Mesopotamia membawa maksud ‘tanah di antara dua sungai’. Ia merupakan sebuah rantau yang luas, terbentang di antara Sungai tigris dan Sungai Furat di mana ketamadunan muncul di sana pada lebih 7000 tahun lalu. Penguasa pertamanya, bangsa Sumeria, menubuhkan sebuah sistem penulisan yang cukup maju, budaya seni dan seni bina yang amat mengagumkan, di samping ilmu astronomi dan matematik yang agak terkehadapan. Bangsa Akkadia kemudiannya menyusuli bangsa Sumeria, menyerap kebudayaan mereka, menghasilkan bahasa mereka tersendiri, lalu membina empayar pertama di dunia.
Wilayah Mesopotamia merangkumi Iraq, Kuwait, Syria Timur, bahagian tenggara Turki, dan sebahagian sempadan Turki-Syria dan Iraq-Iran moden. Rantau tersebut memenuhi kawasan yang dikenali oleh sejarahwan sebagai ‘Hilal Subur’.
Keadaan bumi di Hilal Subur, yang juga merangkumi pantai Levantine, sempadan Iran-Iraq moden dan sebahagiannya menempatkan tapak purba penting seperti Gobekli Tepe dan Jericho, menjadikannya sebagai sebuah rantau yang ideal untuk aktiviti pertanian. Kesemua lapan tanaman ‘asas’ dalam pertanian di zaman Neolitik (iaitu gandum emmer. Barli, flaks (biji rami), einkorn, kacang pis, lentil, kacang kuda, dan vetch pahit) tumbuh dengan banyak di sana, bersama haiwan-haiwan ternakan (seperti khinzir, biri-biri, lembu dan kambing) dan kuda-kuda tunggangan.
Bangsa Sumeria adalah yang pertama menguasai Mesopotamia dan merupakan sebahagian daripada kelompok petani terawal yang dikenali dalam sejarah. Mereka mula menghuni perkampungan di rantau berkenaan sekitar tahun 8000SM. Bermula daripada petempatan yang sederhana, mereka kemudiannya berkembang menjadi sebuah tamadun berskala besar yang pertama di dunia. Legasi Mesopotamia antara lain adalah sistem pentadbiran dan keagamaan yang tersusun, pengorganisasian strategi peperangan, asas kepada enam cara memantau masa yang kita ketahui sehingga kini, dan juga kesusasteraan.
Keruntuhan tamadun di Mesopotamia berlaku pada tahun 539SM apabila Babylon tumbang di tangan Empayar Achaemenid sekaligus menamatkan pertumbuhan budaya dan inovasi Mesopotamia yang berlangsung selama ribuan tahun.
DARIPADA KAMPUNG-KAMPUNG KECIL MENJADI BANDAR-BANDAR BESAR
Tedapat beberapa detik di dalam sejarah manusia yang menandakan titik-titik signifikan dalam perkembangan fizikal, tabiat mahupun budaya manusia – seperti perkembangan manusia dalam cara berjalan, belajar menggunakan dan menghasilkan api, serta alat-alat kemudahan, malah bercakap. Kesemua ini adalah sebahagian daripada pencapaian awal dalam sejarah manusia. Namun, salah satu loncatan besar yang dilakukan oleh nenek-moyang kita adalah berkembang daripada gaya hidup yang tidak stabil sebagai nomad (pemburu-pengumpul hasil hutan) menjadi kelompok penetap yang hidup di dalam kediaman kekal.
Gaya hidup seperti ini memerlukan dan membolehkan mereka membina bangunan-bangunan yang bersifat lebih kekal. Gudang untuk menyimpan bekalan bijirin, dan rumah untuk haiwan-haiwan ternakan juga perlu dibangunkan. Begitu juga kediaman manusia.Keadaan di rantau Mesopotamia sangat sesuai untuk melakukan perubahan ini. Kepelbagaian dan kuantiti haiwan yang terdapat di Mesopotamia memungkinkan masyarakat di sana untuk tidak lagi menggembala gerombolan haiwan steppe ke sana-sini ketika mereka bermigrasi. Tumbuh-tumbuhan seperti bijirin, gandum dan kekacang di Hilal Subur boleh disemai dan dituai dengan kuantiti yang cukup banyak sehingga ia boleh disimpan dan menyediakan kelangsungan hidup selama berbulan-bulan terutama ketika musim sejuk.
Memandangkan haiwan dan tuaian menjadi elemen yang penting dalam kehidupan manusia, penghasilan pun semakin berkembang dan populasi manusia juga meningkat, sesuai dengan keupayaan mereka untuk menampung kehidupan dengan lebih jitu. Kampung-kampung mula bergabung atau berkembang secara alami seiring peredaran masa, sehingga ia kemudiannya berkembang menjadi sebuah kota atau bandar.
PEMBANGUNAN BUDAYA
Masyarakat Mesopotamia bukanlah masyarakat pertama yang mempunyai budaya tersendiri yang menonjol. Masyarakat Paleolitik di bahagian utara Eropah turut mewariskan hasil seni yang cukup mengagumkan seperti lukisan gua, ukiran Venus dan perhiasan peribadi seperti manik gading. Dengan kelebihan masa yang dipunyai oleh masyarakat Mesopotamia, budaya dan kemahiran mereka berupaya untuk berkembang dengan lebih jauh berbanding pada tempoh-tempoh sebelumnya, sehingga ia mencapai tahap yang jauh lebih terkehadapan.
Di kala ukiran-ukiran Venus yang dihasilkan oleh masyarakat Paleolitik di bahagian utara Eropah secara relatifnya bersifat ringkas, patung-patung dan ukiran-ukiran yang dihasilkan di Mesopotamia jauh lebih terperinci dan sangat indah. Sebuah koleksi sekitar 27 buah patung yang menggambarkan Gudeo, seorang pemerintah di sebuah kota Mesopotamia purba ditemui di bahagian selatan rantau tersebut.
Patung tersebut memberikan gambaran yang realistik terhadap individu sebenar, dengan perincian seperti kedukan pada fabrik pakaiannya menunjukkan betapa tingginya kemahiran tukang-tukang ukir Mesopotamia. Hasil seni Mesopotamia boleh dibandingkan dengan hasil seni di Mesir Purba dari segi kerumitan dan nilai kemewahan. Meterai-Meterai Silinder dan pasu Uruk yang diukir indah merupakan antara contoh utama yang menunjukkan betapa hasil seni masyarakat Mesopotamia merupakan suatu perkara yang umum dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka.
PENTADBIRAN TAMADUN MESOPOTAMIA
Walaupun budaya Sumeria merupakan budaya yang utama di rantau berkenaan, hasil-hasil seni di rumah mereka bersifat ringkas dan masyarakat mereka pun menghiasi diri dengan barangan kemas. Selepas Mesopotamia dikuasi oleh Assyria, nilai kesenian mereka menjadi lebih mewah. Hasil-hasil seni awam berskala besar dihasilkan dan mereka dikenali secara khusus sebagai masyarakat yang mengukir relif-relif batu yang menggambarkan babak peperangan mahupun perburuan. Walaupun kebanyakan relif tersebut sudah pun hilang, terdapat sejumlah hasil seni berkenaan yang tersimpan rapi di Muzium British dan ianya sangat menakjubkan untuk disaksikan walau pada masa moden seperti hari ini.
Sebaik sahaja populasi bertambah dengan pesat, hadir keperluan untuk membentuk kepimpinan yang lebih kuat. Masyarakat memerlukan perlindungan dan pengagihan bekalan makanan dan sumber perlu dijalankan dengan lebih teratur. Tuntutan terhadap kewujudan undang-undang, pengorganisasian tenaga manusia, perwakilan masyarakat ketika menjalankan perdagangan antara bandar, dan banyak lagi keperluan lain mula timbul.
Pada mulanya, keperluan seperti ini dipenuhi oleh kelas paderi yang merupakan figura berpengaruh dalam kalangan masyarakat berikutan peranan yang mereka mainkan dalam hal keagamaan. Kelas paderi adalah kelompok yang menjadi pengantara antara dunia manusia dan dunia dewa, instrumen yang dipercayai membantu melindungi ternakan dan menjamin tumbuhan dapat dituai dengan jaya. Berikutan keperluan terhadap pentadbiran yang lebih tersusun semakin meningkat, kelas paderi mengisi lompong tersebut.
Seiring peredaran masa, kota-kota yang berkembang pesat memerlukan pengorganisasian lebih lanjut dan pemimpin yang bersifat lebih sekular muncul dan bergabung dengan kelas paderi dalam mentadbir kota, dan secara khusus menguruskan hal pembahagian tenaga manusia. Pemimpin sekular tertinggi dipanggil sebagai ‘lugal’ dan peranannya kemudian meningkat menjadi monarki yang berkuasa dan berpengaruh penuh.
Mesopotamia kemudiannya berevolusi menjadi negara-negara kota semasa berada di bawah pemerintahan Sumeria. Setiap kota diperintah oleh seorang raja yang tersendiri, dengan masing-masing saling bekerjasama antara satu sama lain. Mereka memerlukan sebuah sistem pentadbiran yang kompleks untuk membantu dalam menguruskan hal-hal dalaman kota, hal-hal percukaian dan juga hal-hal perekodan yang diperlukan untuk melancar dan menyepadukan segala urusan di setiap negara kota.
TAMADUN MESOPOTAMIA MENCIPTA KUNEIFORM
Mentadbir dan memajukan rangkaian bandar yang sebegitu kompleks dan mengadakan hubungan-hubungan perdagangan jarak-jauh membawa maksud sebuah lagi loncatan yang besar dalam perkembangan sejarah manusia perlu dilakukan – situasi sebegini merupakan pemangkin yang membawa kepada penghasilan sistem penulisan.
Masyarakat Mesopotamia memiliki bentuk penulisan yang tersendiri, dipanggil sebagai kuneiform yang pertama kali digunakan sekitar 4000SM oleh bangsa Sumeria. Nama kuneiform membawa maksud ‘berbentuk baji’ yang diambil bersempena bentuk simbol-simbolnya yang menonjol, yang dihasilkan dengan cara menggores sejenis jarum (stylus) pada kepingan tanah liat.
Walaupun pada awalnya sistem tulisan kuneiform hanya diajarkan kepada beberapa orang jurutulis tertentu, terdapat bukti yang mengisyaratkan bahawa kecelikan huruf tersebar secara meluas di Mesopotamia selepas zaman pemerintahan pemerintah Akkadia yang ulung, bernama Sargon. Pada waktu itu, penggunaan kuneiform menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat. Ketika itu juga wujud perpustakaan awam di kota Babylon dan kaum lelaki mahupun wanita diajar membaca dan menulis.
Walaupun teks kuneiform yang terselamat sehingga ke hari ini kebanyakannya meliputi subjek pragmatik seperti urusan perdagangan yang dilakukan oleh tamadun tersebut, terdapat juga teks-teks fiksyen. Antara yang paling masyhur adalah Epik Gilgamesh – sebuah hikayat yang sangat terkenal dan diwarisi selama ribuan tahun. Ia masih dibaca dan dihayati oleh orang ramai sehingga ke hari ini.
EMPAYAR AKKADIA DAN SARGON AGUNG
Walaupun tamadun awal di Mesopotamia ditubuhkan oleh bangsa Sumeria, mereka kemudiannya ditakluk oleh Empayar Akkadia. Empayar ini ditubuhkan oleh Sargon, seorang lelaki yang latar belakangnya tidak banyak diketahui oleh sejarahwan. Beliau meyakini bahawa dirinya adalah putera kepada seorang paderi wanita. Namun, identiti bapanya sama sekali tidak dapat dipastikan.
Selain menguasai Mesopotamia, beliau juga berupaya menakluk sebahagian Syria, Iran, Kuwait, Jordan, Turki dan sebilangan ilmuwan turut mempercayai bahawa Cyprus pernah jatuh ke tangannya. Beliau dianggap sebagai pemerintah yang menubuhkan empayar pertama di dunia. Beliau mangkat pada tahun 2279SM, selepas 56 tahun memerintah dan kedudukannya itu digantikan oleh puteranya, Rimush.
Sesudah kemangkatannya, Sargon diangkat ke status yang setara dengan dewa. Beliau dikenali sebagai Sargon Agung dan sejumlah legenda dihasilkan dalam rangka menceritakan segala pencapaian dan kejayaan yang pernah dikecapinya.
Di bawah pemerintahan bangsa Akkadia, Mesopotamia mengecapi sejumlah pencapaian yang signifikan. Banyak rangkaian jalan dibina yang menghubungkan antara satu bandar dengan bandar yang lain. Sistem pengeposan turut diwujudkan sebagai susulan daripada tingginya tahap kecelikan dan kuatnya hubungan antara bandar di zaman pemerintahan Akkadia. Malahan, beberapa penambahbaikan dalam teknik pertanian turut sempat disumbangkan oleh dinasti berkenaan.
Takhta Akkadia kemudiannya diwariskan daripada Rimush kepada saudaranya, Manishtushu dan kemudian diserahkan kepada putera Manishtushu yang bernama Naram-sin. Naram-sin mangkat setelah 110 tahun semenjak datuknya menaiki takhta. Kemangkatannya itu menandakan pengakhiran buat dinasti empayar pertama dunia lantaran ia tumbang ke tangan Amori sebagai akibat daripada siri pemberontakan dan kebuluran.
Kekayaan diraih semula, pemberontakan demi pemberontakan ditundukkan dan bangunan-bangunan menakjubkan seperti Kuil Ishtar di Nineveh didirikan. Akkadia membantu melonjakkan lagi kebudayaan Mesopotamia dari tahap ‘mengagumkan’ kepada tahap ‘legenda’.
UNDANG-UNDANG MESOPOTAMIA – MATA DIBALAS MATA DAN PEMERINTAHAN AMORI
Satu lagi perkara yang diasaskan oleh Mesopotamia adalah kod undang-undang. Raja Amori yang bernama Hammurabi secara rasminya menggunakan Kod Undang-Undang yang digubal olehnya pada tahun 1772SM. Undang-undang tersebut direka supaya sesuai untuk dikenakan ke atas seluruh rakyat Mesopotamia. Mereka memiliki kepelbagaian gaya hidup dan kepercayaan, justeru penting untuk kod undang-undang tersebut bersifat ringkas, spesifik dan mudah difahami. Undang-undang yang perlu difahami dan dipatuhi oleh suri-suri rumah yang menetap di bandar adalah undang-undang yang sama perlu dipatuhi oleh petani-petani di kampung.
Undang-undang yang paling masyhur yang terkandung di dalam Kod Hammurabi adalah prinsip ‘mata dibalas mata’ yang pada masa itu penggunaannya benar-benar bersifat literal. Undang-undang ini direka untuk menghindarkan berlakunya pergaduhan fizikal. Sesiapa sahaja yang mencederakan individu lain dalam sesebuah pergaduhan akan dicacatkan, atau bahkan dibunuh.
Kelompok masyarakat di kawasan-kawasan berbeza di Mesopotamia sememangnya sering bergaduh antara satu sama lain selama ratusan tahun. Lantaran itu, undang-undang ini bertujuan untuk menamatkan pertumpahan darah yang kerap tercetus, yang kebiasaannya mengakibatkan permasalahan di Mesopotamia. Walaupun Kod Undang-Undang ini kelihatan barbarik atau kejam, akan tetapi Hammurabi juga menggubal prinsip di mana seseorang itu tidak akan dianggap bersalah melainkan setelah kesalahannya itu dibuktikan.
EMPAYAR ASSYRIA
Ramai sejarahwan dan ahli arkeologi menganggap Empayar Assyria sebagai empayar tamadun Mesopotamia yang paling hebat. Empayar ini besar dari segi saiznya dan efisien pula pentadbirannya, di samping dominan dalam medan peperangan. Tapaknya terletak di bahagian utara Mesopotamia, tepatnya di bandar Ashur. Runtuhan-runtuhan yang ditemukan di tapak berkenaan mengisyaratkan bahawa kota tersebut ditubuhkan sekitar tahun 1900SM. Namun, lokasi tersebut berkemungkinan telah pun dihuni jauh lebih awal berbanding tarikh itu. Bandar itu merupakan pusat perdagangan yang maju dan kekayaannya yang menimbun memaksudkan bahawa kota tersebut merupakan adalah suatu kuasa yang sangat berpengaruh. Upayanya untuk berkembang juga bukan calang-calang.
Pemerintahan bangsa Assyria berlangsung selama ratusan tahun, dengan kehadiran gangguan oleh dinasti-dinasti lain pada tempoh-tempoh tertentu. Namun, kuasa dan pengaruh yang dipegang oleh bangsa Assyria dan kota Ashur menandakan bahawa mereka berupaya untuk merebut kembali kuasa walau menerima asakan-asakan sedemikian.
Pemerintahan akhir bangsa Assyria ke atas Mesopotamia dikenali pada hari ini sebagai era Neo-Assyria. Era ini menandakan peralihan Mesopotamia dari Zaman Gangsa ke Zaman Besi. Penggunaan teknologi maju seperti senjata-senjata besi dalam kalangan masyarakat Assyria memberikan mereka kelebihan yang besar dalam pertempuran melawan masyarakat yang menggunakan senjata gangsa, yang jauh lebih lemah.
Senjata-senjata yang diperbuat daripada besi dan pasukan tentera yang cukup terlatih menjadi faktor yang membuatkan mereka mustahil untuk ditewaskan, sekaligus mendorong empayar tersebut untuk tersebar lebih jauh. Mereka turut menggunakan pedati perang, mesin pengepungan dan sejumlah kemudahan seperti tangga untuk memanjat tembok pertahanan kota musuh.
Walau bagaimanapun, mereka tidak hanya sekadar pakar perang dan bangsa penakluk. Kesanggupan mereka untuk melibatkan dan menyerap aspek kebudayaan yang mereka serang memaksudkan bahawa kesenian, perubatan dan pendidikan mereka sangat maju. Raja Assyria yang bernama Sennacherib memindahkan ibu kota Mesopotamia ke Nineveh dan kemudian membina istana yang mewah, dilengkapi kebun-kebun yang membuatkannya seperti Taman Tergantung.
DUNIA KEAGAMAAN TAMADUN MESOPOTAMIA
Cucu Sennacherib iaitu Ashurbanipal juga merupakan raja Assyria yang agung, raja terakhir mereka. Kerajaannya sangat kaya sampaikan golongan artisan banyak menghasilkan artifak dan perhiasan yang mengagumkan. Ashurbanipal sendiri adalah seorang pemimpin yang kejam, namun sangat bijaksana. Beliau meghimpunkan perpustakaan besar yang menyimpan banyak teks-teks kuneiform. Namun, pemerintahan Ashurbanipal berakhir berlangsung selama 42 tahun apabila kota-kota pemerintahannya mula memberontak menentang cukai tinggi yang dikenakan ke atas mereka. Hakikatnya, cukai tersebut adalah bertujuan untuk menampungkan kos pentadbiran empayar yang besar.
Dengan kekayaan sejarah dan percampuran budaya seperti yang diceritakan di atas, dunia Mesopotamia sememangnya sebuah dunia yang mengagumkan. Kepentingan agama bagi empayarnya tidak pernah luntur signifikasinya. Agama dianggap sebagai hati bagi kehidupan masyarakat Mesopotamia. Mungkin mereka pada awalnya percaya pada kehendak para dewa berupaya untuk menjayakan atau menggagalkan sebarang hasil tuaian atau perburuan. Akan tetapi, kepercayaan ini kemudiannya berkembang menjadi kepercayaan bahawa para dewa memiliki peranan dalam setiap aspek kehidupan.
Mereka menyembah sebuah pantheon yang sangat besar, dengan terdapat di dalamnya ribuan dewata kecil dan sejumlah besar dewata utama. Setiap kota memiliki dewata pelindung yang tersendiri dan setiap situasi mempunyai dewata khusus untuk diseru namanya.
Piramid bertangga seperti binaan-binaan yang dinamakan sebagai ziggurat dibangunkan di bandar-bandar penting sebagai rumah bagi dewata pelindung. Dipuncaknya pula ditempatkan sebuah kuil ataupun altar yang hanya boleh dimasuki oleh golongan paderi atau pegawai keagamaan.
Para paderi baik lelaki mahupun wanita di Mesopotamia mengekalkan kuasa yang mereka pegang selama ribuan tahun, dan mereka dianggap memiliki kuasa atau pengaruh yang setara atau hampir sama seperti raja. Agama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Mesopotamia sampaikan mereka memandang kelas paderi sebagai suatu kelas yang sangat mulia.
Mereka adalah penjaga kuil dan ziggurat, dan takdir sesebuah kota bergantung pada peranan golongan paderi yang menyenangkan para dewa. Seperti dalam kebanyakan budaya di zaman awal, golongan paderi ini juga turut berkhidmat sebagai tukang penyembuh yang menawarkan rawatan praktikal mahupun spiritual.
Mesopotamia sememangnya adalah sebuah tamadun yang sangat mengagumkan, atas faktor yang tidak terhitung banyaknya. Bermula daripada kemajuan teknologi sehinggalah perkenalan sistem tulisan yang kompleks serta kebudayaan yang kekal selama ribuan tahun lamanya.
Tamadun ini masih memesonakan ramai orang pada hari ini – runtuhan bangunannya dan artifak peninggalannya yang terselamat dan terpelihara rapi buat tempoh yang panjang begitu indah lagi signifikan dari sudut sejarah dan berupaya menggamit perhatian masyarakat sedunia. Segala pencapaian yang mereka lakukan menunjukkan kepada kita betapa pentingnya perkembangan gaya hidup manusia daripada hidup sebagai pemburu-pengumpul (hasil hutan) kepada hidup yang berorientasikan pertanian.
TERJEMAHAN:
Sarah P Young. (8 Julai 2019). Ancient Mesopotamia and the Rise of Civilization. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mesopotamia-0012257
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih