Seperti yang telah dijanjikan pada siri pertama tulisan berkenaan tentang lagu Up & Up daripada Coldplay, saya akan cuba untuk membongkar misteri makna yang tersirat di sebalik pembikinan muzik video lagunya. Saya akan membahagikan tulisan ini kepada lima tema besar yang dapat dipetik menerusi lagu ini.
- SAINS DAN TEKNOLOGI.
Kereta lumba pada tahun 1970-an sehingga 1980-an sedang mengelilingi sebuah planet. Ini sebagai simbolik kepada penemuan Planet Zuhal (Saturn) oleh Pioneer 11 pada tahun 1979. Zuhal merupakan planet keenam dari Matahari dan planet kedua terbesar dalam sistem suria kita selepas Musytari. Perkataan Saturn diambil sempena tuhan bangsa Rom iaitu Saturnus.
Gambar di atas menunjukkan sebuah rel keretapi yang bergerak dari alam semesta menuju ke dunia kita sekarang di bumi. Menerusi klip ini, mesej yang ingin disampaikan adalah kemajuan dalam pengangkutan keretapi seperti contoh, keretapi Hyperloop yang ideanya dicetuskan oleh Elon Musk pada tahun 2013. Hyperloop merupakan satu konsep dalam sistem tansportasi berkelajuan tinggi sehingga dapat mencecah 1200km per jam.
Ya. Walaupun gambar di atas merupakan isu yang menjadi polemik dan mengundang pelbagai kontroversi pelbagai pihak, tetapi Coldplay merakamkan perkara tersebut sebagai sebuah keberhasilan manusia dalam bidang sains dan teknologi. Iaitu ekspedisi Apollo 11 ke bulan yang pertama kali oleh manusia iaitu Neil Armstrong pada 20 Julai 1969.
Tidak syak lagi bahawa seiring dengan zaman milenia ini, kemajuan demi kemajuan telah dicapai oleh manusia. Biar di darat mahupun di angkasa. Keadaan ini dirakamkan oleh kumpulan Coldplay seperti gambar di atas yang menunjukkan keadaan lebuhraya berlatarbelakangkan sistem cakerawala. Secara tidak langsung, mesej yang ingin disampaikan adalah manusia mampu untuk mencapai segala kemajuan dalam segala aspek.
- SEJARAH DALAM PEPERANGAN
Tema peperangan juga tidak ketinggalan. Gambar di atas menunjukkan keadaan semasa peperangan (mungkin antara Amerika Syarikat dan Vietnam) manakala di belakangnya ada seorang anak kecil yang sedang melakukan gimnastik. Mesej yang ingin disampaikan oleh Coldplay adalah peperangan yang terjadi bukan saja memusnahkan segala harta benda, bahkan anak-anak kecil yang tidak berdosa juga menjadi mangsa keadaan.
Masih lagi membicarakan soal peperangan. Bukan sahaja harta benda dan jiwa yang tidak berdosa menjadi korbannya, bahkan keamanan, kenyamaan dan kedamaian juga musnah akibat daripada peperangan. Itulah yang dapat dianalogikan daripada gambar di atas. Apabila terjadinya peperangan, kita tidak akan dapat duduk dengan nyaman bahkan ingin berbasikal dan berekreasi sekalipun tidak akan mampu untuk dilakukan.
Masih lagi berbicara mengenai skop peperangan. Kelihatan beberapa buah helikopter sedang terbang melewati sebidang tanah yang padanya ditanam bunga-bungaan. Bayangkan akibatnya terhadap semua tanaman tersebut apabila tercetusnya peperangan? Diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur, bukan?
Gambar di atas sudah tidak syak lagi bahawa ia mengingatkan kita kepada lembaran hitam dalam sejarah peperangan apabila Amerika Syarikat memaksa pihak tentera Jepun untuk mengaku kalah dalam Perang Dunia ke-2 dengan menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Kesan daripada pengeboman ini sangat-sangat menyayat hati apabila kesan radiasa dapat dikesan sehingga kini dalam genetik penduduk di sana. Kejadian ini berlaku pada tahun 1945.
- ISU-ISU SOSIAL.
Mutakhir ini, sering kita saksikan tembok-tembok yang sebegini bermaharajalela pembinaannya di persada dunia. Seperti contoh di antara AS – Meksiko, tembok pemisah di Tebing Barat, Gaza yang dibina oleh Israel, pembinaan tembok pemisah di Berlin dan banyak lagi. Apakah signifikannya pembinaan tembok-tembok ini? Melainkan terpisahnya dua negara, dua dunia, dua gaya hidup dan tercabutnya akar-akar persefahaman antara dua pihak.
Jika dilihat kepada gambar di atas, anda akan dapat saksikan sekumpulan orang berkulit gelap sedang bersorak dan bertepuk tangan sambil berlatarbelakangkan menara tugu di Washington. Lalu, ada seirang atlet lompat tinggi sedang melepasi barisan pohon di belakang mereka. Mesej tersirat yang ingin disampaikan oleh Coldplay adalah mengenai keberjayaan Martin Luther King. Jr dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Amerika Syarikat. Beliau telah dibunuh di Memphis, Tennessee.
Gambar di atas memaparkan seorang kanak-kanak kecil sedang bermain di lopak air berdekatan dengan Golden Gate Bridge yang terletak di San Fransisco, California. Jambatan ini acapkali dijadikan tempat ‘tumpuan’ untuk membunuh diri. Sehingga pada hari ini, jarring-jaring di bawah jambatan tersebut telah dibina untuk mengelakkan lebih banyak lagi jiwa terkorban. Bahkan orang terkelan juga tidak terlepas untuk menjadikan jambatan ini sebagai medan utama untuk mengakhiri nyawanya sendiri. Seperti pengasas Victoria Secret iaitu Roy Raymond.
Sebuah kereta sedang melepasi bumbung-bumbung bangunan di sebuah bandar besar (mungkin New York). Ini menggambarkan bahawa masalah kesesakan lalu lintas semakin menggila di bandar-bandar besar seluruh dunia seperti New York, Kaherah dan banyak lagi.
Dua orang kanak-kanak sedang berenang sambil di bawahnya merupakan pemandangan kesibukan di kawasan bandar. Mesej yang mungkin ingin disampaikan adalah dewasa ini, segolongan ibu bapa sering terjebak dalam kesibukan mencari rezeki dan pekerjaan masing-masing. Tetapi malangnya, kanak-kanak di rumah kurang diberikan didikan dan perhatian. Sehingga mereka dahagakan kasih sayang daripada ibu dan ayah. Akhirnya, rebung tidak dapat dilentur dari awal dan buluh itu sudah terlanjur keras.
Gambar di atas memberikan gambaran terhadap polemik air yang berlaku di negara-negara kurang maju seperti Afrika, Sudan dan Syria. Ikan di dalam gambar menggambarkan air manakala kanak-kanak kecil merupakan antara yang menjadi mangsa kepada permasalahan ini.
Di dunia ini, setiap perkara dijadikan oleh Allah SWT ada pasangannya. Jahat dan baik. Besar dan kecil. Begitu juga dengan orang yang kaya, ada juga orang yang biasa-biasa saja. Pada saat seseorang itu mampu untuk menaiki kapal-kapal pelayaran mewah, ada orang lain yang sedang membanting tulang empat keratnya memerah keringat untuk mencari sesuap nasi. Bersyukurlah dengan nikmat yang dianugerahkan. Kerana kesyukuran itu kunci kebahagiaan.
Seperti yang telah saya katakana Setiap perkara di dunia ini ada pasangannya. Lihatlah pada gambar di atas. Pada saat ada yang boleh bersenang-senang dan bersantai, ada pula yang harus berpindah-randah dan menjadi nomad semata-mata untuk mencari tempat berteduh panas dan rebut.
- ISU ALAM SEKITAR.
Kalau di Malaysia, kita sering melihat papan tanda “Sayangilah Sungai Kita” diletakkan di pinggiran jambatan atau sungai-sungai. Masalah pencemaran sungai berlaku tidak hanya di Malaysia sahaja, bahkan di negara-negara lain sekalipun. Tangan-tangan durjana yang membuang sampah sesuka hati ke dalam sungai inilah sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kemusnahan ekosistem dan masalah lain yang berlaku. Setiap tahun, sejumlah 15 juta tan sampah yang dijumpai di lautan. Lantas, siapa yang harus dipersalahkan? Ikan dan udang?
Nafsu yang haloba mendorong tangan dan kaki untuk bertindak melampaui batas. Ketamakan terhadap harta benda dunia tidak akan pernah memuaskan. Umpama seorang yang kehausan, lalu dia meminum air lautan. Adakah semakin hilang hausnya? Di samping tangan-tangan durjana yang mengundang kepada polusi, penebangan hutan secara haram juga disumbang oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya, keutuhan alam flora dan fauna musnah dan tiada lagi keunikan dan keindahan alam yang dapat diwariskan kepada cucu cicit kita kelak. Berapa banyak haiwan yang sudah mengalami kepupusan? Masih mahu menyalahkan takdir?
Apabila hutan-hutan sudah ditebang, bukan sahaja haiwan yang kehilangan habitat bahkan perkara ini dapat menyumbang kepada pemanasan suhu bumi. Hari ini, isu pemanasan global hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa. Namun, dari hari ke hari, semakin banyak tumbuhan hijau dikorbankan demi sebuah konkrit besi. Gambar di atas menunjukkan keadaan ais yang sedang mencair dan impaknya adalah paras air laut semakin lama semakin menaik.
Inilah yang dikatakan sebagai inovasi. Inovasi daripada hutan hijau kepada hutan konkrit dan besi. Ketamakan manusia dalam mengeksploitasi hasil bumi dengan berlebihan memberikan impak negatif kepada bumi Allah SWT ini. Kita diarah untuk mengimarahkan bumi, bukan menjahanamkannya!
Gambar di atas menunjukkan bertih jagung yang sepertinya sedang mendidih di dalam kawah sebuah gunung. Ini menggambarkan bumi kita sebenarnya sedang tenat. Tidakkah anda rasakan bahawa semakin lama bumi ini semakin bahang?
Wahai insan, ingatlah dan sisiplah dengan kemas di dalam hati. Kita tidaklah bersendiri hidup di bumi Allah SWT ini. Bahkan kita berkongsi. Bumi ini bukanlah hak milik kekal peribadi. Justeru, kita harus saling menjaga dan bertoleransi agar sama-sama peroleh kenyamanan di sisi. Dalam kita ghairah membina sana dan sini, ingatlah masih ada hidupan lain yang perlu dipulihara dan dipelihara dengan teliti. Supaya generasi seterusnya, dapat mengambil ibrah daripada nikmat Illahi ini.
Percaya atau tidak, nilai ini juga ada dipaparkan dalam muzik video lagu Up & Up ini. Gambar di atas menunjukkan seseorang sedang memandu jet dalam keadaan jetnya terbalik. Di Malaysia, kita mempunyai seorang figura yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam perlumbaan udara ini. Dato’ Halim Othman, bekas juruterbang Tentera Udara Malaysia (TUDM) telah menjadi peserta pertama mewakili Malaysia bersaing dalam Piala Perlumbaan Udara Red Bull pada tahun 2014. Beliau yang dikenali dengan gelaran Toogoo merupakan salah seorang daripada tiga juruterbang terbaru dari seluruh dunia yang berjaya menamatkan latihan lasak dan ujian di Kem Kelayakan Perlumbaan Udara Red Bull di Murska Sobata, Slovenia. Siapa kata anak Melayu tidak mampu berbuat apa-apa?
Gambar di atas menunjukkan sukan bola sepak sedang dimainkan di atas sebuah span. Ini bermaksud, tidak kira di mana-mana sahaja kita berada, sukan bola sepak tetap menjadi topik perbualan dan tumpuan utama dalam dunia sukan. Hatta di dapur sekalipun, seseorang mungkin sedang membasuh pinggan dan mangkuk sambil menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen.
Setakat ini sahaja perkongsian buat kali ini. Tulisan ini sekadar sudut persepsi saya yang serba kekurangan ini. Sebenarnya banyak lagi mesej tersembunyi yang terdapat di sebalik klip video lagu ini. Interpretasi bergantung pada diri masing-masing. Biarpun berbeza, tidak bermakna perbezaan itu menjadi lesen kepada perpecahan. Kan lebih elok sekiranya kita bertukar buah fikiran.
Wallahu Ta’ala A’lam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih