Alam dinosaur tidak pernah mengecewakan. Setiap masa ada saja penemuan baru. Kalau bukan spesis baru, pakar paleontologi menemui ilmu baru tentang haiwan yang sudah diketahui.
Baru-baru ini saintis menemui bukti jelas yang Tyrannosaurus Rex memburu dalam sebuah kawanan seperti fitrah serigala (Guenot, 2021).
Selama ini saintis sangka T Rex bergerak sendiri sebagai pemangsa tunggal. Dan jujurnya, dapatan baru ini jauh lebih menakutkan. Bayangkan tengah sedap makan, tiba-tiba 10 ekor T Rex datang sekali. Lari tidak cukup tanahlah jawabnya. Takkan tunggu lagi. Duduk diam acah-acah T-Rex tidak nampak itu hanya Jurassic Park saja.
Mungkin itulah nasib dinosaur paling panjang andai kata mereka hidup pada zaman yang sama. Kalau dulu, dinosaur spesis brachiosaurus sangat popular. Tanya pasal dinosaur leher panjang (sauropod) mesti nama Brachiosaurus dipetik.
Mungkin kerana pengaruh Jurassic Park – dan ya, brachiosaurus memang panjang. Cuma ada dinosaur lagi panjang untuk dibandingkan dengannya. Dan dinosaur itu adalah Supersaurus vivianae.
Fosil S. vivianae ditemui pada tahun 1972. Tetapi saintis James A. Jensen tidak menemui rangka penuh, hanya tulang bahu, ekor dan pinggul sahaja.
Jensen menemui perbezaan semasa membanding tulang temulang ini dengan dinosaur sauropod sedia ada. Jadi beliau sekadar memanggil “Supersaurus”. Dan nama yang tidak rasmi entah bagaimana lekat terus 13 tahun kemudian.
Kajian susulan mengesahkan segala ciri Supersaurus yang tidak terdapat dalam spesis sauropod lain (McIntosh, 2005).
Pada tahun 2007, saintis menamatkan kajian sebuah rangka yang ditemui di Converse County dalam negeri Wyoming. Rangka ini diberi nama “Jimbo” oleh keluarga marhaen yang menemuinya.
Semua orang tahu pasal pengkelasan saintifik seperti spesis, genus, keluarga, clade bagai. Sauropod dalam pengkelasan ini adalah clade, iaitu kumpulan haiwan yang berkongsi leluhur sama. Saiz sebuah clade terlalu besar.
Macam sauropod ada lebih daripada 210 spesis berbeza. Tulang yang ditemui Jensen mengesahkan clade sauropod. Manakala rangka “Jimbo” pula meyakinkan semua tentang keluarga Supersaurus iaitu Diplodocidae.
Pengetahuan ini amat penting untuk faham pasal Supersaurus. Sebagai seekor diplodocid, Supersaurus mempunyai ekor bermuncung yang boleh melibas. Mungkin ekor ini digunakan untuk tujuan pertahanan.
Akan tetapi, ciri-ciri utama Supersaurus bukanlah pada ekor. Sebaliknya, haiwan ini disahkan dinosaur paling panjang pernah ditemui setakat ini (Geggel, 2021).
Panjangnya adalah 39 meter, dengan kemungkinan boleh sampai 42 meter daripada mulut ke ekor. Padahal Brachiosaurus hanya dalam lingkungan 26 hingga 30 meter sahaja.
Buat masa sekarang, dapatan ini sedang menunggu giliran untuk dikaji secara bersilangan oleh pihak saintis bebas lain. Walau bagaimanapun kajian sedia ada sudah cukup jelas, bahawasanya Supersaurus memang hidup dulu dengan saiz serba panjang.
Sekalipun panjang, dinosaur ini bukan paling berat. Supersaurus berada dalam lingkungan 36,000 kilogram, berat yang cukup untuk menampung saiznya. Tetapi dinosaur paling berat adalah Argentinosaurus yang mencecah 90,000 kilogram.
Cuma Argentinosaurus hidup sekitar 96 hingga 92 juta tahun lalu di Argentina. Manakala Supersaurus vivianae pula menjelajah Colorado dan Wyoming 153 juta tahun lalu. Ada jurang masa sangat jauh, bermakna mereka tidak pernah bertemu.
Oleh kerana kekurangan bukti, andaian saintifik menokhtahkan yang Supersaurus adalah herbivor. Banyak lagi benda pasal Supersaurus yang belum diketahui. Mungkin jika ada rangka penuh, lagi banyak jawapan boleh dapat.
RUJUKAN:
Geggel, L. (2021, November 15). Supersaurus might be the longest dinosaur that ever lived. Live Science.
Guenot, M. (2021, April 20). Tyrannosaurs may have (ditapiskan) in packs like wolves, a new study says, undermining the idea they were solitary (ditapiskan). Business Insider.
McIntosh, J. (2005). The genus Barosaurus Marsh (Sauropoda, Diplodocidae). Indiana University Press. Halaman 38-77.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih