Kalau anda pernah melihat gambar-gambar para angkasawan di kaca televisyen, suratkhabar, media sosial atau sebagainya, anda pasti akan melihat mereka mengenakan dua buah sut warna yang berbeza iaitu warna jingga dan putih.

Mengapa mereka hanya memakai sut berwarna jingga dan putih sahaja? Mengapa sut mereka tidak diwarnakan dengan warna lain seperti warna ungu, hijau atau biru? Lagi banyak warna lagi meriah suasana di angkasa lepas nanti, tak begitu?

Tidak.

Warna yang ada pada sut angkasawan bukan warna yang diletakkan semberono tanpa berfikir panjang, tetapi ia merupakan kod warna yang digunakan atas sebab-sebab tertentu. Adakah anda mahu tahu apakah sebab-sebabnya?

1. ACES.

ACES atau Advanced Crew Escape Suit merupakan sut yang berwarna jingga. Selain dinamakan ACES, ia juga dikenali sebagai Pumpkin. Sut ini dipakai atau digunakan oleh para angkasawan ketika mereka dalam fasa pelepasan (lift-off).

Dalam bahasa mudahnya, sut sebegini digunakan ketika para angkasawan dalam perjalanan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari tapak pelepasan pesawat roket (space shuttle base) ataupun berlepas dari Stesen Angkasa Antarabangsa menuju ke Bumi. Pergi dan balik.

Apakah fungsi sut ini? Kita boleh melihat pada namanya, iaitu Advanced Crew Escape Suit yang mana ia merupakan sut yang diciptakan khas ketika saat melarikan diri pada waktu kecemasan apabila sesebuah pesawat roket atau kapsul pod menghadapi masalah di ruang udara seperti kebocoran atau letupan. Sut ini dilengkap dengan pelbagai gajet kecemasan seperti payung terjun, ‘flare’ dan set rawatan kecemasan. Kelengkapan kecemasan sut ACES menyamai seperti kelengkapan bertahan hidup seorang pendaki gunung.

Angkasawan yang melarikan diri dari letupan ini berkemungkinan akan mendarat di permukaan daratan atau lautan. Warna jingga merupakan warna yang jelas dan senang dilihat oleh manusia, jadi tidak peliknya mengapa sut diwarnakan sebegini rupa.

Tambahan pula, warna jingga adalah warna yang paling jelas dilihat oleh mata manusia ketika berada di tengah lautan. Ia secara tidak langsung memudahkan pihak penyelamat melihat mereka dari arah udara dengan helikopter atau dari arah laut dengan kapal ketika melakukan misi penyelamatan.

2. EVA.

EVA atau Extravehicular Activity merupakan sebuah sut khas berwarna putih yang digunakan oleh angkasawan ketika mereka melakukan kerja, misi atau berjalan di luar angkasa (spacewalk). Sut EVA ini lebih tebal berbanding sut ACES, kerana sut ini memang direka khas melapisi badan angkasawan dengan beberapa lapisan penting ketika mereka berada di luar kapal angkasa atau Stesen Angkasa Antarabangsa.

Sut ini dilengkapi dengan sistem penyejukan yang mengeringkan peluh si pemakainya, bekalan air yang bertahan selama 6 jam ketika berada di luar kapal angkasa, bekalan oksigen dan radio. Mengapa ia berwarna putih?

Ini kerana, warna putih merupakan warna pemantul, yang mampu memantulkan kembali haba dari cahaya matahari, kurang meresap haba dan ia merupakan warna yang jelas dilihat oleh mata manusia apabila berada di ruangan angkasa yang gelap gelita, terutamanya ketika berlaku kes angkasawan terputus dari kapal angkasa dan hanyut ke ruang angkasa. Apabila terjadi kes sebegini, maka pasukan penyelamat mampu mengesan kedudukannya dari pancaran atau pantulan cahaya dari sut putihnya.

Baik, jadi begitulah maklumat ringkas berkaitan mengapa sut ACES berwarna jingga dan sut EVA berwarna putih digunakan oleh kebanyakan angkasawan dari pelbagai negara ketika melakukan misi di angkasa lepas.

Sebenarnya sut angkasa lepas ini mempunyai pelbagai model dan versinya daripada tahun 1960 sehingga ke hari ini, tetapi pada umumnya, kedua buah sut ini masih digunakan sehingga ke hari ini melalui beberapa penambahbaikan dan fungsinya.

RUJUKAN:

1. How Space Suits Work oleh Craig Fruedenrich (Science Workstuff).

2. What Is A Spacesuit? oleh NASA TV.

– TAMAT –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.