Jika menonton K-drama Sisyphus: The Myth, mungkin ada yang menyangka teknologi teleportasi kuantum (quantum teleportation) yang dipaparkan adalah sains fiksyen semata-mata. Tetapi sebenarnya teknologi ini real.

Kita telah berjaya mempunyai teknologi teleportasi (teleportation) sejak tahun 90-an lagi tapi dalam jarak yang amat dekat iaitu sekitar 600 meter. Terkini, kita dapat hantar merentas jarak (teleport) objek dengan jarak 1,400 km iaitu dari Bumi hingga ke satelit. Kejayaan dilakukan oleh saintis dari China.

Definisi teleportasi ialah memindahkan objek tanpa melalui ruang fizikal. Setakat pengetahuan saya, tiada lagi filem/drama bersiri sains fiksyen yang dapat menepati ciri ini selain daripada Sisyphus: The Myth.

Star Trek yang cukup terkenal dengan dakwaan teknologi teleportasi itu pun memerlukan medium (gelombang cahaya) untuk memindahkan objek dari satu tempat ke satu tempat.

Filem Jumper pula walaupun nampak macam teleportasi, tetapi tekniknya lebih kepada memendekkan ruang melalui lohong cecacing (wormhole), sama konsep seperti pintu Doraemon. Tuntas, masih memerlukan ruang.

Ironinya, definisi sebenar teleportasi sering digambarkan dalam karya fantasi seperti Harry Potter dan Dragon Ball yang mana teleportasi berlaku secara spontan tanpa sebarang medium fizikal.

Teleportasi kuantum yang berjaya dicapai oleh manusia berasaskan ilmu kuantum. Jadi, sebab itu namanya teleportasi kuantum. Teknik yang digunakan ialah berasaskan kekusutan kuantum (quantum entanglement).

Dalam kekusutan kuantum, dua objek mempunyai hubungan dalam jarak teramat jauh. Katakanlah objek A berada di penghujung kanan alam semesta dan objek B berada di penghujung kiri alam semesta. Kalau kita cerap objek A berputar ke kanan, automatik objek B berputar ke kiri. Kalau objek A berputar ke kiri, automatik objek B berputar ke kanan. Seolah-olah kedua-dua objek ini berinteraksi melebihi kelajuan cahaya. Yelah, sejauh 93 bilion tahun cahaya, macam mana objek B boleh tahu apa yang objek A buat dalam masa yang amat singkat.

Jadi, saintis gunakan teknik ini untuk merentas jarak (teleport) objek. Disebabkan teknik rentas jarak berasaskan kuantum, maka hanya objek yang boleh dikuantumkan sahaja yang boleh melakukan teleportasi. Setakat ini objek yang boleh dikuantum hanyalah zarah. Saintis berjaya merentas jarak sejauh 1,400 km pun dengan gunakan zarah cahaya, bukannya objek makro.

Prinsip teleportasi kuantum ini agak rumit. Tetapi dalam bahasa mudahnya, sebelum teleportasi kuantum boleh berlaku, perlunya ada komunikasi antara kedua-dua tempat. Komunikasi ini pula terbatas dalam kelajuan cahaya. Tanpa komunikasi ini, teleportasi kuantum tak boleh berlaku.

Jadi, kalau kita nak merentas jarak (teleport) ke penghujung alam semesta yang jauhnya berbilion tahun cahaya, maka komunikasi dua hala mengambil masa berbilion cahaya perlu berlaku terlebih dahulu sebelum kita dapat lakukan teleportasi yang spontan.

Umumnya, kalau jasad manusia dapat dikuantumkan kelak, mungkin teleportasi agak praktikal dalam kerangka sistem suria. Kalau kita bergerak secara fizikal dari Bumi ke Marikh mengambil masa sekitar 8 bulan hingga setahun, cahaya hanya bergerak 3 minit sahaja dari Bumi untuk ke Marikh.

Maka, komunikasi 3 minit perlu berlaku terlebih dahulu, kemudian kita boleh terus ke Marikh kurang dari setahun, malah kurang dari 3 minit. Lagi menakjubkan, boleh merentas dalam tempoh sekelip mata sahaja!

Kekusutan kuantum digunakan kerana fenomena ini berlaku tanpa medium jarak seperti mana yang telah saya jelaskan di mana zarah berhubung tanpa apa-apa medium komunikasi. Jadi, jasad manusia perlu dikuantumkan untuk merealisasikan teleportasi kuantum.

Untuk memastikan pengembaraan masa boleh berlaku, zarah yang dikusutkan perlu ada di dua garis masa iaitu masa hadapan dan masa kini (untuk kes dalam drama ini). Dalam drama ini, mungkin “downloader” dan “uploader” berfungsi seperti fenomena kekusutan kuantum. Dengan adanya kekusutan kuantum, kemudian jasad manusia dikuantumkan, maka teleportasi dapat berlaku.

Setelah jasad manusia dikuantumkan, barulah ia dapat berinteraksi dengan fenomena/teknologi kekusutan kuantum untuk menjadikan teleportasi itu berjaya. Setakat ini, kita tidak mampu mengkuantum objek sebesar bola tenis, apatah lagi sebesar manusia. Ia memerlukan tenaga dan kecanggihan teknologi yang sangat menakjubkan untuk merealisasikannya.

Sekiranya teleportasi dapat direalisasikan ke atas jasad manusia, jasad akan “hancur/lenyap” (no-clone theorem) menjadi maklumat kalau nak buat teleportasi. Maklumat itu akan melalui teleportasi & maklumat itu akan “cantumkan” tubuh kita semula di destinasi sama seperti yang berlaku dalam Sisyphus: The Myth.

Kenapa nama K-drama ini Sisyphus: The Myth? Ini sekadar penaakulan saya. Sisyphus ialah watak dalam mitos Yunani. Dia merupakan seorang raja yang cerdik dan licik kerana dapat mengelak kematian banyak kali. Hal ini menyebabkan kemarahan dewa-dewa.

Akibatnya, setelah dapat ditangkap, Sisyphus dihukum untuk menolak seketul batu besar sampai ke puncak bukit. Apabila hampir sampai ke puncak setiap kali tolak, batu itu jatuh semula ke bawah dan Sisyphus mengulanginya untuk selama-lamanya.

Pengajaran daripada mitos ini ialah, perbuatan Sisyphus ialah sia-sia dan dia tahu perbuatan itu sia-sia sebab setiap kali dia tolak hampir ke puncak, batu itu akan jatuh ke bawah semula. Tetapi dia tetap buat walaupun dia tahu dia tidak akan sampai ke puncak bila-bila.

Sama macam K-drama Sisyphus: The Myth. Ramai orang dari masa depan, mahu balik ke masa lampau kerana penyesalan (regret). Walaupun mereka tahu mereka tidak boleh ubah masa lampau, mereka tetap mahu lakukan perbuatan sia-sia ini untuk ubati penyesalan seperti yang pernah dijelaskan oleh Kang Seo-hae (lakonan Park Shin-hye).

Sebenarnya ini berkaitan juga dengan paradoks yang berlaku apabila merentasi masa. Paling popular ialah paradoks datuk. Untuk selesaikan masalah paradoks datuk supaya tidak berlaku ialah masa lalu tidak boleh diubah langsung walaupun kita dapat merentas ke masa lampau. Tuntas, ia hanyalah perbuatan yang sia-sia.

Bagaimana kuantum teleportasi dapat direalisasikan untuk merentas waktu? Apakah paradoks masa (time paradox) boleh berlaku? Nak tahu terperinci tentang teleportasi, pengembaraan waktu dan paradoks masa, baca karya GENESIS. Boleh dapatkan melalui pautan di bawah;
https://shp.ee/v7smteq

Nak faham teleportasi, kena faham konsep asas kuantum. Nak faham kuantum, kena faham teori atom. Sebab itu dalam GENESIS, saya letak bab teleportasi di bahagian belakang dan teori atom di bahagian depan. Apabila pembaca baca bahagian teleportasi, pembaca telah dipersiapkan dengan ilmu teori atom dan asas kuantum


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.