Kita semua tahu hayat kita di dunia ini bersifat sementara saja, ini bermakna kita dan orang-orang yang kita kenali dan kasihi akan mati dan kembali menemui Pencipta kita. Dan bagi sesetengah pakar psikologi, kebenaran yang tidak boleh disangkal ini sentiasa mengintai dalam minda kita dan pada akhirnya, mempengaruhi apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian dari makan hidangan apa sehinggalah berkahwin dan mempunyai anak.

Bagi Chris Feudtner, seorang pakar pediatrik dan etika dari Hospital Kanak-Kanak Philadelphia berpandangan soal kematian ini mempengaruhi aspek minda bawah sedar manusia. Beliau berkata, “Kebanyakan masa kita mengharungi kehidupan seharian tidak sedar dan tidak memikirkan soal kematian kita. Kita cuba menghadapinya dengan memfokuskan perkara yang berlaku di hadapan mata kita.” Tetapi bayangkan sekiranya kita mengetahui bila tarikh kita mati dan bagaimana kita mati, walaupun pada dasarnya ia merupakan sesuatu yang mustahil, mendedahkan motivasi di sebalik itu dan memberi petunjuk bagaimana kita menghabiskan sisa usia kita di bumi fana ini.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kita kena lihat bagaimana kematian membentuk tingkah laku manusia di dunia. Minat para saintis terhadap soalan ini sudah bermula sejak tahun 1980-an lagi dengan Profesor Sheldon Solomon dari Kolej Skidmore, New York mahu melihat bagaimana kita berhadapan dengan realiti ketakutan terhadap kematian. Berdasarkan penemuannya, Profesor Sheldon dan rakan-rakannya berpandangan manusia percaya dunia ini ada makna dan manusia itu sendiri mempunyai nilai bagi mengekang ancaman ketakutan yang boleh melumpuhkan kita. Berdasarkan eksperimen yang membawa kepada teori pengurusan ketakutan, para penyelidik mendapati manusia yang diingatkan dengan kematian akan berpaut lebih kuat pada kepercayaannya dan berusaha meningkatkan nilai maruah diri sendiri. Dan jika ada yang mengancam dua perkara asas ini, kita akan memberi reaksi agresif dan berusaha mempertahankannya daripada dicabuli.

 

Malah, sebarang petanda senyap berkenaan kematian seperti perbualan di tanah perkuburan atau melihat ingatan berkenaan kematian di televisyen sudah cukup mencetuskan perubahan tingkah laku ini. Antara tanda perubahan tingkah laku:

Figure 1: Agama membantu manusia menghilangkan rasa takut terhadap kematian.

– melayan orang yang berkongsi fahaman politik, asal-usul geografi dan kepercayaan agama lebih baik.

– membenci orang yang tidak berkongsi ciri sama dengan dirinya.

– melafazkan komitmen dan lafaz cinta terhadap orang yang berkongsi pandangan dunianya.

– lebih cenderung mengundi pemimpin berkarisma yang mengundang ketakutan terhadap orang luar.

– bersikap cuai, tidak bertanggungjawab serta tidak mahu mengambil tahu persekitaran sekeliling.

Para saintis berpandangan sekiranya manusia mengetahui tarikh kematian mereka dan bagaimana mereka mati, ia akan mengubah masyarakat menjadi lebih perkauman, ganas, menyukai peperangan dan meneruskan usaha memusnahkan alam sekitar. Tetapi bagi Solomon, beliau berharap apabila manusia mengetahui semua tanda kerisauan terhadap kematian ini, manusia dapat mengatasinya dan hidup lebih baik berbanding sebelumnya.

Berdasarkan satu kajian, para saintis melihat kepada eksperimen refleksi terhadap kematian. Dalam eksperimen itu, para penyelidik meminta peserta berfikir bukan saja berkenaan kematian secara umum tetapi bagaimana mereka akan mati dan bagaimana kematian mereka memberi kesan terhadap keluarga dan rakan-rakan. Hasilnya, mereka mendapati para peserta bersikap lebih altruistik seperti bersedia menderma darah dan sentiasa bermuhasabah diri berkenaan peristiwa positif dan negatif yang membentuk keperibadian mereka.

Figure 2: Refleksi kematian mendorong manusia melakukan perbuatan altruistik seperti menderma darah.

Berdasarkan penemuan ini, mengetahui tarikh kematian kita (walaupun dianggap mustahil) sebenarnya membantu kita lebih fokus terhadap kehidupan dan ikatan sosial berbanding memberi reaksi terburu-buru yang boleh memakan diri sendiri. Atas sebab itulah, bukan sedikit Rasulullah s.a.w berbicara mengenai kematian di mana sesetengah hadisnya bersifat motivasi kepada orang beriman.

Antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami mafhumnya, “Perbanyaklah mengingati kematian. Seorang hamba yang banyak mengingati mati maka Allah akan menghidupkan hatinya dan diringankan baginya sakit akibat kematian.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, baginda bersabda, “Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.” Walaupun hadis ini berkisar berkenaan hari kiamat, tetapi ia boleh diaplikasikan dalam soal ini. Para ulama yang mensyarahkan hadis ini berpandangan manusia harus berusaha menambah kebaikan tanpa mengira masa atau tempat kerana yang dilihat bukan hasil akhirnya tetapi usaha ke arah berkenaan.

Bagi pakar psikologi dari Universiti Salzburg, Profesor Eva Jonas berpandangan ia sesuatu yang benar jika kita mempromosikan strategi yang membantu manusia menerima kematian sebagai sebahagian daripada proses kehidupan dan mengintegrasikan maklumat ini dalam pilihan dan tingkah laku seharian. Jonas menambah, “Mengetahui bahawa kehidupan ada hadnya boleh meningkatkan persepsi terhadap nilai kehidupan dan membangunkan sentimen ‘kita semua dalam satu bot’, sekaligus mempromosikan nilai toleransi, belas kasihan dan mengurangkan reaksi bersifat defensif.”

Jenis personaliti dan jenis peristiwa spesifik turut mempengaruhi bagaimana manusia menerima maklumat berkenaan kematian. Bagi Laura Blackie, seorang pakar psikologi dari Universiti Nottingham berpandangan, individu yang bersikap neurotik dan risau akan menumpukan perhatian kepada kematian sehingga ke tahap tidak dapat melakukan perubahan hidup yang bermakna. Blackie turut menambah jika manusia diberitahu akan mati dalam keadaan tenang, itu tidak akan memberi motivasi kepadanya untuk melakukan perkara sama.

Untuk melihat reaksi manusia terhadap kematian, kita hanya perlu melihat reaksi pesakit-pesakit kronik. Menurut Feudtner, pesakit akan memberi dua reaksi apabila diberitahu oleh pakar perubatan. Pertama, mereka menyoal sejauh mana kebenaran diagnosis yang diberikan dan peratusan kematian akibat penyakit berkenaan. Kedua, mereka perlu memikirkan sama ada memfokuskan usaha mencari penawar atau menggunakan masa yang ada dengan mencipta kenangan terindah bersama orang tersayang. Proses ini turut terpakai kepada hipotesis manusia yang mengetahui tarikh kematian mereka. Sesetengah yang mahu mengelak cara kematian mereka akan berusaha mengatasinya. Ada juga yang bertindak lebih ekstrem dengan cuba membunuh diri mengikut syarat mereka sendiri berdasarkan satu kajian yang dijalankan Jonas dan rakan-rakannya.

Figure 3: Sesetengah manusia menerima kematian dengan mencipta kenangan manis bersama orang tersayang dan memanfaatkan masa mereka dengan kebaikan.

Sesetengah yang menerima kematian akan memberi reaksi dalam pelbagai cara. Ada sesetengah memanfaatkan masa yang ada dengan memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang dari bidang saintifik hinggalah dunia seni, kadangkala melampaui semua pencapaian yang kita tahu hari ini. Solomon menambah, “Saya suka berfikir mengetahui tarikh kematian kita sebenarnya mengeluarkan sisi terbaik kita, memberi kelebihan psikologi untuk lakukan lebih banyak untuk diri kita, keluarga dan orang sekeliling.” Satu kajian berkenaan mangsa yang mengalami kejadian trauma seperti kemalangan merasakan had masa di dunia ini dan ia boleh dimanfaatkan untuk memperbaiki diri sendiri.

Tetapi ada juga sisi negatif di sebalik ini di mana ada sesetengah bersikap malas dan lebih suka nyawa mereka ditamatkan. Ada juga merasa putus asa sehingga ke tahap tidak lagi mengamalkan gaya hidup seimbang dan tidak lagi mahu mematuhi undang-undang. Tidak kira spektrum mana yang kita jatuh, yang pasti menurut Solomon, kematian merupakan sesuatu yang menggentarkan dan ini dipersetujui Feudtner. Beliau menganggap ia satu perubahan seismik yang mengubah kehidupan manusia untuk selama-lamanya.

Antara kesan sekiranya manusia mengetahui tarikh kematian mereka:

  • à kemunculan rutin dan ritual sosial baru di mana tarikh kematian diraikan seperti tarikh hari lahir.
  • à memberi kesan kepada agama-agama dan memberi ruang kepada kemunculan kultus.
  • à impak negatif kepada perhubungan dan kekeluargaan terutama membabitkan orang tersayang.
  • à hilang moral pertimbangan dengan melakukan keputusan-keputusan seperti menggugurkan kandungan dan tidak mahu mempunyai anak.
  • à kewujudan undang-undang baru untuk menangani soal diskriminasi, pemilihan pemimpin politik dan kesihatan.

Apabila kita mula mendapat tahu masa dan bagaimana kita mati, suka atau tidak, gaya hidup kita akan mengalami perubahan besar. Peradaban manusia membangun seiring dengan kematian dan idea kematian itu sendiri. Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, sistem yang kita ketahui hari ini akan berubah 360 darjah. Atas sebab itulah, mengapa Tuhan mengelaskan kematian sebagai rahsia-Nya, agar manusiawi terutama orang beriman memanfaatkan masa di dunia untuk bercucuk tanam amalan pahala dan meninggalkan legasi yang baik untuk generasi seterusnya.

SUMBER

Nuwer, Rachel. (2018). BBC. What if we knew when we and how we’d die? http://www.bbc.com/future/story/20180618-what-if-we-knew-when-we-were-going-to-die


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.