Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membuka kepada pintu permusuhan melainkan hanya untuk menambahkan sedikit kekurangan yang terkandung dalam ciapan saudara tersebut.
Tidaklah kesemua yang dinyatakan itu salah, namun ada sedikit ralat yang seandainya tidak kita perbetulkan maka ia akan mengundang kekeliruan kepada orang ramai. Perkara pertama yang ingin saya sentuh ialah berkenaan dengan maksud tersirat di sebalik perkataan ‘pelarian’ itu sendiri.
Dalam artikel ini saya tidak berhasrat untuk menceritakan peristiwa hijrah mengikut kronologi secara satu per satu. Para pembaca boleh mengetahui berkenaan perkara ini dalam naskah tulisan saya yang berjudul Muhammad : Dakwah dan Diplomasi. Melalui tulisan dalam buku tersebut, saya menceritakan perjalanan hijrah secara terperinci.
Saya setuju jika dikaitkan hijrah Nabi Muhammad SAW dengan pelarian Rohingya itu sebagai satu proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Itu merupakan fakta yang tidak dapat disangkal lagi kerana dari sudut bahasa, hijrah memang bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Saya juga menyuarakan persetujuan saya apabila mengaitkan hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sama seperti pelarian Rohingya dalam meminta perlindungan dan bantuan.
Konsep ‘lari’ yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bukanlah sembarangan pelarian dan migran. Memang benar bahawa Nabi Muhammad SAW berpindah ke Habsyah kerana tidak tahan terhadap intimidasi dan penindasan kaum kafir Quraisy Mekah, tidak tahan terhadap siksaan yang dikenakan terhadap Baginda dan umat Islam yang lain. Perkara ini tidak menyalahi perbuatan etnik Rohingya yang lari dari tanah asal mereka kerana tidak tahan menerima penindasan dan siksaan di sana lantas meminta perlindungan daripada negara lain.
Jika ditilik secara zahirnya, maka memang benar dan sudah terang lagi bersuluh bahawa itulah yang berlaku. Namun, saudara tersebut terlupa untuk menyelitkan perkara yang fundamental, yang menjadi tujuan tersirat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Perpindahan atau penghijrahan yang dilakukan oleh Baginda merupakan strategi kepada penyebaran dakwah Islam dan menjadi titik mula tersebarnya sayap Islam secara meluas.
Ingin saya tekankan bahawa istilah ‘lari’ yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah lari dari medan perang namun istilah yang digunakan adalah refugee. Beliau juga turut menggunakan istilah ini dengan mendatangkan definisi refugee daripada Konvensyen Pelarian UN 1951 dalam artikel 1.A (2) iaitu,
“Owing to well-founded fear of being persecuted for reasons of race, religion, nationality, membership of a particular social group or political opinion, is outside the country of his nationality and is unable or, owing to such fear, is unwilling to avail himself of the protection of that country; or who, not having a nationality and being outside the country of his former habitual residence as a result of such events, is unable or, owing to such fear, is unwilling to return to it.”
Menurut saya, perkaitan ‘pelarian’ Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dengan definisi di atas mengandungi sedikit ralat. Memang benar, mereka keluar dari Kota Mekah kerana tidak tahan terhadap siksaan dan penindasan serta ingin menjaga keselamatan nyawa, namun adakah benar bahawa Nabi Muhammad SAW tidak bersetuju/berkeinginan untuk membalas kebaikan orang yang telah melindunginya (is unwilling to avail himself of the protection of that country)?
Tidak benar! Bahkan sebelum Baginda berhijrah ke Habsyah, Nabi Muhammad SAW telah mengirimkan surat berserta utusan (Ja’afar bin Abi Thalib) kepada Raja Najasyi untuk memeluk agama Islam, mentauhidkan Allah SWT serta mengakui bahawa Bagindalah utusan Allah.
Bukankah ini sebagai satu bentuk balasan baik dan perkhidmatan? Nabi Muhammad SAW menawarkan Raja Najasyi jalan keluar kepada kekufurannya, menunjukkan jalan kebenaran bagi menyelamatkannya daripada murka dan siksa Allah SWT. Bukankah ini sebagai satu bentuk kesudian untuk membantu?
Persoalannya di sini, bagaimana pula keadaan yang berlaku dalam kalangan pelarian Rohingya ini? Adakah ketua mereka menyampaikan mesej dan dakwah terlebih dahulu kepada para pemimpin negara ‘tumpangan’ mereka untuk beriman dan menyembah Allah SWT sebelum meminta bantuan? Kalau tidak ada, jadi saya kira istilah ‘pelarian’ sama seperti etnik Rohingya dan segala etnik pelarian yang lain tidak sesuai digunakan terhadap penghijrahan Nabi Muhammad SAW.
Perkara ini juga dapat dibuktikan apabila Nabi Muhammad SAW menjadikan Yathrib (Madinah) sebuah negara Islam (daulah Islamiyah) dan menjadi peimpin di situ. Bukankah ini juga merupakan satu bentuk balas budi dan berjasa yang sangat besar? Adakah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Yathrib semata-mata hanya menginginkan perlindungan nyawa dan keselamatan?
Tidak! Melainkan tujuan Baginda berhijrah ke sana semata-mata untuk menegakkan syiar Islam dan menjadikan Yathrib sebagai tempat penyebaran Islam yang utama. Di sini dengan jelas sekali menunjukkan kesudian Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk memulakan sesuatu yang baru di Yathrib, menggantikan kebiasaan lama yang menggugat keamanan serta keselesaan penduduk di sana.
Kemudian, jika kita teliti definisi di atas, ada satu lagi kejanggalan yang menyebabkan penyamaan antara penghijrahan Nabi Muhammad SAW dengan pelarian Rohingya tidak sesuai digunakan. Adakah benar bahawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak mempunyai serta tidak diakui kerakyatan mereka (not having a nationality)?
Tidak benar! Hal ini demikian kerana, sewaktu Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berhijrah, masih melekat identiti rakyat Kota Mekah pada diri mereka. Bahkan, kerakyatan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat masih diakui oleh kaum kafir Quraisy Mekah yang memusuhi mereka.
Ini dapat dibuktikan apabila kaum kafir Quraisy Mekah menghantar utusan mereka menghadap Raja Najasyi agar meminta beliau untuk tidak mengizinkan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat tinggal di Habsyah dan memulangkan mereka semula ke Kota Mekah.
Bukankah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda? Adakah kerajaan Myanmar menuntut supaya masyarakat Rohingya dipulangkan semula ke negara asal mereka? Jadi, dapat saya simpulkan di sini bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW tidak sesuai disamakan dengan pelarian Rohingya secara total.
Saya petik juga maksud pelarian atau refugee yang dikupas oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (Office of the United Nations High Commissioner for Refugees, UNHCR). Organisasi tersebut mendefiniskan pelarian sebagai,
“A refugee is someone who has been forced to flee his or her country because of persecution, war or violence. A refugee has a well-founded fear of persecution for reasons of race, religion, nationality, political opinion or membership in a particular social group. Most likely, they cannot return home or are afraid to do so. War and ethnic, tribal and religious violence are leading causes of refugees fleeing their countries.”
Sekali imbas, maksud refugee tersebut kelihatannya tidak ada sebarang kesalahan. Namun, jika diamati dengan cermat maka akan didapati sedikit keralatan yang menyebabkan istilah ‘pelarian’ kurang sesuai disamakan dengan penghijrahan Nabi Muhammad SAW. Hal ini demikian kerana, definisi di atas menyebutkan bahawa pelarian ialah mereka yang tidak dapat pulang ke rumah (negara asal) atau takut untuk melakukannya (pulang ke negara asal).
Sedangkan, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, kaum kafir Quraisy Mekah telah menghantar utusan menghadap Raja Najasyi bagi menuntut kembali penduduknya. Ini bermakna, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dibenarkan untuk pulang ke tanah asal mereka. Namun begitu, mereka memilih untuk tinggal di Habsyah.
Malahan, mereka juga tidak merasa takut dan gentar untuk pulang ke Kota Mekah. Sebaliknya, semangat mereka berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke Kota Mekah untuk menyebarkan dakwah dan mengukuhkan kekuatan Islam. ini dibuktikan apabila Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terlibat dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah.
Mereka ingin dan telah berjaya pulang ke tempat asal mereka, tidak sama seperti istilah pelarian di atas. Namun begitu, mereka terpaksa menangguhkan keinginan mereka dengan berhijrah di Habsyah dan Madinah bagi mengumpulkan kekuatan dan inilah yang dikatakan bahawa penghijraran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat merupakan satu strategi penyebaran dakwah yang unggul.
Dr. Ramadhan al-Buthy menyebutkan bahawa strategi ini amat penting kerana Islam tidak akan disebarkan apabila tidak mempunyai kekuatan yang cukup. Kekuatan Islam bergantung kepada kekuatan pengikutnya.
Selain keutuhan hati dan akidah, kekuatan fizikal juga perlu diambil kira. Justeru, menjaga keselamatan nyawa amatlah perlu dititikberatkan dalam keadaan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tersiksa dan dipulau. Oleh yang demikian, hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW merupakan satu langkah yang sangat bijak dalam melangsungkan penyebaran dakwah Islam di samping menjaga kemaslahatan umatnya.
Mungkin, para pembaca tertanya-tanya, jika istilah ‘pelarian’ tidak sesuai digunakan lantas apa yang sesuai? Tidak dinafikan bahawa perkataan tersebut mendatangkan konotasi yang agak negatif kepada kita seperti pengecut dan lari dari medan perang.
Tetapi, kehilangan makna yang berlaku (lost of translation) menyebabkan tidak ada istilah moden yang tepat untuk menggambarkan keadaan tersebut (Amirul Mukminin, 2020). Namun harus diingat bahawa Nabi Muhammad SAW memang berpindah dari satu tempat ke satu tempat, cuma perpindahan itu bukan bermaksud pengecut atau ingin menyelamatkan diri sendiri mahupun meminta perlindungan nyawa semata.
Intihanya, saya merasakan tidak salah jika disamakan hijrah Nabi Muhammad SAW dengan pelarian Rohingya dalam konteks menyelamatkan nyawa dan keselamatan penganutnya. Harus diakui bahawa ada kebenarannya di situ.
Namun, saya berpendapat bahawa tidak sewajarnya ditinggalkan mesej yang tersirat daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW iaitu ingin menyampaikan dakwah dan mengukuhkan lagi kedudukan serta kekuatan agama Islam. Inilah – saya kira – isi yang tertinggal dalam ciapan saudara tersebut.
ASAS PEMBANGUNAN ISLAM.
Hujah saya yang berikut ini merupakan kesinambungan terhadap hujah sebelum ini. Konteks hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bukanlah semata-mata ingin lari daripada kekejaman dan menyelamatkan nyawa mereka. Bahkan, sebenarnya tujuan hijrah Baginda adalah lebih daripada itu. Dalam hujah sebelum ini, telah saya nyatakan bahawa hijrah bertujuan untuk menyebarkan dan mengembangkan lagi ajaran Islam. Bermakna, peristiwa hijrah merupakan asas kepada pembentukan agama Islam yang lebih luas dan kukuh kedudukannya.
Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana banyak berlakunya peristiwa yang menjadi pilar-pilar asas kepada pembentukan agama Islam. Pilar Islam yang pertama adalah termeterainya Perjanjian/Bai’ah Aqabah pertama dan kedua. Kedua-dua perjanjian ini mempunyai fungsi dan implikasi yang tersendiri terhadap umat Islam pada zaman tersebut. Bai’ah pertama berfungsi sebagai pencetus kepada mekarnya bibit-bibit Islam dalam sanubari penduduk di Yathrib.
Apabila 12 orang lelaki dari Yathrib telah berbai’ah dengan Nabi Muhammad SAW, mutiara-mutiara Islam ini pulang ke tempat asal mereka diiringi oleh utusan Baginda iaitu Mus’ab bin ‘Umair al-‘Abdari RA serta sepupu Baginda iaitu Ummu Maktum. Mereka pulang dengan menggalas tanggungjawab yang besar untuk menyebarkan ajaran agama Islam. Malahan, Mus’ab RA telah ditugaskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk mengajarkan al-Quran kepada penduduk Yathrib dan beliau telah mengislamkan pemimpin dalam kalangan suku ‘Auz dan Khazraj yang pada awalnya sangat kuat menentang Islam, iaitu Sa’ad bin Mu’az RA.
Berkat islamnya pemimpin yang berpengaruh itu, maka ramailah penduduk Yathrib yang mengikut jejak langkah Sa’ad bin Mu’az RA. Bai’ah Aqabah pertama menunjukkan perancangan dakwah yang sangat teliti telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berjaya meniupkan roh Islam ke dalam jiwa penduduk Yathrib bahkan sebelum Baginda menjejakkan kaki ke sana lagi.
Bai’ah Aqabah yang pertama menunjukkan bahawa akhirnya setelah 11 tahun berdakwah, bermandi darah dan bertemankan lelah, Nabi Muhammad SAW berjaya menyampaikan serta menyuburkan Islam kepada umat manusia. Walaupun Baginda menghadapi keterasingan dan siksaan daripada kaum sendiri, namun berkat keizinan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW berjaya menyampaikan Islam kepada penduduk di Yathrib.
Bai’ah Aqabah pertama menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW berjaya mengukuhkan jati diri, pemikiran serta akidah kader-kader dakwah yang kelak bakal menyampaikan Islam tersebut. Pada Bai’ah Aqabah kedua pula menunjukkan bahawa 12 orang yang terlibat dalam Bai’ah Aqabah pertama berpegang pada kata-kata dan janji apabila mereka hadir semula pada musim haji berikutnya dengan membawa ramai lagi ‘saudara baru’.
Sifat menjaga rahasia yang diamalkan oleh 12 orang tersebut merupakan strategi dakwah yang efektif demi melindungi kemaslahatan diri serta dakwah Islam itu sendiri. Anda boleh baca tentang peristiwa yang terjadi dalam kedua-dua Bai’ah Aqabah dalam buku saya, Muhammad : Dakwah dan Diplomasi. Pemilihan 12 orang tersebut sebagai naqib adalah bertujuan untuk melicinkan perjalanan dakwah Islam. Akhirnya, apabila mereka ini pulang ke Yathrib berbekalkan kefahaman Islam yang jitu, berkembanglah agama Islam dengan lebih pesat.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak dijemput untuk datang ke Yathrib. Bahkan, tidak disebut pun dalam Bai’ah Aqabah kedua berkenaan tentang jemputan Baginda ke sana. Memang benar, tiada pun perkataan ‘jemputan’ itu yang terkandung dalam Bai’ah Aqabah kedua, namun bukankah Nabi Muhammad SAW telah menghantar Mus’ab bin ‘Umair dan sepupunya ke sana? Perkara ini bertujuan untuk meninjau penerimaan dan meyakinkan penduduk Yathrib tentang agama Islam yang akhirnya mereka pun menerima Islam.
Mereka sudah menerima Islam, bukankah satu kemusykilan sekiranya mereka tidak mahu menemui sendiri insan yang menimbulkan perasaan cinta terhadap Islam? Tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan bahawa penduduk Yathrib memang menanti-nantikan kehadiran Nabi Muhammad SAW yang telah memperkenalkan Islam kepada mereka dan sebenarnya ini merupakan satu bentuk ‘jemputan’ kepada Baginda.
Pilar Islam seterusnya yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah adalah dengan pembinaan masjid. Setelah sampai ke Madinah, tiga perkara yang telah Nabi Muhammad SAW lakukan sebagai langkah pembentukan satu kerajaan Islam. Pertama, Baginda mendirikan masjid pertama umat Islam iaitu Masjid Quba. Masjid ini berfungsi sebagai wadah yang menghubungkan hamba dengan Sang Pencipta di samping sebagai medium untuk mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama umat Islam. Malah, masjid juga dijadikan sebagai pusat penyebaran ilmu pada waktu itu.
Langkah kedua yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW adalah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Baginda berjaya mengikat dua golongan yang pada asalnya berbeza pemikiran ini dengan satu ikatan akidah yang sama. Perkara ini secara langsung dapat membentuk satu komuniti masyarakat yang saling membantu dan beradab sesama sendiri. Umat Islam yang bersatu padu dan mempunyai ikatan persaudaraan yang kukuh mampu mencerminkan gambaran baik tentang Islam dan akhirnya menarik minat orang bukan Islam untuk mendalami Islam.
Langkah seterusnya yang saya kira sangat besar impaknya adalah dengan wujudnya Perjanjian/Piagam Madinah. Anda boleh baca kandungan Piagam Madinah di buku saya. Wujudnya piagam ini merupakan perkara yang sangat besar impaknya kepada keseluruhan penduduk Madinah. Selain mengukuhkan persaudaraan Muhajirin dan Ansar serta hukum tertinggi adalah al-Quran dan al-Sunah, Piagam Madinah juga mewujudkan persefahaman antara golongan Yahudi dan umat Islam di Madinah.
Penduduk di Madinah sudah lama bergelumang dalam konflik dan pergelutan lebih-lebih lagi dengan golongan Yahudi. Jadi, dengan adanya Piagam Madinah ini keselamatan dan keamanan mereka terjamin. Ini sekaligus mencerminkan bahawa Islam adalah agama yang bertepatan dengan fitrah manusia, iaitu cintakan kedamaian dan kemakmuran. Maka, apabila dilihat daripada kesemua langkah yang telah Nabi Muhammad SAW laksanakan tersebut, tidak salah sekiranya saya mengatakan bahawa penduduk Madinah memang telah lama menantikan kedatangan Baginda dan ini merupakan bentuk ‘jemputan’ kepada Baginda dan para sahabat.
Bahkan, kedatangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat disambut dengan sangat meriah sekali. Imam Bukhari RA dan Imam Muslim RA meriwayatkan perihal penduduk Madinah tatkala menyambut kehadiran Baginda,
“Penduduk Madinah masing-masing memegang tali unta pegangan Nabi Muhammad SAW dan mengajak Baginda untuk tinggal di kediaman mereka. Masing-masing mendakwa kampung mereka kuat dan sedia mempertahankan Baginda dalam apa-apa jua keadaan sekalipun. Namun, Baginda mengarahkan supaya dibiarkan untanya berjalan ke mana-mana sahaja yang diingininya. Sesungguhnya, unta tersebut telah diperintahkan oleh Allah SWT.”
Persoalannya, jika benar Baginda tidak dijemput, mengapa Nabi Muhammad SAW menerima sambutan yang sangat hangat dan meriah? Persoalan seterusnya, adakah langkah-langkah seperti di atas dilaksanakan oleh para pelarian? Kalau tidak ada, maka konteks pelarian tidak wajar disamakan dengan hijrah Nabi Muhammad SAW kerana sekali lagi saya tekankan, hijrah Baginda bukan sekadar hanya untuk lari daripada kegansan serta menyelamatkan nyawa.
KALENDAR ISLAM.
Di samping menjadi asas kepada pembentukan negara Islam dan pemangkin kepada tersebarnya dakwah, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW juga memberikan impak yang sangat signifikan dalam agama Islam iaitu bermulanya penggunaan calendar Hijriah.
Bukanlah niat saya di sini untuk memperlekeh apatah lagi memperkecilkan pelarian dan mengatakan bahawa mereka tidak penting. Justeru seperti yang telah saya katakan tadi, bahawasanya mereka wajar dan wajib untuk kita – sebagai umat Islam dan sebagai manusia biasa – membantu mereka dan bersikap baik serta tidak prejudis terhadap mereka.
Namun perkara yang ingin ditekankan di sini adalah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bukanlah peristiwa ‘lari’ sembarangan yang semata-mata ingin menyalamatkan nyawa melaikan hijrah Baginda merupakan permulaan besar dan penting terhadap agama Islam itu sendiri. Bayangkan sekiranya perstiwa hijrah tersebut tidak berlaku, sudah tentu umat Islam tidak mempunyai sistem tarikhnya sendiri dan amat sukar untuk menentukan tarikh-tarikh penting untuk perayaan atau ibadah misalnya.
Namun, sekiranya etnik Rohingya (atau pelarian negara lain) tidak menjadi pelarian, perkara tersebut tidak memberikan impak yang sangat besar terhadap agama Islam. Malah mungkin akan menjadi lebih baik keadaannya. Di sini sudah terang lagi bersuluh bahawa penghijrahan Nabi Muhammad SAW tidak wajar disamakan dengan pelarian Rohingya sekiranya hanya dikaitkan dengan menyelamatkan nyawa dan lari daripada kekejaman.
DIPLOMASI.
Antara sebab lain yang menjadi hujah bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW itu tidak sesuai disamakan sepenuhnya dengan pelarian Rohingya adalah peristwia hijrah mencerminkan kecerdikan Baginda sebagai seorang pemimpin. Baginda bijak dalam berurusan dan berdiplomasi dengan Raja Najasyi bagi memastikan keselamatan orang-orang bawahannya.
Buktinya, semua umat Islam yang berhijrah ke Habsyah selamat dan tiada seorang pun yang terkorban nyawanya. Begitu juga dengan persitiwa hijrah ke Madinah, ia menunjukkan betapa bijaknya Nabi Muhammad SAW dalam menetapkan tapak untuk Islam itu berdiri dengan kukuh serta menjamin keamanan buat umat sejagat.
Nah, bagaimana pula yang terjadi kepada pelarian Rohingya? Tidak dinafikan bahawa ada dalam kalangan mereka yang berjasa kepada keadaan aman di negara Malaysia. Mereka juga mempunyai perkampungan bahkan saya juga pernah mendengar ada dalam kalangan mereka (di kawasan tempat tinggal saya) menjadi imam dan bilal di sebuah surau.
Alhamdulillah! Perbuatan ini sewajarnya dipuji kerana mereka menjaga keamanan negara kita. Tetapi, adakah semua itu merupakan perkara asas dan utama dalam kelangsungan agama Islam? Cuba bayangkan Nabi Muhammad SAW tidak berdiplomasi dengam Raja Najasyi dan peristiwa hijrah tidak berlaku, adakah kita (dan etnik Rohingya) mampu mengecapi nikmat Islam sehingga ke hari ini? Renungkan.
DISEBUT DALAM AL-QURAN.
Hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan satu peristiwa yang sangat besar dan istimewa kerana hijrah Baginda adalah suruhan terus daripada Allah SWT bahkan kisahnya pun dirakamkan terus dalam kitab suci al-Quran. Allah SWT telah menghikayatkan kisah yang agung tersebut mafhumnya,
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(al-Taubah, 40)
Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama sebelumnya adalah Yathrib sehinggakan baginda SAW terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu. Antara perkara lain yang boleh difahami menerusi ayat di atas adalah perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Nabi SAW. Maka dengan sebab itu, Allah SWT perintahkan Nabi SAW agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.
Bahkan, peristiwa hijrah juga dirakamkan melalui hadis-hadis. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Ibn Abbas RA mengatakan,
“Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” (Riwayat al-Bukhari, 3902)
Nah, sekarang cuba tunjukkan di mana kisah pelarian Rohingya disebutkan dalam al-Quran? Ya, memang benar bahawa mereka juga berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sama halnya seperti Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Tetapi, bukankah itu sekadar mengambil pengajaran terhadap apa yang telah disebutkan? Sekiranya hijrah Nabi Muhammad SAW tidak terjadi, adakah mereka juga akan berpindah dari negara asal?
Maksudnya di sini, hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan satu pengajaran yang sangat besar dan perlu diambil hikmah serta ibrahnya supaya umat pada hari ini berubah kea rah yang lebih baik. Hal ini demikian kerana, hijrah Baginda bukanlah sekadar berbentuk menyelamatkan nyawa dan meminta perlindungan bahkan ia lebih besar daripada itu.
KESIMPULAN.
Usaha murni yang ditunjukkan pemilik ciapan tersebut dalam menyemarakkan kesedaran untuk berbuat baik terhadap pelarian Rohingya dan tidak bersikap prejudis terhadap mereka wajar diberikan pujian.
Kerana hak saudara sesama Islam adalah membantu mereka tatkala kesusahan dan sentiasa bersangka baik terhadap mereka. Namun demikian, untuk menyamakan sepenuhnya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dengan pelarian Rohingya adalah tidak wajar kerana peristiwa hijrah terkandung padanya pelajar dan mesej yang besar buat umat Islam keseluruhannya.
Sesungguhnya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang berlaku 1439 tahun dahulu adalah satu titik tolak asas dan penting kepada proses kesempurnaan agama Islam. Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW bermula di Mekah. Ia tidak sempurna hanya sekadar berada di Makkah, tetapi ia menjadi satu syariat yang lengkap setelah berlaku peristiwa Hijrah. Setelah berangkatnya Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Yathrib, mereka bukan semata-mata membawa diri, jasad, jasmani dan fizikal berada di Yathrib, bahkan juga membawa fikrah, akidah dan syariat.
Setelah 13 tahun Nabi Muhammad SAW berada di Mekah, seterusnya disempurnakan 10 tahun berada di Madinah, maka lengkaplah syariat Islam. Lalu Allah SWT menurunkan ayat-Nya ke atas Nabi Muhammad SAW sebelum diwafatkan Baginda.
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(al-Ma‘idah: 3)
Semoga kita semua dikurniakan kefahaman yang baik terhadap agama Allah SWT yang murni ini dan dianugerahkan sayang serta cinta terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Semoga di akhirat kelak kita sama-sama dibangkitkan di samping kekasih Allah SWT yang paling mulia itu.
Wallahu Ta’ala A’lam.
RUJUKAN:
- Mustafa al-Syibai’e. (2002). Al-Sirah al-Nabawiyah : Tarbiyatul Ummah Wabana’ul Daulah. Damsyik : Maktabah al-Islami.
- Said Ramadhan al-Buthy. (2009). Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah Ma’a Mujaz Litarikh al-Khilafah al-Rasyidah. Damaskus : Darul Fikr.
- Said Ramadhan al-Buthy. (cetakan kedua 2017). The Greatest Episodes of Muhammad SAW : Menghayati Islam dari Fragmen Kehidupan Rasulullah SAW. Jakarta Selatan : Noura.
- Arep Jawa. (2019). Muhammad : Dakwah dan Diplomasi. Kuala Lumpur : Patriots Publication.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (10 Januari 2018). Tahqiq Al-Masail Siri Ke-6: Pelbagai Isu Berkaitan Hijrah Dan Inilah Jawapannya. Boleh didapati di, https://muftiwp.gov.my/artikel/tahqiq-al-masail/2239-tahqiq-al-masail-siri-ke-6-pelbagai-isu-berkaitan-hijrah-dan-inilah-jawapannya.com
- Abu Basyer. (6 Disember 2010). Menghayati Konsep Hijrah Nabi Muhammad SAW. Boleh didapati di, https://www.m.facebook.com/notes/in-a-relationship-with/menghayati-konsep-hijrah-nabi-muhammad-saw/149527995095307.com
- Harakah Daily. (13 Oktober 2017). Hijrah Asas Proses Kesempurnaan Islam. Boleh didapati di, https://harakahdaily.net/index.php/2017/10/13/hijrah-asas-proses-kesempurnaan-islam.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih