Pernahkah kita terfikir, melalui pengalaman seseorang melihat kengerian perang, sifat kemanusiaan dia boleh dihidupkan lalu mengubah seluruh kehidupan seseorang tersebut yang akan menggubah perjalanan sejarah? Kalau anda seseorang yang mempunyai nilai empati yang tinggi dan hebat, suka memesrai orang dengan sebaik-baik layanan, menghulurkan bantuan sedaya upaya dan seadanya tanpa mengharapkan sebarang pulangan, jangan risau, anda mempunyai tempat dalam dunia ini. Bahkan anda juga mampu untuk menukil sejarah jika anda cekal, tekal dan kekal untuk memperjuangkan kebaikan dan keamanan di dunia!

Dalam artikel yang bertajuk Undang-Undang Yang Memanusiakan Perang, saya telah menulis tentang perkembangan undang-undang perang atau konflik bersenjata yang digunakan untuk mengawal selia segala peperangan dan konflik bersenjata pada zaman moden ini. Kalau anda membacanya, ada satu bahagian yang saya sebutkan namanya dan ceritakan secara ringkas tentang seseorang yang memainkan peranan penting dalam penggubalan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa moden dan penubuhan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (The Red Cross). Justeru, menerusi artikel ini, kita akan menyingkap siapakah yang telah mempertaruhkan hidupnya dalam memperjuangkan kemanusiaan lalu menjadi pengasas dan pelopor gerakan kemanusian sedunia ini serta bagaimana ketika dia menjadi saksi satu perang di hadapan mata yang telah membuatkan dirinya berjanji untuk kekal dalam perjuangan ini.

Lelaki yang bernama Henry Dunant

Dia tidak pernah berniat memperhambakan diri kepada kemanusiaan. Itu bukan niat asalnya. Tujuannya ke Itali adalah atas dasar urusan perniagaan. Tapi dia tidak menyangka kaki yang dijejaknya ketika dirinya hampir berusia 30 tahun pada tanggal 24 Jun 1859 di Castioglione della Pieve itu, adalah hari yang sama dia menyaksikan kesan ngeri perang Solferino yang yang menjadi titik perubahan dan memberi makna kemanusiaan dalam hidupnya.

J.Henry Dunant (1828-1910)

Namanya Jean Henri Dunant. Seorang anak lelaki yang lahir pada 8 Mei 1828 di Geneva, Switzerland dengan segala keistimewaan dan kelebihan materi. Bapanya seorang usahawan berjaya. Ibunya pula adalah seorang wanita yang santun dan alim. Ibunya menjadi agen terpenting kerana banyak memberi kesan kepada perkembangan kedewasaan Henri dalam pendidikan dan karakter diri.

Atas kelebihan keluarga, beliau menikmati segala keistimewaan berada dalam kelas strata sosio-ekonomi yang selesa. Keluarga Henry boleh dikatakan daripada golongan elit Geneva. Sewajarnya seperti kebanyakan masyarakat materi seperti kita ini, Henry hanya perlu goyang kaki dan menikmati hasil kekayaan bisnes keluarganya sahaja.

Namun empati kepada kemanusiaan seakan-akan ditakdirkan oleh Tuhan kepada Henry. Empatinya terhadap kemanusiaan bukanlah sesuatu yang baharu dalam diri Henri. Benih-benihnya sudah bercambah waima sedikit dalam diri dan peribadi Henri. Selain ibunya, suasana calvinist di Geneva telah mempengaruhi pertumbuhan diri Henry dan dia sedikit sebanyak telah membentuk prinsip-prinsip dirinya daripada keyakinan yang teguh terhadap agama dan nilai-nilai moral. Tenaga mudanya banyak disumbangkan kepada penglibatan awalnya dalam pelbagai gerakan dan perjuangan terutamanya dalam aktiviti-aktivi kesukarelawanan, agama dan kebajikan.

Kematangan dalam hidup membuatkan Henry memilih untuk bergerak aktif dalam persatuan kebajikan seperti League of Alms yang berpusat di Geneva yang bertujuan menghulurkan bantuan dari segi spiritual dan materi kepada sesiapa sahaja yang miskin, sakit dan tercedera. Tidak sekadar itu, beliau juga seringkali melawat penjara di mana beliau membantu pihak penjara dalam memberi bantuan kaunseling kepada penjenayah.
Ketika usia Henry hampir mencecah umur 30 tahunlah, dia menunjukkan minat yang mendalam kepada sebuah pertubuhan di Switzerland, France dan Belgium yang beroperasi menggunakan nama “The Young Men’s Christian Union” yang merupakan cawangan Young Men’s Christian Association (YMCA) di England. Awal tahun 1853, terdapat cadangan satu gerakan untuk menyatukan “Unions” ini bawah satu pertubuhan namun ditentang oleh Henry. Sebaliknya Henri mencadangkan satu cadangan balas untuk menubuhkan “World Union”. YMCA ini dilihat beliau sebagai satu organisasi yang memenuhi sifat-sifat dalam dirinya dan seolah-olah lubuk bagi orang-orang yang memiliki minat untuk membantu manusia sepertinya.

Dunant juga, tidak seperti kawan-kawannya pada zaman itu, turut mempelajari agama Islam. Henry turut menolak batas dirinya untuk belajar Bahasa Arab dan juga kesukaran belajar Kaligrafi Islam.

Pada 1849, iaitu pada ketika dia berusia 21 tahun, dia terpaksa behenti belajar dari Collège Calvin kerana tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan mula bekerja. Henry diambil menjadi pekerja di sebuah syarikat bank di Geneva untuk mempelajari bisnes perbankan dan dalam masa yang singkat, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Sementara di sebuah anak firma syarikatnya di Algeria yang dikenali sebagai “Colonies Sisses de Setif”.

1856, ketika di Algeria, Henry menubuhkan syarikatnya sendiri setelah mendapat tanah ladang percuma daripada Perancis yang disuahakannya sebagai ladang jagung. Syarikatnya dinamakan sebagai Syarikat Kewangan dan Industri Perkilangan Mons- Djémila. Namun dia menghadapi beberapa masalah kerana dia tidak mendapat kerjasama dari segi pengurusan hak tanah dan air berikutan peperangan yang berlangsung. Sebagai penyelesaian, Henri memutuskan untuk bertemu sendiri dengan Maharaja Perancis, Maharaja Napoleon III yang mana pada ketika itu berada dengan angkatan tenteranya di Lombardy.

Untuk pengetahuan, Perancis dalam peperangan ini berpihak kepda Piedmont-Sardinia menentang Austria. Markas pusat Napoleon III terletak di bandar kecil bernama Solferino. Henri menulis kepada Maharaja Napoleon III (yang penuh dengan kata-kata pujian) dengan niat untuk dibawa menghadap baginda. Henri kemudiannya bertolak ke Solferino untuk bertemu sendiri dengan baginda maharaja.

Ketika menjalankan lawatan bisnes itulah Henri terkesan dengan segala yang berlaku hasil daripada Perang Solferino.

Perang Solferino

Perang Solferino ini adalah sebahagian daripada kempen perang untuk menyatukan wilayah-wilayah Itali pada kurun ke-19. Solferino terletak antara Milan dan Verona.
Pada 24 Jun 1859, 118,000 tentera bersekutu Perancis dan Sardinia (Perikatan Perancis-Sardinia) yang berada bawah pimpinan Napoleon III dan Victor Emmanuel II, bertemu dengan 100,000 tentera Austria bawah pimpinan Raja Francis-Joseph di sebuah kampung kecil utara Itali yang bernama Solferino.

Pertempuran berlaku selama 16 jam sehinggalah tentera Austria mengundurkan diri. Tindakan tersebut menyebabkan seramai lebih 40,000 tentera terkorban dan tercedera hasil daripada tusukan bayonet atau ditembak. Para penduduk kawasan-kawasan perkampungan sekitarnya terkejut melihat tentera-tentera yang cedera itu berjalan ramai-ramai mencari perteduhan. Kebanyakannya menuju ke arah Castiglione. Ini kerana, servis perubatan pihak tentera Perancis dan Sardinia tidak dapat memberi bantuan kepada ramai mangsa kerana ketidakcukupan bahan dan kakitangan.

Pada ketika itu juga, tidak ada satu bentuk organisasi yang berstruktur yang wujud sebagai sebuah jabatan di bawah pentadbiran ketenteraan mereka. Bantuan perubatan amatlah tidak mencukupi termasuklah dari segi kakitangan perubatan, alat-alat perubatan serta kenderaan untuk memindahkan pesakit. Hasilnya, kerana kekurangan dan kekangan inilah, ramai yang meninggal dunia hanya kerana kecederaan kecil yang tidak mendapat perhatian perubatan yang sewajarnya.

Dalam perang ini pihak Perancis telah memang dari segi taktikal tetapi turut rugi dari segi kos.

Catatan memori Henry

Dalam catatan Memori Solferino ini, terdapat tiga bahagian (ada penulisan yang kata dua). Bahagian pertama adalah berkenaan perjalanan perang yang berlaku dan kesan-kesan yang dilihat oleh Henry. Bahagian kedua adalah tentang segala bantuan kemanusiaan yang diberikan kepada mangsa perang tersebut. Bahagian ketiga adalah berkenaan dengan gagasan idea tentang undang-undang kemanusiaan yang disertakan dan dijadikan asas dalam penggubalan Konvensyen Geneva asal/pertama 1864 dan penubuhan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Dalam buku ini, Henry menulis pengalamannya melihat kengerian kesan perang. Ketika kereta kudanya tiba di Castioglione, Henri menyaksikan seramai 9000 tentera mencari bantuan perubatan. Walaupun Henri tidak mempunyai asas dalam perubatan, dia tanpa fikir dua kali terus ke gereja utama Chiesa Maggiore. Di sana Henry melihat jerih rintih mangsa perang. Tanpa membuang masa, Henri cuba membantu sedaya upaya. Membalut luka-luka mereka dan mengagihkan minuman untuk tentera yang kehausan itu.

Ada kalanya Henri juga duduk memesrai mereka yang nazak. Mendengar ucapan-ucapan, permintaan dan harapan-harapan terakhir mereka sebelum mereka menemu ajal.
Henry juga, cuba memujuk para penduduk termasuk wanita untuk membantunya. Namun mereka ketakutan kerana takutkan tentera Austria akan pulang dan menghukum mereka jika memberi bantuan kepada tentera Perancis. Henry malah memujuk dengan kata-kata hikmat bahawa kesengsaraan sebuah peperangan dirasai semua tanpa batas kewarganegaraan. Henri menyebut: “Tutti Fratelli –(kita semua bersaudara)” yang kemudiannya diulang-ulang oleh wanita-wanita tersebut yang menimbulkan rasa neutralsime untuk membantu.

(Illustrasi kemaraan tentera Perancis oleh Carlo Bossoli)

Lawatan bisnes Henry gagal apabila dia tidak bertemu dengan Napoleon III. Dia pulang ke Paris sejurus selepas tamatnya kempen perang itu. Selama dua tahun, memori sewaktu berada di Castiglione seakan-akan menghantui Henri. Akhirnya pada suatu hari Henry memutuskan bahawa dia perlu melakukan sesuatu. Dia terus pulang ke Geneva dan mengunci dirimenjawab segala desaakn dalam dirinya. Maka atas desakan dalam jiwanya itulah, Henry mengarang Memori Solferino iniuntuk menjelaskan pengalamannya dalam Perang Solferino dan menulis gagasan-gagasan cadangan yang diharapkannya untuk meregulasikan peperangan.

Perlu diingatkan, Henry mengambil masa selama satu tahun dengan mengasingkan diri untuk menulis pengalamannya ini sahaja. Huraiannya panjang namun di sini saya ringkaskan dan sertakan beberapa keadaan yang menyebabkan Henry meninggalkan tujuan asalnya lalu turun memberi bantuan kepada mangsa perang.

1. Pertempuran bersemuka tanpa senjata (hand-in-hand) antara pihak tentera Austria dan Perikatan yang menggunakan bayonet untuk mengoyak-ngoyakkan perut sebagai satu serangan terhadap musuh mereka.

2. Tentera yang sudah lemah kerana tercedera masih tidak berputus asa untuk bertarung. Malah, mereka bertindak dengan lebih kejam. Dengan menggunakan tangan-tangan mereka sendiri, mereka mematahkan leher musuh dan menggunakan gigi mereka untuk mengoyakkan daging leher!

3. Di jalanan ‘padang’ perang itu, kepala tentera terburai sehingga otak-otak mereka terlekat di celahan roda ‘chariot’.

4. Medan pertempuran dipeuh dengan lopak-lopak darah.

5. Mayat-mayat tentera dipijak-pijak tanpa belas kasihan sewaktu pertempuran masih berlangsung.

6. Askar-askar Austria dan para panglimanya terus ‘menyerahkan’ diri ke medan pertempuran kerana tidak tahan menanggung kekalahan ketika dilihat harapan untuk Austria semakin tipis untuk kemenangan.

7. Semasa memberikan bantuan di Chiesa Maggiore, Henri dapat mendengar ramai tentera yang merintihkan: “Ah tuan, kami bertempur sedaya upaya, namun tetap jua ditinggalkan.” Henri berasa tersentuh kerana mereka ini akhirnya tetap juga ditinggalkan.

Akhirnya pada 1862, dia menerbitkan sendiri Memori Solferino yang mengandungi pengalamannya, gagasan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (dalam bentuk Konvensyen Geneva asal) dan idea penubuhan The Committee of Five yang kemudiannya ditukar menjadi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross).

Muka Depan Edisi Asal (Pertama) Memori Solferino (1862)

Henry memulakan kempennya. Dia menghantar salinan-salinan Memori Solferino kepada tokoh-tokoh utama politik dan tentera di seluruh Eropah. Dia juga menggalakkan penubuhan organisasi-organisasi bantuan sukarela kebangsaan untuk menolong merawat askar-askar cedera dalam masa peperangan termasuklah menyeru perkembangan triti-triti antarabangsa untuk menjamin keberkecualian dan perlindungan untuk mereka yang cedera di medan perang serta ahli-ahli perubatan dan hospital medan perang.
Usaha Henry membuahkan hasil sehingga mendapat sambutan dan pujian daripada pelbagai pihak dan nama-nama besar di Eropah pada ketika itu. Bermula daripada itulah, segala Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dalam Konvensyen Geneva, gerakan-gerakan, prinsip-prinsip Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah menjadi giat dan berkembang untuk kemanusiaan sejagat.

Nama dalam sejarah

Pada 1892, Henry menetap di sebuah hospital di Heiden Switzerland sewaktu dirinya sudah dimamah usia dan kudratnya sudah pun terhakis. Dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang terakhir di situ. Seorang wartawan pada 1895 yang melalui Heiden mendapat tahu Henry berada di situ lalu menemu bualnya. Dalam beberapa hari sahaja khabar mengenai Henry tersebar luas. Ramai yang datang untuk menghulurkan dan memberikan penghargaan. Pope Louis XII menghantar portretnya yang tertulis: “Fiat pax in virtute tua Deus! –(Dengan kuasa-Mu, biarlah adanya keamanan, Tuhan!” sebagai satu penghargaan kepada usaha Henri selama ini.

Henry Dunant pada 1901

Sungguhpun dengan pujian dan penghargaan yang diberikan, Henry bertegas bahawa dia tidak perlukan sebarang bantuan. Segala yang dia miliki sudahpun mencukupi untuk dirinya yang tua itu.

1901 adalah kemuncak penghargaan yang diberikan kepada seorang Henry. Henry dianugerahkan anugerah Nobel Keamanan Pertama yang dikongsi dengan Frederic Passy. Disebabkan kudratnya yang tak mengizinkan, pihak jawatankuasa Nobel telah pun menghantar pingat itu sendiri ke Heiden. Di rumahnya, ICRC sendiri menghantar sepucuk surat yang tertulis:

“Tiada individu lain yang lebih layak selain dirimu, empat puluh tahun lalu yang mengasaskan organisasi antarabangsa untuk mangsa perang. Tanpa dirimu, ICRC, satu pencapaian tertinggi dalam peradaban kemanusiaan kurun ke-19, takkan pernah dicapai.”

Jean Henry Dunant meninggal pada Oktober 30, 1910 di Heiden, Switzerland di sisi rakan-rakannya, dan seantero dunia mula mengenal Bapa Kemanusiaan Moden.

Trivia:

1) Pernahkah kita terfikir, mengapa kemanusiaan semakin luntur dalam keadaan peradaban manusia semakin maju? Jika kemanusiaan Henri Dunant dibangkitkan oleh Perang Solferino, bagaimanakah kemanusiaan seperti empati, toleransi, dan sebagainya dapat dibangkitkan pada masa kini? Kita mungkin tidak melihat perang dengan mata kepala sendiri sebab itu kita tidak pernah memahami apa-apa tentang peri pentingnya kemanusiaan. Mungkinkah, jika Malaysia dijajah kembali, atau negara yang kita cinta ini dibom oleh kuasa-kuasa besar dunia atau berhadapan dengan konflik dalaman ‘berskala kecil’ seperti peristiwa 13 Mei 1969 berlaku, barulah kita akan menghidupkan rasa kemanusiaan dalam diri?

2) Bagi mereka yang memeluk falsafah perjuangan Henry Dunant ini, mereka digelar sebagai Dunantist.

Sumber:

J. Henry Dunant, Un Souvenir de Solferino, Imprimerie Jules-Guillaume Fick, Geneva, 1862. Versi Bahasa Inggeris diterbitkan oleh Palang Merah Amerika, 1939 & 1959, dicetak semulaoleh ICRC pada 1994.

Nobel Peace Prize Website, Nobel Prize and Laureates, Henry Dunant Biographical, http://www.nobelprize.org/nobel_prizes/peace/laureates/1901/dunant-bio.html

François Bugnion, ‘From Solferino to the birth of contemporary international humanitarian law’, International Committee of Red Cross (ICRC) Publication, Geneva, Italy, 2009 https://www.icrc.org/eng/resources/documents/article/other/solferino-article-bugnion-240409.htm

Eric Niderost, Solferino: Birth of a Nation, June, 2016 http://warfarehistorynetwork.com/daily/military-history/solferino-birth-of-a-nation/

Pierre Boissier, Henry Dunant, Henry Dunant Institute Publications, Geneva, 1974.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply