Tatar , nama ini digunakan untuk menggambarkan beberapa kumpulan berbeza kaum Turki Muslim yang bertutur bahasa Turkik. Kebanyakannya adalah Muslim Sunni dan dikenal pasti berkait rapat dengan kawasan tertentu di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet.
Hari ini terdapat empat kumpulan utama Tatar;
1) Tatar Volga
2) Tatar Crimea
3) Tatar Siberia
4) Tatar Kriashen
Terdapat kira-kira 8 juta orang Tatar di mana-mana wilayah bekas Kesatuan Soviet hari ini. Merangkumi sekitar 6.5 juta Tatar Volga. Kurang daripada separuh berada di tanah air tradisi mereka di wilayah Volga dan Ural. Yang lain bertaburan di sekitar Rusia dan bekas Kesatuan Soviet, dengan jumlah yang besar di Asia Tengah.
Terdapat kira-kira setengah juta Tatar Siberia, mungkin satu juta Tatar Crimea dan mungkin 100,000 atau 200,000 Tatar Kriashen.
Tapi kita akan kenali dua masyarakat Tatar terlebih dahulu iaitu Tatar Volga dan Tatar Crimea.
Tatar Volga
Tatar Volga adalah kumpulan etnik Turki yang paling barat yang tinggal di bekas Kesatuan Soviet. Mereka secara tradisinya menetap di tengah padang rumput dan hutan Volga di Tatarstan dan Bashkirstan di Ural selatan.
Tatar Volga meliputi dua kumpulan yang berbeza iaitu Kazan dan Mishar. Mereka adalah keturunan Turkik Kipchak dan membentuk dinasti Tatar yang berbeza iaitu Kekhanan Kazan, yang bertahan selama lebih dari satu abad sehingga ia dimusnahkan oleh Ivan the Terrible.
Kebanyakan orang yang dikenali di Rusia sebagai Tatar adalah keturunan suku-suku Turki seperti Kipchak yang mendiami dua bahagian timur Empayar Mongol dan dikerah sebagai tentera, pemungut cukai dan hamba untuk Mongol.
Pada abad ke-8, bahagian selatan yang dikenali sebagai Tatarstan telah diduduki oleh orang Turkik yang digelar “Bulgar.” Mereka bermigrasi dari padang rumput Azov akibat serangan Arab, mereka berpindah ke kawasan Volga tengah.
Apabila kawasan ini ditakluki dan dimusnahkan oleh tentera Mongol di bawah Batu Khan pada tahun 1236, kebanyakan yang terselamat lari ke utara. Mongol membentuk wilayah yang mereka takluki di Rusia menjadi sebuah negeri dan dikenali sebagai Ulus Jochi (Golden Horde).
Di bawah Mongol, suku-suku yang seperti Bulgar, Kipchak, nenek moyang Tatar Volga dan peneroka Finno-Ugric, bercampur pada tahap yang berbeza-beza.
Pada tahun 1440-an, Ulus Jochi berpecah kepada beberapa kekhanan, antaranya Kekhanan Kazan, Astrakhan dan Kekhanan Crimea, dan bertahan sehingga 1502. Masyarakat di Kazan adalah hasil pergaulan kumpulan-kumpulan yang disebutkan di atas.
Kekhanan ini hanya bertahan dalam masa yang singkat tetapi merupakan negeri kuat yang meninggalkan kesan rentetan di rantau ini. Masyarakat yang tinggal di sana mengembangkan bahasa Tatar yang berbeza dan dikenali sebagai Tatar Volga.
Tatar Crimea
Tatar Crimea muncul pada abad ke-14. Sejarah awal mereka agak mirip dengan Tatar Volga tetapi mereka tidak berkembang dengan bebas. Tatar Crimea bertutur bahasa mereka sendiri berdasarkan bahasa orang Turki Kipchak seperti Volga tetapi berbeza, misalnya, mereka banyak menyerap beberapa perkataan bahasa Uthmaniyah. Jadi, mereka lebih berkait rapat dengan Azerbaijan dan Turki Anatolia.
Pada pertengahan abad ke-13, tentera Mongol di bawah Batu Khan menuntut Crimea. Seperti yang berlaku di rantau Volga, orang Mongol berkahwin campur dengan orang Turki tempatan dan suku-suku ini bergabung untuk menjadi satu kumpulan yang kemudiannya dipanggil Tatar Crimea oleh Rusia.
Pada tahun 1440 mereka mencipta negeri mereka sendiri di bawah naungan Empayar Uthmaniyah iaitu Kekhanan Tatar Crimea yang diperintah oleh Dinasti Giray yang mengaku sebagai keturunan Genghis Khan. Mereka menguasai Crimea sehingga Rusia di bawah Catherine the Great menaklukinya pada tahun 1783. Ia merupakan kubu kuat Mongol (Tatar) terakhir di Rusia.
Kebanyakan orang Tatar Crimea berambut perαng dan bermata biru kerana orang Yunani, Goth dan Genoa yang tinggal di selatan Crimea menerima pakai bahasa Tatar, menerima Islam, dan dengan itu diterima oleh Tatar tradisional yang bercirikan Mongolik.
Baik, ini mungkin menjelaskan mengapa bangsa Tatar memiliki ciri-ciri fizikal yang sangat pelbagai. Ada yang berwajah Asiatik dengan mata yang sepet, ada yang berwajah Iran atau Turki dan ada juga yang berambut perαng dan bermata biru.
Jadi adakah ini kesan dari percampuran genetik sepenuhnya atau pengaruh budaya dengan populasi tempat tinggal mereka? Jadi, bagaimanakah sebenarnya rupa orang Tatar yang asli?
Tatar ada empat makna:
- Penduduk asal dan majoriti populasi berbahasa Turkik di Republik Tatarstan Rusia, juga dikenali sebagai Tatar Volga. Ini turut termasuk minoriti Tatar Poland, Finland dan negara-negara Baltik.
- Orang Asli tetapi kini menjadi kaum minoriti Crimea yang juga dikenali sebagai Tatar Crimea, termasuk Romania dan Tatar Turki yang mudah berasimilasi.
- Beberapa rumpun yang berkaitan selain daripada Tatar Volga dan Tatar Crimea turut merangkumi kaum Nogay atau Bashkir dan juga kaum Turkik yang lain, malah meliputi kaum-kaum Eurasia yang tidak berbahasa Turkik seperti Buryat atau Tungus. Pendek kata, bagi orang Rusia, mereka adalah rumpun Altaic di Rusia.
- Negara atau suku-suku bersejarah yang disebut dalam dokumen lama telah hidup berjiran dengan bangsa Mongol sama ada semasa atau sebelum kebangkitan Genghis Khan, mungkin bukan berasal dari kaum berbahasa Turkik.
Anggaplah misalnya, persoalan ini merujuk kepada Tatar Volga, dan bukannya merujuk tiga definisi selebihnya.
Tatar Volga, atau Tatar sahaja, sememangnya mempunyai variasi yang sangat luas dalam genetik populasi mereka. Mereka boleh muncul sebagai masyarakat bermata biru, berambut perαng, atau bercirikan rupa Asia Timur, atau bercampur aduk dengan masyarakat berwajah Kaukasia atau Timur Tengah atau ciri-ciri luar yang lain.
Variasi adalah perkara biasa di kalangan bangsa Turki. Contohnya jika kita melihat orang Uighur di Urumqi, Xinjiang (Turkestan Timur), China, rata-rata masyarakatnya ada ciri-ciri berbeza di sana.
Malah ianya bukan satu perkara mustahil di kalangan orang Turki untuk mencari adik beradik dari ibu bapa yang sama dalam kalangan rumpun yang orang Eropah sering lihat sebagai ‘kaum yang berbeza’.
Orang Chuvash, Uzbekistan, Azerbaijan apatah lagi orang Turki Anatolia mempunyai variasi genetik yang luas, bahkan mengatasi kebanyakan bangsa dari Dunia Lama yang lain. Tatar adalah contoh yang baik.
Sebabnya mungkin seperti berikut:
Orang Turkik, atau panggilan mudahnya, orang Turki, telah berpusat di Asia Tengah atau Eurasia, yang merupakan pusat graviti populasi kira-kira seramai lima bilion manusia dengan ciri-ciri yang berbeza. Kawasan tradisi yang didiami orang Turki juga merupakan persilangan kaum manusia terkini, Neanderthal dan Denisovan, selain Homo Sapien.
Orang Turki mungkin membawa genetik campuran tertinggi daripada variasi ini kecuali masyarakat pribumi Amerika. Malah segelintir kaum Turki Altai dan Ural masih percaya kewujudan Almas, manusia aneh berambut merah yang tinggal di dalam gua.
Jika kita mempercayai maklumat Ibn Fadlan, atau kaum yang tidak mesra Turki, atau maklumat-maklumat lain, orang Turki Kuno mungkin mempunyai teknik meningkatkan variasi genetik dengan menggalakkan percampuran gen yang disengajakan dengan bangsa yang paling berbeza dan paling jauh. Ini mungkin salah satu kunci kejayaan mereka dalam sejarah.
Orang Turki pernah menjadi kaum penggembala kuda atau rusa. Suku-suku mereka berasal dari bangsa separa nomad atau sepenuhnya, membawa teknologi besi bersama mereka sambil bergerak jauh ke serata tempat.
Orang Turki secara tradisinya tidak melihat warna kulit apabila bercakap tentang ras bangsa. Mereka tidak melihat diri mereka sebagai Asia Timur, Eropah atau Timur Tengah tetapi berada di atas kategori tersebut. Lebih-lebih lagi setelah memeluk Islam.
Memandangkan orang Turki pernah membina beberapa empayar dalam sejarah, maka mereka bercampur gaul dengan rakyat secara penuh. Sebahagian daripada mereka menyertai bangsa Turki yang menjadi kelas pemerintah, mengangkat bahasa prestij dan budaya dominan. Ini meningkatkan variasi genetik.
Walaupun Tatar adalah bangsa yang sering menjadi musuh ketat Rusia, namun selepas mereka tewas dalam peperαngan menjelang abad ke-16, orang Tatar yang menjadi warganegara setia Rusia sering turut serta membawa panji-panji Rusia atau Soviet dalam peperαngan.
Mereka lebih berpendidikan daripada orang Turki yang lain pada akhir abad ke-19 dan ramai yang menjadi guru di seluruh Asia Tengah. Mereka bercampur dengan orang Rusia dan orang Turki yang lain. Ini berlaku semasa perkembangan penyelidikan dalam bidang turkologi di Rusia.
Kajian telah menunjukkan bahawa seseorang manusia amat baik dalam mengenal pasti perbezaan di kalangan kumpulan yang mereka dibesarkan. Kajian ini boleh diakui, seseorang mungkin lebih sensitif terhadap perbezaan.
Tatar pada asalnya tidak pernah menggambarkan mana-mana kumpulan bangsa tertentu, ia berasal dari klasifikasi secara umum terhadap mana-mana kumpulan nomad ‘Mongolic’.
Empayar Mongol dalam sejarahnya pernah digelar sebagai ‘Tatar Agung’. Istilah ini kini telah mengecil, tetapi masih menggambarkan banyak masyarakat yang sangat berbeza, biasanya mereka yang tinggal di tanah yang secara bersejarahnya pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Rusia.
Sekaligus bermakna ia turut menggambarkan masyarakat barat dan timur yang sudah bercampur secara budaya jauh sebelum Empayar Rusia muncul, iaitu ketika zaman penjajahan Mongol.
Pada satu ketika istilah “Tatar” juga pernah digunakan oleh pegawai-pegawai Empayar Rusia untuk menggambarkan kebanyakan masyarakat Islam bukan Uthmaniyah dalam sempadan Rusia atau tinggal berdekatan dengannya yang bebas daripada etnik suku tertentu.
Azeri juga pernah dipanggil sebagai Tatar pada satu ketika, termasuklah masyarakat Nogay, Kazan atau Crimea.
Lebih meluaskan lagi variasi ini adalah apabila salah satu rekod terawal yang menyebut tentang Tatar muncul dalam sejarah pra-Mongol sendiri. Tatar disebut sebagai salah satu suku nomad yang merupakan musuh tradisi suku Mongol. Suku Tatar juga bertanggungjawab ke atas pembunuhan bapa Genghis Khan.
Suku yang sama ini kemudian akan hilang identitinya selepas diserap sebagai unit ketenteraan Mongol semasa kebangkitan Genghis Khan, jadi, secara teknikalnya, suku Turkik bernama ‘Tatar’ di Asia Tengah telah menerima identiti yang baru iaitu Mongol.
Hari ini, jika berbincang tentang bangsa Tatar, ia pasti merujuk sama ada tentang Tatar Volga Bulgaria atau Tatar di Rusia dan Ukraine. Walaupun ciri-ciri mereka amat berbeza dan banyak pertindihan tentang asal usul mereka, namun apa yang pasti mereka semua pasti ada kaitan dengan sejarah penaklukan Mongol di barat.
Kesimpulannya, kebanyakan orang Rusia secara tradisinya mengaitkan Tatar dengan Mongol yang pernah menakluki Rusia pada abad ke-16 tetapi sebenarnya mereka adalah kumpulan yang berbeza. Tatar adalah jiran Mongol dan Turki tetapi berbeza.
Para pengkaji etnolinguistik menghadapi kesukaran untuk menerangkan dengan tepat perbezaan ini, maka, kaitan serta perbezaan antara Tatar, Mongol dan Turki masih menjadi perdebatan. Meskipun begitu Tatar sudah lama digambarkan sebagai syaitan dalam kebanyakan cerita-cerita rakyat kaum Slavic.
Tatar asli yang merupakan suku Turkik yang berkuasa telah dihapuskan oleh Genghis Khan. Hampir seluruh orang Tatar atau Turkik nomad amnya telah menyerap identiti Mongol di sepanjang zaman penaklukan dan kebangkitan Empayar Mongol.
Dari sejarah inilah, orang Eropah sudah terbiasa merujuk orang Mongol sebagai ‘bangsa Tatar’, mereka berpendapat bahawa kaum gasar yang kejam dan jahat seperti mereka sentiasa muncul dari tempat seperti Tatarus.
RUJUKAN:
Tucker, Spencer C. (2010). A Global Chronology of Conflict: From the Ancient World to the Modern Middle East, Vol. II. ABC-CLIO.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih