Setiap negara mempunyai nama. Asal usul beberapa nama sesebuah negara adakalanya cukup jelas. Sebagai contoh, United States of America (Amerika Syarikat) adalah lima puluh buah negara yang disatukan di Amerika Utara. Manakala beberapa nama negara lain ada yang lebih mengelirukan seperti Iceland dan Greenland.
Iceland adalah negara dengan tanah yang subur dan penuh dengan kehijauan alam semulajadi, bahkan mempunyai volkano di Atlantik Utara manakala negara Greenland pula adalah wilayah autonomi kerajaan Denmark yang beriklim sejuk dan diliputi 80% ais hingga kebanyakan geografinya hampir tidak mempunyai habitat selain kawasan garis pantai.
Jadi, apa punca yang menyebabkan dua tempat ini memiliki nama yang sangat berbeza dengan bentuk geografinya? Dikatakan, nama Iceland berasal daripada taktik yang digunakan oleh peneroka Norse untuk menghalang pengunjung daripada mengunjungi Iceland. Sebaliknya, Greenland mendapat namanya sebagai taktik untuk menarik peneroka baru.
Jadi, hingga ke hari ini, orang China tidak pernah menyebut nama negara mereka sebagai “China” kerana ia jelas berbeza dengan sebutan lidah di kalangan bangsa mereka sendiri. Tetapi mengapa seluruh dunia mengenali mereka sebagai China?Nama rasmi negara China Moden ialah 中华人民共和国 (Zhōnghuá Renmin Gongheguo) atau “Republik Rakyat China”. Nama ini mula diterima pada tahun 1949 selepas berakhirnya Per4ng Saudara China.
Terdapat banyak teori mengenai penciptaan nama China versi Inggeris ini. Bukti terawal menyebut perkataan tersebut adalah pada tahun 1555 di dalam sebuah buku Portugis yang diterjemah oleh orang Inggeris, Richard Eden, dan dianggap sebagai orang yang pertama menggunakan perkataan “China”.
Perkataan Portugis untuk “China” berasal dari perkataan Parsi “Chīnī”. Teori yang lain, yang lebih diterima umum, meyakini bahawa nama dinasti imperial China yang pertama, iaitu Dinasti Qin (disebut “Chin”) sebagai punca utama yang mencipta nama China. Persamaan fonetik antara Qin dan China hari ini dianggap sebagai kemungkinan paling kukuh tentang asal-usul perkataan “China”.
China bukan satu-satunya negara yang lebih dikenali dengan nama Inggerisnya berdasarkan kaitan antara fonetik dan vernakular Inggeris. Sebilangannya termasuklah: Spain (España), Mexico (Estados Unidos Mexicanos), Brazil (Brasil), Netherland (Nederland), dan Italy (Italia).
Setiap negara di Bumi mempunyai nama dan makna dalam bahasa vernakular, tetapi kisah di sebalik nama mereka dalam bahasa Inggeris tidak dinafikan agak unik. Ia sama seperti bagaimana orang Melayu menyebut nama negara-negara lain seperti Yunani (diambi dari perkataan Parsi dengan sebutan yang sama) untuk Greece atau Perancis untuk France.
Sebutan Mengikut Lidah Tempatan
Sebab mengapa nama China digunakan Barat agak memeningkan. Sama seperti kebanyakan nama Inggeris untuk negara lain di mana nama itu tidak pernah digunakan dalam negara itu sendiri.
Jika kita mengenali mereka sebagai ‘Yunani’, orang barat mengenali mereka sebagai ‘Greece’, tetapi bagi orang Yunani sendiri, mereka menyebut nama mereka sebagai ‘Hellas’. Sementara orang Inggeris merujuk Mesir sebagai ‘Egypt’, kita merujuk mereka sebagai ‘Mesir’ dan ia hampir serupa dengan sebutan sebenarnya iaitu ‘Misr’.
Nama ‘China’ itu sendiri juga dipercayai telah digunakan selama ribuan tahun dan tidak mudah hendak menjejak asal usulnya yang sebenar. Mungkin juga ia berasal dari perkataan Sanskrit ‘Chinasthana’ yang bermaksud negara di sebelah Timur India atau mungkin benar ia berhubungkait dengan Dinasti Qin dengan sebutan ‘Chin’.
Nama itu sudah lama digunakan sebelum Maharaja Qin Shih Huang (259 – 210 SM) menyatukan seluruh China. Sebelum penyatuannya, kerajaan Qin adalah kerajaan paling barat dari seluruh kerajaan-kerajaan yang lebih kecil yang meliputi seluruh tanah besar China dan Qin akan menjadi sempadan pertama yang akan dilintasi oleh pedagang yang melakukan perjalanan darat dari India dan Asia Tengah.
Negara lain pula akan menggunakan nama yang berbeza untuk China berikutan sejarah hubungan mereka dengan negara tersebut atau bagaimana lidah mereka menyebut nama asal negara China, contohnya orang Indonesia menyebut China sebagai ‘Tiongkok’ sebagai ganti kepada sebutan ‘Zhonghua/Zhongguo). Nama ‘Cathay’ pula digunakan di Rusia dan Asia Tengah merujuk kepada orang-orang ‘Qidan/Khitan’ yang memerintah China utara pada abad ke-11.
Bangsa Han Dan Bahasa Mandarin
Dengan 92% populasi penduduk China dikategorikan sebagai 汉 atau Han (bangsa majoriti di China), istilah ‘Han’, dijadikan nama bangsa untuk seluruh bangsa yang kita kenali sebagai bangsa Cina hari ini, istilah itu dinamakan bersempena empayar kedua yang memerintah seluruh China iaitu dinasti Han.
Dialek rasmi dan paling banyak digunakan dalam bahasa Cina adalah yang digunakan di Beijing. Hubungan bersejarahnya dengan istana zaman Imperial menyebabkan istilah ‘Mandarin’ digunakan untuk bahasa itu, merujuk kepada bahasa istana yang dituturkan para pegawai istana.
‘Mandarin’ kemudian dijadikan istilah yang digunakan oleh orang Portugis untuk merujuk kepada para pegawai istana di China, Portugis mendapat istilah ini dari perkataan Melayu iaitu ‘menteri’ yang merupakan istilah untuk merujuk kepada para pegawai istana orang Melayu. Istilah ‘menteri’ ini berkongsi akarnya dengan perkataan Sanskrit ‘mantri’.
RUJUKAN:
- K. Fairbank. China : A New History. (Buku)
- Chinasge – China is Not Called China : http://www.chinasage.info/chinaname.html
- Omiglot – Country names in local languages: http://www.omniglot.com/countries/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih