Meme yang anda lihat ini mengisahkan Raja Taejong (1367–1422), pemerintah ketiga dinasti Joseon di Korea. Ia merujuk kepada satu kejadian di mana baginda jatuh dari kudanya dan meminta agar insiden tersebut tidak dicatat dalam rekod sejarah.
Namun, ahli sejarah Korea dengan tegas tetap menulis peristiwa itu, termasuk permintaan Raja Taejong untuk tidak merekodkannya!
Fenomena ini mencerminkan bagaimana ahli sejarah Korea, khususnya mereka yang bertanggungjawab terhadap “Annals of the Joseon Dynasty” (Joseon Wangjo Sillok), terkenal dengan kejujuran dan ketegasan mereka dalam mencatat sejarah. Mereka tidak tunduk kepada tekanan politik atau permintaan raja untuk menyembunyikan sesuatu peristiwa.
Sejak zaman Dinasti Joseon (1392–1897), setiap pemerintahan raja didokumentasikan secara terperinci dalam rekod sejarah yang dikenali sebagai “Joseon Wangjo Sillok”.
Keunikan rekod ini adalah:
– Direkod secara harian – Setiap hari, kejadian yang berlaku di istana direkod oleh pegawai istana yang tidak dibenarkan dihalang oleh raja.
– Tidak boleh diedit – Selepas pemerintahan seorang raja berakhir, rekod itu akan dimeteraikan dan tidak boleh diubah oleh sesiapa, termasuk raja yang seterusnya.
– Objektif dan Jujur – Ahli sejarah mencatat segala-galanya, sama ada perbuatan baik atau buruk pemerintah.
Inilah yang menyebabkan banyak raja Korea, walaupun berkuasa mutlak, tidak dapat menyembunyikan kelemahan atau tindakan mereka yang kontroversial.
Jadi, kalau korang tengok drama-drama Korea, bagaimana kita mengetahui tentang kezaliman raja-raja, pemaisuri, dan bangsawan Korea, maka berterima kasihlah kepada sejarawan-sejarawan silam ini yang tetap setia pada kejujuran dan ilmu.




No comments yet