Siapa kenal Raja Arthur? Pasti ada antara kita mengenali raja ini dalam kaca televisyen, terutamanya siaran drama Eropah tentang sejarah lagenda berkenaan kota Camelot. Contohnya drama bersiri Merlin, kisah seorang pemuda yang tengah mempelajari sihir, membimbing putera Arthur sehingga menjadi raja kota Camelot.

Raja Arthur adalah watak utama dalam kisah lagenda Camelot, berkenaan kisah hidup raja Britain yang memerintah kota Camelot bersama para kesatrianya dari awal perlantikan hingga kejatuhan akibat pemberontakan dari putera bernama Mordred. Kisah ini juga mempunyai unsur fantasi iaitu penglibatan ahli sihir bernama Merlin sebagai penasihat dan mentor raja Arthur.

Pada awal kajian, para sejarahwan berpendapat kisah lagenda ini adalah mitos semata-mata kerana ketiadaan bukti yang berkait dengan kota Camelot atau raja Arthur itu sendiri. Namun, masa mampu menukarkan jawapan yang sedia ada terhadap kemisterian ini. Kajian lanjut menunjukkan raja Arthur sebenarnya wujud. Ya, raja Arthur itu wujud!

MENCARI ARTHUR SEBENAR

Menurut sumber terdahulu iaitu menuskrip bernama History of the Britons yang ditulis oleh paderi British bernama Nennius, Arthur dalam lipatan sejarah adalah pahlawan yang menyatukan rakyat British dalam usaha melawan invasi kaum Anglo-Saxon pada tahun 500.

Serangan kaum Anglo-Saxon dari tanah air mereka di Jerman berlaku kerana Kepulauan Britain ketika ditinggalkan oleh Rom pada abad ke-5 Masihi berpecah kepada kerajaan-kerajaan feudal, mudah untuk anasir luar menyerang.

Peta menunjukkan inilah Britain pada tahun 500 di mana raja Arthur tinggal dan menghalau serangan Anglo-Saxon dari timur.

Melalui penemuan arkeologi dan sumber sejarah bertulis berkenaan fasa kegelapan British, serangan mereka tidak pernah putus dan setiap kerajaan feudal satu per satu tumbang. Namun pada tahun 490-an, perubahan berlaku di mana berlaku serangan balas besar-besaran dari rakyat Britain menghalau tentera Anglo-Saxon ke timur Britain.

Peristiwa menghalau besar-besaran ini menunjukkan bahawa wujudnya ketua pahlawan yang berkuasa dan mampu menyatukan rakyat Britain, Tapi masalahnya adalah siapakah pahlawan tersebut? Namanya tidak pernah dicatat dalam mana-mana manuskrip atau rekod sejarah kerana catatan berkenaan sejarah kepulauan Bratain pada fasa kegelapan teramat sedikit atau hampir tiada.

Hanya manuskrip tulisan Nennius saja memberitahu penyatu rakyat Britain adalah Arthur. Tapi masalah lain pula terjadi iaitu Nennius tidak pernah menulis latar belakang dan sejarah kepahlawanan Arthur ini.

MENCARI KOTA TINGGALAN ARTHUR

Tinggalan istana Tintagel, dipercayai merupakan kota kelahiran raja Arthur.

Kumpulan ahli arkeologi England buat masa ini telah menemui tinggalan istana Tintagel berusia 1,500 tahun dulu di barat daya England. Dengan perkaitan tarikh dan lokasi tinggalan istana itu, berkemungkinan besar istana Tintagel adalah tempat raja Arthur dilahirkan.

Ini bertepatan dengan manuskrip bernama The History of the Kings of Britain, karya milik paderi British bernama Geoffrey of Monmouth, di mana Arthur tinggal di istana yang berangin dan bertempat di tebing pantai, berdekatan dengan perkampungan Tintagel, Cornwall.

Ayahanda Arthur iaitu Uther Pendragon jatuh hati kepada Igraine iaitu bangsawan Cornwall namun risau bakal isterinya tidak menerima Uther yang tidak mengikut cita rasanya. Merlin kemudian memberikan cecair sihir kepada Uther untuk menukarkan dirinya sebagai lelaki idaman Igraine, kemudian menjadi suami isteri tinggal di istana Tintagel. Hasil perkahwinan mereka, lahirnya Arthur di dunia.

Tinggalan kota Viroconium. Disyaki bahawa inilah kota Camelot sebenar.

Penemuan kota seterusnya adalah kota berdinding Viroconium, berdekatan kota Shrewsburry di tengah Britain. Kota yang dibina pada sekitar tahun 500 adalah kota terbesar dan mempunyai pertahanan tentera yang kukuh. Dalam kota berdinding juga terbinanya rumah agam untuk bangsawan berkelas tinggi atau diraja.

Dengan kota yang pernah menjadi kubu pertahanan pada akhir abad ke-5 Masihi, berkemungkinan kota itu terletaknya istana milik Arthur Pendragon, pahlawan penyatu orang British menghalau tentera Anglo-Saxon. Maka, Camelot sebenar adalah Viroconium.

Namun ini hanya tekaan saja sebab Nennius pernah rekodkan bahawa Arthur pernah berperang sebanyak 12 kali di pelbagai kota orang British. Mungkin juga Camelot sebenar adalah kota selain Viroconium atau istana kelahiran Arthur bukanlah Tintagel.

USAHA MENEMUKAN ARTHUR SEBENAR

Dalam memelihara sejarah Arthur, adalah penting untuk menapis mana-mana sumber yang berkait. Kisah Excalibur di mana pedang suci milik Arthur itu dibuang dalam tasik yang dijaga oleh penjaga tasik bernama Lady of the Lake pada mulanya hanya dongeng semata.

Namun kumpulan ahli arkeologi menemui pelbagai senjata dibuang dalam kebanyakan tasik yang dianggap suci sekitar Britain sebagai kepercayaan kuno untuk memohon hajat. Berkemungkinan besar Arthur membuang pedangnya adalah benar, demi meminta kesembuhan dari cedera teruk oleh peperangan.

Watak Merlin sebagai penasihat raja Arthur juga tidak mustahil wujud kepada pada abad ke-5 Masihi penasihat diraja ini dipanggil sebagai bard: pemuisi dan juga bertugas sebagai bomoh yang mempunyai ilmu perubatan berkenaan tumbuhan. Mungkin juga Merlin memberikan ubat halusinasi seperti ‘cendawan magik’ kepada Igraine supaya membayangkan Uther sebagai lelaki idamannya.

Setakat ini, para arkeologi British masih giat melakukan ekskavasi di Tintagel. Tinggalan istana Tintagel sekarang ini sebenarnya dibina pada abad ke-12 Masihi, 600 tahun lewat dari tahun raja Arthur hidup. Namun tarikh tinggalan ini tidak mematahkan semangat ahli arkeologi untuk menggali lagi, mencari tinggalan lama di sebalik tinggalan istana Tintagel ini.

Keputusannya, mereka menemui artifak berharga berupa tembikar, seramik, dan kaca yang dimiliki oleh seseorang yang kaya atau orang yang penting pada tahun 500. Berkemungkinan artifak-artifak tersebut milik bonda Arthur.

Sekarang, kita tunggu masa saja untuk kumpulan penyelidik arkeologi British ini membongkar penemuan-penemuan berkait kisah lagenda Arthur, seterusnya mengesahkan bahawa raja Arthur, penyatu orang asal British adalah wujud.

RUJUKAN:

Phillips, G. (4 August 2020). Archaeologists May Have Discovered the Birthplace of King Arthur: Legends Come to Life? Ancient History. Retrieved from 14 September 2020. https://www.ancient-origins.net/…/archaeologists-may-have-d…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.