Pada tahun lepas, saya telah dijemput oleh penganjur agar menjadi moderator untuk pembentangan KH Dr M Dhiyauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara 2017 di Dewan Tun Sakaran, TH Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.
Pembentangan KH Dr Dhiyauddin, Ulama’ dari Surabaya, Jawa Timur yang merupakan pimpinan keluarga besar zuriat Wali Songo lebih kurang 45minit. Saya sempat mencatat beberapa point yang beliau sampaikan dan ditambah rujukan dari nota kertas kerja yang dikongsikan. La ni, saya ingin berkongsi Manhaj Dakwah Songo Sebagai Pendekatan Dakwah di Nusantara ini. Selain daripada rujukan melalui penyampaian dan kertas kerja KH Dhiyauddin, saya tambahkan beberapa maklumat dari rujukan lain dan olahan ayat sendiri untuk penulisan kali ini.
Wali Songo
Wali secara bahasa (lughawi) ertinya sahabat atau juga pemimpin. Apabila disebut seseorang itu Wali, selain bermaksud dia adalah sahabat atau kekasih Allah, ia juga membawa erti sebagai seorang pemimpin dalam kalangan kaumnya.
Wali Songo adalah para Wali yang terkenal di Jawa yang telah berhasil menyebarkan Islam khususnya di Pulau Jawa dan pada umumnya di seluruh Wilayah Nusantara dengan cara yang penuh kedamaian. Wali Songo adalah para Ulama’ Sufi yang bergabung dalam Dewan Syuro Ulama’ Sufi yang berjumlah 9 orang. Tatkala seorang diantaranya wafat, maka akan ada penggantinya. Mereka masing-masing memiliki wilayah dakwah dimana mereka sebagai pemimpin dakwah bagi umat wilayah-wilayah tersebut. Dari aspek kepimpinan, mereka digelar Susuhunan disingkat menjadi sunan dan mereka saling bermusyawaroh dalam memilih pemimpin untuk mengelola pentadbiran dan kekuasaan pemerintahan Islam di Pulau Jawa seperti Kesultanan Demak, Kesultanan Cirebon, Kesultanan Banten, Kesultanan Pajang dan Kesultanan Mataram.
Para Wali Songo ini dari keluarga besar dan saling berkerabat. Mereka adalah keluarga keturunan ahlul Bait (keturunan Rasulullah s.a.w dari keturunan Imam Husain) melainkan Sunan Kalijaga dan anaknya Sunan Muria yang berketurunan Jawa asli. Makam mereka diziarahi sentiasa, tidak pernah putus daripada kunjungan orang awam sejak kewafatan mereka.
Disebut Wali Songo kerana jumlah mereka adalah 9 (songo). Nama-nama Wali Songo ialah :
- Sayyid Raden Ahmad Rahmatullah atau Sunan Ampel yang berdakwah di daerah Ampel, Surabaya dan sekitarnya.
- Raden Paku atau Sunan Giri, yang berdakwah di daerah perbukitan Giri, Gresik dan sekitarnya.
- Raden Maulana Makhdum Ibrahim atau Sunan Bonang, yang berdakwah di daerah Bonang, Lasem dan sekitarnya.
- Raden Qasim atau Sunan Drajat yang berdakwah di Daerah Drajat, Lamongan dan sekitranya.
- Raden Sahid atau Sunan Kalijaga, yang berdakwah di daerah Cirebon dan Kadilangu, Demak serta sekitarnya.
- Sayyid Jaafar Saddiq atau Sunan Kudus, yang berdakwah di daerah Kudus dan sekitarnya.
- Raden Umar Said atau Sunan Muria, yang berdakwah di daerah pergunungan Muria dan sekitarnya.
- Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati yang berdakwah di daerah Cirebon dan sekitarnya.
- Maulana Malik Ibrahim atau Sunan Gresik, pembuka pesantren di Gresik
Ada Tiga FASA kepemimpinan Wali Songo :
Fasa Pertama – dipimpin oleh Sunan Ampel.
Fasa Kedua – dipimpin oleh Sunan Giri.
Fasa Ketiga – dipimpin oleh Sunan Gunung Jati.
Peranan Dan Tanggungjawab Wali Songo
Sebagai Ulama’ pewaris Nabi, Wali Songo menjalankan amanah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Oleh kerana itu, Wali Songo telah memainkan peranan yang sangat besar di zaman mereka. Ada TIGA peranan dan tanggungjawab utama wali songo, iaitu :
- Muadhib
Sebagai pendidik, para Wali Songo menjadikan madrasah atau pesantren sebagai tapak asas pendidikan Islam Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Tasauf.
- Muwahid
Penyatu Ummah. Wali Songo telah membangunkan Masjid sebagai pusat dakwah dan pusat gerakan persatuan ummah atas dasar semangat persaudaraan Islam dan gotong royong sebagai penyelesaian menyatukan masyarakat yang tidak bersatu antara satu sama lain akibat pengaruh sistem sosial yang berdasarkan Kasta ketika itu.
- Mujahid
Agen pembaharu masyarakat. Tidak sekadar dakwah, para Wali Songo juga mendirikan Kesultanan sebagai tapak keabsahahan syariah, kemakmuran dan ke arah mewujudkan masyarakat yang adil serta mempunyai peradaban tinggi berteraskan ajaran Islam dan dalam masa yang sama tetap meraikan budaya setempat.
Prinsip & Stratergi Dakwah Wali Songo
Prinsip Dakwah Wali Songo sangat jelas iaitu membawa manusia kepada tauhid, akhlak yang baik sebagaimana yang dijelaskan dalam kandungan Al-Qu’ran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka bertegas dalam soal aqidah, menyeru masyarakat agar tidak syirik kepada Allah. Sementara dalam soal syariat dan akhlak, Wali Songo mengajar, mentarbiyah masyarakat secara ‘live’ dan bertahap serta menyesuaikan dengan adat budaya setempat. Wali Songo menggunakan pendekatan bijaksana iaitu tidak menyerang adat atau ritual masyarakat ketika itu akan tetapi memasukkan unsur tauhid, Islamisasi dan memurnikan.
Jika ingin menyebut satu persatu pendekatan dakwah Wali Songo, ia terlalu banyak. Cuma, apa yang telah dikongsikan oleh KH Sidi Dhiyauddin, dakwah Wali Songo menerapkan TIGA pendekatan yang strategik dan efektif sebagaimana yang digariskan dalam Al Quran dalam surah An Nahl ayat 125
- Bil Hiikmah : Menjelaskan ajaran Islam secara arif (bijaksana) dengan hujah-hujah yang masuk akal serta senang difahami dan diterima masyarakat.
- Wa Mauizhoh al Hasanah : Memberikan nasihat-nasihat dan kisah-kisah teladan yang baik merangkumi pelbagai masalah baik melibatkan individu, keluarga dan masyarakat.
- Mujadhalah: Jika diperlukan, dalam situasi tertentu, mereka juga berdiskusi dengan penuh adab atas semangat membentangkan dan mempertahankan kebenaran.
Wasilah Dakwah Wali Songo
Dalam mendidik dan berdakwah, Wali Songo banyak menggunakan media dakwah yang pelbagai ragam disesuaikan dengan keperluan, latar belakang usia serta sosio-budaya masyarakat. Media atau wasilah dakwah antaranya ialah:
- Method pembelajaran melalui ceramah dan dialog bertempat di pesantren dan masjid juga melalui penulisan kitab-kitab tentang tauhid, fikh dan tasauf dalam bentuk suluk (maksud Suluk disini ialah kara sastera yang berisi tentang tasauf mengenai ketunggalan Allah), serat (karya sastera Jawa) dan primbon.
- Media seni budaya iaitu melalui tembang-tembang antaranya ialah tembang mijil, sinom, asmaradhana, dhandanggula, mas kumambang, pangkur, megatruh, pucung, kinanthi dan gambuh. Termasuk juga melalui pagelaran wayang yang ceritanya diadaptasi dan disesuaikan dengan nilai-nilai ajaran Islam antaranya : Jamus Kalimasada, Dewa Ruci, Arjuna Wiwaha dan lain-lain.
- Melalui Dolanananak-anak iaitu dengan mencipta pelbagai permainan anak-anak yang disesuaikan dengan tingkatan usia dan kesukaan anak-anak yang mengandungi pelajaran Iman dan budi pekerti. Antaranya ialah, permainan cubleg-cubleg suweng, dakon, jamuran, gorbak sador dan lain-lain.
- Melalui latihan beladiri Pencak Silatkhususnya untuk anak-anak remaja, untuk menanamkan jiwa kepimpinan, kepahlawanan dan tanggungjawab.
Faktor-Faktor Yang Menentukan Kejayaan Dakwah Wali Songo
Kejayaan dakwah Wali Songo sangat jelas dan hal ini dibuktikan dengan tersebarnya Islam di Seluruh Jawa dan merentasi Nusantara. Keberhasilan dakwah Wali Songo ditentukan oleh faktor-faktor yang dikenalpasti seperti berikut :
- Keperibadian
Sebagai Ulama’ bahkan Wali, Wali Songo memiliki keperibadian yang mulia dengan akhlak terpuji sehingga mereka dipercayai, ditaati dan diteladani.
- Kepimpinan
Para Wali Songo berdakwah tidak secara individu tetapi secara berkumpulan, tersusun, terancang atas dasar semangat syura dan kerjasama yang baik. Prinsip kepimpinan Wali Songo :
“Ing Ngarso Sung Tuladha : di depan memberi tauladan.
Ing Madya Mangun Karsa : di tengah masyarakat menunjukkan panduan dan motivasi.
Tut Wuri Handayani : di belakang memberi dokongan dan perlindungan. ”
- Method Dakwah
Para Wali Songo menggunakan pelbagai method dan pendekatan yang disesuaikan dengan level (tingkatan) dan latar belakang budaya masyarakat serta tidak melalui kekerasan sehingga dakwah Wali Songo sangat komunikatif dan diterima tanpa paksaan.
- Ajaran Tasauf
Ajaran islam yang disebarkan oleh Wali Songo adalah ajaran tasauf yang sangat menekankan kasih sayang, persaudaraan dan gotong royong. Hal ini sangat sesuai dengan keperluan masyarakat yang saat itu sedang berpecah belah dan berada dalam konflik akibat ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan.
9 Kesimpulan Prinsip Dakwah Wali Songo
Kita percaya dan bersetuju bahawa memulakan langkah kejayaan dengan mencontohi panduan, petua dan prinsip orang yang sudah berjaya. Demikian juga dalam dakwah. Di Nusantara, gerakan dakwah Wali Songo disifatkan paling berjaya, paling damai dan mempunyai keunikan tersendiri sehingga penyebaran Islam berlaku secara asimilatif, lokal dan penuh damai. Maka sayugianya, kita mencontohi gerakan yang telah membuktikan kejayaan di Tanah Jawi. Prinsip-prinsip dakwah mereka jika dilihat masih kekal relevan sehingga kini kerana prinsip mereka berteraskan tauhid dan akhlak yang bersifat tetap. Adapun ‘form’ yakni bentuk atau teknik, terserah kreativiti masing-masing berdasarkan setempat, masyarakat dan budaya masing-masing. Dasar atau prinsip dakwah Wali Songo ialah seperti berikut :
- Kalimasada senjatane (Senjatanya adalah Iman, Islam dan Ihsan yang terkandung dalam Syahadat).Ertinya : Selalu mendakwahkan iman, Islam, Ihsan. Mengajak umat untuk kembali kepada Allah dan setia pada Rasulullah.
- Becik ketitik, Olo ketoro (Kebenaran akan selalu menang, dan kemungkaran akan lenyap binasa).Ertinya: Dakwah Wali Songo adalah dakwah dalam kebenaran dengan cara damai. Dan Allah pasti akan menolongnya.
- Sugih tanpa banda (Kaya tanpa modal harta). Ertinya : Jangan rakus pada harta. Kebahagiaan adalah ketika kita mampu mendakwahkan agama, dakwah jangan bergantung pada harta.
- Nglurug tanpa bala (Menyerbu tanpa banyak orang/tentara). Ertinya : Jangan terhijab dan terpesona dengan banyaknya jumlah kita, karena kemenangan berasal dari pertolongan Allah. Bukan kerana banyaknya pengikut.
- Menang tanpa ngasorake (Menang/unggul tanpa merendahkan orang). Ertinya : Berdakwah harus dengan cinta, damai dan lemah lembut, jangan menganggap hina musuh-musuh kita. Kita pasti unggul dengan sikap tawadhu’. Jangan merendahkan org lain (jangan sombong).
- Mulya tanpa punggawa (Mulia tanpa anak buah).Ertinya : Kemuliaan hanya dalam iman, takwa, akhlak dan pengamalan Islam secara Kaffah (sempurna), bukan karena banyaknya pengikut
- Mletik tanpa sutang (Melompat jauh tanpa galah/tongkat panjang). Ertinya : Niat untuk berdakwah ke seluruh penjuru alam adalah berkat pertolongan Allah, bukan karena sebab-sebab yang lain.
- Mabur tanpa lara (Terbang tanpa sayap). Ertinya : Kita bergerak untuk berdakwah menjumpai umat di mana pun berada.
- Menang tanpa tanding (Menang tanpa berperang). Ertinya : Berdakwah adalah dengan hikmah, cinta, kasih, damai, kata-kata yang sopan, akhlaq yang mulia dan doa-doa yang selalu dipanjatkan kepada Allah agar umat seluruh alam mendapatkan hidayah dari Allah. Bukan dakwah dengan kekerasan atau anarkis.
Wali Yang Membawa Salaman
Wali Songo merupakan pemimpin dan wali yang sangat dikenali oleh masyarakat Nusantara khususnya di Pulau Jawa sejak ratusan tahun dahulu. Kisah-kisah tentang mereka diceritakan sejak turun temurun hingga kini. Mereka memanfaatkan segala medium atas maksud berdakwah. Mereka juga datang dengan pelbagai karakter, bersesuaian dengan kehendak budaya ketika itu.
Sungguh, perjalanan dakwah dan kehidupan mereka telah meninggalkan inspirasi, tunjuk ajar dan pedoman akan betapa Islam itu benar-benar membawa salaman (kesejahteraan) dan kedamaian. Seperti air bergerak menyusup akar dan batu di hadapan.
Jelas sekali, gerakan wali Songo tidak mengajak kepada diri, kumpulan mereka atau madrasah mereka, tetapi hanya kepada Allah dan Rasul. Tidak penting diri mereka, bahkan mereka boleh menggunakan apa sahaja pihak, tokoh atau instrument yang berada di hadapan mereka sebagai wasilah dakwah mereka. Mereka bukan gerakan kemarahan, kebencian, dendam, radikal dan jauh sekali menzalimi orang lain. Mereka datang membawa seluruh bani adam kembali makrifat kepada Allah melalui wasilah Rasulullah yang membawa cinta, adab serta adat. Dengannya, jiwa menjadi fakir dan sembuh dari pelbagai kejahatan hati, terbangun ibadah yang khusyu’, akhlak yang indah, membawa dakwah salaman, mewujudkan keadilan, kasih sayang, kedamaian dan rahmatan lil alamin.
“Menjernih Jiwa, Mendamaikan Nusantara”.
Sekian,
Angah Sunan LFO
Rujukan:
- Kertas kerja Manhaj Dakwah Songo Sebagai Pendekatan Dakwah di Nusantara : Suatu Analisis, KH Dr M Dhyauddin Kuswandhi (2017) di Wacana keharmonian Islam Nusantara di Sabah.
- Kertas kerja “Pergerakan Tauhid Sufi Dalam Memberkahi Kehidupan Nusantara” oleh al Fakir Ibrahim Bin Mohamad, KUN (2016) di Muzakarah Tauhid Tasauf ke-4 Asia Tenggara, Bogor.
- Syaikh Rohimudin Nawawi Al Bantani, Kisah Ajaib Wali Songo, Melvana Publishing (2017)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih