“Seorang bangsa Mongol yang sebenar adalah seorang yang sangat mahir memanah dan menunggang kuda, jika seseorang tiada kebolehan ini, dia tak layak dianggap sebagai seorang Mongol.” — Genghis Khan
Begitu pentingnya peranan kuda dalam sejarah ketamadunan manusia hingga ke hari ini. Namun, kita jarang melihat seseorang menunggang kuda belang. Mengapa? Adakah kerana kuda belang bukan dari spesis keluarga yang sama dengan kuda biasa? Tidak, semuanya berkaitan dengan proses evolusi tingkah laku haiwan sejak berjuta tahun yang lalu.
Dalam kebanyakan ciri-cirinya, kuda belang kelihatan seperti kuda (atau kuda poni berdasar saiz ukurannya). Namun perbezaan tingkah laku yang asas telah menunjukkan walaupun kuda dan keldai berjaya dijinakkan, kuda belang akan kekal menjadi haiwan liar.
Jadi ini menimbulkan persoalan, mengapa kuda belang mengelak dari membawa beban, bekerja di ladang, dan melompat melepasi pagar seperti yang boleh dilakukan oleh sepupunya dengan mudan?
Kerana ciri-ciri mereka yang jelas banyak persamaan dengan dengan kuda biasa dan demi sedikit nilai-nilai pembaharuan, beberapa cubaan pernah dilakukan oleh manusia untuk menunggang dan berlumba di atas kuda belang.
Filem Racing Stripes yang ditayangkan pada tahun 2005 adalah kisah tentang seekor kuda belang muda yang ingin bertanding dalam perlumbaan kuda. Malahan pembikin filem itu sendiri terpaksa menggunakan kuda tunggangan biasa untuk beberapa adegan.
Bulu tengkuk dan ekor kuda belang sebenarnya lebih mirip dengan keldai dan mencerminkan sejarah evolusi genus spesis Equus.
Walaupun kuda, keldai dan kuda belang semuanya berkembang dari nenek moyang yang sama (Hyracotherium) yang tinggal di Eropah dan Amerika Utara sekitar 55 juta tahun yang lalu, perbezaan yang ada menunjukkan bahawa kuda belang dan keldai saling berkaitan antara satu sama lain berbanding dengan kuda.
Equus Amerika Utara (anggota keluarga kuda) hilang kira-kira 8-10,000 tahun yang lalu, dan di Eropah dan Asia, manusia Palaeolitik secara aktif membu.ru gerombolan kuda liar di dataran terbuka. Faktor perubahan iklim, perhutanan dan dimangsakan oleh manusia memaksa haiwan itu bermigrasi ke arah timur ke wilayah separa gurun Asia tengah.
Nenek moyang yang liar kepada kuda domestik hari ini (equus ferus) pertama kali dijinakkan di padang rumput Eurasia barat, kawasan di mana bukti arkeologi terawal kuda domestik ditemui. Penyelidikan terbaru juga menunjukkan gerombolan kuda domestik sering menggantikan kuda liar apabila mereka tersebar di seluruh Eurasia.
Kuda pada awalnya diternak sebagai sumber makanan, tapi potensi tinggi mereka sebagai alat pengangkutan, komunikasi, dan alat per.ang mengakibatkan kuda berubah menjadi semakin penting dalam perkembangan ketamadunan manusia.
Sejarah Empayar Mongol pada abad ke-13 membuktikan Genghis Khan dan para pewarisnya telah bergantung sepenuhnya kepada potensi kuda untuk meluaskan wilayah yang besar sejauh dari Hungary ke Korea, dan dari Siberia ke Tibet. Ya, sebuah suku kecil nomad dari Asia hampir menak.luki seluruh dunia menggunakan kuda.
Jadi, jika kuda sangat penting untuk ketamadunan manusia, mengapa kuda belang tak boleh? Teori spesis manusia berasal dari Afrika yang pelik itu pun sering kali terlepas pandang tentang satu perkara ini. Jika manusia berasal dari Afrika, mengapa manusia tidak cuba mengeksploitasi haiwan yang berpotensi dimanfaatkan dan hidup di benua yang sama itu?
Tak seperti keluarga equus di Eurasia, populasi kuda belang di Afrika ternyata lebih selamat dari anca.man manusia, dan mereka hidup bersesuaian dengan persekitarannya yang liar.
Semua haiwan dari keluarga equus adalah spesis herbivor yang memiliki sifat tindak balas “lari atau lawan” yang dikembangkan dengan baik. Tapi untuk bertahan dalam lingkungan di mana terdapat banyak haiwan pemangsa seperti singa, harimau dan dubuk, spesis kuda belang berkembang menjadi sejenis haiwan yang sangat berwaspada dan responsif yang tinggi.
Ini bermakna, kuda belang akan terus melarikan diri jika menghadapi anc.aman bahaya, tapi mereka juga ada tindak balas melawan yang sangat kuat sekiranya mereka berjaya ditangkap.
Tendangan kaki belakang seekor kuda belang berupaya untuk mematahkan rahang seekor singa. Mereka boleh menggigit dengan ga.nas atau boleh bertindak balas dengan melenturkan leher untuk melindungi kepala yang membantu mereka (ducking reflexes) mengelakkan dari ditangkap oleh tali laso.
Keupayaan kuda belang dalam mengenali kumpulan manusia pembu.ru dengan baik juga mungkin mendorong tindak balas penghindaran yang kuat dalam sifat kuda belang.
Semua ini hanya akan membawa kepada satu kesimpulan. Kuda belang tidak ada sedikit pun sifat “mesra manusia” dan sebagai sejenis spesis haiwan yang liar, kuda belang tidak akan boleh memenuhi kriteria untuk dijadikan haiwan domestik atau peliharaan.
Menurut penjelajah Inggeris dan ahli politik Francis Galton (salah seorang saudara dekat Charles Darwin), keperluan-keperluan ini melibatkan ciri-ciri yang menonjolkan keinginan untuk hidup selesa, mudah untuk didekati, mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan dan menunjukkan minat terhadap manusia.
Galton menggunakan kuda belang sebagai contoh spesis haiwan yang tak dapat dikawal, dengan menyatakan bangsa Boer atau Afrikaner (orang Belanda yang menduduki Afrika) berulang kali cuba menangkap kuda belang untuk dimanfaatkan.
Walaupun ada beberapa kejayaan menangkapnya, sifat liar dan buas sering kali tercetus dan terus menggagalkan usaha mereka. Dalam sejarah, terdapat beberapa golongan elit barat termasuklah keluarga Rothschild pernah menjadikan kuda belang sebagai haiwan domestik namun hanya bertahan sementara saja.
Tentera koloni Jerman di Afrika Timur Jerman sangat berminat untuk menjinakkan kuda belang sebagai tunggangan, pembawa muatan, dan penarik kenderaan. Mereka juga melaksanakan program kacukan kuda belang dengan kuda biasa untuk menghasilkan spesis kacukan yang mampu bertahan terhadap penyak.it yang boleh membu.nuh kuda, tetapi tiada satu pun yang berjaya.
Pada waktu tersebut, adalah satu kebiasaan bagi golongan bangsawan elit di seluruh dunia untuk memiliki kereta kuda belang. Ahli zoologi Walter Rothschild melatih beberapa ekor kuda belang untuk menarik kereta di England.
Walter pernah cuba menaiki kereta kuda belang untuk pergi ke Istana Buckingham sebagai demonstrasi karakter kuda belang yang jinak ditunjukkan kepada umum. Namun, dia tidak meneruskan usaha itu kerana dia menyedari kuda belang adalah terlalu kecil dan terlalu agresif.
Walaupun menjinakkan kuda belang mungkin boleh direalisasikan jika dilakukan terhadap kuda belang secara individu, spesis ini bukanlah calon yang baik untuk domestikasi. Sebagai tambahan kepada sifat kuda belang yang keras kepala dan naluri kelangsungan hidupnya yang kuat, hakikat yang spesis ini merupakan antara sumber makanan utama bagi singa mungkin juga menjadikan kuda belang dilihat sebagai ‘pasangan’ yang kurang menarik bagi manusia kuno.
Domestikasi dan pembiakan selektif pasti akan mengubah ciri-ciri fizikal dan tingkah laku kuda, yang pada peringkat awalnya mungkin lebih kecil, lebih liar dan lebih mirip dengan kuda belang berbanding kuda biasa hari ini.
Dan sementara kuda biasa mungkin bekerja dengan lebih kuat, tinggal di persekitaran manusia yang lebih bertamadun dan ada pelbagai ciri-ciri berbeza boleh ditawarkan kepada pemiliknya, mereka juga menjalani kehidupan yang lebih aman dan lebih selesa.
Budaya domestik sebenarnya telah menyelamatkan kuda dari kepupusan. Dan sebenarnya, dalam konteks sebagai strategi mandiri, usaha domestikasi ternyata berjaya untuk meningkatkan populasi kuda secara global, yang berjumlah kira-kira 60 juta ekor.
Sebaliknya, bilangan kuda belang hari ini mungkin sudah menurun dengan jumlah populasinya yang kurang dari 800,000, dengan manusia yang menimbulkan ancaman terbesar bagi kelangsungan hidup mereka. Berdasarkan kepada segala fakta-fakta ini, kuda jenis mana yang anda lebih suka?
RUJUKAN:
Hofreiter, M.; Caccone, A.; Fleischer, R. C.; Glaberman, S.; Rohland, N.; Leonard, J. A. (2005). A rapid loss of stripes: The evolutionary history of the extinct quagga. Biology Letters.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih