Tahun ini, tahun 2019, menyaksikan 3 animasi terbesar Malaysia menayangkan filem masing-masing di pawagam. Dimulakan dengan Upin dan Ipin, pada 21 Mac 2019, melalu filem ke-3 mereka, Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal. Selain daripada menjadi filem termahal di Malaysia setakat ini, filem ini sudahpun mengutip sebanyak RM 25 juta di pagawam seluruh Malaysia.[1][2]
Kedua adalah filem BoboiBoy the Movie 2. Dengan menelan belanja sebanyak RM 7 juta, ianya baru sahaja ditayangkan pada awal Ogos yang lepas.[3] Filem itu kini telah mengutip sebanyak RM 21 juta, 11 hari sahaja selepas ditayangkan.[4]
Dan yang terakhir adalah filem sulung Ejen Ali. Dipanggil sebagai Ejen Ali Misi: Neo, ianya bakal ditayangkan pada hujunh tahun ini, dengan sasaran kutipan sebanyak RM 20 juta.[5]
Ketiga-tiga filem di atas ini adalah karya yang hebat. Yang dihasilkan dengan idea dan titik peluh anak tempatan. Ianya popular dan cukup diminati bukan sahaja di Malaysia malah banyak lagi negara luar.
Tapi rencana saya ini bukanlah untuk mengulas tentang ketiga-tiga filem tersebut. Saya rasa dah tahu, dan arif tentang 3 animasi popular ini. Saya ingin menceritakan tentang sebuah filem pendek, yang kurang dikenali oleh orang ramai, dipanggil sebagai Misi Mustahak.
Filem Pendek dan Ringkas
Filem ini sangatlah ringkas jalan ceritanya. Pendek durasinya (kurang dari 8 minit), dan tidaklah gempak mana animasinya.
Filem ini dimulakan dengan adengan yang jelas mendapat inspirasi dari filem Mission: Impossible. Tapi ia sebenarnya ditonton oleh watak utama kita, 3 orang warga emas yang menetap di rumah orang tua-tua.
Misi yang dimaksudkan ini adalah misi untuk masuk semula ke bilik televisyen setelah mereka dihalau oleh jururawat kerana berjaga melebihi waktunya. Gelagat 3 orang warga emas ini dalam merangka dan melaksanakan misi mereka benar-benar mencuit hati.
Dengan animasi yang menarik, jalan cerita yang kelakar, maka tidak hairanlah filem pendek ini diiktiraf dengan pelbagai anugerah, sama ada dari dalam ataupun dari luar negara. Antaranya Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Best of Tertiary Student Projects, dan juga Best of MVA (Malaysian Video Awards).
Dan yang paling menarik perhatian adalah, filem pendek ini merupakan filem projek universiti. Hasil karya projek tahun akhir bagi 4 orang graduan Universiti Multimedia, Malaysia (MMU).
Perintis ke Lagenda
Jadi apa sebenarnya kaitan Misi Mustahak dengan 3 animasi gempak buatan Malaysia ini? Ha, inilah yang saya ingin ceritakan. Seperti yang saya tulis di atas, Misi Mustahak adalah hasil karya projek tahun akhir 4 orang graduan MMU.
3 daripada mereka adalah Nizam Razam, Safwan Abd Karim dan Usamah Zaid Yasin. Mereka bertiga ini dengan bantuan seorang jurutera minyak dan gas, Burhanuddin Radzi, menubuhkan sebuah syarikat animasi tempatan. Syarikat itu dipanggil sebagai Les’ Copaque, inspirasi daripada frasa “last-kopek” ataupun peluang terakhir.
Setahun selepas ditubuhkan, filem animasi pendek yang mereka hasilkan, Geng: The Beginning mendapat pengiktirafan melalui anugerah filem pendek. Watak-watak yang terdapat dalam Geng menjadi asas kepada pembentukan siri yang cukup ikonik dalam industri animasi Malaysia.
Siri itu, yang mengisahkan tentang kenakalan dua budak kembar, mula diterbitkan pada bulan Ramadhan tahun 2007. Siri yang diberi nama sebagai Upin & Ipin ini mendapat sambutan yang sangat meriah bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia, malah turut juga mendapat tempat di hati rakyat Indonesia. Siri ini setakat ini sudah ditonton lebih dari 3 juta orang di seluruh nusantara.
Melihatkan kejayaan perusahaan pertama mereka, 2 dari 3 sekawan tersebut, mengambil langkah bagi menubuhkan syarikat animasi mereka sendiri. Nizam Razak, bersama dengan Safwan Abd Karim, bersama-sama dua lagi rakan mereka, Anas Abd Karim dan Kee Yong Pin menubuhkan Animonsta Studios. Usamah Zaid Yasin pula, tinggal di Les Copaque, meneruskan legasi Upin dan Ipin sebagai Pengarah Kreatif.
Di Animonsta Studios, di bawah pimpinan Nizam Razak, mereka menerbitkan animasi bergenre superhero, dipanggil sebagai Boboiboy. Seperti juga Upin dan Ipin, ia juga mendapat sambutan yang sangat hebat, dan kini ditayangkan di lebih daripada 10 buah negara, termasuk Taiwan, Jepun dan juga Korea Selatan.
Bagaimana pula dengan Usamah Zaid Yasin? Selepas hampir 7 tahun di bawah Les’ Copaque, Usamah Zaid Yasin juga akhirnya meninggalkan Les’ Copaque dan menubuhkan syarikatnya sendiri, Wau Animation. Wau Animation pula menghasilkan animasi sulung mereka, menceritakan kisah tentang seorang pelajar sekolah rendah, yang terjerumus dalam dunia perisikan.
Ejen Ali, yang digarap Usamah Zaid Yasin juga meledak menjadi satu lagi animasi hebat dari Malaysia. Ejen Ali sudahpun ditayangkan di lebih daripada 50 buah negara.
Penutup
Maka itulah dia, kaitan di antara Misi Mustahak dengan 3 animasi hebat buatan Malaysia. Misi Mustahak menjadi batu asas kepada Nizam Razak, Safwan Abd Karim dan juga Usamah Zaid dalam memperkembangkan bakat mereka dalam industri animasi Malaysia. Nama mereka bertiga ini secara tidak lansung merubah lanskap industri animasi negara sehingga membawa mereka ke peringkat antarabangsa.
Dan semuanya bermula dengan sebuah filem pendek, yang berdurasi kurang dari 8 minit. Setiap lagenda itu,pasti ada permulaannya.
RUJUKAN:
Begum, M. (2019, January 21). New ‘Upin & Ipin’ movie is most expensive Malaysian film ever. Retrieved from Star2: https://www.star2.com/entertainment/2019/01/21/upin-ipin-keris-siamang-tunggal/
Finas. (2019). Malaysian Box Office 2019. Retrieved from Finas: https://www.finas.gov.my/en/malaysian-box-office/
Jefri, N. (2019, March 24). Sasaran RM20 juta untuk Ejen Ali The Movie. Retrieved from Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/rap/2019/03/437178/sasaran-rm20-juta-untuk-ejen-ali-movie
Joseph, G. (2019, June 25). Filem BoBoiBoy Movie 2 ditayangkan serentak lima negara. Retrieved from Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/rap/2019/06/468991/filem-boboiboy-movie-2-ditayangkan-serentak-lima-negara
Malaysiakini. (2019, August 21). BoboiBoy Movie 2
pecah rekod sendiri. Retrieved from Malaysiakini:
https://www.malaysiakini.com/hiburan/488898
[1] (Finas, 2019)
[2] (Begum, 2019)
[3] (Joseph, 2019)
[4] (Malaysiakini, 2019)
[5] (Jefri, 2019)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih