Alam angkasa terbentang luas, menyimpan pelbagai jenis rahsia di sebalik misteri tersembunyi. Teknologi pencerapan telah bantu memudahkan pemahaman manusia.
Hari ini saintis mampu mencerap angkasa sejauh 93 bilion tahun cahaya. Objek yang serba jauh dicerap dengan cara tersendiri, bukan sama sekali seperti menggunakan teleskop untuk tengok Bulan.
Sebenarnya saintis sendiri tidak pasti saiz sebenar angkasa. Ada yang menjangka alam angkasa mempunyai diameter sebanyak 23 trilion tahun cahaya (Siegel, 2018).
Besar, memang besar. Tidak mungkin manusia mampu menjelajahi setiap tahun cahaya ini dengan teknologi sedia ada.
Malah masa untuk menerokai Galaksi Bima Sakti pun masih belum tiba. Jika ada keperluan penting, tentu sekali manusia mampu melakukannya.
Cuma lambat atau cepat sahaja yang membezakan segalanya. Bima Sakti merupakan kejiranan bagi Sistem Suria dimana terletaknya planet Bumi.
Galaksi ini dijangka mengandungi 100 hingga 400 bilion butiran bintang. Setiap satu mempunyai sekurang-kurangnya sebuah planet yang wajar dikaji (Cassan, et al., 2012).
Di pertengahan Bima Sakti pula terletaknya sebuah lohong hitam adibesar (supermassive black hole) yang dinamakan Pusat Galaksi (Galactic Center).
Dan Bima Sakti merupakan sebahagian daripada Kumpulan Tempatan (Local Group), bersama galaksi-galaksi lain seperti Andromeda, Grus, Horologium dan sebagainya.
Sains masih belum dapat memberikan jawapan konkrit, tentang kehidupan di alam lain.
Setakat ini Bumi sahaja yang mempunyai kehidupan di seluruh Bima Sakti. Segalanya lengkap di planet ini.
Bahan paling asas ialah air, yang sangat penting untuk semua jenis kehidupan tidak kira manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan.
Jadi sebuah planet asing mungkin mempunyai kehidupan… jika permukaan dilitupi air seperti Bumi sendiri. 70 peratus daripada permukaan Bumi ialah lautan luas yang membentuk gaya semua kehidupan.
Kedatangan air di Bumi pun merupakan satu kisah sangat menarik. Pertama sekali, kedudukan Bumi menentukan segala-galanya.
Terlalu dekat dengan Matahari, air akan tersejat keluar. Terlalu jauh pula, air menjadi beku seperti ais yang tidak mungkin boleh diguna dengan mudah. Tetapi Bumi tidak menerima air ketika awal pembentukan.
Sebaliknya air dihantar ke Bumi melalui proses saintifik yang penting untuk diteliti.
Selain daripada planet dan bulan, Sistem Suria ini mempunyai asteroid dan komet. Dua unsur ini dijangka mengandungi air, yang dikirim ke Bumi daripada Musytari dan Zuhal.
Umumnya, semua orang tahu bahawa dua gergasi gas tersebut tidak mempunyai air.
Namun Musytari mungkin melepaskan pengaruhnya sebagai abang besar sistem. Banyak asteroid dan komet ditolak jauh, melayang-layang ke arah tarikan graviti Matahari.
Kebanyakan batu ini menghent.am Bumi, sambil membawa air untuk memulakan kehidupan (Redd, 2018).
Jadi tidak pelik jika planet-planet lain di seluruh Bima Sakti juga mengandungi air. Kerana henta.man asteroid dan komet ialah perkara biasa dalam angkasa, cuma sama ada suhu planet tersebut mampu menampung airnya atau tidak.
Jika mampu, planet-planet lain pun mampu mengekalkan laut tersendiri dengan benua-benua sesuai untuk kehidupan. Dengan oksigen, planet lain pun boleh didiami manusia.
Mungkin ada yang tertanya-tanya: apa gunanya jika planet lain ada air sekalipun? Sangkaan ini betul juga. Kerana pengetahuan saja tidak cukup untuk membantu semua manusia.
Malah buat masa sekarang, manusia takkan mengembara jauh daripada Bulan dan Marikh. Sekarang cuba fikirkan sejenak. Bayangkan pada tahun 3,000 S.M., seorang petani di Tanah Melayu terdengar perbualan kelasi pasal bumi Amerika.
Petani itu dijemput pergi. Mula-mula berminat… tetapi terus menolak apabila tahu saja memakan masa berbulan. Belum lagi pasal ribut bagai.
Jadi petani itu duduk saja di Tanah Melayu, mengerjakan hasilnya sampai ke saat terakhir. Sekarang bayangkan petani Malaysia pada tahun 2021 ini. Terdengar saja pasal Amerika Syarikat.
Lalu petani tersebut menyimpan duit dan terus berlepas daripada Kuala Lumpur.
Itulah analogi mudah untuk memahami teknologi aeroangkasa. Satu masa dahulu, jarak antara dua titik dilihat terlalu jauh.
Kerana kekangan teknologi sedia ada. Mungkin satu hari nanti, jarak antara Bumi dan Bulan pun dianggap berdekatan.
RUJUKAN:
Cassan, A., et al. (2012). One or more bound planets per Milky Way star from microlensing observations. Nature. 481 (7380): 167-169.
Redd, N. (2018, Jun 20). How Jupiter may have gifted Early Earth with Water. Smithsonian Magazine.
Siegel, E. (2018, Julai 14). Ask Ethan: How Large Is the Entire Unobservable Universe? Forbes.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih