazanah-khazanah berharga dan meletakkan nama mereka dalam catatan sejarah. Tetapi usaha sebegini memakan kos berjuta-juta ringgit dan silap haribulan, ia boleh mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada pencari. Namun, itu tidak menghalang ramai dari melakukannya seperti mencari bangkai kapal milik Laksamana Cheng Ho/Zheng He.

Cheng Ho

Bagi yang kurang arif dengan kisah Laksamana Cheng Ho, sedikit kisah menarik untuk tatapan anda. Semasa era pemerintahan Dinasti Ming, beliau merupakan laksamana China yang terkenal dan mengetuai banyak ekspedisi ke negara-negara luar dengan tujuan menampakkan kekuasaan dan kekayaan China pada ketika itu. Kesemua ekspedisi ini dibiayai sepenuhnya oleh Maharaja Ming ketika itu, Yongle. Semasa ekspedisi pertamanya ke Calicut, mereka berjaya membawa pulang muatan perdagangan berharga kembali ke China termasuk rempah-ratus seperti lada hitam dan kayu manis.

Dalam perjalanan, mereka singgah di beberapa tempat bukan saja untuk melebarkan pengaruh tetapi juga mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan tempatan. Bagi yang arif dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka (KMM), ketibaan rombongan Cheng Ho bukan sekadar mengeratkan lagi hubungan yang dijalin antara kedua-dua negara. Malah pada masa sama, ia menjadi senjata diplomatik untuk menakutkan pesaing KMM iaitu Majapahit dan Siam dari mengancam kedaulatan Melaka. Setelah tiba di Calicut dan mengangkat muatan rempah ratus kembali ke China, rombongan Zheng He singgah sebentar di Sri Lanka sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Ekspedisi yang pulang pada tahun 1407 ini bukan saja membawa muatan dagangan dan hadiah pemerintah-pemerintah tempatan tetapi juga wakil-wakil kerajaan yang mahu memberi penghormatan dan berminat menjalinkan hubungan dengan Beijing. Dari situ, enam lagi ekspedisi Cheng Ho digerakkan antara 1408 hingga 1433. Dalam ekspedisi-ekspedisi ini, beliau bukan saja menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan kerajaan tempatan tetapi juga mengalahkan lanun, menggulingkan raja yang zalim dan membawa lebih ramai wakil dan hadiah untuk tatapan maharaja.

Tidak diketahui bila laksamana China beragama Islam ini meninggal dunia. Ada yang mengatakan beliau meninggal dunia di Calicut pada 1433 semasa ekspedisi ketujuhnya. Ada juga yang berpandangan beliau sempat kembali ke China dan kembali ke rahmatullah beberapa tahun kemudian.


Yang pasti selepas kematian Cheng Ho, golongan sida kehilangan kuasa dan semua catatan membabitkan pengembaraan beliau dikatakan dibakar. Justeru, pencarian bangkai kapal khazanah beliau bukan saja penting dari segi arkeologi tetapi juga amat signifikan kepada kebudayaan China. Ini juga menjelaskan mengapa Beijing membelanjakan ratusan juta ringgit membiayai ekspedisi-ekspedisi mencari bangkai kapal Zheng He itu.

Pencarian kapal khazanah Cheng Ho

Sejak tahun 2015, sekumpulan saintis dan penyelidik yang dibiayai oleh Beijing dan mendapat sokongan teknologi pengesan tentera bertaraf tinggi menjalankan kajian di kawasan dasar laut sepanjang pesisir pantai Sri Lanka dengan harapan dapat mengesan bangkai kapal itu. Pada Oktober 2017, semakan terbaru yang dijalankan kumpulan itu mendapat keputusan positif yang menandakan kemungkinan lokasi bangkai kapal atau potensi penemuan artifak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun menurut ketua pasukan penyelidik Sri Lanka, Profesor Prishanta Gunawardhana, ia masih lagi pada peringkat awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan termasuk menggunakan peralatan canggih yang dibawa oleh rakan-rakan penyelidik dari China.

Projek ini akan diketuai oleh Hu Changqing, pengarah Makmal Akustik Shanghai di Akademi Sains China. Menurut laporan akhbar South China Morning Post, Changqing menjadi pilihan kerana pernah menyertai pelbagai projek tentera dan membangunkan teknologi baru untuk tentera laut China termasuk sistem sonar pasif yang membenarkan kapal selam mengelak kawasan sub-perairan yang merbahaya.

Bimbang akan kehadiran pencari-pencari harta karun, berita lokasi yang disyaki milik bangkai kapal Zheng He tidak dihebahkan kepada umum. Antara teknologi yang dijangka digunakan ialah kapal selam Jiaolong/Naga Laut yang boleh menyelam ke kedalaman tujuh kilometer dan robot laut dalam untuk membuat pemeriksaan dan pengambilan sampel untuk dianalisis di makmal.

SUMBER

Karasavvas, Theodore. (2017). Could Clues From the Ocean Floor Finally Lead to Zheng He’s Lost Treasure Ship?. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/warrior-skeleton-0012436


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.