Bagi peminat filem-filem klasik Melayu, pasti sudah biasa dengan filem Masam-Masam Manis (1965) lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Sharifah Hanim. Di sebalik kelucuan gelagat mereka berdua sebagai jiran yang saling bermusuhan tetapi rupanya di luar saling mencintai, terdapat banyak pengajaran yang kita perlu ambil dan aplikasikan dalam hidup.

1. Hidup berjiran kena belajar toleransi dan memahami hak masing-masing.

Satu running gag yang sentiasa muncul dalam filem-filem P. Ramlee terutama Masam-Masam Manis ialah mengingatkan manusia tentang soal kejiranan. Tak kira sama ada meniup trompet pada tengah malam buta (Seniman Bujang Lapok) atau sengaja menguatkan bunyi muzik ketika jiran sebelah tidur (Masam-Masam Manis), ragam-ragam sebegini walaupun nampak biasa tetapi kita tidak sedar, ia sebenarnya menyakiti jiran dan mengganggu hak mereka. Bila kita melakukan perkara sebegini, Rasulullah s.a.w menganggap orang yang suka menyakiti jirannya sebagai orang tidak beriman. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim mafhumnya, “Demi Allah, dia tidak beriman. Demi Allah, dia tidak beriman.” Nabi s.a.w ditanya, “Siapakah dia, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang di mana jirannya merasa tidak aman dengan kejahatannya.” Dalam satu hadis lain, baginda bersabda, “Tidak masuk syurga orang di mana jirannya merasa tidak aman dengan kejahatannya.” (Riwayat Muslim).

Bila sudah berjiran, kena tahu siapa jiran kita. Nabi s.a.w meletakkan jiran dalam beberapa kategori:

i) Jiran Muslim yang ada hubungan kekeluargaan. Jiran ini mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai ahli keluarga/kaum kerabat.

ii) Jiran Muslim. Jiran ini mempunyai hak sebagai jiran dan hak sebagai Muslim.

iii) Jiran kafir. Jiran ini mempunyai hak sebagai jiran.

Dalam sejarah, Umar bin al-Khattab r.a mempunyai seorang jiran beragama Yahudi yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya. Setiap kali beliau menyembelih kambing, beliau tidak akan lupa memberi sedikit hasil sembelihan kepada jirannya itu.

Bila kita sudah berjiran, kena ingat apa hak mereka dan jangan ikut perangai sesetengah individu yang ditunjukkan dalam filem-filem P. Ramlee termasuk Masam-Masam Manis. Nabi s.a.w menyatakan hak jiran, “Jika mereka minta tolong, engkau akan menolongnya. Jika mereka mahu meminjam, maka berilah pinjaman kepadanya. Jika mereka memerlukan sesuatu, engkau berilah kepadanya. Jika mereka sakit, ziarahilah mereka. Jika mereka mendapat sesuatu kebaikan, ucapkan tahniah. Jika mereka ditimpa musibah, maka tunjukkan kesedihan bersama mereka. Jika mereka meninggal dunia, hantar atau iringi jenazahnya. Jangan tinggikan rumah untuk menghalang angin sampai ke rumahnya melainkan mendapat izinnya. Jangan ganggu mereka dengan bau masakan melainkan engkau beri sedikit dari makanan tersebut. Jika engkau tidak mahu memberi buah-buahan kepada mereka, masukkan buah-buahan tersebut dalam rumah secara rahsia dan jangan biarkan anakmu makan buah-buahan tersebut di hadapan anaknya, kelak anak jiran itu menangis dan mahukan buah-buahan tersebut.”

2. Jaga etika dan profesionalisme kerja.

Antara babak yang saya anggap orang ingat berkenaan Masam-Masam Manis ialah bila Cikgu Shaari (P. Ramlee) terlelap semasa mengajar pelajar di sekolah kerana keletihan dan tidak cukup tidur gara-gara menyanyi di kelab malam. Babak ini menunjukkan bahawa manusia terpaksa menjalankan dua pekerjaan untuk menampung kehidupan di kota besar dan tidak hanya terhad pada zaman ini saja. Tidak salah untuk menambah gaji sedia ada dengan melakukan pekerjaan sampingan tetapi jangan sampai mengganggu tumpuan pada pekerjaan utama. Ini kerana jika pekerjaan sampingan tersebut mengganggu kesihatan kita dan menjejaskan produktiviti kerja kita, tidakkah itu secara tidak langsung menconteng arang kepada nama baik kita.

Bila mana kita bekerja, kena tahu bahagikan masa antara pekerjaan utama dengan pekerjaan sampingan selain menunjukkan teladan yang baik semasa di tempat kerja. Siapa tahu, ia sebenarnya membuka langkah kita lebih jauh lagi pada masa hadapan seperti mana yang berlaku pada Cikgu Shaari. Maka tidak hairanlah, selepas melihatnya terlelap, guru besar memanggil beliau ke pejabatnya dan memberi nasihat secara peribadi untuk beliau berhenti sebagai penyanyi kelab malam dan memberi fokus kepada kerjaya utama sebagai guru. Beliau mendengar nasihat guru besar tersebut dan siapa sangka, beberapa tahun selepas itu, Shaari menjadi guru besar di sekolah beliau mengajar.

3. Teguran/Pembetulan bersifat membina, bukan menjatuhkan.

Satu perkara menarik bila mana guru besar hendak menegur Cikgu Shaari tentang tingkah laku dan etika kerja beliau, beliau tidak melakukannya secara terbuka di khalayak iaitu di hadapan pelajar-pelajar atau guru-guru, sebaliknya dilakukan dalam pejabat beliau. Dan guru besar turut memilih perkataan-perkataan sesuai dan tona yang dipilih bersifat kebapaan bagi memperlihatkan teguran tersebut bersifat membina. Malah semasa menegur, guru besar turut mengakui bakat yang dimiliki Cikgu Shaari sebagai penyanyi.

Kualiti sebegini yang harus dimiliki seseorang pemimpin dalam sesebuah organisasi tak kira sama ada organisasi tersebut ialah syarikat multinasional (MNC) atau unit keluarga. Sebarang teguran yang dibuat hendaklah bersifat objektif dan sama sekali tidak menyentuh peribadi individu yang ditegur. Dan teguran pula dibuat secara peribadi atau tertutup demi menjaga maruah individu tersebut dan menunjukkan bahawa pihak pengurusan, majikan atau orang tua nakkan individu tersebut berusaha memperbaiki dirinya dan tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang. Orang yang suka menegur secara terbuka tanpa mengambil kira kesan pada individu tersebut atau pada orang lain dan suka menyentuh peribadi individu sebegini tidak layak berada di tampuk kepimpinan kerana tahu membuli dan tidak sensitif sama sekali dengan isu di tempat kerja.

4. Usah bersikap terburu-buru dalam menghakimi orang lain.

Satu kecenderungan dalam masyarakat kita dan tema yang selalu digunakan dalam filem-filem P. Ramlee ialah kecenderungan manusia mempunyai persepsi pada orang lain terutama jika individu itu berlainan darjat atau mempunyai pekerjaan yang kurang sesuai. Manusia-manusia sebegini sentiasa dipandang hina kerana kalau mengikut logik sesetengah individu seperti Nyonya Mansur (Ibu Mertua Ku), Tengku Karim dan Tengku Mukri (Antara Dua Darjat), Orang Kaya Marzuki (Penarek Becha) dan Shaari sendiri selepas mengetahui isterinya penyanyi kelab malam, mereka melihat diri mereka jauh lebih mulia dan lebih baik berbanding orang di bawah mereka. Hanya kerana mereka ada latar belakang yang baik atau pekerjaan yang ada nama baik di sisi masyarakat, mereka merasakan mereka ada hak untuk mengkritik dan menyelar orang lain. Dan mereka tidak berminat langsung dengan situasi yang menyelubungi orang sebegini kerana pada mereka, ia membuang masa dan tidak mengubah sama sekali persepsi pada orang di bawah mereka.

Bila mana kita terburu-buru dalam menghakimi atau melihat seseorang, mudah untuk kita buruk sangka dan mula mencari kesalahan orang lain. Perkara sebegini dilarang berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 12, Surah Al-Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi s.a.w bersabda, “Berhati-hatilah kamu semua dengan prasangka buruk kerana prasangka buruk itu seburuk-buruk ucapan. Janganlah kamu saling mencari kesalahan orang lain, saling mengintai, bersikap hasad, khianat dan saling membenci. Jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Kerana kegelojohan kita semata-mata nak menonjolkan bahawa kita jauh lebih baik daripada orang lain, tanpa disedari kita sebenarnya sengaja mencari kesalahan orang lain dan menimbulkan kebencian pada diri kita sendiri. Ia satu perbuatan tercela berdasarkan satu perbualan antara Sufian bin Husain dengan Iyas bin Muawiyah yang direkodkan dalam kitab Bidayah wa Nihayah karangan Imam Ibnu Katsir. Dalam perbualan tersebut, Sufian mencela seseorang di hadapan Iyas. Lalu Iyas bertanya, “Apakah kamu pernah pergi memerangi bangsa Rom?” Sufian menjawab, “Tidak.” Iyas bertanya lagi, “Apakah kamu pernah memerangi bangsa Sind, India atau Turki?” Sufian mengulangi jawapan tidak. Lalu Iyas berkata, “Apakah layak bangsa Rom, Sind, India dan Turki terselamat daripada keburukanmu sementara saudara seagamamu tidak selamat daripada keburukanmu?” Berikutan itu, Sufian tidak lagi melakukan perbuatan tersebut. Dan kerana kegelojohan yang sama juga, Shaari hampir-hampir kehilangan Norkiah kerana bersikap buruk padanya sehingga Norkiah pura-pura meminta cerai dan mengadakan hubungan dengan lelaki lain untuk mengajar beliau. Syukur kedua-duanya mampu menerima latar belakang masing-masing dan bahagian bersama di mana pasangan bahagia tersebut dikurniakan beberapa orang cahaya mata, sebuah rumah banglo besar, kereta baru dan Shaari sendiri yang mendapat kenaikan pangkat sebagai guru besar di sekolah lamanya.

Akhir kalam, kisah-kisah yang dipaparkan P. Ramlee terutama dalam Masam-Masam Manis, walaupun penuh dengan hilai tawa dan kelucuan, ia sebenarnya penuh dengan pelbagai mesej yang bersifat malar segar dan sesuai untuk sepanjang zaman. Maka tidak hairanlah mengapa beliau selayaknya digelar Seniman Negara kerana cerita-cerita sebegini amat dekat dengan hati masyarakat dan kita boleh meletakkan diri kita dalam setiap situasi yang ditunjukkan.

Sumber:

1. Haiyon, Khairuddin. JAIS. http://www.jais.gov.my/article/menghormati-jiran-tetangga

2. Hamd al-Abbad, Abdul Muhsin. Al-Manjhaj. https://almanhaj.or.id/3196-hukum-berburuk-sangka-dan-mencari-cari-kesalahan.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply