Melaka merupakan penempatan pertama di semenanjung Tanah Melayu yang mencapai status sebuah bandaraya. Pengiktirafan ini pertama kali diperolehi daripada pihak China pada 11 November 1405. Manakala pengiktirafan kedua diterima pada bulan Mac 1552 daripada Raja Dom Joao dari Portugal. Pengiktirafan ini secara tidak langsung menunjukan Melaka memiliki ciri-ciri fizikal yang diiktiraf sebagai bandaraya oleh masyarakat antarabangsa.
Bandaraya Melaka lengkap dengan sistem penempatan, pertahanan, pusat perniagaan, pusat pentadbiran, tempat ibadat dan sebagainya menjadikannya sempurna untuk didiami. Situasi ini turut memberikan gambaran bahawa bentuk geografi bandaraya ini adalah ideal sebagai sebuah penempatan.
Bandaraya Melaka terbahagi kepada kawasan penempatan, kawasan pusat perniagaan, kawasan pelabuhan dan juga kawasan kota pertahanan. Pengasingan kawasan penempatan bagi tujuan keselamatan menonjolkan pengalaman masa lalu perancang bandaraya ini. Pelbagai kemudahan perniagaan disediakan seperti laluan atau lebuh laluan yang luas dan kedai-kedai jualan yang tersusun selesa untuk perniagaan.
Premis di pasar bandaraya ini dimiliki oleh penduduk Melaka dan ia dibahagi kepada dua sebahagian untuk tujuan sewaan ruang perniagaan kepada pedagang dan sebahagian lagi untuk penginapan pemilik premis. Ini bukan sahaja memudahkan peniaga yang tidak perlu menguruskan premis perniagaan dan dalam masa sama menguntungkan pemilik yang mendapat keuntungan bayaran sewa.
Bandaraya Melaka sebelum dibangunkan terdiri dari kawasan paya bakau, nipah dan sagu serta beberapa kawasan kering dan berpasir terletak di tebing utara sungai Melaka dan juga dibahagian selatan bandaraya Melaka. Kawasan daratan bandaraya ini pula terhampar di lembah bukit Melaka dan bukit Cina serta di bahagian utara tebing sungai Melaka. Kawasan daratan bandaraya Melaka secara umumnya adalah terhad dan terletak di sekitar 3 kawasan iaitu di utara, di timur dan juga di selatan bukit Melaka.
Lokasi bukit ini membantu kerja pemantauan keselamatan ke atas bandaraya Melaka dan kawasan sekitarnya. Segala ancaman yang muncul dari arah laut dapat dilihat dengan jelas dari kawasan bukit. Para pelayar dan pedagang menjadikan bukit Melaka sebagai panduan untuk mereka memasuki pelabuhan Melaka. Kawasan bukit-bukit ini adalah zon eksklusif sebagai kediaman diraja Melaka pada masa lalu. Menurut sumber primer dan kajian terdahulu menyatakan secara tradisinya pembinaan istana dibangunkan di kawasan perbukitan. Manakala penempatan penduduk, pedagang dan pembesar terletak di sekitar bukit itu sendiri.
Dari aspek kelautan dan perairan, bandaraya Melaka memiliki kawasan pantai yang memanjang di bahagian barat bandaraya ini. Walau bagaimana pun tidak semua kawasan pantai ini mempunyai teluk seperti di muara sungai Melaka. Kawasan perairan dan pantai bandaraya yang benar-benar sesuai untuk aktiviti kapal berlabuh. Kawasan berlabuh tertumpu dikawasan pantai utara sungai Melaka selain dikawasan muara sungai itu sendiri. Di kawasan tesebut dibina penempatan untuk aktiviti perdagangan dan penginapan bagi pedagang selain dibina kawasan limbungan untuk membaiki kapal-kapal.
Pantai dibahagian selatan amat penting dijadikan sebagai benteng semula jadi jika berlaku serangan ke atas bandaraya Melaka dari arah selatan. Tidak hairanlah jika kawasan ini gagal ditembusi oleh tentera Johor Lama dan juga Bugis dari Riau kerana kepadatan tumbuhan bakau dan nipah menjejaskan momentum serbuan ke atas kota Melaka dan memberi kelebihan kepada pihak pertahanan memusnahkan musuh. Pergerakan musuh yang perlahan akibat selut dan lumpur paya adalah sasaran mudah kepada meriam dan juga peluru istinggar.
Bandaraya Melaka mempunyai 4 aliran sungai yang penting untuk tujuan perhubungan dan keselamatan. Bandaraya ini memiliki tiga buah sungai semula jadi dan sebuah sungai buatan. Sungai Melaka mempunyai teluk yang dalam membolehkan kapal-kapal dagang bersaiz besar berlabuh. Kedudukan teluk di muara sungai memberikan perlindungan kepada kapal-kapal pelayaran dari ancaman ribut. Selain itu kawasan teluk dan sungai Melaka ini turut menjadi sebahagian dari lanskap keseluruhan bandaraya itu sendiri.
Selain sungai utama terdapat juga sebatang sungai yang merupakan pecahan kepada sungai Melaka mengelilingi kawasan Upih di utara bandaraya ini. Sepanjang tebing sungai ini didirikan tembok tinggi untuk melindungi kawasan daratan Upih yang terbuka kepada ancaman fizikal terutamanya dari arah timur di kawasan pedalaman Melaka.
Di bahagian selatan bandaraya ini terdapat sungai Air Leleh. Muara sungai ini berhadapan dengan Pulau Melaka dan hulunya berakhir di kawasan bukit Cina. Sungai ini merentasi kawasan paya bakau dan nipah serta tidak memiliki penempatan yang besar dan penduduk yang ramai seperti dipenempatan lain. Berdasarkan peta yang dilukis oleh pihak Portugis, hulu sungai Air Leleh ini berdekatan dengan lokasi salah satu istana Melaka.
Sebuah lagi sungai yang terdapat di bandaraya ini adalah sungai buatan yang dibina mengelilingi kota pertahanan di bukit Melaka. Sungai ini dibina semasa pendudukan Belanda khusus untuk meningkatkan rintangan pertahanan kepada pihak musuh yang menyerang kota di bukit Melaka atau kini dikenali sebagai bukit A Farmosa.
Bandaraya Melaka adalah sebuah penempatan terancang yang dibina oleh pemerintah Melayu. Ia dibinasecara sistematik dan memanfaatkan sepenuhnya bentuk muka bumi sedia ada bandaraya Melaka. Ini menjadikan kawasan bandaraya Melaka begitu disenangi oleh para pedagang yang melalui perairan dan menjadi pilihan popular untuk persinggahan.
Selepas kejatuhan kota Melaka tidak terdapat kawasan pelabuhan lain yang benar-benar mampu bersaing dengan pelabuhan Melaka dari segi pencapaian bandaraya perdagangan. Walaupun bandaraya ini mempunyai kemampuan secara fizikal mendorong perkembangan ekonomi namun sekatan dan pemulauan ekonomi yang dilakukan oleh pelabuhan lain disekitar perairan Melaka telah menyekat kemajuan pelabuhan Melaka.
RUJUKAN:
Arkib Negara Malaysia. MZ/MX.2 Planta Da Cidade E Povo Acoens De Malaca
Uqbah Iqbal, Nordin Hussin & Ahmad Ali Seman, Sejarah Perkembangan Ekonomi Semenanjung Tanah Melayu dan Sifat Ekonomi Masyarakat Melayu Era Pra – Kolonial
Mohd Fadzil Othman, Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi
Nizamuddin Alias & Rabaah Abdullah, Ligor dan Alam Melayu : Satu Sorotan, Arkeologi, Sejarah & Budaya
W.G Shellabear, Sejarah Melayu
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih