Bagi yang menghormati ilmu berdasarkan bidangnya, kepercayaan Bumi pegun tentu sekali akan mendapat reaksi keanehan. Namun, terdapat segelintir yang meletakkan kepercayaan kepada golongan bukan ahli dan menyerahkan diri kepada geosentrisme. Perkataan “geo-” dan “-sentrisme” merujuk kepada “Bumi ditengah-tengah”, yakni satu model yang mana planet Bumi digambarkan pegun (tidak berputar). Model ini amat bercanggah dengan fakta moden iaitu heliosentrisme (“helio-” adalah Matahari).
Geosentrisme pada hari ini adalah warisan daripada Barat, atau lebih khusus lagi Yunani. Selama 1,500 tahun, model ini diterima sebagai rasmi atas kesesuaian untuk menjelaskan angkasa seperti pergerakan planet misalnya. Begitu juga dengan heliosentrisme, yang pernah dinafikan Aristotle (384 SM – 322 SM). Yang perlu diketengahkan adalah kelemahan pemahaman para ahli astronomi pada ketika itu, yang masih belum mempunyai peralatan dan teknologi mencukupi.
Maka Aristotle menafikan heliosentrisme atas perubahan cahaya Zuhrah yang beliau tidak tahu mempunyai fasa-fasa seperti Bulan. Beliau juga percaya bahawa jika Bumi bergerak, kedudukan bintang semestinya akan berubah-ubah. Jelas diketahui pada hari ini bahawa kedudukan bintang terletak terlalu jauh untuk memberikan sebarang perubahan dari segi pemerhatian. Bayangkanlah jika bintang paling dekat dengan Matahari pun terletak sejauh empat tahun cahaya. Dengan prasarana sedia ada, manusia akan tiba di sana dalam masa 80,000 tahun.
Geosentrisme kemudian dinaiktaraf oleh Claudius Ptolemy. Menurut model beliau, semua objek angkasa mengelilingi satu pusat dalam sejenis orbit bernama ‘epicycle’. Objek tersebut turut bergerak dalam satu lagi orbit bernama ‘deferent’. Untuk memudahkan pemahaman, Bulan boleh dijadikan contoh. Bulan kini mengelilingi Bumi dalam perjalanan ‘epicycle’ dan mengikuti Bumi dalam orbit ‘deferent’.
Cuma makin lama, makin banyak persoalan timbul. Sekitar 1020, seorang ulama’ bernama Abu Sa’id al-Sijzi berpendapat bahawa Bumi mempunyai paksi putaran sendiri. Al-Biruni pula mendapati bahawa pergerakan di langit sebenarnya berlaku akibat pergerakan Bumi. Persoalan demi persoalan, model geosentrisme akhirnya diruntuhkan oleh sarjana-sarjana hebat Barat seperti Nicolas Copernicus, Galileo Galilei dan Isaac Newton. Usaha mereka turut mengundang amarah daripada institusi gereja.
Pada abad ke-16, Nicolas Copernicus mula mengkaji pemerhatian-pemerhatian ahli-ahli astronomi silam. Beliau berpendapat bahawa usaha mereka lebih mudah dijelaskan jika digunakan model heliosentrisme. Maka beliau menerbitkan kiraan beliau dalam model tersebut pula, yang mana setiap planet sedang mengelilingi Matahari. Namun, usaha beliau tidak begitu berjaya, kerana ramalan-ramalan beliau tidaklah jauh lebih tepat berbanding sistem lama. Maka tiada bukti kukuh untuk mengatakan Bumi mengelilingi Matahari sehinggalah lebih kurang 100 tahun kemudian apabila teleskop diciptakan.
Galileo Galilei memecahkan model geosentrisme setelah mendapati bulan-bulan Muystari tidak mengelilingi Bumi. Beliau juga mengenalpasti fasa-fasa Zuhrah, yang menjadi masalah kepada Aristotle. Beliau dipenjarakan atas usaha beliau, kerana mengganggu kepercayaan gereja. Usaha golongan pro-heliosentrisme tidak terhenti. Johannes Kepler menyambung penyusunan bata-bata yang akan mendirikan institusi heliosentrisme. Beliau tidak menggunakan konsep bulatan, sebaliknya elips. Dan dengan kombinasi heliosentrisme serta orbit elips, sistem yang baru dibuat beliau adalah lebih mudah dan tepat berbanding model geosentrisme.
Pada 1687 pula, Isaac Newton menerbitkan hasil kajian beliau mengenai graviti. Maka dengan sumber-sumber baru, geosentrisme akhirnya lenyap sebagai bahan sejarah semata-mata. Kajian demi kajian hasil daripada keringat sarjana-sarjana pakar angkasa makin mengukuhkan lagi konsep heliosentrisme. Hari ini heliosentrisme sudahpun cukup sifat dan matang dalam sains. Manakala geosentrisme pula kekal sebagai warisan silam yang tidak cukup asas, hanya untuk golongan anti-Barat dan anti-sains semata-mata.
Geosentrisme gagal menunjukkan pergerakan planet yang tepat. Contohnya Marikh akan berkelihatan berpatah balik daripada orbitnya pada 5 Julai 2018. Pada asalnya, Marikh elok sahaja bergerak di langit, sebelum membuat sedikit bulatan di langit dan kemudian meneruskan pergerakannya merentasi langit. Proses ini dikenali sebagai “retrograde motion” yang sudah sekian lama menghantui ahli-ahli astronomi silam. Berdasarkan simulasi, hanya model heliosentrisme sahaja yang menepati jenis pergerakan ini. Manakala proses bagi geosentrisme didapati tidak seiringan dengan keadaan sebenar di langit.
Inilah realiti yang membenamkan geosentrisme. Harus diakui bahawa heliosentrisme tidak sama sekali berdiri atas dakyah Barat, khususnya NASA untuk memesongkan umat Islam dariada al-Qur’an. Hujah sedemikian hanya berbaur kebaculan, lebih memalukan apabila menunggang ayat al-Qur’an seperti:
“Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” – Surah al-Anbiya, 33.
“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” – Surah Yaa-Sin, 40.
Kedua-dua ayat ini memetik bahawa Matahari mempunyai orbit. Namun, tidak sama sekali ini bermakna Matahari mengelilingi Bumi. Hakikatnya, Matahari sentiasa mengelilingi Pusat Galaksi pada kelajuan 828,000 km/j (230 km/s) dan melengkapi satu pusingan setiap 230 juta tahun. Maka paranoia terhadap Barat jelas sekali tidak mempunyai sebarang asas. Masalah sebegini menjadi lebih keruh apabila agamawan melibatkan diri secara membabi-buta. Contohnya, Mufti Besar Arab Saudi iaitu Abul Aziz ibnu Baz mulanya percaya Bumi sebenarnya datar. Dia mengecam buku-buku teks yang mengikuti “dusta” iaitu heliosentrisme.
Dia berubah fikiran apabila berhubung dengan Putera Sultan bin Salman, selaku seorang angkasawan Saudi. Namun, beliau berpihak kepada geosentrisme pula. Jelas sekali para agamawan jika bukan ahli bidang tidak sesuai dijadikan rujukan. Perkara pertama yang harus dibuat untuk menelusuri sesuatu ilmu adalah secara menghormatinya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih