Terma ‘Miskin Digital’ yang digunapakai di dalam negara ini membawa beberapa maksud yang berbeza, antaranya; ‘miskin digital’ melibatkan sebilangan masyarakat yang tidak berkemampuan untuk membeli peranti digital seperti telefon pintar, komputer dan sebagainya atas faktor masalah kewangan.
Selain itu, ‘miskin digital’ juga melibatkan sebahagian rakyat Malaysia yang mempunyai peranti digital tetapi tidak memiliki akses ke atas perkhidmatan internet kerana tidak mampu membeli servis data internet yang agak mahal.
Termasuk masalah kekurangan capaian internet yang ‘menghantui’ masyarakat di kawasan-kawasan tertentu khususnya melibatkan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman turut diklasifikasikan sebagai golongan masyarakat ‘miskin digital’.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaludin menyifatkan keadaan ‘Miskin Digital’ yang sedang melanda sebahagian kecil rakyat Malaysia pada hari ini akan mengakibatkan jurang ‘kemiskinan sebenar’ semakin melebar jika perkara ini tidak ditangani dengan kadar segera.
Hal ini dikatakan demikian kerana, peradaban dunia sedang bergerak pantas menuju ke arah Pendigitalan (Digitalization). Era digital pada hari ini bukan sekadar melibatkan perkara-perkara yang kurang signifikan seperti hiburan dan sosial semata-mata.
Ianya turut meliputi hampir kesemua urusan-urusan kehidupan yang penting termasuk urusan Pekerjaan (Work From Home), Sektor Pendidikan (Online Learning), Sektor Perbankan (Online Banking), Sektor Perniagaan (E-Commerce), dan sebagainya.
Oleh itu, adalah amat rugi jika masih ada rakyat Malaysia yang hidup di zaman ‘millenial’ ini tercicir di dalam arus pembangunan teknologi digital. Perkara ini semestinya akan memberikan impak negatif ke atas pembangunan sosio-ekonomi, sekali gus mengakibatkan golongan ini terus ketinggalan dalam meniti arus kemajuan global.
Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat 28.7 juta pengguna internet di Malaysia setakat tahun 2018. Angka ini mewakili 87.4% daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia yang berjumlah 32.4 juta menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbitan 2018.
Dalam pada itu, kira-kira 12.6% atau 4.08 juta rakyat Malaysia tidak memiliki sebarang akses ke atas perkhidmatan internet, yang mana warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mewakili peratusan tertinggi sebanyak 45.3%, diikuti kumpulan umur 50an (20.7%), 40an (16.8%), 30an (8.5%), 20an (7.5%) dan bawah 20an (1.3%).
Kajian SKMM juga mendapati bahawa, telefon pintar adalah peranti digital utama yang digunakan oleh rakyat Malaysia untuk mengakses internet dengan peratusan kepenggunaan sebanyak 93.1%. Manakala, hanya 44.2% pengguna komputer riba (laptop) mengakses internet dengan menggunakan peranti digital jenis ini, diikuti Komputer (28.1%) dan Tablet (20.4%).
Seperti apa yang kita sudah ketahui, penularan wabak Covid-19 telah mempercepatkan lagi proses pengadaptasian peradaban manusia ke arah kehidupan norma baharu yang barasaskan teknologi digital, khususnya melibatkan Sektor Pendidikan yang terdiri daripada Sekolah dan Universiti.
Penutupan fasiliti-fasiliti pendidikan di seluruh negara telah mengakibatkan generasi pelajar tahun 2020 berdepan dengan permasalahan keciciran pelajaran.
Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewujudkan sesi pembelajaran secara dalam talian atau lebih dikenali sebagai Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).
Walaubagaimanapun, kira-kira 37% atau 1.7 juta daripada keseluruhan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan KPM (4.7 juta pelajar) tidak memiliki sebarang peranti digital untuk sesi pembelajaran dalam talian menurut kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Angka yang amat besar ini semestinya akan merencatkan usaha kerajaan dalam memastikan kesemua pelajar sekolah dapat meneruskan sesi pembelajaran mereka tanpa ada seorang pun yang tercicir, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar dari kawasan luar bandar.
Sepertimana yang dilaporkan sebelum ni, lebih daripada 52% pelajar di negeri Sabah tidak mempunyai sebarang akses ke atas internet termasuk peranti digital, memandangkan kira-kira 70% sekolah di Sabah terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Perkara ini menyukarkan lagi proses pelaksanaan PdPc yang direncana oleh pihak KPM, walaupun dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesiap-siagaan guru-guru di Sabah untuk pelaksanaan PdPc mencecah sehingga 98%, menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin.
Bukan hanya negeri Sabah, terdapat juga beberapa buah negeri lain turut menghadapi permasalahan yang sama.
Sebelum ini, kita pernah mendengar kisah tular yang melibatkan seorang Mahasiswa (Asasi Sains) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Veveonah Mosibin yang berasal dari Kampung Sapatalang di kawasan Pitas daerah Kudat, Negeri Sabah. Pada 12 Jun yang lalu, Veveonah terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan.
Selain kisah Veveonah di Sabah, terdapat beberapa kisah tular lain yang turut melibatkan permasalahan akses internet di kawasan pedalaman. Antaranya, kisah Rose ED (Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang berasal dari Sarawak, Cathwin Chuan Pui Li (Pelajar Institut Perguruan) dari Sabah, dan Norlida Khalida Mohd Azmi (Pelajar Universiti Malaya) serta adiknya, Mohd Amin Khalili (Pelajar UITM) dari Tanah Merah, Kelantan.
Antara lain, pada 28 November yang lalu tular kisah pengorbanan guru dan 22 orang pelajar sekolah yang terpaksa merisikokan diri mereka dengan meredah hutan tebal selama 45 minit serta mendaki bukit selama 1 jam 45 minit bagi mendapatkan akses internet di kawasan Lubok Antu, Sarawak.
Sepertinya negara Malaysia yang amat kita cintai ini masih belum bersedia untuk menjadi sebuah negara bangsa yang maju, bila mana perkara-perkara asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik, jaringan jalan raya, pengangkutan awam termasuk AKSES INTERNET masih belum mencapai ‘standard’ yang diperlukan.
Amat jelas bahawa jurang perbezaan pembangunan di antara kawasan Bandar dan Luar Bandar perlu ditambah baik dengan kadar segera. Harapan saya agar pemimpin-pemimpin politik sedia ada yang didapati gagal dalam menguruskan ‘maslahat ummah’ untuk berundur terus daripada memegang jawatan itu.
Persoalannya di sini, sampai bila kita perlu lihat sahabat-sahabat se-negara kita terpaksa mendaki bukit, meredah hutan dan memanjat pokok hanya untuk mendapatkan akses internet? Tak kan lah setiap kali kisah macam ni jadi ‘viral’ baru pihak kerajaan boleh buka mata dan bertindak?
Permasalahan ‘Miskin Digital’ yang sedang membelenggu sesetengah rakyat Malaysia bukan lagi masalah ‘picisan’ yang hanya boleh ‘diselesaikan’ melalui permainan retorikal politik yang tidak berkesudahan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih