Sebelum itu, penulis ingin menyatakan bahawa penulis bersetuju bahawa Mustafa Kemal Ataturk adalah sebahagian daripada sejarah Turki yang kaya, namun tidak semua tokoh bersejarah dalam mana-mana tamadun sekalipun adalah sempurna dan pasti ada cacat cela dalam pemerintahan mereka.
Tetapi kita sebagai peminat sejarah wajib berfikiran terbuka untuk memberi atau menerima sebarang kritikan dan kita mesti membicarakannya tanpa menyinggung perasaan orang lain. Bagi majoriti rakyat Turki, Mustafa Kemal masih tetap seorang pahlawan atau bapa kemerdekaan Turki.
Jadi penulis berharap semua orang boleh meletakkan diri sendiri di tempat mereka kerana niat kita bukan untuk menyinggung perasaan atau menyakiti orang lain, tetapi sekadar mengulas isu politik di negara orang.
ATATURK ADALAH POLIS FESYEN
Larangan kerajaan Republik Turki untuk budaya pemakaian yang berorientasikan ciri-ciri keagamaan adalah terang-terangan berakar dari penubuhan negara Turki moden yang sekular.
Ketika penubuhan republik itu, Mustafa Kemal, memperkenalkan satu peraturan berpakaian yang terrancang untuk menjauhkan simbolik agama dari sistem pentadbiran dan perkhidmatan awam.
Peraturan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda reformasi yang mengubah hampir setiap aspek kehidupan masyarakat Turki, dari kod sivil, sistem abjad, sistem pendidikan hingga ke struktur integrasi sosial mengikut jantina.
Kod pakaian gaya barat pada masa itu, dikhaskan untuk kaum lelaki. Fez – sejenis topi pendek, berbentuk kerucut, berwarna merah, yang banyak mempengaruhi budaya bersongkok di Tanah Melayu, yang menjadi kod pakaian lelaki Uthmaniyyah sejak zaman Sultan Mahmud II menjadikannya sebahagian daripada pakaian rasmi kebangsaan pada tahun 1826, telah dimansuhkan.
Mustafa Kemal sendiri terkenal dengan kecenderungannya yang gemar memakai topi Panama untuk menterjemahkan minatnya terhadap gaya Eropah, ia disesuaikan dengan pemakaian baju kemeja, tali leher linen kelabu.
Semuanya jelas ketika dia melakukan program jelajah ke seuruh pelusuk negaranya pada musim panas tahun 1925 dengan tujuan untuk menjual idea barunya kepada penduduk Turki yang masih sangat kuat semangat konservatifnya.
Pada musim gugur, Rang Undang-undang Topi tahun 1925 diluluskan, ia menjadikan hiasan kepala lelaki gaya Eropah de rigueur (ketetapan wajib yang sesuai dengan peredaran masa) dan menghukum pemakai fez dengan hukuman penjara pada tempoh yang lama dengan khidmat masyarakat yang berat.
Sekularisme memperoleh kemenangan pertama dan terbesar terhadap dunia Islam pada 29 Oktober 1923, ketika Mustafa Kemal semakin berkuasa di Turki, dia secara sistematik telah meneruskan programnya untuk mempelopori idea sekular di negara Islam yang luar biasa itu.
Mustafa Kemal bermula dengan meletakkan pentadbiran untuk semua urusan agama, termasuk pendidikan agama, di bawah kendalian pemerintahannya. Kemudian pada tahun 1924, dia memerintahkan angkatan tentera dan penjawat awam memakai topi gaya Eropah, bukan lagi topi fez klasik Turki.
Tidak lama kemudian, undang-undang melarang pemakaian fez sepenuhnya diluluskan dan ia mewajibkan semua lelaki Turki memakai topi gaya Eropah. Pada 17 Februari 1926, undang-undang Syariah digantikan dengan undang-undang yang hampir sama dengan terjemahan kod Swiss.
Anehnya, Ataturk membiarkan wanita menentukan cara pemakaian mereka. Dia memberikan kebebasan kepada kaum wanita untuk memutuskan sendiri apakah mereka ingin menutup kepala mereka atau tidak, mungkin dia mengandaikan bahawa mereka akhirnya akan menanggalkan hijab ketika identiti Turki baru yang sekular itu dilaksanakan. Apa yang mengejutkan adalah begitu ramai wanita yang menyambut baik pelaksanaan sistem sekular gaya Ataturk itu.
PENGHAPUSAN ELEMEN ISLAMIK
Pada 9 April 1928, satu klausa dalam Perlembagaan Turki yang mengisytiharkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dihapuskan dan pendidikan agama Islam di sekolah dilarang.
Keputusan pada tahun 1928 juga turut menghapuskan sistem penulisan karakter Arab di mana ia digunakan untuk menulis bahasa Turki sebelum itu, ia digantikan dengan sistem tulisan dan abjad Romawi. Percubaan untuk membuang perkataan Arab dan Parsi dari bahasa Turki juga pernah dilakukan namun tidak pernah berjaya.
Setelah kem*tian Mustafa Kemal, undang-undang sekular diteruskan oleh para penggantinya. Pengaruh Mustafa Kemal sangat kuat hingga pengikutnya memperkenalkan satu ideologi baharu yang dikatakan lebih kuat daripada sekularisme itu sendiri iaitu Kemalisme.
Idea itu kekal berkuasa dalam menyerap pengaruh budaya Eropah, semuanya mesti mengikut cara barat termasuklah hari cuti hujung minggu dan sistem nama keluarga, tetapi ironinya, mereka langsung tidak menunjukkan minat dan teoritis dalam tradisi Eropah yang lain iaitu sistem demokrasi dan kebebasan bersuara. Ini bermakna, idea Kemalis hanya menerima pengaruh budaya Eropah mengikut selera yang menepati citarasa mereka sahaja.
Mustafa Kemal secara praktikalnya memerintah sebagai diktator dan para penggantinya akan terus memerintah di bawah sistem satu parti. Pihak pembangkang terus ditindas dengan tidak adil. Para pendokong Kemalis sentiasa menghalalkan cara mereka yang tidak demokratik itu dengan alasan tipikal yang sentiasa diulangi oleh rejim diktator yang lain: “rakyat masih belum bersedia untuk menerima demokrasi”.
Tetapi rakyat Turki sebenarnya telah bersedia untuk demokrasi. Pada tahun 1946, pemerintahan Kemalis diwajibkan untuk mengiktiraf sekurang-kurangnya satu parti pembangkang iaitu Parti Demokratik yang diasaskan oleh Celal Bayar, walaupun mereka kalah teruk dalam pilihan raya pertama tetapi berkuasa pada pilihanraya berikutnya.
Oleh kerana Turki telah menjadi lebih demokratik, peranan golongan Islamis mampu menonjolkan diri. Dewan Kebangsaan Turki kemudian meluluskan kewajiban kajian semula untuk memperkenalkan semula pendidikan Islam di sekolah.
Tetapi, pengaruh Kemalis masih terlalu kuat dan struktur golongan Islamis masih tidak teratur. Perbahasan di Dewan Kebangsaan hanya menghasilkan pengenalan semula pendidikan Islam selama dua tahun di sekolah rendah dan di luar waktu persekolahan biasa.
Kemalisme adalah produk berpenyakit yang dihidapi oleh budaya Turki pada awal abad itu. Ianya lahir dari kelemahan monarki dalam dinasti Uthmaniyyah sendiri, kegagalan memodenkan angkatan tentera dan faktor-faktor lain, budaya Turki telah kehilangan begitu banyak harga diri dan semangat.
Kemalisme berkembang melalui keadaan ini, iaitu ketika rakyat Turki berada dalam keadaan yang amat terdesak dan tiada pilihan lagi, mereka perlu menyokong Mustafa Kemal semasa tanahair mereka sedang diduduki British dan Perancis setelah mereka kalah dalam Per*ng Dunia Pertama dan itu lah sumbangan terbesar Mustafa Kemal iaitu bangkit melawan penjajahan dan memerdekakan Turki.
Namun tindakannya yang berusaha memotong Turki dari akarnya sudah tentulah memalukan. Tetapi jika mengikut sejarah mana-mana tamadun sekali pun, satu budaya itu tidak akan berkembang jika tidak menentang akarnya sendiri, budaya Melayu kita hari ini juga pernah menentang budaya nenek moyang kita sendiri yang berakar kepada budaya Hindu-Buddha sebelum kebangkitan Kesultanan Melaka memperkenalkan istilah Melayu sebagai sebuah bangsa dengan lebih umum.
Namun, tidak hairanlah mengapa setelah 80 tahun Turki masih perlahan dalam mencapai status negara maju, semuanya kerana tidak demokratik. Dahulu, sekiranya ada golongan intelektual atau wartawan yang mengkritik Mustafa Kemal, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun.
Pelajar wanita atau pensyarah boleh dibuang dari universiti kerana memakai tudung di tempat yang tidak sepatutnya, ini mungkin masih boleh difahami kerana larangan bertudung tidak berlaku pada zaman Ataturk tetapi ia hanya berlaku selepas cubaan rampasan kuasa pada tahun 1980an.
Setelah rampasan kuasa tentera Turki pada tahun 1980, pemakaian hijab telah dilarang oleh undang-undang untuk tempat-tempat tertentu. Tudung dilarang dipakai di pejabat-pejabat kerajaan, kawasan hospital, universiti, dan sekolah. Menjelang tahun 1980-an, isu ini telah menjadi konotasi politik yang panas.
Rasuah dan lain-lain bentuk korupsi adalah perkara biasa. Dari segi ekonomi, keadaan ekonomi negara Turki pada waktu itu adalah biasa-biasa saja namun Turki kekal ketinggalan dalam pembangunan teknologi sebagaimana gagalnya nenek moyang mereka zaman Uthmaniyyah, mereka masih jauh berada di belakang kebanyakan negara Islam dan Asia.
Solusinya ada pada rakyat Turki sendiri, kita hanya mampu mengulas, namun dalam konteks sekarang, sekuat mana jua kebangkitan kuasa golongan Islamis seperti Erdogan dan parti AKP sekali pun, seratus tahun akan datang pun amat mustahil untuk nama Mustafa Kemal Ataturk dinafikan sebagai manusia yang paling besar jasanya dalam menyekat penjajahan barat ke atas tanahair bangsa Turki sendiri.
Bahkan hari ini jika anda berbicara sesuatu yang tidak baik tentang Mustafa Kemal di hadapan rakyat Turki sendiri, peratusan untuk muka anda ditampar oleh mereka adalah amat tinggi.
RUJUKAN:
- National Geographic – Why Turkey Lifted Its Ban on the Islamic Headscarf: https://www.google.com/amp/s/api.nationalgeographic.com/distribution/public/amp/news/2013/10/131011-hijab-ban-turkey-islamic-headscarf-ataturk
- The Atatürk Path to Islāmic Modernity : https://www.counterpunch.org/2020/01/31/the-ataturk-path-to-islamic-modernity/#gsc.tab=0
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih