Bukan sedikit lukisan atau ukiran yang dihasilkan pada zaman purba meninggalkan kita dengan tanda tanya. Antaranya, termasuklah imej yang kelihatan seakan-akan beg tangan. Imej sedemikian muncul dalam pelbagai tamadun; baik Sumeria (Iraq), Göbekli Tepe (Turki), Maori (New Zealand), dan Olmec (Amerika Tengah).
Setakat yang diketahui, beg tangan paling tua yang pernah dijumpai adalah milik Ötzi si Lelaki Ais (Ötzi the Iceman) yang hidup di Pergunungan Ötztal sekitar 5,300 tahun dahulu.
Bagaimanapun, ilmuwan kurang meyakini imej yang dijumpai pada lukisan dinding dan ukiran batu di serata dunia benar-benar merujuk kepada beg tangan. Hal ini kerana imej tersebut bukan sekadar dibimbit oleh manusia, tetapi juga oleh dewa-dewi dan makhluk-makhluk mitologi (adakalanya ia muncul sebagai objek tunggal).
Jadi, imej yang dimaksudkan ini bukanlah tentunya beg tangan. Ia dipanggil sedemikian kerana bentuknya kelihatan seperti beg tangan yang kita kenali pada hari ini. Secara umum, imej tersebut mempunyai pemegang berbentuk lengkung dan bahagian bawahnya pula berbentuk segi empat tepat – selain perbezaan kecil pada perincian tekstur dan corak.
Sehingga kini, pendapat yang paling diterima dalam kalangan ilmuwan adalah imej tersebut mewakili pandangan masyarakat purba terhadap bentuk alam semesta, sebagaimana yang diterakan pada gambar di atas.
Imej separa bulat atau melengkung (yang seakan-akan tali beg) mewakili hemisfera langit. Manakala tapak yang berbentuk petak pula mewakili bumi.
Dalam tamadun-tamadun purba, imej bulat sememangnya sering dijadikan simbol bagi konsep kerohanian atau nir-bendawi. Imej petak pula dikaitkan dengan konsep bumi dan bendawi. Oleh kerana itu, imej tersebut diandaikan sebagai simbol penyatuan antara langit dan bumi, atau antara elemen bendawi (jasmani) dan nir-bendawi (rohani).
Antara ukiran beg tangan terawal yang boleh dijumpai adalah ukiran pada runtuhan Göbekli Tepe yang terletak di tenggara Turki. Göbekli Tepe merupakan salah sebuah kompleks kuil tertua pernah ditemui, dengan usianya menjangkau sehingga 11,000 SM.
Fungsi sebenar binaan tersebut masih belum diketahui. Namun setakat ini, ahli arkeologi berpandangan yang ia digunakan sebagai tapak bagi menjalankan ritual kor-ban lantaran banyak tulang haiwan dijumpai di sana. Dinding dan tiang-tiang batu di kuil tersebut turut dihiasi dengan ukiran haiwan, dewa-dewi, dan makhluk-makhluk mitos. Termasuklah juga motif yang diukir di situ ialah tiga imej yang seakan-akan beg tangan.
Imej serupa turut muncul pada relif batu dalam tamadun Assyria (sekitar 880-859 SM) dan tamadun Olmec (sekitar 1200-400 SM), sebagaimana yang dipaparkan pada gambar utama. Dalam kedua-dua relif berkenaan, ‘beg tangan’ tersebut dibimbit oleh seseorang individu – sama ada manusia mahupun dewa-dewi. Bagi imej beg tangan Assyria, ia dipercayai mengandungi habuk ajaib manakala bagi tamadun Olmec pula, ia dipenuhi dengan herba-herba mengkhayalkan.
Imej beg tangan dalam tamadun Mesir Purba pula sedikit berbeza. Ia lebih dikenali sebagai ankh, iaitu simbol hieroglif yang kebiasaannya digunakan bagi mewakili perkataan ‘hidup’. Lebih menjurus, ia dikaitkan dengan kehidupan selepas mati.
Sementara itu dalam mitos Maori di New Zealand, ada diceritakan tentang seorang wira (versi lain, Tane si dewa hutan) yang naik ke langit menemui dewa-dewi lalu kembali ke bumi dengan membawa tiga bakul yang dipenuhi dengan hikmah atau kebijaksanaan. Ilmuwan meyakini yang mitos ini berkongsi makna simbolik dengan imej beg tangan di Göbekli Tepe; iaitu tanda kesyukuran terhadap kurniaan ilmu pengetahuan yang diturunkan dari langit.
Ringkasnya, imej-imej sedemikian melambangkan pegangan tamadun-tamadun purba berkaitan penciptaan alam semesta. Penerapannya sebagai suatu barangan seharian seperti beg tangan ataupun bakul seakan-akan mengisyaratkan betapa mereka cuba menyebatikan nilai kosmologi tersebut dalam kehidupan harian.
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (25 Januari 2017). What is the Mysterious Handbag Seen in Ancient Carvings Across Cultures and Countries? Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih