Kita perlu ingat, dunia ini ialah tempat Tuhan menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Amati firman Allah s.w.t dalam ayat 2, Surah Al-Mulk, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” Ujian yang membezakan seseorang itu gagal atau berjaya mencapai matlamat unggul hamba-Nya iaitu syurga Allah s.w.t.

Satu lumrah bila kita berada di tempat kerja, tempat makan, masjid atau dalam rumah kita sendiri, pasti kita akan terdengar keluhan seperti “Kenapa aku?” atau “Mengapa aku yang diuji? Mengapa Tuhan tak uji orang lain?” jika mereka diuji dengan ujian-ujian yang berat. Hakikatnya, Tuhan menguji manusia mengikut apa yang boleh ditanggungnya kerana Dia mengetahui kemampuan hamba-Nya dalam mengharungi ujian yang diberi kepada individu tersebut. Amati firman Allah s.w.t dalam ayat 286, Surah Al-Baqarah, “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Kita kena ingat, ujian ini datang dalam pelbagai bentuk. Ada ujian dalam bentuk kesusahan seperti kelaparan dan kehausan yang berpanjangan, ketakutan akibat diancam atau ditimpa bencana alam, tertekan dan hilang mata pencarian. Ini dinyatakan Allah s.w.t dalam ayat 155, Surah Al-Baqarah, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Dan ada juga ujian berbentuk kesenangan seperti kekayaan dan kekuasaaan. Usah pandang enteng ujian sebegini kerana ada manusia mampu bersabar dengan ujian kesusahan tetapi gagal dalam mengharungi ujian kesenangan. Seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Auf r.a menceritakan, “Kami diuji dengan kesusahan ketika bersama Rasulullah s.a.w dan kami dapat bersabar. Kemudian kami diuji dengan kesenangan-kesenangan setelah baginda wafat dan kami pun tidak dapat bersabar.” (Riwayat Tirmidzi) Allah sendiri menegaskan dalam Al-Quran bahawasanya Dia menguji manusia dengan ujian sama ada yang baik atau buruk. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 35, Surah Al-Anbiya, “Setiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Figure 3: Antara bentuk ujian yang ditimpa ke atas manusia ialah ujian kemiskinan dan kesusahan.

hidup. Pada akhir ayat 155, Surah Al-Baqarah, Dia memuji dan mengiktiraf hamba-hamba-Nya yang bersabar apabila mereka ditimpa ujian atau musibah. Orang yang bersabar bila diuji akan merasa tenang dan rasional dalam tindakannya. Dan mereka juga dapat bersangka baik dengan Tuhan dan dapat melihat dengan jelas hikmah yang didatangkan-Nya di sebalik ujian yang menimpa mereka itu. Shuhaib bin Sinan Ar-Rumi r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sungguh menakjubkan orang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Apabila dia mendapat sesuatu nikmat, dia bersyukur dan ia merupakan kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan ia merupakan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim) Firman Allah s.w.t dalam ayat 22, Surah Ar-Ra’d, “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.”

Kita kena ingat, ujian sama ada baik atau buruk sebenarnya untuk menambahbaik kualiti iman dan takwa kita. Keperitan ujianlah mendorong kita untuk kembali dan merintih kepada-Nya. Tanpa kita sedar, ujian sebenarnya jalan menuju ke arah kemanisan iman. Iman tidak sekadar dilafazkan pada lisan dan ditanam dalam hati, ia perlu dimanifestasikan dengan tindakan. Allah menegur kelompok yang mengaku beriman tetapi enggan diuji dengan ujian dalam ayat dua dan tiga, Surah Al-Ankabut, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”

Jika kita merasakan diri kita orang yang paling teruk diuji, ketahuilah ujian yang kita hadapi terlalu sedikit jika dibandingkan dengan para nabi dan rasul utusan-Nya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqqas r.a, beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w siapa orang yang paling banyak diuji. Baginda menjawab, “Para anbiya, kemudian orang pilihan dan orang pilihan lagi. Maka seseorang itu akan diuji menurut agamanya. Apabila agamanya kuat, maka ujian yang menimpanya juga kuat. Apabila ada kelemahan dalam agamanya, maka dia akan diuji menurut agamanya. Ujian itu tidaklah menyusahkan seorang hamba sehingga ia meninggalkannya berjalan di atas muka bumi dan dia tidak lagi mempunyai sebarang kesalahan pada dirinya.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ad-Darimi dan Ahmad).

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a, pada satu ketika, beliau masuk dalam bilik Nabi s.a.w tatkala baginda demam. Beliau meletakkan tangannya pada dahi baginda dan dapat merasa kepanasan badan baginda. Abu Said berkata, “Ya Rasulullah, betapa kerasnya sakit ini pada dirimu.” Lalu Nabi s.a.w menjawab, “Begitulah kami (para anbiya). Ujian digandakan pada kami tetapi pahala juga ditingkatkan pada kami.” Kemudian Abu Said bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab, “Para nabi.” Kemudian beliau bertanya lagi, “Ya Rasulullah, kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Orang-orang soleh. Apabila salah seorang daripada mereka diuji dengan kesusahan sehingga salah seorang daripada mereka tidak mendapat apa-apa kecuali tampalan baju labuh yang dihimpunnya. Dan apabila salah seorang daripada mereka merasa senang kerana diuji sebagaimana salah seorang daripada kamu yang merasa senang kerana kemewahan.” (Riwayat Ibnu Majah dan Hakim)

Sabar dalam menghadapi ujian bukan bermakna kita harus pasrah akan apa yang berlaku. Sabar tidak menghalang kita berusaha mencari penyelesaian pada sesuatu masalah. Kena ingat, situasi-situasi sebegini yang mendorong kita mencari penyelesaian kreatif dan efektif bagi membantu kita keluar dan terus menuju ke puncak kejayaan. Plato menyatakan dalam bukunya, Republik bahawa keperluan itu ialah ibu kepada ciptaan (necessity is the mother of invention). Sabar tidak menjadikan seseorang itu lemah, ia sebenarnya menjadikan seseorang itu lebih kuat kerana ia menguatkan keyakinan dan pergantungan kepada-Nya.

Figure 4: Sabar antara ciri orang berjaya yang disebut ramai tokoh dari Nabi s.a.w sehinggalah Leo Tolstoy.

Ketahuilah orang yang sabar dalam menghadapi ujian hidup mendapat banyak kelebihan di sisi-Nya:

1. Orang yang sabar merupakan kelompok yang dicintai Allah s.w.t berdasarkan firman-Nya dalam ayat 146, Surah Ali Imran.

2. Mendapat pahala berlipat kali ganda di sisi-Nya. Firman Allah s.w.t dalam ayat 96, Surah An-Nahl, “Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” Allah s.w.t turut berfirman dalam ayat 10, Surah Az-Zumar, “Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Ingatlah orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan yang sebenar di akhirat. dan ingatlah bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

3. Kelompok yang bersabar memasuki syurga yang kekal abadi berdasarkan ayat 23-24, Surah Ar-Ra’d, “Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; – (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”

Akhir kalam, saya mahu mengucapkan selamat berjaya kepada semua calon peperiksaan sama ada UPSR, PT3, SPM, STPM atau STAM. Saya nak ingatkan, peperiksaan bukanlah satu-satunya ujian dalam hidup. Berjaya dalam peperiksaan belum tentu ia boleh diterjemahkan dalam bentuk kejayaan dalam kehidupan. Gagal dalam peperiksaan bukan bererti anda gagal segalanya dalam hidup. Belajarlah untuk cemerlang bukan saja dalam peperiksaan tetapi juga cemerlang dalam menghadapi pancaroba dunia. Selamat berjaya semua!

SUMBER:

1. LC, Said Yai. (2012). Al-Manhaj. Setiap Muslim Akan Menghadapi Ujian dan Cobaan. https://almanhaj.or.id/3450-setiap-muslim-akan-menghadapi-ujian-dan-cobaan.html

2. Ibrahim, Majdi As-Sayyid. (2004). Al-Manhaj. Keutamaan Sabar Menghadapi Cobaan. https://almanhaj.or.id/222-keutamaan-sabar-menghadapi-cobaan.html

3. Muthalib, A Razak. (2014). Sinar Harian. Hidup ini ada pilihan. http://www.sinarharian.com.my/semasa/hidup-ini-ada-pilihan-1.246283

4. Idris, Amin. (2017). Harian Metro. Ujian Silih Berganti.

5. Surah.my. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply