Dua tahun selepas Malaysia berpisah dengan Singapura, negara dikejutkan dengan satu kes individu berprofil tinggi hilang. Misteri kehilangan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Jim Thompson di Cameron Highlands sehingga hari ini tidak pernah diselesaikan. Ia satu misteri yang dianggap setaraf dengan misteri kehilangan juruterbang terkenal Amelia Earhart.

Jim Thompson atau nama sebenarnya James Harrison Wilson Thompson dilahirkan di Greenville, Delaware pada 21 Mac 1906. Semasa Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, beliau merupakan ejen bagi Pejabat Operasi Strategik (OSS) – pelopor kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) hari ini.

Ingin baca bagaimana Jepun cuba menjajah China dan Korea pada waktu silam? Beli buku terbaru The Patriots Kitab Tamadun Jepun di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

Sebagai ejen OSS, beliau membantu pemberontak Perancis menentang rejim Jerman di Afrika Utara sebelum dipindahkan ke Eropah. Selepas tamat WWII, Thompson menubuhkan syarikat tenunan sutera Thai Silk Company Limited bersama rakan kongsi George Barrie. Setelah itu, saham syarikat dijual kepada pelabur-pelabur asing dan Thai.

Permintaan sutera Thailand yang dihasilkan syarikat berkenaan meningkat selepas ia digunakan untuk teater muzikal The King and I. Ini membantu ramai penenun sutera, majoritinya wanita yang diupah syarikat berkenaan keluar dari belenggu kemiskinan dan membantu menambah pendapatan keluarga mereka.

Selain itu, Thompson juga dikenali menerusi rumah agamnya yang digelar House on the Klong. Reka bentuk dan binaannya dipengaruhi oleh elemen Siam sebelum ia dihias dengan pelbagai koleksi dari seluruh dunia. Ini termasuk set meja makan yang pernah digunakan oleh Raja Rama V (Raja Chulalongkorn) di istana baginda. Hari ini, House on the Klong atau Rumah Jim Thompson merupakan muzium di tengah-tengah kota Bangkok.

Pada tahun kehilangannya, Thompson memilih untuk bercuti di Cameron Highlands bersama beberapa orang rakannya. Mereka menginap di Moonlight Bungalow di Tanah Rata dengan rumah percutian itu masih wujud sehingga hari ini.

Moonlight Bungalow di A47 Jalan Kamunting, Tanah Rata, Cameron Highlands.

Pada 26 Mac 1967 bersamaan dengan hari Ahad, mereka menghadiri upacara di gereja sebelum kembali ke rumah percutian untuk berehat. Thompson kemudian memberitahu mereka bahawa beliau mahu bersiar-siar sebentar dan akan kembali dalam masa sejam. Tetapi itu tidak berlaku dan itulah kali terakhir beliau dilihat oleh sesiapa.

Selepas kehilangannya dilaporkan pihak berkuasa, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tentera, penjejak Orang Asli, unit anjing pengesan dan sukarelawan.

Pengasas Senoi Praaq, Richard Noone turut membantu usaha pencarian bersama penjejak Orang Asli. Noone pada ketika itu berkhidmat sebagai penasihat Thai Silk Company Limited dan sudah masak dengan Cameron Highlands semasa era Darurat. Tetapi usaha SAR yang digerakkan tidak berhasil selepas 11 hari mencari di hutan belantara dengan tiada kesan jejak Thompson dikesan.

Selama bertahun-tahun, misteri ini memeningkan kepala ramai pakar termasuk penjejak dan pakar mencari dan menyelamat. Kemudian pada 2015, Llewellyn Toulmin, seorang pakar menyelamat membentangkan satu analisis berdasarkan semua analisis dan semakan pelbagai agensi seperti CIA, Biro Siasatan Persekutuan (FBI), OSS dan laporan berita.

Menerusi laporan ini, beberapa teori kehilangan Thompson boleh diketepikan. Pertama, ada berpandangan beliau dibunuh oleh CIA atas dakwaan cenderung menyokong rejim komunis terutama semasa Perang Vietnam. Bagaimanapun, teori ini dianggap bermasalah oleh Toulmin.

Geng teori konspirasi mendakwa kehilangan Thompson didalangi oleh CIA. Tetapi analisis Toulmin mendedahkan sebaliknya. Sumber: Associated Press

Pertama, AS menghantar helikopter untuk membantu pihak berkuasa mengesan Thompson dalam tempoh 11 hari SAR dilancarkan. Jika beliau seorang pengkhianat, AS sudah pasti tidak akan bersusah payah berbuat demikian.

Kedua, rekod Thompson bersama OSS dianggap cemerlang. Analisis rekod OSS dan Jabatan Negara AS menunjukkan beliau sentiasa memberi yang terbaik dan tidak pernah berlaku khianat kepada agensi berkenaan.

Seterusnya, Toulmin turut menolak teori Thompson meninggalkan Cameron Highlands dengan kereta. Tidak seperti hari ini, kereta jarang dilihat di Cameron Highlands pada ketika itu. Selain itu, penduduk tempatan juga pasti kenal bunyi kereta yang bergerak di jalan raya.

Ketiga, ada mendakwa Thompson diculik oleh kumpulan penjenayah sebagai cara mendapatkan wang tebusan. Malangnya, ia turut ditolak Toulmin berdasarkan laporan siasatan PDRM. Siasatan mereka mendapati tiada siapa tahu tentang beliau yang membawa kepada kehilangannya.

Ingin baca mengenai sejarah Islam di India? Beli buku terbaru The Patriots, Mughal: Mutiara Islam Di India di: http://bit.ly/PraTempahMughal

Seterusnya, ada mendakwa Thompson sebagai sasaran pengganas komunis. Ini dicanang oleh pembikin dokumentari Barry Broman menerusi dokumentari bertajuk “Who Killed Jim Thompson”.

Masalahnya, Thompson bukanlah aset perisikan berprofil tinggi seperti diharapkan geng Bintang Tiga. Jika ada pun kaitan dengan OSS, ia sudah berakhir selepas WWII. Dan jika benar mereka terlibat, sudah pasti ia akan dicanang sebagai cara menakut-nakutkan populasi awam termasuk warga asing di Malaysia ketika itu. Tetapi itu tidak berlaku.

Akhir sekali, ada mendakwa Thompson hilang kerana dibunuh akibat pergaduhan kekasih. Sepanjang hayatnya, beliau dilaporkan pernah mempunyai hubungan sulit bersama beberapa orang wanita termasuk isteri bekas Duta AS ke Thailand, Charles Woodruff Yost.

Thompson didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri diplomat AS, Charles Woodruff Yost, Irena selama 11 tahun.

Hubungan Thompson dengan isteri Yost, Irena berlangsung selama 11 tahun termasuk dakwaan anak yang dilahirkan pada 1950 ialah hasil daripada hubungan sulit itu. Bagaimanapun, ujian DNA tidak dapat menentukan siapa bapa sebenar anak berkenaan sama ada beliau atau Yost. Seperti teori ini, tiada bukti perkara tersebut dilaporkan berlaku.

Satu teori yang patut dipertimbang ialah Thompson tersesat dalam hutan sebelum menjadi mangsa binatang buas seperti harimau. Ini kerana sehari sebelum hari kehilangannya, beliau dan seorang rakan tersesat dalam hutan sebelum berjaya menemui jalan keluar beberapa jam kemudian.

Tidak mustahil, Thompson mengalami kesukaran sama semasa bersiar-siar dalam hutan sebelum terjatuh dalam gaung. Dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usianya sekitar 60-an semasa dilaporkan hilang, ia boleh saja melemahkan atau membunuhnya terus. Tidak mustahil juga, disebabkan lokasinya yang terpencil, pasukan SAR tidak dapat menemui mayatnya yang tertanam di bawah lapisan lumpur yang tebal.

Tetapi pada akhirnya, ia hanya sekadar teori. Yang pasti, misteri kehilangan Jim Thompson terus menarik perhatian sehingga hari ini.

RUJUKAN

Thim Leng, F. (2010, 23 Mac). Looking for the Silk King. The Star.

Wong, N. (2022, 9 April). Gone in Cameron Highlands: the mystery of Jim Thompson. Free Malaysia Today.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply