Mitos Melayu pemalas ini pada asalnya dibangkitkan oleh penjajah. Mereka datang ke Tanah Melayu, memaksa orang Melayu bekerja untuk mereka, namun orang Melayu menolak kerana mereka ialah tuan di tanah ini, untuk apa mahu bekerja bagi si penjajah yang datang kerana hasil kekayaan itu semua akan diambil dan dibawa ke tanah asing.
Keengganan orang Melayu untuk patuh pada kerja-kerja keras yang disediakan oleh penjajah membuatkan penjajah terpaksa membawa imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Lantas, penjajah-penjajah pun menulis pelbagai perkara buruk mengenai orang Melayu.
Kemudian, selepas Malaysia merdeka, laungan penjajah ke atas bangsa Melayu sebagai pemalas disambut oleh pimpinan negara kita. Zikir Melayu pemalas menjadi zikir harian peribadi mereka sehingga memaksa sarjana seperti SH Alatas menyiapkan sebuah buku demi melanggar semua mitos ini.
Namun, ternyata buku yang menjawab tohmahan ke atas bangsa Melayu ini masih belum dibaca oleh segelintir rakyat Malaysia. Contohnya seperti yang mahu dipersembahkan kali ini. Penulis semalam pernah berbahas dengan seorang ketua penerangan Pribumi bagi cawangan Bandar Tun Razak yang bertegas mengatakan bahawa orang Melayu ialah bangsa pemalas. Tatapan layar status beliau dapat ditatap dalam artikel di bawah.
Orang yang pemalas wujud dalam diri manusia. Bukan sahaja bangsa Melayu, malahan untuk bangsa seluruh dunia. Tiada apa pernah menafikannya. Namun, dari status Azariq Abbas ini, yang penulis percaya juga bahawa ia mewakili pendokong dogma Melayu Pemalas ini. Bagi mereka, ia adalah sebuah nasihat, teguran yang harus diambil demi mengangkat bangsa Melayu.
Maka, marilah bersama saya demi membedah mengenai kenyataan ini. Apakah bentuk nasihat yang baik? Nasihat yang baik bukanlah jenis menjatuhkan. Sekarang, saya mahu anda semua mendalami analogi ini. Katakanlah, seorang pelajar tercorot dalam kelas ini dihadapkan depan tapak perhimpunan lalu kemudian para guru, dan murid lain akan melaungkan setiap keburukannya. Harapam para guru dan murid lain ini ialah murid tersebut mampu berubah.
Tapi anda percaya ke bahawa dia mampu berubah? Besar kemungkinan si murid itu akan mengalami depression kerana dimalukan sedemikian rupa, malu untuk menghadap rakan-rakan lagi, dan hilang semangat untuk hidup. Kita sedang bercakap mengenai sifat biasa seorang manusia.
Ya, saya akui ada yang daripada peristiwa tersebut, maka dia bangkit menjadi seorang yang hebat. Sejarah membuktikan melalui Jeneral Han Xin yang merupakan jeneral utama dalam pelan penubuhan Dinasti Han atau Genghis Khan, penyatu dan pengasas Empayar Monggol. Namun seberapa banyak yang jadi seperti dua tokoh ini?
Lihat kes di bawah ini dikongsi oleh warganet Twitterjaya bagaimana kisah seorang anak berasa kecewa kerana kejayaannya memperoleh 8A IB tidak dihargai oleh seorang ayah, malah dimarahinya.
Atas ialah bukti hidup bagaimana “public-shaming”, “penghinaan”, “kutukan” tidak akan pernah merupakan sebuah cara terbaik. Kalau seorang individu pun membunuh diri kerana seorang ayah mengatakan kecewa walau dia dia sudah mencapai sehabis baik.
Fikirkan, seorang pemimpin mengatakan kepada rakyat terutama majoriti bangsa Melayu bahawa semua kebangsatan yang berlaku di Malaysia, atau pada diri mereka adalah kerana mereka bangsa yang pemalas, bangsa yang culas, bangsa yang suka curi tulang (seperti mana yang ditulis oleh Azariq Abas.). Saya percaya, bahawa perbuatan seperti ini adalah membunuh anak bangsa lagi, bukannya menaikkan mereka.
Jadi, kita nak buat apa dalam menaikkan jati diri anak bangsa? Saya beri nama negara-negara ini sebagai contoh utama. Korea Selatan, Thailand, Jepun, India dan Sweden dan beberapa buah negara lagi. Cukuplah mereka sebagai contoh paling besar demi menjawab solusi terbaik dalam menaikkan jati diri anak bangsa.
Sweden dan England misalnya sanggup menaikkan kapal-kapal mereka yang tenggelam di dasar laut dan sungai demi menaikkan jati diri bangsa mereka. Kapal tersebut ialah kapal Vasa dan Mary Rose yang digali Sweden dan England dan siap dipamerkan di muzium masing-masing. Kapal Vasa dibina pada abad ke-17 manakala Mary Rose pada abad ke-16.
Padahal, dalam sejarah, orang Melayu telah berlayar lebih awal ribuan tahun lebih awal dari kapal milik orang Sweden dan England ini. Bacalah catatan-catatan China, India, Arab dan pelbagai bangsa di seluruh dunia mengenai kehebatan orang Melayu ini. Kita ada khazanah hebat yang boleh dipersembahkan. Kapal di Sungai Batu itu dah hampir 2000 tahun usianya tenggelam tanpa diangkat oleh anak bangsa kita.
Seharusnya, angkatlah kapal tersebut dan paparkanlah kepada dunia bahawa anak Melayu sudah menjadi jaguh lautan yang tidak terbayang dek akal dunia ketika itu. Maka berbanggalah setiap anak Melayu apabila melihat peninggalan bangsa mereka diangkat sebegitu rupa! Seperti mana kata-kata daripada
“Umat yang sedang bangkit memerlukan kepada perasaan bangga dengan kaumnya sebagai satu bangsa yang agung, istimewa dan bersejarah sehingga terbentuk dalam diri generasi muda. Lantas mereka berjuang demi keagungan dan kemuliaan itu dengan darah dan roh mereka. Mereka bekerja demi kebaikan tanah air, kemuliaan dan kebahagiaannya”. – Hassan Al-Bana
Malangnya di Malaysia, kita lebih suka mengagungkan peninggalan penjajah daripada peninggalan hebat Tamadun Melayu. Dalam Tun Mahathir dan para pengikutnya melemparkan nista ke atas bangsa Melayu, mereka membina replika-replika yang bersifat penghinaan ke atas bangsa Melayu. Hei wahai pengkhianat bangsa, beritahu aku siapa yang akan berasa bangga apabila melihat Flor De La Mar dibina semula pada tahun 1990, padahal itu kapal yang menghancurkan keagungan Melaka di sini? Hebat, dalam mengutuk Melayu pendatang, kita bina pula dan jaga peninggalan penjajah dengan sehabis baik!
Tak nak belajar ke dengan bangsa Korea? Bangsa Korea nak bangkit mencipta Miracle of Han River, melalui pemerintah agung mereka Park Chung-hee iaitu bapa pemodenan Korea Selatan, mereka telah mendirikan monumen Laksamana Yi Shun Shin – wira yang mempertahankan Korea daripada serangan Jepun ketika Perang Imjin (1592-1598).
Kepada yang tidak mengetahuinya, dalam Pertempuran Myeongnyang, Laksamana Yi berjaya menghancurkan armada Jepun (yang mempunyai 130 kapal perang) dengan hanya 13 kapal. Hari ini. Laksamana Yi merupakan salah satu daripada jeneral-jeneral perang yang tidak pernah kalah dalam peperangan, menempa nama sebaris dengan Khalid Al-Walid dan Alexander The Great.
Tak cukup dengan monumen Laksamana Yi dipasakkan di tengah-tengah kota-kota pesat Korea, mereka bina pula muzium khas untuk Raja Sejong, raja teragung orang Korea ketika Dinasti Joseon. Ketika pemerintahan Raja Sejong ini, Korea mencapai dan memasuki zaman keemasan mereka dalam pencapaian sains dan teknologi.
Perhatikan gambar di atas. Itu ialah gambar raja mereka yang dibina di tengah-tengah kota Seoul. Bangsa Korea akan memandang dengan penuh bangga patung raja paling hebat mereka. Bangsa Korea naik kerana semaian nasionalisme yang tepat membawa bangsa mereka.
Di bawah kota Seoul, bangsa Korea cipta muzium yang menampilkan pelbagai penemuan dan peninggalan bagi sesiapa yang mahu mengenali Raja Sejong. Muzium tersebut mengandungi 9 bahagian, terbuka untuk sesiapa sama ada rakyat Korea atau bangsa asing bagi mengenali keagungan bangsa Korea. Korea tidak berusaha untuk menaikkan peninggalan bangsa-bangsa penjajah di bumi mereka.
Mungkin sebab jati diri bangsa Korea ini, dalam jiwa mereka dah tertanam motto Pilsa jeuksaeng, pilsaeng jeuksa’ (필사즉생 필생즉사) yang dilaungkan oleh Laksamana Yi yang bermaksud “kalau anda melawan seperti anda akan hidup, maka anda akan mati, kalau anda melawan seperti mana anda akan mati, anda akan hidup.”
Belajarlah dengan bagaimana cara bangsa Jepun menjual sisi positif diri mereka. Mereka menjual naratif kebudayaan Samurai dalam bangsa Jepun sebagai kebudayaan yang mengangkat maruah mengatasi segala-galanya, bahkan sanggup mati demi mempertahankan prinsip hidup (sesuatu yang saya yakin kebanyakan politikus di Malaysia tidak akan memahaminya kerana mereka menjual prinsip dan maruah laksana menjual sayur di pasar).
Mereka menjual festival-festival kebudayaan Jepun dalam animasi mereka yang menampakkan memakai Kimono dan Yukata itu adalah sebuah keindahan, sehinggakan bangsa asing tak malu untuk berpakaian seperti bangsa Jepun. Mereka menjual sejarah mereka dari Nobunaga, atau mitologi-mitologi bangsa mereka sehinggakan hari ini kita mengenali entiti seperti Izanagi, Ametarasu dan Susanoo. Kemuncaknya, betapa bangsa luar takjub dengan kebudayaan dan tamadun mereka, siap animasi Batman pun diselitkan kebudayaan Jepun.
Apakah semua ni akan berlaku kalau sebelum Revolusi Meiji menjadikan bangsa Jepun sebagai bangsa yang hebat di mata dunia bermula dengan gerakan, semuhan dan hinaan bersifat self-hating, public shaming dan sebagainya?
Semuanya ini bermua apabila wujudnya gerakan pencarian jati diri yang dikenali sebagai “Kokugaku” (国学). Kokugaku ialah satu gerakan intelektual untuk mendefinisi semula ke-Jepun-an. Orang Jepun mula sedar, mereka jadi mundur dan terpencil akibat daripada membuang jati diri sebagai bangsa pulau (“shimaguni”) yang terbuka dan dinamik dan meniru budaya China yang tidak menepati fitrah orang Jepun.
Mungkin sebab yang sama, betapa kerajaan India bersungguh-sungguh membina patung Shivaji, seorang pemerintan Empayar Maratha dalam sejarah India yang telah mempertahankan Empayar Maratha dari serangan dan taklukan Mughal. Betapa mereka tidak pernah kisah mengenai kos pembinaan patung Sivaji setinggi 200 meter ini sahaja sudah mencecah 560 Juta Dollar US yang kalau ditukarkan kepada duit kita sekarang sudah melebihi jumlah 2 billion ringgit. Ini bermaksud tidak ada harga pada jati diri sebuah bangsa itu sendiri!
Bukanlah mahu kita membina arca atau patung seumpama dengannya. Sekurang-kurangnya, peninggalan-peninggalan tamadun Melayu dinaikkan dan diperhebatkan demi membina jati diri bangsa.
Memperingati asal usul bangsa akan boleh membantu sesebuah bangsa “survive” dalam saat-saat genting dan goyah dengan bertaut kepada masa silam. Atas sebab itu, Sultan Abdul Malik Mansur Shah pada tahun 1818 enggan menurut tuntutan Siam yang meminta Perak menghantar Bunga Mas. Dalam warkah kepada wakil British di Pulau Pinang, Sultan Abdul Malik bertitah:
“Beta adalah adalah raja dari keturunan dahulukala dari Bukit Seguntang Mahameru. Betalah yang memegang Cura Simanjakini, Puan Nagataru…
Beta adalah yang tertua dari segala raja ini, yakni raja Siak, Selangor, Riau, Kedah dan Terengganu. Dengan hormatnya atas permintaan raja Siam dan Kedah itu, beta tidak boleh memenuhinya, meskipun perang adalah akibatnya. Beta harus melawan mereka kerana adat ini tidak pernah didengar atau disuruhkan ke atas negeri Perak. Kini buat pertama kalinya raja Kedah dengan biadap menuntut Bunga Emas untuk dihantar ke Siam. Beta tidak akan memenuhi kehendaknya. Sekiranya sejak dahulu Perak menghantar Bunga Emas kepada Kedah atau Siam, beta juga akan berbuat demikian menurut adat dahulukala.”
Patutnya surat di atas dibina sekali bersamanya tugu berbentuk rentaka, atau seumpama dengannya yang tidak bersifat menyerupai makhluk hidup. Sepatutnya ia dirakam dan didendangkan kerana dengan surat tersebut, dengan mengenangkan identiti bangsa dan sejarah agungnya, maka bangsa Melayu mampu survive segala bentuk penghinaan dan penjajahan daripada Siam! Kalau kat luar ni, macam kat Thailand, Burma, Korea dan sebagainya dah diorang buat tugu bersekali dengan kata-kata ni.
Tentunya antara “bukti”-bukti” yang dibawa bagi memperkatakan mengenai kemalasan Melayu ialah testimonial yang cuba dijadikan sebagai bukti bersifat bukti anecdotal. Falasi ini dapat dilawan andai akar kepada masalah ini cuma satu jer. Inner circle. Inner circle penulis sendiri adalah terdiri daripada Melayu berjaya. Semuanya hebat-hebat. Saintis roket, agamawan hebat, prodigi Permata, aktivis doktor, guru yang cekal mengajar, arkitek, engineer mendahului zaman, ahli perniagaan hebat, pakar linguistik dan banyak lagi. Ini semua anak-anak Melayu hebat tau.
Penulis lihat sendiri anak-anak Melayu yang rajin yang keluar kerja dan balik kerja tak nampak matahari. Di tambak Johor tu, berapa banyak anak Melayu yang keluar sebelum Subuh dan balik kerja menghadap jem semata-mata nak dapatkan secupak rezeki?
Ada yang masih gigih menoreh getah atau mengait kelapa sawit walau harga dua ni makin jatuh. Yang bekerja sebagai tentera menjaga sempadan negara kita, atau jadi polis meronda waktu malam masih lagi orang Melayu. Sebab betapa rajinnya merekalah “Malaysia masih aman” lagi.
Yang mencuci tahi najis pesakit di hospital tu majoriti jururawat Melayu. Yang bekerja menghantar surat, barangan yang ditempah di pos laju tu semua orang Melayu. Yang memadam api, menyelamatkan orang dalam bahaya – majoriti abang bomba tu Melayu sampai hilang nyawa.
Kita masih makan nasi hari-hari sebab orang Melayu rajin menuai padi. Kita masih boleh makan ayam, lembu dan kambing setiap hari sebab orang Melayu tak tinggalkan kerja berat mereka di ladang-ladang. Kita masih menikmati ikan-ikan sebab nelayan-nelayan Melayu tak pernah “malas” turun ke laut untuk penuhkan perut kita.
Tak akan sampai orang Melayu develop budaya Karōshi diaorang sendiri macam orang Jepun iaitu iaitu bekerja sampai satu masa, tubuh sendiri shutdown dengan sendiri dan mati baru nak panggil orang Melayu rajin?
Situasi yang sama berlaku di Korea jugak. Di Korea, di kalangan rakyat Korea dan orang luar, negara mereka mendapat jolokan Hell Joseon sebab suasana bekerja yang sangat membunuh, dan memberi tekanan yang maha hebat kepada pekerja mereka. Mereka-mereka yang bekerja keras ni tak jadi kaya pun, tapi jadi hamba kepada kapitalis-kapitalis kroni kerajaan Korea dan Jepun.
Budaya bekerja yang sangat dasyat di Jepun dan Korea telah membentuk pelbagai generasi macam hikikomori, satori generation dan sampo generation (yang semuanya membawa maksud yang buruk kalau di-google). Mereka tak jadi kaya atau hebat tetapi mengkayakan lagi kapitalis di atas mereka.
Hasil budaya kerja keras mengalahkan kerbau ni telah membuatkan generasi baru dua negara isolasikan diri mereka dari dunia. Sebab tu kau dapat tengok ramai yang dah mula jadikan anime hologram 3d yang dibeli dengan wang yang banyak jadi bini mereka.
Kadar bunuh diri di Korea Selatan dan Jepun pulak adalah tertinggi di kalangan negara maju. Di Korea Selatan, 30 dari 100,000 orang membunuh diri setiap tahun; manakala di Jepun, 19 dari 100,000 orang membunuh diri setiap tahun.
Apakah sampai pada tahap seperti itu barulah berhenti UNGKAPAN “MELAYU PEMALAS”?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih