Ahad, 18 Oktober 202618 Okt 2026
Psikologi

Mengapa Orang Curang Terhadap Pasangannya?

Apabila munculnya kisah perhubungan yang melibatkan personaliti berprofil tinggi, ahli keluarga, atau rakan-rakan, kita terlalu cepat menilai dan meletakkan kesalahan kepada mereka yang terlibat dalam kecurangan. Kita percaya hubungan romantik adalah tentang memenuhi keperluan kita untuk bercinta, berasa selesa dan selamat.

Oleh itu, apabila seseorang itu didapati “menipu” (cheating), pasangannya akan sedih, sakit hati dan terkejut kerana perbuatan curang menunjukkan pengkhianatan terhadap norma hubungan antara pasangan dan pengkhianatan terhadap kepercayaan. Perbuatan curang menonjolkan betapa rapuhnya hubungan seseorang itu dengan pasangannya yang paling rapat dan paling penting.

Ramai
yang berpendapat bahawa curang adalah hasil daripada kemahuan yang tinggi
seseorang itu terhadap hubungan seksual. Tetapi realitinya ialah curang jarang
berlaku disebabkan oleh seks. Menurut kajian pada tahun 2017, hanya sekitar 20%
sahaja curang berlaku akibat seksual semata-mata. Walau bagaimanapun, kadar ini
meningkat kepada sekitar satu pertiga pasangan apabila kita memasukkan sekali
curang dari segi emosi.

Pasangan
yang mempunyai hubungan dengan orang lain menandakan ada yang tidak kena dalam
hubungannya. Tanpa kemahiran yang diperlukan untuk menyembuhkan hubungan
tersebut, pasangan mungkin akan terlibat dalam perhubungan lain bagi memenuhi
keperluan mereka – sama ada untuk memenuhi keintiman, merasa dihargai, memenuhi
lebih banyak hubungan seks dan sebagainya. Oleh itu, pasangan yang tidak dapat
dipenuhi keperluannya/kemahuannya melihat hubungan alternatif sebagai cara yang
lebih baik untuk memenuhi keperluan tersebut.

Kajian mengenai mengapa pasangan curang sangat banyak dan pelbagai. Sesetengah orang yang tidak mempunyai ciri-ciri seperti toleransi dan jujur lebih cenderung akan melakukan hubungan seksual dengan sesiapa sahaja. Samalah juga seperti mereka yang mempunyai sifat yang tinggi dalam personaliti kegelapan (narsisisme, machiavellianisme, psikopati).

Kajian-kajian lain mendapati perbuatan curang lebih cenderung berlaku dalam kalangan mereka yang berpandangan remeh mengenai seks seperti tidak perlu menghadkan diri kepada satu sahaja pasangan seksual. Faktor lain yang penting mengenai perbuatan curang berkaitan dengan komitmen terhadap kepuasan pasangan dan hubungan. Mereka yang kurang komitmen lebih cenderung mempunyai hubungan sulit.

Sebuah
bancian ke atas 5,000 orang di UK mendapat persamaan yang menarik antara sebab
lelaki dan wanita berlaku curang, dan seks bukanlah sebab utama. Lima sebab
utama berlakunya curang dalam kalangan wanita berkait dengan kekurangan
keintiman emosi (84%), kekurangan komunikasi antara pasangan (75%), kelesuan
(32%), sejarah buruk dengan aktiviti seks dan penderaan (26%), dan kurang minat
dalam hubungan seks dengan pasangan (23%). Bagi lelaki pula, sebab berlakunya
curang disebabkan oleh kurangnya komunikasi antara pasangan (68%), tekanan (63%),
disfungsi seksual dengan pasangan (44%), kekurangan keintiman emosi (38%) dan
keletihan yang kronik (31% ).

Maka,
jika kita mengalami kesulitan untuk berkomunikasi dengan pasangan, ataupun
mereka membuatkan kita rasa tidak dihargai, kita mungkin lebih cenderung untuk berlaku
curang. Setiap orang yang berpasangan perlu melabur masa dan tenaga dalam
hubungan mereka. Mengalami keletihan kronik selama bertahun-tahun bermakna kemampuan
seseorang untuk memastikan hubungan yang kuat terjaga juga terjejas.

Sesetengah
orang memilih untuk mengekalkan rahsia perhubungan sulit mereka kerana mereka
mungkin mahu meneruskan hubungan tersebut, ataupun rasa bersalah untuk
mendedahkannya ataupun percaya mereka cuba untuk melindungi perasaan pasangan
mereka. Sepatutnya, sekiranya seseorang serius untuk membaiki hubungan mereka
yang sedia ada, maka pendedahan perhubungan sulit tersebut harus dilakukan. Kemudian,
dapatkan bimbingan profesional untuk memulihkan keadaan..

Kebanyakan
ahli terapi melaporkan perbuatan curang merupakan salah satu masalah paling
sukar untuk diselesaikan ketika membina semula suatu hubungan. Terdapat
pelbagai pendekatan berasaskan bukti untuk menangani perbuatan curang. Tetapi
tindakan mengakui perbuatan curang dapat dialami sebagai suatu bentuk trauma
oleh orang yang dikhianati – yang mempunyai pelbagai andaian tentang
pasangannya.

Banyak
kajian menunjukkan apabila berlakunya perbuatan curang, bukan yang dikhianati
sahaja yang akan mengalami isu kesihatan mental, orang yang mengkhianat juga
mempunyai isu yang sama seperti keresahan (anxiety),
kemurungan (depression) dan niat
untuk membunuh diri (thought of suicide).
Terdapat juga peningkatan dalam keganasan emosi dan fizikal antara pasangan. Oleh
itu, pasangan harus mencari bantuan profesional untuk menangani masalah
tersebut, bukan sahaja untuk membaiki semula hubungan mereka tetapi juga untuk
kesejahteraan psikologi mereka sendiri.

Salah
satu kaedah yang paling baik untuk membantu pasangan memperbaiki hubungan
mereka dalam isu ialah dengan menggariskan impak awal dalam melakukan
perhubungan sulit, kemudian membangunkan persefahaman, memaafkan dan meneruskan
kehidupan.

Secara
keseluruhan, terapi adalah kaedah yang berhasil ke atas dua pertiga pasangan
yang mengalami kecurangan. Jika pasangan memutuskan untuk meneruskan hubungan,
mereka mestilah mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki dan
mempunyai komitmen untuk memperbaikinya. Membina kepercayaan juga penting dalam
memperbaiki semula hubungan yang telah rosak.

Sekiranya
terapi hanya membantu dua pertiga pasangan, bagamaimana dengan satu pertiga
lagi? Sekiranya hubungan itu mempunyai banyak konflik yang tidak dapat
diselesaikan, mempunyai permusuhan dan kekurangan perhatian terhadap satu sama
lain, mungkin lebih baik untuk mengakhiri hubungan tersebut.

Tetapi
mengakhiri hubungan bukanlah mudah kerana pertautan (attachment) yang kuat dengan pasangan romantis kita. Walaupun dalam
sesetengah hubungan keperluan pertautan ini cenderung tidak dapat dipenuhi, ia
tidak menghalang kita untuk percaya bahawa pasangan kita akan memenuhinya suatu
hari nanti.

Mengakhiri
hubungan akan memenuhi kita dengan perasaan yang diistilahkan sebagai
“kesukaran pemisahan” (separation
distress
). Bukan sahaja kita berduka dengan kehilangan hubungan itu (tidak
kira buruk atau baik), tetapi kita bersedih hati sama ada kita akan menemui
orang lain yang akan memenuhi keperluan kita.

Tempoh
kesukaran pemisahan berbeza untuk setiap orang. Sesetengah orang mungkin percaya,
lebih baik meraikan pengakhiran hubungan yang toksik, tetapi mereka masih
mengalami tekanan dalam satu bentuk atau yang lain. Jika pasangan memutuskan
untuk mengakhiri hubungan dan masih dalam terapi, ahli terapi boleh membantu
mereka dalam membuat keputusan dengan cara meminimumkan kecederaan perasaan.

Justeru,
perbuatan curang bukan mengenai seks semata-mata dan lebih banyak tentang perkara-perkara
berkenaan hati dan perasaan serta kesilapan dalam memenuhi keperluan pasangan. Masalah
orang sekarang ialah mereka mencari keperluan dalam hubungan dengan orang lain
berbanding cuba untuk mencari keperluan itu dalam hubungan sedia ada.

RUJUKAN:

  1. Allen, E. S., Atkins, D. C., Baucom, D. H., Snyder, D. K.,
    Gordon, K. C., & Glass, S. P. (2005). Intrapersonal, interpersonal, and
    contextual factors in engaging in and responding to extramarital
    involvement. Clinical Psychology: Science and Practice, 12,
    101-130.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet