Kalau perasan, anime dan manga berunsurkan yaoi dan ‘boys love’ (shounen ai dalam Bahasa Jepun) sedang mencanak naik. Apa itu yaoi?

Yaoi adalah akronim dalam bahasa Jepun bagi ‘yama nashi, ochi nashi, imi nashi’ yang bermaksud ‘tiada klimaks, tiada punch-line, tiada makna’. Ia merujuk pada tradisi di Jepun menggambarkan sesuatu di luar daripada tradisi dan kebiasaan.

Konsep yaoi dalam anime dan manga memperlihatkan ketiadaan watak wanita. Tiada watak percintaan antara lelaki-wanita, malah wanita-wanita pun tidak ada kerana dua hubungan ini biasa dan normal di dunia realiti.

Yang wujud dalam yaoi adalah percintaan antara lelaki dan lelaki. Biasanya yaoi mempunyai unsur seks, dan shounen-ai tiada unsur seks – itu sajalah bezanya. Tetapi kedua-dua ini tetap mempunyai unsur hubungan romantik antara lelaki.

Lebih mengejutkan, cerita-cerita begini diminati dan didominasi oleh golongan gadis yang mempunyai orientasi seks normal atau heteroseksual. Gadis-gadis ini digelar sebagai ‘fujoshi’. Apa itu fujoshi?

Fujoshi bermaksud ‘gadis rosak’ (rotten girl). Gadis ini rosak kerana minat mereka yang tinggi dengan tema yaoi. Mereka ini juga rosak kerana menimbulkan hubungan romantik antara dua lelaki yang sebenarnya penulis asal tidak buat macam itu pun.

Persoalannya kenapa gadis ini minat genre cerita begini? Fujoshi ini secara umumnya menolak perlakuan homoseksual. Tetapi, mereka tidak mahu prejudis terhadap golongan ini.

Walaupun mereka cuma tidak mahu prejudis terhadap idea homoseksual, tetapi secara tidak sedar mereka juga tidak mahu prejudis terhadap tingkah laku dan perbuatan yang menjurus pada homoseksual. Walaupun secara permukaan mereka tidak selesa dengan homoseksual, tetapi secara tidak sedar mereka cenderung meminati budaya ini. Fujoshi mahu membuktikan bahawa mereka tidak ‘rasis’ dan menghukum (judgemental) golongan gay. Mereka mempunyai sikap apologetik terhadap golongan ini.

Selain itu, kebanyakan plot cerita menunjukkan watak wanita seperti Cinderella dan Rapunzel yang lemah dan mahu diselamatkan. Golongan fujoshi tidak dapat menerima watak-watak lemah macam ini. Tidak banyak manga atau anime yang menaikkan kekuatan wanita seperti anime-anime Hayao Miyazaki.

Mereka lebih selesa sekiranya elemen ‘lemah’ ini ditunjukkan oleh lelaki. Dalam yaoi secara tipikalnya terdapat watak lelaki maskulin dan watak lelaki feminin yang mempunyai perasaan romantik antara satu sama lain. Lelaki feminin ini mempunyai tingkah laku ‘submissive’ dan ‘helpless’ seperti kebanyakan wanita dalam genre popular.

Bagi fujoshi, elemen ‘wanita lemah’ memberikan mereka rasa tidak selesa dan terancam dalam kerangka sosial. Yang menariknya, fujoshi juga tidak mahu ada wanita lemah dalam karya fiksyen walaupun dalam karya itu heroinnya adalah wanita yang kuat. Mereka juga tidak mahu berlaku persaingan antara wanita-wanita. Bagi mereka, ini adalah suasana ancaman. Elemen ini sangat jarang ada dalam genre yaoi.

Justeru, secara realitinya, perkara yang difantasikan oleh fujoshi tidak wujud. Wanita lemah ada di mana-mana. Fujoshi tidak suka konsep ini. Jadi elemen ‘kelemahan’ itu diletakkan pada lelaki dan lelaki ini pula bercinta dengan lelaki kuat.

Secara realitinya, fujoshi akan mendakwa mereka suka karya yang memang bukan untuk mereka saja, tetapi untuk semua lapisan – yang plot dan perkembangan wataknya menarik. Tetapi, pada masa yang sama mereka ada kecenderungan dan berharap dalam komik itu ada elemen-elemen boys love.

Kalau biasa tanya fujoshi kenapa mereka suka tema sebegini, tipikalnya mereka akan jawab sebab minat pada watak ataupun plot. Menurut fujoshi sendiri, mereka juga sudah bosan dengan hubungan heteroseksual dalam karya fiksyen.

Tema homoseksual adalah idea baru dalam karya fiksyen yang mereka mahukan. Mereka akan mendakwa perkara ini cuma sekadar bacaan dan keseronokan. Walaupun mereka hidup normal di dunia realiti, minat ini akan memberikan kecenderungan mempertahankan budaya homoseksual.

Menurut Sharalyn Orbough, kunci utama fantasi yang dialami oleh fujoshi adalah kemesraan. Walaupun ada adegan seks dalam komik yaoi, bukan seks itu yang difantasikan oleh fujoshi tetapi kemesraan antara dua orang lelaki.

Komik-komik remaja (shonen) mempunyai risiko fantasi dalam kalangan fujoshi apabila terdapat watak-watak yang mempunyai hubungan kuat seperti Naruto & Sasuke, Zoro & Sanji, Byakuya & Renji.

Fujoshi akan tafsir perkataan dan interaksi antara watak-watak ini menjadi satu bentuk fantasi mereka mengikut kemesraan yang mereka mahukan. Ini yang Patrick W. Galbraith panggil sebagai ‘kemesraan transgresif’ (transgressive intimacy). Dengan kata lain kemesraan yang melanggar batas moral. Kalau perasan, fujoshi akan mencipta cerita dan melakar kemesraan transgresif ini dalam kalangan mereka.

Kita akan selalu terserempak karya-karya terbitan mereka sendiri atau dipanggil sebagai ‘doujinshi’ bertemakan yaoi atau shounen-ai yang wataknya hasil inspirasi daripada komik-komik original shonen yang asalnya tidak mempunyai unsur begitu.

Tambah Orbaugh lagi, yaoi dapat menggambarkan kemahuan seksual bagi semua lapisan seksual wanita, baik heteroseksual, homoseksual, malah wanita transgender pun.

Sri Dewi Adriani, Nice dan M. Si pernah melakukan bancian tentang faktor-faktor minta fujoshi terhadap genre Yaoi. Faktor yang pertama adalah kemunculan lelaki ‘cantik’. Macam mana rupa bentuk lelaki ‘cantik’? Anda boleh Google ‘Prince of Tennis’. Begitulah lelaki ‘cantik’ yang dipanggil sebagai ‘bishounen’.

Kemudian, faktor kedua adalah fujoshi menyatakan cerita yaoi lebih baik daripada cerita yang berunsurkan romantik heteroseksual. Lelaki dalam yaoi tidak mendapat batasan dalam budaya patriarki di Jepun. Cerita romantik heteroseksual biasanya memperlihatkan perempuan lemah yang dikawal oleh lelaki kerana budaya patriarki.

Sebab ketiga adalah fujoshi mahu dan merasa seolah-olah mereka dapat mengawal lelaki. Ini telah dinyatakan sebelum ini. Ini juga antara sebab mengapa fujoshi tidak mahukan watak wanita yang lemah dan mahukan kelemahan itu diperlihatkan dalam diri lelaki.

Tiga sebab lain menurut kajian ini adalah fujoshi merasakan hubungan cinta yaoi lebih kuat. Kemudian, semata-mata nafsu seksual dan mahu keluar daripada alam realiti. Fenomena fujoshinism ini bermula apabila watak dalam komik-komik remaja terdapat elemen yang menggerakkan ‘otak’ fujoshi.

Menurut dapatan di beberapa buah forum seperti Quora, genre yaoi ini muncul sejak penciptaan watak-watak lelaki ‘cantik’ dan lelaki ‘lembut’. Selainnya adalah persahabatan yang diromantikkan seperti Naruto dan Sasuke yang menyebabkan fujoshi berfantasi secara berlebihan.

Demografi penonton dalam kalangan fujoshi menjadi lubuk keuntungan syarikat komik Jepun seperti Shonen Jump. Titik tolaknya bermula daripada anime Prince of Tennis (PoT).

PoT tidak dicipta untuk fujoshi dan target demografinya agak luas. PoT menjadi popular dalam kalangan fujoshi kerana mempunyai elemen lelaki ‘cantik’. Kebetulan pula, kuasa membeli dalam kalangan fujoshi sangat tinggi untuk karya fiksyen itu. Tidak dinafikan kuasa membeli wanita cukup tinggi.

Shonen Jump mula fokuskan produk mereka untuk golongan wanita, terutamanya fujoshi. Maka, animasi-animasi seperti PoT ini mula membiak. Kalaupun tema utama suatu animasi atau komik itu hanya untuk remaja biasa-biasa, ‘fan-service’ untuk fujoshi akan turut diselitkan.

Menurut kajian daripada Galbraith, karya fiksyen homoseksual di Jepun telah lama dan banyak ditulis. Cumanya, fiksyen homoseksual yang ditulis untuk wanita agak baru.  Antara paling terawal adalah komik ‘In The Sunroom’ oleh Takemiya Keiko pada tahun 1970 dan ‘The November Gymanisum’ oleh Hagio Moto pada tahun 1971. Menurut J. Welker, tahun-tahun ini merupakan era Renaisans bagi komik shounen-ai.

Tahukah anda, Keiko dan Moto adalah perempuan. Ya, hampir semua komik-komik bertema yaoi ditulis oleh perempuan. Zaman itu, pembaca komik dalam kalangan wanita turut meningkat dengan kemunculan komik shoujo.

Zaman itu juga adalah zaman berlambak doujinshi dihasilkan oleh penulis-penulis yang kelak menjadi pengkarya komik (mangaka) professional pada abad ke-21. Watak-watak dalam doujinshi ini diberikan kepada sebuah pembuat animasi parodi yang masa itu dipanggil sebagai aniparo.

Aniparo ini pula menggambarkan watak-watak dalam doujinshi asal itu mengikut kemahuan mereka. Kebetulan majoriti pembuat animasi adalah wanita. Lama-lama, fokus dan naratif animasi tersebut tertumpu pada seks. Akhirnya, perkataan ‘aniparo’ digantikan dengan ‘yaoi’ sejak animasi itu menggambarkan kemesraan transgresif antara watak.

Boys’ love’ (BL) pula meningkat sewaktu berlakunya ‘gay boom’ pada tahun 1990 di Jepun. Homoseksual menjadi suatu bentuk santapan di media Jepun, terutamanya media yang menyasarkan golongan wanita.

Menurut beberapa kajian oleh Y. Sugiura dan Choo, kutipan keuntungan karya-karya BL sangat tinggi. Ini mungkin disebabkan oleh hubungan romantik dalam kalangan lelaki telah menjadi landskap dan imej santapan untuk para gadis. Yaoi mungkin agak ekstrem kerana hubungan seks, tapi kandungan BL yang tiada unsur seks telah mendapat perhatian seperti dinyatakan oleh Tomoko Aoyama. Masa tahun 1998 saja, dilaporkan pembaca manga BL mencecah 500,000 orang.

Kesimpulannya, bagi sesetengah orang mungkin melihat ini sebagai budaya hiburan semata-mata, tetapi kesannya budaya homoseksual akan menjadi normal dalam adat masyarakat. Kalau timbulnya isu mempertahankan hak asasi untuk golongan LGBT, sebahagian golongan fujoshi ini jugalah yang akan menjadi salah satu kelompok yang mempertahankan hak tersebut.

Rujukan:

  1. Galbraith, P. W. (2011). “Fujoshi: Fantasy play and transgressive intimacy among “rotten girls” in contemporary Japan.” Signs: Journal of Women in Culture and Society 37(1): 219-240.
  2. NICE, N. and S. Dewi Adriani (2013). ANALISIS PENYEBAB MUNCULNYA MINAT FUJOSHI TERHADAP GENRE YAOI, BINUS.
  3. https://www.reddit.com/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.