Siapa sangka teh susu telah  berjaya menjadi simbol penyatuan kepada para netizen alam maya dari Taiwan, Hong Kong dan Thailand sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Tanda pagar #MilkTeaAlliances menjadi popular di kalangan pengguna media sosial di ketiga-tiga negara tersebut terutama di Twitter dan Instagram.

Seperti yang kita ketahui, keenakan teh susu boba atau Bubble Tea yang telah menjadi kegilaan peduduk Malaysia dan warga hispter sebelum ini adalah satu minuman yang sangat popular di Taiwan.

Minuman teh susu boba mula diperkenalkan di Taiwan pada tahun 1980-an setelah inovasi bebola hitam Tapioca atau Pearl mula menjadi bahan tambahan di dalam hidangan teh susu sehingga menjadi minuman kebanggaan kepada warga Taiwan. Bayangkan betapa kuat pengaruh teh boba sehingga ada idea dari ahli politik dari Democratic Progressive Party (DPP) untuk meletakkan simbol teh susu boba di hadapan pasport Taiwan.

Asal Usul Pakatan #MilkTeaAlliances

Pakatan teh susu yang tular di media sosial ini bukanlah sekadar berkisarkan teh susu semata-mata tetapi merupakan sebagai gimik kerana teh susu secara kebetulan merupakan minuman ikonik kepada ketiga-tiga negara iatu Thailand, Taiwan dan Hong Kong. Tambahan pula, jikalau di negara China , hidangan teh bersama susu bukanlah sesuatu yang biasa dan bukan sebahagian dari budaya mereka.

Pakatan tersebut sebaliknya berkisahkan tentang isu geopolitik dunia. Tetapi pencetus kepada pakatan ini bukanlah ahli politik sebaliknya isu bermula disebabkan kontroversi yang dimulakan oleh seorang selebriti dari Thailand bersama-sama teman wanitanya.

Aktor yang dimaksudkan tersebut ialah Vachirawit “Bright” Chivaaree iatu pelakon siri drama “2gether” yang popular di seluruh dunia termasuk di China. Drama tersebut dibenarkan disiar di China sebagai salah satu langkah interaksi budaya antara Thailand dan China. Namun peristiwa yang sebaliknya berlaku.

Kontroversi bermula apabila aktor tersebut mengulang siar (reTweet) satu status di Twitter yang memaparkan satu gambar pemandangan yang meletakkan Hong Kong sebagai satu buah negara. Sudah pasti, tindakan tersebut telah mencetuskan kemarahan netizen-netizen alam maya China yang mula menyerang aktor tersebut di media sosial kerana bagi mereka Hong Kong bukanlah sebuah negara sebalinya berada di bawah naungan China. Aktor yang dikenali sebagai “Bright” itu kemudiaan memohon maaf di media sosial sambil mengatakan mungkin beliau tidak perasan tentang status di gambar tersebut.

Namun itu tidak cukup untuk meredakan kemarahan di netizen China yang seterusnya menjumpai satu lagi bukti yang kontroversi di Instagram milik teman wanita “Bright” iatu Weeraya Sukaram atau dikenali sebagai “Nnevvy”. Hasil intipan tentera bawang China, mereka menjumpai kedua-dua aktor tersebut berbalas komen di satu gambar milik Nnevvy yang berpakaian cina.

Bright memuji kecantikan teman wanitanya dengan komen “Sangat cantik, macam gadis cina” tetapi Nnevvy membalas komen yang meruntung jiwa netizen China dengan menaip “gadis Taiwan”. Nnevvy sekali lagi mencetuskan kemarahan apabila beliau berkongsi status di Twitter yang mengatakan punca penyebaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia berpunca dari makmal yang terletak di Wuhan, China.

Tentera bawang China mula melancarkan kempen untuk memboikot drama tersebut dengan serta merta dan menyerang media sosial milik kedua-dua selebriti Thailand itu. Kempen tersebut mendapat sambutan di China melalui media sosial yang terkenal di China yang seakan mirip dengan Twitter (Twitter di haramakan di China) iatu Sina Weibo dengan 1.44 juta status.

Maka, tercetuslah perang media sosial besar-besaran di antara para netizen Thailand dan China. Antara status yang menarik ialah apabila netizen Thailand membalas kritikan netizen China yang mengatakan Thailand sebagai miskin dan mundur dengan “Our country is poor, but your country is pooh!”. Pooh merujuk kepada satu watak kartun yang turut diharamkan di China disebabkan kartun tersebut sering kali digunakan sebagai “memes” yang megambarkan wajah Presiden China iatu Xi Jinping.

Namun, jika ditanya samada netizen Thailand atau China yang memenangi perang siber ini, jawapanya mudah iatu Thailand. Kekangan akses ke atas media sosial popular dan mempunyai pengguna yang ramai serata dunia seperti Facebook, Twitter dan Instagram yang diharamkan oleh pemerintahan Parti Komunis di China membataskan serangan balas tentera bawang China.

Sokongan Taiwan & Hong Kong

Perang siber antara kedua-dua netizen sampai ke kemuncak apabila tentera bawang Thailand mendapat sokongan dari netizen alam maya dari Taiwan dan juga Hong Kong. Netizen ketiga-tiga negara bergabung tenaga menghasilkan gambar-gambar atau status yang bertujuan mengejek dan menentang hegemoni China terhadap Hong Kong dan juga Taiwan.

Laman facebook yang bernama “Nnevvy” juga popular di kalangan pengguna Facebook. Bermula dari itu, maka tertubuhlah pakatan teh susu di media sosial untuk menyatukan ketiga-tiga negara dengan slogan “Milk is thicker than blood” dan “In Milk Tea We Trust”. Ahli politik dari Taiwan juga teruja dengan perkembangan #MilkTeaAlliances di media sosial dan turut memberikan sokongan.

Isu-Isu Lain

Semangat pakatan ini turut dibawa kepada isu-isu demokrasi yang melanda ketiga-tiga buah negara. Yang terbaru, netizen di Hong Kong dan Taiwan menunjukkan solidariti dan sokongan kepada pejuang-pejuang demokrasi di Thailand yang kebanyakan terdiri dari penuntut universiti.

Para mahasiswa di Thailand mengadakan demonstrasi untuk mendesak kerajaan Thailand di bawah Perdana Menteri Prayut Chan mengembalikan sistem demokrasi yang sebenar di Thailand yang kini dibayangi sistem pemerintahan tentera. Sebelum ini, rata-rata netizen Thailand turut menyatakan sokongan terhadap protestor dari Hong Kong yang menentang Undang-Undang keselamatan baharu Hong Kong yang telah dikenalkan oleh Kerajaan China.

Malah, para penunjuk perasaan di Thailand turut mengenakan kostum yang sama dipakai oleh penunjuk perasaan di Hong Kong iatu berpakaian hitam, memakai helmet dan topeng gas. Di dalam sambutan ulang tahun memperinganti kejadiaan di  Dataran Tiananmen 1989 pada 4 Jun, terdapat para mahasiswa Thailand memberikan pemberiaan biskut teh susu percuma di sekitar bandar Bangkok dan meletakkan kod QR di bungkusan yang mengandungi maklumat peristiwan Dataran Tiananmen yang merupakan detik hitam bagi pejuang demokrasi di China.

Ahli Baru #MilkTeaAllliances

Akibat tindakan agresif China di kala dunia sedang melawan pandemik Covid-19, netizen-netizen di kebanyakan dunia asia sedang berusaha mengutuk tindakan China. Pakatan tersebut menyambut dengan baik kemasukan netizen-netizen dari India apabila negara mereka  terlibat dengan pertelingkahan dengan China berkaitan isu sempadan di Banjaran Himalaya yang mengorbankan tentera India di sempadan China-India.

Pengguna media sosial di Taiwan menggunakan slogan “Hindi Taiwan Bhai Bhai” (India dan Taiwan bersaudara) yang dipetik dari slogan asal “Hindi Chini Bhai Bhai” (India dan China bersaudara). Slogan tersebut digunakan oleh India dan China untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara ketika Perang Sino-India pada tahun 1962 yang turut melibatkan isu sempadan di kawasan Aksai Chin.

Malah, kemungkinan netizen-netizen dari Asia Tenggara yang lain untuk menyertai pakatan ini adalah tinggi setelah negara Asia Tenggara  terlibat dengan isu Laut China Selatan seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina. Oleh itu, tular satu gambar yang menunjukkan kemungkinan kerjasama yang lebih besar untuk pakatan teh susu di media sosial yang menunjukkan nama teh susu yang terkenal di setiap negara. Semestinya di Malaysia adalah Teh Tarik!

Bukan itu sahaja, pakatan Teh Susu di media sosoial turut berkempen untuk menyelamatkan Sungai Mekong dengan tanda pagar #StopMekongDam. Dilaporkan kemusnahan telah dilakukan ke atas  Sungai Mekong oleh 11 empangan besar di China. Satu kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa sejumlah besar air ditahan oleh China di hulu Sungai Mekong, menyumbang kepada kemarau dan bencana pertanian di Thailand serta negara-negara seperti Vietnam, Kemboja dan Laos. Sungai Mekong adalah sumber air yang sangat penting kepada para pertani dan nelayan di negara-negara tersebut.

Kesimpulan

Walaupun kempen pakatan Teh Susu ini hanya kelihatan gah dan meriah di media sosial sahaja, namun kesan dan impak dari kempen di media sosial tidak boleh dipandang enteng terutama melibatkan krisis politik.

Peristiwa “Arab Spring” yang melanda Timur Tengah juga berpunca dari kerancakan di media sosial dan elektronik pada awalnya. Namun, kesan proses demokrasi tersebut amat terkesan kepada geopolitik Timur Tengah sehingga hari ini.

Di zaman dunia hujung jari ini, karier ahli politik  juga boleh popular dan juga merudum gara-gara media sosial. Mungkin kuasa media sosial terhadap bantahan isu ICERD dan Statu Rom pada kerajaan yang lepas  boleh dijadikan contoh terbaik untuk kita fahami.

Artikel dikirimkan oleh Ashraf Hadi yang merupakan (Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, uniSZA, Sesi 2017/18)

RUJUKAN:

Keoni Everington (2020). New Taiwan passport design up for public vote. https://www.taiwannews.com.tw/en/news/3982502

Oiwan Lam (2020). Netizens from Hong Kong, Taiwan, Thailand brew ‘Milk Tea Alliance’ against Chinese speech police. https://globalvoices.org/2020/05/04/netizens-from-hong-kong-taiwan-thailand-brew-milk-tea-alliance-against-chinese-speech-police/

Dan Mcdevitt (2020). “In Milk Tea We Trust : How a Thai Chinese Meme War Led to a New Online Alliances. https://thediplomat.com/2020/04/in-milk-tea-we-trust-how-a-thai-chinese-meme-war-led-to-a-new-online-pan-asia-alliance/

Christina Chan (2020). Milk is thicker than blood: An unlikely digital alliance between Thailand, Hong Kong & Taiwan. https://hongkongfp.com/2020/05/02/milk-is-thicker-than-blood-an-unlikely-digital-alliance-between-thailand-hong-kong-taiwan/

Jitsiree Thongnoi (2020). Milk Tea Alliance: are young Thais turning on China over Hong Kong. https://www.scmp.com/week-asia/politics/article/3088901/milk-tea-alliance-are-young-thais-turning-china-over-hong-kong


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.