8 Mac 2014. Kehilangan sebuah pesawat yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran semua rakyat Malaysia, malah mengejutkan seluruh dunia. Tahun ini, hari ini, sudah genap 11 tahun ia berlalu tanpa ada sesiapa pun tahu di mana keberadaannya.
Kisah kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 ini berlaku tanpa disangka-sangka. Pesawat MH370 hilang daripada radar sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.
Ia dalam perjalanan menuju ke Beijing, dengan 12 anak kapal dan 227 penumpang di dalamnya. Kali terakhir pesawat itu dikesan pada radar tentera adalah sekitar 2.14 pagi, menuju ke barat merentasi selat Melaka.
Setengah jam kemudian, syarikat penerbangan itu mengumumkan telah terputus hubungan dengan pesawat, yang sepatutnya mendarat di destinasinya kira-kira 6.30 pagi. Pesawat itu tidak pernah ditemui, dan punca kehilangannya masih tidak diketahui sehingga ke hari ini.
Kehilangan MH370 kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam dunia penerbangan moden, dan ia membawa kesedihan yang mendalam kepada keluarga penumpang dan mencetuskan pelbagai teori meskipun usaha mencari masih diteruskan.
Selepas lebih sedekad, seluruh dunia masih tertanya-tanya, adakah misteri dapat diselesaikan? Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataannya pada hari ini menyeru semua agar tidak melupai peristiwa ini dan menghormati perasaan ahli keluarga penumpang pesawat MH370.
Bagi keluarga 239 individu yang hilang bersama pesawat ini, keperitan kehilangan orang tersayang masih ditanggung oleh mereka, dengan harapan bahawa suatu hari nanti, ada sinar yang memberi jawapan buat mereka.
Terbaharu, proses pencarian dimulakan semula di Lautan Hindi pada 25 Februari lalu, dengan kerjasama daripada syarikat yang berpangkalan di United Kingdom, Ocean Infinity. Kerajaan Malaysia dan syarikat ini telah menandatangani kontrak ‘no find, no fee’ bagi melakukan pencarian di kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di lautan tersebut, kira-kira 1,500 kilometer dari Perth.
Bersama usaha pencarian ini, para ahli keluarga penumpang MH370 memasang harapan baharu, agar ia memberi sinar kepastian buat mereka. Walau apa jua hasil yang diperoleh, mereka masih menanti kepulangan ahli keluarga ke pangkuan keluarga.
Dan, hari ini, kita akan turut bersama ahli keluarga ini, mengenang dan berharap agar ia menemui titik noktah tidak lama lagi.




No comments yet