Pada 6 Mac 1806, Belanda telah menyerahkan Cape Town di Afrika Selatan kepada British. Oleh itu, molek benarlah kalau aku ceritakan serba sedikit tentang khazanah ulung Bumi Cape Town iaitu Melayu Cape Town.
Melayu di Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai Melayu Cape adalah orang Melayu asal dari Nusantara yang dibawa oleh kolonial VOC atau nama lainnya Syarikat Hindia Timur Belanda ketika zaman penjajahan.
Ada yang dibawa dari Melaka dan ramai lagi yang dibawa dari Kepulauan Jawa, Sulawesi dan sekitar. Para penentang tegar VOC dan ulamak juga tidak terlepas daripada kerakusan Belanda ini. Seperti juga kegunaan Seychelles pada British dalam kisah isolasi Sultan Abdullah, Cape Town amat berhasil dalam memadamkan api penentangan yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh ini. Ini adalah terang-terangan dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh Belanda.
Jan van Riebeeck telah menjadikan Cape Town sebagai ‘supply base’ atau pengkalan bekalan untuk kapal-kapal Belanda dan juga dari negara lainnya. Kapal-kapal yang berlabuh ini bakal meneruskan perjalanan sama ada ke Barat (Eropah) atau ke Timur (India dan Nusantara).
Atas gesaan van Riebeeck, Orang Belanda yang berhijrah membuka penempatan baru di Cape Town diwajibkan menjalankan aktiviti pertanian untuk menyediakan bekalan makanan bagi kapal-kapal yang berlabuh.
Maka, bermulalah episod duka di Cape Town di mana ribuan orang asal Afrika, Asia Selatan dan Nusantara dijadikan hamba bagi tujuan ini. Sebelum kedatangan van Riebeeck, Cape Town bolehlah dikatakan tiada hamba abdi.
Antara tokoh Nusantara yang terkenal di Cape Town ialah Sheikh Yusuf Al-Taj Maqasari. Beliau dilahirkan pada tahun 1626 di Makassar dan merupakan tokoh yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Cape Town. Sheikh Yusuf bersama dengan Sultan Ageng telah menentang VOC dan akhirnya beliau ditangkap, dihantar ke Ceylon (Sri Lanka) dan akhirnya ke Cape Town.
Untuk menghalang beliau daripada menyebar Islam, Sheikh Yusuf diasingkan ke sebuah ladang yang bernama Zandvliet namun, usaha ini gagal kerana di Zandvliet yang pada ketika itu di bawah selenggara Reverend Petrus Kalden telah menjadi pusat komuniti asas mereka yang beragama Islam dan tempat di mana hamba abdi melarikan diri. Permintaan untuk membebaskan Sheikh Yusuf tidak pernah dilayan oleh VOC dan akhirnay beliau meninggal dunia di Zandvliet. Kini, Zandvliet dikenali secara rasminya sebagai Macassar.
Tokoh kedua yang aku rasakan amat penting kepada perkembangan Islam di Cape Town ialah Imam Abdullah Kadi Abdus Salaam atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru. Beliau berasal dari Tidore, Kepulauan Maluku dan dipenjarakan di Robben Island pada tahun 1780. Robben Island adalah pulau penjara yang didiami oleh Nelson Mandela sebahagian besar hiduonya dalam tahanan. Semasa dalam tahanan Tuan Guru menyiapkan sebuah kitab yang dinamakan ‘Makrifan Al-Islam Wa Al-Iman’. Setelah Tuan Guru dibebaskan, beliau telah mengubahsuai sebuah gudang untuk dijadikan masjid yang dinamakan Masjid Auwal. Beliau seorang hafiz dan dikatakan naskhah Al-Quran pertama yang dibukukan di Cape Town datangnya daripada usaha beliau.
Makam Sheikh Yusuf, Tuan Guru dan tamu agung lainnya dinamakan Makam Kramat dan boleh diziarahi di Signal Hill.
Pada masa kini, lebih daripada 100,000 orang yang boleh diidentifikasikan sebagai Melayu Cape menetap di Cape Town dan kebanyakan daripada mereka menetap di Signal Hill atau lebih dikenali sebagai Bo-Kaap dan juga di District 6.
Hubungan yang erat di antara Melayu Cape dan Malaysia diwujudkan setelah negara itu bebas daripada fahaman Apartheid dan sudah pasti Melayu Cape yang menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada ‘Black Movement’ atau ‘Colored’ memainkan peranan penting dalam penentangan sistem Apartheid yang zalim.
Namun, Melayu Cape sudah berasimilasi dengan penduduk tempatan lainnya melalui perkahwinan dengan bangsa lain yang dibawa dari Asia Selatan, dari Madagascar dan juga penduduk asal Afrika. Tidak ramai dari generasi Melayu Cape ini mampu berbahasa Melayu lagi. Bahasa utama yang dituturkan sudah pasti Afrikaans iaitu bahasa rasmi Afrika Selatan.
Kalau hendak diikutkan, memang kisah hidup Melayu Cape ini agak memilukan. Mereka dipisahkan daripada kehidupan azali di Nusantara. Mereka dipisahkan daripada sanak-saudara. Mereka juga dijadikan hamba abdi, namun, perancangan Allah itu hebat sekali.
Dengan kedatangan Melayu Nusantara ke Cape Town, tertegaknya Islam di Bumi Afrika Selatan. Dengan kedatangan Melayu Nusantara, syiar Islam itu mekar sekali dan dengan kedatangan Melayu Nusantaralah azan berkumandang indah di bumi asing ini.
Sekian
-Afzan Yusuf-
www.afzanyusuf.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
apakah nusantara dan kaitannya dengan bangsa melayu