Pada pagi 7 September 1981 waktu UK, satu rancangan sulit yang direncanakan selama bertahun-tahun sedang berjalan. Dan kurang empat jam selepas itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perbadanan Nasional Berhad (PNB) membuat kejutan dengan menjadi pemegang saham majoriti syarikat perladangan terbesar Britain, Guthrie.
Pembelian saham majoriti Guthrie Corporation Limited dibuat melalui proksi dan pihak-pihak berkepentingan. Dalam tempoh yang dinyatakan, pegangan saham PNB bertambah daripada 25% kepada melebihi 50% sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham majoriti syarikat. Pengerusi syarikat ketika itu Mark Gent hanya mengetahui perubahan ini menerusi hebahan berita perniagaan di radio.
Pendek kata, seluruh komuniti pelaburan UK terkejut beruk dengan pengambilalihan senyap tapi pantas yang dibuat PNB. Tatkala pengurusan Guthrie menggaru kepala memikirkan bagaimana hal ini berlaku, di Malaysia pula, para perencana meraikan kejayaan mengawal syarikat yang mengusahakan tanah perladangan seluas 800 km persegi itu.
Walaupun sudah mencapai kemerdekaan daripada Britain sejak 24 tahun lepas, hakikatnya sektor perladangan dan komoditi negara masih dikawal oleh firma-firma negara itu. Pada tahun 70-an sahaja, 60% aset korporat negara dimiliki oleh pemilik asing dengan sebahagian besar daripadanya merupakan orang British. Bagi mereka, agak sukar untuk melepaskan semua aset ini memandangkan ia memberi banyak keuntungan kepada mereka selama bertahun-tahun.
Atas sebab ini, kerajaan terpaksa berdepan hakikat selagi mereka mengawal sektor perladangan dan komoditi, kerajaan akan sentiasa mendapat tangan kosong. Bukan tidak ada rundingan tetapi kebanyakan pengurusan tertinggi firma menolak mentah-mentah usaha mereka. Penulis percaya, mentaliti sesetengah figura pengurusan ini masih dipengaruhi mentaliti beban orang putih yang menganggap mereka berhak kerana mereka lebih bijak menguruskannya berbanding orang tempatan.
Hal ini nyata menggusarkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali pertama pada tahun 1981. Beliau tahu kunci untuk mendapatkan autonomi lebih luas dalam hal ehwal kewangan negara ialah dengan mendapatkan aset-aset ini. Tetapi selepas usaha mereka mendapatkannya secara rundingan gagal, Tun Dr Mahathir sedar mereka perlu melakukannya secara senyap-senyap untuk mendapatkannya.
Bak filem Ocean’s Eleven di mana dalang Danny Ocean (George Clooney) mengumpulkan ahli-ahli yang mahir untuk merompak tiga kasino Las Vegas, perkara sama turut diaplikasikan untuk pengambilalihan Guthrie. Satu pasukan teras perlu dibentuk bagi menjayakan usaha tersebut.
Perancang strategi/dalang ialah pengerusi PNB merangkap mantan Gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohd Ali. Ironinya, Tun Ismail juga merupakan abang ipar kepada Tun Dr Mahathir.
Operator utama ialah Tan Sri Khalid Ibrahim yang ketika itu memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) PNB. Bertahun-tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan negeri Selangor pada 2008 dan 2013.
Turut mengetahui usaha ini ialah bekas Setiausaha Perbendaharaan merangkap penasihat ekonomi Perdana Menteri ketika itu, Raja Tun Mohar Raja Badiozaman. Dua lagi ialah dua figura British, tokoh perbankan Sir Evelyn de Rothschild dan timbalannya Jock Green-Armytage yang memainkan peranan sebagai penasihat Tun Ismail.
Menjelang tahun 80-an, Malaysia sudah mempunyai modal pelaburan yang banyak walaupun belum bergelar negara kaya. Ini kerana menurut Tun Dr Mahathir, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) contohnya mempunyai simpanan yang banyak, satu fakta yang tidak diketahui ramai orang ketika itu.
Beliau turut mendedahkan arkitek sebenar pengambilalihan saham pada waktu pagi pembukaan bursa ialah Tun Ismail dan Raja Mohar. Strateginya ialah bertolak ke London dan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan untuk membeli saham dalam jumlah yang kecil secara serentak. Dengan cara ini, ia memberi saham mencukupi kepada PNB untuk mengambil alih kawalan Guthrie.
Bila ditanya tentang perihal pengambilalihan Guthrie, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah melihat kerajaan British terlalu ambil mudah perihal syarikat berkenaan. Ini kerana walaupun ia dianggap antara firma penting negara itu, ia dipandang sepi oleh mereka. Pada hematnya, mereka terlalu sibuk mengaut untung sehingga membiarkan operasi syarikat diuruskan oleh ejen-ejen sekaligus terlupa tentang nilai komoditi yang ada.
Tengku Razaleigh yang juga bekas pengerusi Petronas dan Bank Bumiputra Malaysia Berhad menceritakan idea pengambilalihan tercetus semasa satu permainan golf membabitkan dirinya, Raja Mohar dan Tun Ismail. Mereka berbicara tentang kejayaan FELDA yang merupakan cetusan buah fikiran Tun Abdul Razak Hussein dan bagaimana ia membantu rakyat ketika itu.
Tetapi mereka kemudiannya sedar, agak sukar untuk berbuat demikian ketika itu kerana negara berdepan isu kekurangan tanah. Justeru, pada awalnya, mereka menimbang idea pembinaan ladang-ladang kelapa sawit di Indonesia, Thailand atau Filipina dengan hasil buahnya diproses di Malaysia. Bagaimanapun, idea tersebut ditolak memandangkan negara bakal berdepan kerugian dengan mengeksport industri penting ke negara-negara lain.
Tatkala itulah, mereka terfikir, mengapa tidak mengambil alih saja firma-firma perladangan asing di Malaysia mengikut harga pasaran? Ini kerana syarikat-syarikat ini mempunyai reputasi yang kukuh dan mengeluarkan hasil yang memuaskan. Dari situ, agenda pengambilalihan Guthrie atau ‘Guthrie Dawn Raid’ mula dimuktamadkan. Dan pada 7 September 1981, ia menjadi sebahagian daripada catatan sejarah negara.
RUJUKAN:
Murad, Dina. (2021). The Guthrie Dawn Raid remembered. The Star.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih