Menurut Edward Burnett Tylor, sistem kepercayaan manusia melalui beberapa transisi evolusi iaitu dinamisme(kepercayaan terhadap benda-benda di sekitar manusia yang diyakini memiliki kekuatan ghaib), animisme(kepercayaan kepada makhluk halus dan roh), politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan), henoteisme(keyakinan kepada satu Tuhan tanpa mengingkari adanya dewa lain atau makhluk halus) dan monoteisme(kepercayaan bahawa Tuhan adalah tunggal dan berkuasa penuh ke atas segala sesuatu). Menyelusuri filem Life Of Pi ini memberikan pandangan yang senada dengan tafsiran Edward Burnett Tylor tersebut.

Melalui khabar angin yang tersebar luas, nama-nama besar seperti M. Night Shyamalan, Alfonso Cuarón dan Jean-Pierre Jeunet pernah dikaitkan untuk menjadi pengarah kepada filem ini namun akhirnya mereka mengundurkan diri disebabkan Life Of Pi mungkin ‘terlalu berat’ atau ‘terlalu kompleks’ untuk divisualkan ke layar perak. Ironinya, pengarah dari Taiwan, Ang Lee hadir dengan magis, merealisasikan novel falsafah ini ke adikarya yang sangat spektakular samada visual, didaktik mahupun nilaian ambiguitinya.

Kejayaan Life Of Pi yang diberitakan sudah mengutip lebih 609 million USD ini sedikit sebanyak dipengaruhi faktor imaginasi tinggi sutradaranya iaitu Ang Lee yang sebelum ini sukses menerusi filem Crouching Tiger Hidden Dragon (2000), Hulk (2003) dan Brokeback Mountain (2005), dibantu dengan penjiwaan watak pelakonnya yang terdiri daripada Irfan Khan, Gérard Depardieu, Tabu, Suraj Sharma dan Adil Hussain. Selain itu, filem ini diperkemas dengan kesan visual oleh Rhythm & Hues Studios, sinematografer oleh Claudio Miranda dan susunan muzik oleh Mychael Danna yang juga dilihat berjaya mevariasi perjalananan filem ini menempa mercu tanda kejayaannya.

Menyelongkar intipati naskhah berat ini meyakinkan kita bahawa ia dibina dengan asas aposteriori yang kukuh samada novelnya mahupun terjemahan layar sinematiknya. Aposteriori bermaksud pengetahuan yang diperolehi sesudah pengamatan secara emperikal, eskperimen dan sebagainya dilakukan sebelum satu-satu bahan itu diterbitkan. Yann Martel pastinya merangkum novel Life Of Pi ini daripada kajian dan pengamatan yang serius terharap isu perbandingan agama manakala Ang Lee dengan karya segar ini, menyajikan bukan sekadar sebuah filem yang superfisial sebaliknya mengajak kita mentafsir dan menghadam pemaknaan layering(berlapis-lapis) melalui karyanya ini. Malah ianya bukan selapis, sebaliknya berlapis-lapis untuk kita taakul secara ekstensif.

Filem berdurasi 127 minit ini berkisarkan sebuah perjalanan fantasi spiritual Piscine Molitor “Pi” Patel, iaitu seorang pemuda India yang terperangkap di atas sebuah bot keselamatan bersama seekor harimau Bengal bernama Richard Parker selama 227 hari apabila kapal yang dinaikinya tenggelam dibadai ribut taufan. Tragedi tragis itu telah menenggelamkan kapal yang dinaiki oleh Pi dan keluarganya kerana ketelanjuran ‘elocution’ Pi secara sengaja meminta agar hujan dan ribut turun dengan lebih lebat lagi.

Filem ini bermula dengan pengenalan Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi sebagai watak utama mempunyai seorang bapa yang bertugas sebagai pengurus sebuah zoo di Pondicherry, India. Babak-babak awal yang dibikin ala dokumentari National Geographic sedikit mengujakan. Begitu juga babak bagaimana Pi mendapat namanya dan babak Pi di sekolah yang disuntik dengan sedikit elemen humour mengundang tawa di kalangan khalayak.

Pi dizahirkan sebagai seorang anak muda yang mempunyai sifat inkuiri yang tinggi dimana dia banyak menghabiskan masa senggangnya dengan aktiviti yang menjana ilmu pengetahuannya berkaitan sastera, seni, isu universal dan juga keagamaan.

Sifat ingin tahu yang tinggi Pi berkaitan agama telah membawa transisi positif di dalam membentuk cara hidup dan pemikiran Pi.

Watak Pi dibina dengan membawa pemahaman politeisme(kepercayaan atau pemujaan kepada lebih dari satu Tuhan). Pi digambarkan menganut agama Buddha, Kristian dan Islam dalam satu masa yang sama. Ironinya, ahli keluarga Pi iaitu bapanya ialah seorang atheist dan nihilist. Bapanya tidak membimbing Pi dengan sesuatu yang bersifat substansi sebaliknya menyarankan Pi berfikir secara rasionalisme disamping memberi konotasi berbentuk negatif tentang agama kepada Pi. Ini sedikit menimbulkan polemik kepada sesiapa yang menonton filem ini.

Filem ini juga membicarakan berkaitan sinkretisme iaitu keupayaan Pi untuk melakukan penyesuaian jamak budaya(multikulturisme) walaupun berlakunya jurang perbezaan di dalam aliran kepercayaan. Ini kita nampak melalui babak semasa Pi dan keluarganya sedang mengadap makanan. Keluarga Pi terus makan tanpa berdoa manakala Pi pula dilihat bertafakur seketika, berdoa sebelum menyuap makanan masuk ke dalam mulutnya. Ini memberi persepsi ketidak-pedulikan keluarga Pi terhadap agama manakala Pi pula terbimbing untuk mencari pencerahan di dalam kehidupannya, melalui kehidupan secara beragama, namun mereka masih duduk semeja, walaupun berlainan ideologi. Mis en scene ini memberikan perlambangan bahawa apa pun agama atau kepercayaan yang kita anuti, kita seharusnya membenih semangat toleransi dan menolak indoktrinasi perpecahan yang bersifat merugikan.

Kemudian, naratif filem ini bergerak dengan subplot perpindahan Pi bersama keluarganya ke Kanada disebabkan berlakunya pergolakan politik di India. Dalam perjalanan ke Kanada inilah, berlakunya satu insiden yang tidak diingini, dimana kapal yang dinaikinya telah karam dan peristiwa ini telah mengorbankan seluruh keluarganya.

Melalui insiden ini, Pi terselamat daripada tragedi tersebut tetapi dia terperangkap di atas sebuah perahu keselamatan di tengah Lautan Pasifik yang luas bersama seekor kuda belang, seekor dubuk, seekor orang utan dan seekor harimau yang digelar Richard Parker. Di situlah Pi terdampar hingga akhirnya tinggal dia dan Richard Parker sahaja yang terus berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Babak panjang antara Pi dan Richard Parker ini berputar kepada teori alienasi iaitu proses menuju keterasingan. Kita dihidangkan dengan babak ala filem Cast Away(2000), di mana Pi berseorangan mengharungi lautan yang luas dengan hanya berbekalkan dengan sedikit makanan dan ‘kit ikhtiar hidup’. Pi melalui rutin alienasi yang membosankan di mana dia hanya sekadar menulis diari, menyanyi, mencuba untuk menjinakkan Richard Parker, menadah air hujan untuk dijadikan minuman dan mengira jumlah hari untuk mengisi ruang kosong kehidupannya. Bahkan sebelum-sebelum itu juga, Pi digambarkan sudah menjalani proses alienasi ini di mana dia hidup secara bersendirian melalui babak dia mengamalkan agama secara bersendirian, belajar secara sendirian(baca: kerap diejek oleh rakan-rakannya), duduk bersendirian di bawah jambatan, hidup sendirian setelah kematian ahli keluarga, terperangkap secara bersendirian di atas bot keselamatan dan akhirnya ditinggalkan terdampar sendirian di tepi pantai oleh Richard Parker. Istilah alienasi ini adalah merupakan salah satu cabang sufisme iaitu yang dinamakan sebagai khalwah atau uzlah. Khalwah ataupun uzlah ini adalah merupakan satu proses pemutusan hubungan dengan makhluk menuju penyambungan hubungan dengan Al-Haq iaitu Allah SWT. Di sini kita lihat bagaimana mendalamnya kajian yang dilakukan oleh Yann Marten sebelum menulis novel spiritualnya ini. Namun diakhirnya, watak Pi yang dibina oleh asas alienasi ini dipadam oleh Yann Marten dengan kehadiran manusia yang menyelamatkan Pi di tepi pantai dan perkahwinan Pi dengan isterinya.

Disamping itu, filem ini bercakap soal efikasi kendiri yang dibina kukuh melalui watak Pi. Menerusi babak di atas bot keselamatan, Pi melalui saat yang kita ibaratkan sebagai “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” untuk meneruskan kehidupannya. Pada usianya yang terlalu muda dia terpaksa meninggalkan“the comfort zone” (baca: kasih sayang ibubapa) tanpa kerelaannya. Namun Pi dengan semangat kental dan idealismenya, mampu untuk menangani semua itu dengan jayanya. Ini sedikit kontradik dengan anak-anak muda kita yang lebih suka menyalurkan lebihan tenaga mereka berlumba haram ataupun melakukan aktiviti yang merugikan masa muda mereka. Ingat, tempoh muda hanya sekali sahaja dalam kehidupan kita.

Selain daripada itu, filem ini juga berkisar dalam ruang lingkup falsafah kehidupan manusiawi. Ia mengajak kita berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan. Hakikat ketuhanan hadir menerusi babak Pi dianugerahkan dengan nikmat ikan terbang yang datang secara tiba-tiba sebagai makanan untuk dia dan Richard Parker, juga nikmat nyawa kerana Pi tidak mati dibaham Richard Parker dan di saat Pi kehilangan semangat untuk hidup, Tuhan telah memberi kekuatan kepadanya dengan mendamparkan Pi di sebuah pulau ajaib. Kita juga disajikan dengan hakikat kosmologi menerusi babak interaksi Pi mencabar ribut taufan dan hakikat kemanusiaan hadir menerusi babak Pi mahu menyelamatkan ahli keluarganya yang terperangkap di dalam kapal semasa insiden kapal tenggelam.

Keterlangsungan sosiologi falsafah filem ini juga menekankan berkaitan teori hukum tiga tahap(law of three stages) iaitu hukum tentang perkembangan tahap inteligensi manusia. Hukum ini jika diwacanakan melalui filem ini bolehlah kita dibahagikan kepada tiga tahap perkembangan pemikiran Pi iaitu teologi(babak pencarian agama Pi), metafizik(perjalanan spiritual Pi di Lautan Pasifik) dan tahap ilmiah(kebahagiaan abadi yang dikecapi oleh Pi diakhirnya).

Namun, khalayak mungkin sedikit kaget dengan penamat filem ini yang mencetus sedikit keraguan difikiran kita samada mahu menerima apa diceritakan Pi itu benar belaka atau sekadar rekaannya. Di sini kita nampak bagaimana bijaknya karya ini mengakhiri penceritaannya. Ang Lee menutup filem ini dengan memberikan persoalan kepada kita samada kisah Pi ini sebenarnya kisah eksistensialisme ataupun ianya hanya sekadar mitos semata? Ang Lee tidak sekadar mahu kita tinggalkan kisah ini sekadar sebuah pengalaman visual indah di pawagam, sebaliknya mahu karya ini ditaakul dan difikirkan seluas-luasnya didaktisme dan ambiguitinya usai tontonannya.

Di akhirnya, filem ini membawa kita kepada perbicaraan antropomorfisme. Antropomorfisme adalah atribusi karakter manusia kepada makhluk selain manusia. Pi memberi perumpamaan melalui kisah kedua bahawa pelaut Taiwan adalah kuda belang, tukang masak yang kasar adalah dubuk, ibunya adalah orang utan dan dirinya sendiri adalah harimau.

Pi dengan senyumannya, meninggalkan kita satu persoalan besar. Yang mana satu kisah adalah kisah yang benar lantas dia membuka kepada kita 2 jawapan, samada kisah pertama atau kisah yang kedua sambil memerangkap kita dengan penyataan “adakah kamu percaya kepada kisah yang pertama atau kedua, jika kamu percaya yang pertama, nescaya kamu percaya kepada Tuhan”.

Saya senada dengan rakan Pi, memilih kisahnya yang pertama. Anda bagaimana?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Yusof adalah seorang pembaca seni, falsafah dan budaya.

1 Comment

  1. Saya jarang menonton wayang dan filem di tv tetapi cerita ini membuat saya 2 kali menontonya kerana nak memahami apa yang tersirat yang cuba di kemukakan olih pengarah. Filem ini juga membuat kita banyak berfikir

Leave A Reply