Sejak abad kelima Masihi, Selat Melaka menjadi laluan perdagangan penting antara China dengan India. Selat Melaka juga turut menjadi saksi kepada pembentukan pelbagai jenis kerajaan Nusantara yang hebat seperti Empayar Srivijaya, Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau dan Kesultanan Acheh.
Namun menjelang akhir abad ke-19, kawasan ini didakwa merupakan kawasan tumpuan lanun yang menggugat aktiviti eksploitasi ekonomi yang dijalankan British ketika itu. Label lanun itu yang dilempar kepada pejuang-pejuang tempatan terus berkekalan sehingga ke hari ini dan ini merupakan sesuatu yang harus diperbetulkan demi generasi akan datang.
Kegiatan lanun pada abad ke-19
Berdasarkan rekod arkib dan perpustakaan dalam dan luar negara, isu pelanunan menjadi duri dalam daging kepada British pada akhir abad ke-19. Kegiatan ini bukan sekadar mengganggu aktiviti perdagangan yang dijalankan malah mengundang rasa resah para pedagang yang berdagang ketika itu. Antara kapal dagang yang menjadi mangsa kegiatan ini ialah Malacca, Sultana dan Lord Melbourne (Britain) sementara Sabine dan A.S. Friendship didaftarkan di Perancis. Situasi ini mengundang publisiti negatif seperti tajuk akhbar New York Times bertarikh 14 Jun 1874 ini, ‘Malay Pirates. The Slaughter of Ship’s Crew – Quick Retribution’.
Publisiti negatif ini bagaimanapun tidak menyatakan bahawasanya pejuang-pejuang tempatan merupakan mangsa label tidak bertanggungjawab British seperti yang dihadapi pejuang-pejuang Kedah. Semasa konflik tercetus antara Kedah dengan Siam, antara tindakan yang diambil pejuang-pejuang seperti Tunku Muhammad Saad, Tunku Kudin dan Tengku Long Puteh ialah menyerang dan merampas kapal di laut bertujuan menjejaskan aspek perdagangan Siam.
Bagi mereka, apa yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada taktik perang untuk memaksa Siam berundur. Namun bagi Britain terutama Gabenor Pulau Pinang ketika itu, Robert Ibbetson, apa yang dilakukan mereka masih dianggap pelanunan. Buktinya, ini berdasarkan arahannya kepada Pesuruhjaya Polis Province Wellesley (kini Seberang Perai) berbunyi, “… any person residing there who aid or abet the ex-Sultan of Kedah in making ini attack on Kedah “will be treated as pirates.”
Justeru, bagi memuaskan keinginan Siam yang mahukan mereka dihukum dan menghormati terma Perjanjian Burney yang dimeterai pada tahun 1826, kegiatan lanun dijadikan alasan oleh British untuk menangkap pejuang-pejuang Kedah. Dua kapal digerakkan oleh Ibbetson iaitu H.M Wolf digunakan untuk mengepung Kuala Kedah sementara Crocodile pula digunakan untuk menyekat dan menahan pejuang-pejuang Kedah. Kesemua yang ditahan dibicarakan atas kesalahan lanun tetapi dibebaskan oleh mahkamah kerana ketiadaan bukti kukuh.
Sementara di Selangor, alasan kegiatan lanun digunakan oleh British untuk menekan Sultan Abdul Samad. Satu insiden yang menarik perhatian mereka ialah insiden rompakan dan rampasan dagangan sebuah perahu sekoci oleh 20 orang lanun di Kuala Sungai Jugra pada 16 November 1873. Ketika itu, perahu itu dalam perjalanan pulang dari Langat menuju ke Melaka dan diketuai Nakhoda Haji Abdul Rahman.
Serangan tersebut menyaksikan lima awak-awak terbunuh dengan seorang lagi awak-awak terselamat. Awak-awak yang terselamat bernama Mat Said mengaitkan serangan dengan kubu Raja Yaakub atau Tengku Alang berikutan kedudukan kubunya berhampiran dengan tempat mereka berlabuh. Ini mengakibatkan satu siasatan dijalankan pihak British sehingga tahun 1874.
Dalam kesibukan para orientalis dan cendekiawan Barat sibuk melabel pejuang-pejuang tempatan, mereka terlupa sesetengah kegiatan lanun yang berlaku di Selat Melaka ketika itu turut membabitkan kongsi-kongsi gelap Cina. Nicholas Tarling dalam bukunya ‘Piracy and politics in the Malay world: a study of British imperialism in nineteenth-century South-east Asia’ berkata,
“…In relation to the west coast states, Perak, Selangor, and Kedah, piracy had virtually disappeared by the late 1840s. The distruction of the Johore fleets played a large part in freeing the Straits from mauraders, and the settlement of the Kedah succession ended the reference to piracy in relation to that state. In the other major states, Perak and Selangor, local piracy had been generated and encouraged by civil strife and by the decay of central government. … . Nevertheless only petty piracy now remained, for many of the subordinate chiefs had turned to tin-mining, utilising Chinese labour and Settlement capital.”
Manakala L.A Mills dalam bukunya British Malaya 1824-1867 pula berkata, “… The suppression of Chinese piracy belongs to the history of Hong Kong rather than to that of the Straits Settlement. Although the coast of China had been notorious for piracy from time immemorial it was until the nineteenth century that European goverments paid much attention to it. The change was due to the increase of their commerce with the Orient. Great Britain was the power mainly responsible for the suppression of Chinese piracy. Her trade with China was much larger than that of any other nation, and the commerce of Hong Kong suffered severely from Chinese pirates in the early years of its history.”
Isu ini menjadi hangat terutama apabila Perang Larut Ketiga tercetus pada tahun 1872 dan 1873. Berdasarkan beberapa laporan polis yang dibuat kepada Penguasa Polis di Pulau Pinang, sebahagian besar kegiatan pelanunan berlaku di sekitar Sungai Larut, Kuala Sepetang, Sungai Gula, perairan Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Pantai Remis dan perairan Pulau Pangkor.
Kebanyakan kumpulan ini terdiri daripada Kongsi Gelap Ghee Hin, Hai San dan Toh Peh Kong yang sering melakukan serangan dan rompakan serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk di sekitar perairan utara Perak. Contohnya, pada tahun 1873, kumpulan Toh Peh Kong dan Hai San bersekongkol menyerang kumpulan Ghee Hin di Kuala Gula, Perak yang menyaksikan mereka merampas harta benda dan membakar rumah-rumah Ghee Hin.
Kongsi-kongsi gelap ini juga tidak segan-silu menyerang sesiapa saja yang dianggap bersekongkol dengan musuh-musuh mereka terutamanya orang Melayu. Misalnya pada 24 hingga 26 Julai 1873, berlaku beberapa insiden orang Melayu diserang oleh beberapa kumpulan perompak laut Cina yang lengkap bersenjata di pesisir pantai Tanjung Piandang dan Sungai Kerian. Malah, perompak-perompak ini juga bertanggungjawab menyerang dan merampas barangan penduduk yang bersawah berhampiran pinggir laut. Walaupun Perang Larut ini pada dasarnya ialah pertelingkahan kumpulan kongsi gelap, tetapi selepas mengambil kira skala keganasan yang berlaku, mereka juga turut dilabel lanun oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke.
Situasi tegang di perairan Selat Melaka dilihat memberi justifikasi kepada British untuk campur tangan di negeri-negeri Melayu. Ini kerana dari sudut pandang mereka, pemimpin-pemimpin tempatan dilihat gagal memberi jaminan keselamatan kepada para pedagang untuk berdagang dengan aman dan selamat. Dengan kelibat kapal-kapal perang British di situ, ia merupakan satu bentuk langkah keselamatan bagi membanteras kegiatan berkenaan seperti yang dilakukan Sir Harry Ord yang menghantar H.M.S Avon dan H.M.S Midge. Namun, ini mencetuskan lebih banyak pertelagahan antara pemimpin tempatan dengan British kerana dilihat satu cubaan menggugat kekuasaan mereka.
Asal-usul istilah lanun
Sebelum kewujudan istilah lanun pada abad ke-19, Bahasa Melayu lama menggunakan istilah “merompak atau menyamun” bagi merujuk kepada kegiatan merampas atau mengambil harta orang secara kekerasan dan paksaan sama ada di darat atau di laut. Mereka yang melakukan perbuatan ini pula dikenali sebagai “penyamun”, “pencuri”, “perompak” atau “perompak laut”. Sementara satu komen pelaut British yang direkodkan oleh W. Dampier dalam bukunya Voyages and Discoveries berbunyi, “Orang-orang Melayu (Malayans) yang mendiami di kedua-dua belah pantai Selat Melaka, pada umumnya adalah orang-orang yang berani, tetapi saya tidak menemui dalam kalangan mereka yang ketagihkan perompakan, kecuali pencuri secara kecil-kecilan dalam kalangan mereka yang miskin.”
Terma lanun pertama kali digunakan dalam teks Tuhfat al-Nafis yang ditulis pada tahun 1872. Teks tersebut merujuk lanun kepada suku kaum dari Tempusuk yang membantu Sultan Mahmud menghalau Belanda dari Riau pada tahun 1781. Begitu juga dengan Kesah Pelayaran Abdullah yang ditulis sekitar tahun 1880-an masih merujuk kepada kumpulan perompak suku Lanun atau Iranun (Illanun). Namun dari konteks British, mereka secara semberono menyamakan aktiviti lanun dengan kegiatan rompakan dan kecenderungan ini sudah dapat dikesan sejak abad ke-18 lagi. Buktinya, kenyataan A.P Rubin dalam bukunya The Law of Piracy (1998) ini, “… From 1717, the British began to use the word ‘piracy’ to refer to those indegenous people who attempted to impede the trading in the Straits of Malacca.”
Jika istilah lanun itu disamakan dengan perkataan pirate, istilah ini perlu dibahaskan berdasarkan situasi yang berbeza, sama ada boleh dianggap sebagai perompak, perompak laut atau lanun. Perompak laut boleh ditakrifkan sebagai kegiatan jenayah yang dilakukan di dalam perairan atau jurisdiksi kekuasaan sesebuah negara dan hukumannya tertakluk kepada perundangan wilayah tersebut. Begitu juga dengan kegiatan merompak di laut yang dipimpin oleh seseorang ketua yang tidak diiktiraf dan perbuatan itu hanya dianggap menyalahi norma kehidupan pada masa itu, maka golongan ini digelar perompak sahaja. Sementara undang-undang Barat pula menyifatkan sesuatu kegiatan itu hanya boleh dianggap sebagai pelanunan jika berlaku di luar jurisdiksi atau di perairan laut lepas sahaja. Selain itu, pelanunan juga tidak bersifat animo furandi atau demi kepentingan peribadi semasa menahan, merampas, memusnahkan barangan, menculik, mencederakan dan membunuh anak kapal.
Pembetulan istilah lanun
Melihat kepada tindakan semberono British melabel semua tindakan menyerang dan merampas kapal di laut sebagai aktiviti lanun, maka jelaslah di sini bahawasanya itu hanyalah alasan untuk melebarkan pengaruh dan kekuasaan mereka di negeri-negeri Melayu walaupun kegiatan rompakan itu tidak memenuhi ciri yang menjurus kepada aktiviti lanun.
Dan label sebegini turut mencetuskan rasa kurang senang sejarawan tempatan. Buktinya, semasa sambutan Ulang Tahun Monograph Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society ke-130 (1877-2007), Profesor Dr Cheah Boon Kheng menggunakan sambutan itu untuk menyangkal dakwaan bekas wartawan Australia, Alex Jorsey bahawa orang Melayu tiada sejarah selain menjadi perompak lanun.
Beliau berpendapat Jorsey tersalah baca atau sengaja memutar belit tulisan Tarling dalam Piracy and Politics in the Malay World kerana karya tersebut sebenarnya menunjukkan betapa pihak British “membesar-besarkan peristiwa perompak lanun dan menggunakan istilah itu untuk mengisahkan perompak-perompak lain dan keganasan yang dihadapinya.”
Selain itu, sejarawan Ahmad Jelani Halimi turut membangkang label tersebut melalui buku Perdagangan dan Perkapalan di Alam Melayu Abad Ke-15 hingga Ke-19. Buku ini merupakan usaha beliau membahaskan label lanun dari perspektif Timur dan Barat. Selepas mengambil kira ciri-ciri lanun yang dikemukakan sejarawan-sejarawan Barat dan manuskrip Nusantara seperti Tuhfat al-Nafis dan Misa Melayu, istilah lanun yang suka digunakan pihak Barat sebagai tidak tepat dan kebanyakan peristiwa yang direkodkan lebih menjurus kepada aktiviti rompakan laut.
Tegasnya, “… kelihatan seolah-olah ada pertalian antara kegiatan penjajahan kuasa Barat dengan proses penentangan penduduk peribumi terhadapnya yang sering dilakukan dalam bentuk perompakan. Ada kemungkinan juga rompakan yang dilakukan itu merupakan pemberontakan terhadap pihak penjajah khususnya perompakan dan perampasan yang berlaku pada abad ke-18 dan ke19.”
Bagi kaum Ilanun, label lanun yang dikenakan ke atas mereka oleh sejarawan dan orientalis Barat menimbulkan kemarahan ramai. Dan ini mendorong salah seorang bangsawan mereka bernama Datu Bandira Alang menjalankan satu kajian terperinci untuk membersihkan nama kaumnya. Berdasarkan kajiannya, istilah lanun yang diambil dari nama puak berkenaan bermaksud berkasih-kasihan atau lebih tepat hubungan sosial yang rapat berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.
Datu Bandira turut memetik kenyataan Dr Mamitua Saber berkenaan asal-usul nama Ilanun itu sendiri, “Perkataan Illanun atau Iranun lahir daripada kesilapan sebutan yang dilakukan oleh orang Sepanyol untuk merujuk orang Meranao yang mereka panggil sebagai Marano (dengan huruf ‘e’ pepet), yang bermaksud orang Ranao atau Orang Tasik. Sementara penulis berbangsa Inggeris, Belanda, dan Sepanyol dan lain-lain menggunakan perkataan Illanun untuk merujuk masyarakat Mindanao yang pada suatu ketika dahulu terkenal sebagai pedagang dan ahli pelayaran dari Filipina yang juga sebahagian daripada Filipina.”
Ini ditambah dengan kenyataan sesetengah sejarawan Barat yang melihat sesetengah istilah Barat perlu disesuaikan mengikut konteks tempatan termasuk istilah lanun. Tarling merumuskan bahawa memang wujud kes-kes rompakan dan keganasan di Alam Melayu, namun baginya ia dianggap tidak munasabah untuk dikategorikan sebagai pelanunan.
Berdasarkan pandangan ini juga, ini jelas membuktikan bahawa kegiatan menyerang dan merampas kapal di laut ini hanyalah merupakan perompakan biasa sahaja dan tidak layak dikategorikan sebagai kegiatan melanun lebih-lebih lagi jika ia dilakukan untuk membebaskan negara dari cengkaman kuasa-kuasa asing. Pandangan ini turut mendapat sokongan sejarawan J.F Warren dan sejarawan tempatan seperti Ahmad Jelani.
Sementara Alfred P. Rubin pula berpandangan tindakan menyamakan golongan pemberontak dengan pirates bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang antarabangsa malah undang-undang British itu sendiri. Dalam hal ini, undang-undang British menggariskan bahawa pihak yang boleh dilabel sebagai lanun bukan sahaja melanun di perairan laut lepas malah di luar kawasan jurisdiksi sesebuah negara.
Malah, undang-undang British juga tidak boleh digunakan untuk menghukum rakyat asing sekaligus menyebabkan mereka yang ditangkap di laut terlepas daripada tuduhan melanun. Contohnya, Tunku Muhammad Saad yang ditangkap dan dibicarakan di Pulau Pinang telah dibebaskan oleh mahkamah pada Oktober 1840. Perkara itu terjadi kerana Undang-undang Perbandaran Pulau Pinang tidak boleh digunakan untuk memandangkan beliau bukan rakyat British.
Malah, peguamnya J.R Logan menyifatkan beliau sebagai wira negara dan menyamakan perjuangan pejuang-pejuang Kedah sepertinya dengan perjuangan bangsawan-bangsawan Inggeris yang menentang Raja John pada abad ke-13. Kenyataan Logan turut disokong Ketua Turus Pemerintah Angkatan Laut Stesen Timur Laut India, Sir Edward W.C.R Owen, “… I could not treat as pirates any against whom no acts of piracy had been specifically alleged, or proof obtain.”
Justeru di sini, kita dapat menyimpulkan label lanun yang dilempar penjajah Barat ke atas pemerintah dan orang Melayu hanyalah sekadar alasan untuk menjustifikasikan penjajahan mereka di Alam Melayu. Tindakan yang dianggap sebagai pelanunan itu hanyalah bertujuan mendapatkan semula hak mereka yang dinafikan melalui penipuan yang wujud dari perjanjian-perjanjian yang dimeterai.
Malah, ini hanyalah permulaan kepada siri perjuangan penduduk tempatan terhadap pendudukan British di Tanah Melayu. Justeru, sejarawan tempatan harus berusaha menjernihkan semula istilah ini kerana istilah itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan terhadap maksud sebenar lanun, malah menyebabkan berlaku pensalahtafsiran terhadap kegiatan pelaut dan penguatkuasa Melayu.
Dan salah faham ini juga makin merendahkan moral generasi bangsa Melayu hari ini daripada mengenali bangsa mereka dan bagaimana bangsa Melayu berjaya sebagai raja di darat dan lautan. Pembetulan label lanun ini merupakan satu langkah tepat untuk menunjukkan bangsa Melayu juga pembina tamadun hebat setanding dengan tamadun-tamadun dunia yang lain.
RUJUKAN:
Ahmad, Faris, Ahmad, Ibrahim dan Harun, Shariff. (2016). Pelanunan Di Selat Melaka Sekitar Abad Ke-19: Pensalahtafsiran Pihak Barat. JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH VOL 3, BIL 2. https://www.researchgate.net/profile/Shariff_Harun/publication/326588005_Pelanunan_Di_Selat_Melaka_Sekitar_Abad_Ke-19_Pensalahtafsiran_Pihak_Barat_Piracy_in_the_Malacca_Strait_Around_19th_Century_The_West_Missconception/links/5b5831680f7e9bc79a60b9b5/Pelanunan-Di-Selat-Melaka-Sekitar-Abad-Ke-19-Pensalahtafsiran-Pihak-Barat-Piracy-in-the-Malacca-Strait-Around-19th-Century-The-West-Missconception.pdf?origin=publication_detail
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih