Bagi warga Scotland, nama-nama seperti Robert the Bruce dan William Wallace menjadi pujaan kerana berusaha memperjuang kedaulatan negara itu. Populariti dua nama itu sedikit sebanyak menenggelamkan nama seorang tokoh Scotland ini yang dikenali bukan saja sebagai ahli matematik abad ke-13 tetapi turut dituduh sebagai ahli sihir dan tukang tilik yang menyeleweng sehingga tersenarai dalam neraka keempat Dante Alighieri. Namanya ialah Michael Scot.
Bagi masyarakat ketika itu, ramai melihatnya sebagai ahli sihir kerana berupaya melakukan apa yang dianggap silap mata hari ini tanpa perlu mendedahkan rahsia ilusinya. Tetapi di belakang tabir, Scot mempelajari pelbagai disiplin ilmu termasuk sains, matematik, alkimia, metalurgi dan magnetisme selama tiga dekad. Selepas berkhidmat di Universiti Oxford, beliau mengembara ke Paris dan Bologna di mana di sinilah Scot menubuhkan Universiti Naples dan Sekolah Perubatan Salerno.
Pada tahun 1217, beliau menetap dan berkhidmat di Universiti Toledo, Sepanyol yang popular dengan sains ilmu ghaib. Di Paris, Scot diraikan kerana keupayaannya menyelesaikan masalah matematik yang sukar sehingga mendapat gelaran Michael Mathematicus.
Tetapi selepas tiba di Toledo, beliau menjenamakan dirinya semula sebagai pakar alkimia Eropah yang terkenal. Semasa di Itali, antara anak murid Scot yang terkenal ialah Leonardo Fibonacci, penulis Liber Abaci (Book of the Abacus). Buku yang didedikasikan kepadanya ini turut mengandungi siri nombornya yang terkenal iaitu Urutan Fibonacci, formula penciptaan geometri dalam alam semulajadi.
Selepas menguasai pelbagai bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Latin, Bahasa Yunani dan Bahasa Ibrani, Scot mula menterjemah pelbagai karya Aristotle, Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina dari Bahasa Arab ke Bahasa Latin. Malah, beliau juga menterjemah Liber astronomiae (Book of Astronomy) hasil karangan cendekiawan Islam Andalusia, Nuruddin al-Bitruji. Buku tersebut merupakan buku pertama yang membincangkan sistem astronomi Aristotle. Hasil kerja Scot merupakan pemangkin kepada pengenalan karya Aristotle kepada dunia Barat.
Apabila beliau mencecah usia 50 tahun, hasil kerjanya menarik perhatian ramai pihak termasuk para pemerintah. Salah seorang yang berminat dengan hasil kerjanya ialah pemerintah Sicily, Maharaja Frederick II. Istananya di Palermo ketika itu menjadi tumpuan ramai cendekiawan bukan saja sebagai tempat menuntut ilmu dan bertukar pandangan tetapi juga tempat menunjukkan kemahiran masing-masing pada harga yang bersesuaian. Dan bila cendekiawan Scotland itu tiba di Palermo, beliau bukannya memakai pakaian asal orang Sepanyol tetapi pakaian biasa cendekiawan Arab seperti jubah panjang dan topi berbucu seperti dipaparkan dalam lukisan Rudolf Ernst, An Arab Sage.
Selain dikenali sebagai seorang penterjemah, Scot juga merupakan seorang tabib yang hebat. Sepanjang berada di istana Frederick II, beliau telah mengubati pelbagai penyakit yang dihidapi oleh penghuni istana termasuk baginda. Bukan sekali Frederick III menguji kebijaksanaan cendekiawan Scotland itu. Pada satu ketika, Scot diminta mengukur jarak antara sebuah menara gereja dengan langit.
Selepas mendedahkan ukurannya, baginda memintanya mengukur semula jarak menara gereja dengan langit. Tetapi kali ini, Frederick II mengarahkan ukuran asal menara itu dikurangkan sebelum pengukuran kali kedua dibuat. Namun, penipuan itu diketahui Scot dan memberi komen sama ada langit sengaja dijarakkan dari bumi atau menara gereja itu menjadi lebih kecil.
Tetapi keakraban Frederick II dengan Scot menyebabkan cendekiawan Scotland itu dicemburui ramai. Dan ini juga menyebabkan wujudnya tuduhan bahawa kedua-duanya merupakan pasangan kekasih. Akibatnya, pihak gereja di Vatican memutuskan hubungan dengan baginda sebanyak dua kali dan turut melabel Frederick II sebagai anti-gereja.
Pihak gereja turut melabel Scot sebagai ahli sihir jahat yang melakukan pelbagai perkara menyeleweng termasuk melemaskan orang dalam keranda yang diisi dengan wain. Tetapi itu langsung tidak merenggangkan hubungan Frederick II-Scot sehinggakan beliau turut meramalkan masa, tempat dan cara kematian baginda. Frederick II mangkat pada tahun 1250 semasa berusia 55 tahun.
Scot juga merupakan pelopor sejenis disiplin ilmu dipanggil fisionomi, sejenis ilmu yang mengkaji personaliti dan perwatakan seseorang berdasarkan paras rupa dan perwatakan fizikal manusia. Sebelum Scot, fisionomi dibangunkan oleh seorang ilmuan Yunani bernama Zopyrus di Athens pada abad kelima Sebelum Masihi. Usaha fisionomi ini kemudiannya diteruskan oleh Aristotle pada abad keempat SM.
Scot dikatakan diperkenalkan dengan fisionomi semasa menterjemah hasil kerja Aristotle di Toledo. Tertarik dengan idea-idea ini, Scot menulis pelbagai buku berkenaan bahasa badan, tingkah laku manusia dan dinamik sosial berdasarkan fisionomi. Selain fisionomi, beliau turut menulis buku-buku seperti Super auctorem spherae, De sole et luna (alkimia), De chiromantia (bacaan tapak tangan) dan Liber introductorius (“The Introductory Book”) (koleksi buku berkenaan ketuhanan atas permintaan Frederick II).
Selepas sekian lama mengembara di negara orang, Scot kembali ke tanah airnya. Pada satu ketika, beliau pernah ditawarkan jawatan sebagai Archbishop sebanyak dua kali iaitu di Cashel, Ireland pada tahun 1223 dan Canterbury empat tahun kemudian. Tetapi Scot menolak tawaran pihak gereja dengan baik atas alasan beliau tidak boleh bertutur dan memahami Bahasa Ireland atau merasakan pengiktirafan pihak gereja terhadap kemampuannya tidak penting.
Tidak diketahui tarikh sebenar kematiannya tetapi ramai sejarawan bersetuju Scot mati pada tahun 1232. Satu legenda mengatakan beliau meramalkan kematiannya berlaku bila kepalanya cedera parah selepas terkena seketul batu. Untuk mengelak perkara itu berlaku, Scot memakai ketayap yang diperbuat daripada besi.
Tetapi apabila beliau memasuki sebuah gereja, Scot memilih menanggalkan ketayap yang dipakainya. Akibatnya, beliau mati selepas seketul batu menimpa kepalanya. Untuk beberapa abad seterusnya, ada yang mengatakan wujud hubungan kekeluargaan antara dirinya dengan sejarawan dan sasterawan Scotland terkenal, Sir Walter Scott tetapi tiada bukti kukuh yang dapat membuktikannya.
RUJUKAN:
Cowie, Ashley. (2017). Mathematical Genius or Mesmerizing Magician? The Psychomagic of Scotland’s Ancient Lost Wizard. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mathematical-genius-or-mesmerizing-magician-psychomagic-scotlands-ancient-lost-021508
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih