Artikel ini saya tulis berdasarkan satu petikan yang telah dihantar kepada saya. Ianya adalah kisah lama, tentang orang lama, yang mungkin bagi generasi pada hari ini, adalah sesuatu yang dianggap sebagai sudah lapuk dan tidak lagi perlu diungkit-ungkit. Namun, kepada sosok-sosok ini, hanya inilah kenangan mereka yang paling berharga, yang membuatkan mereka sekaligus tersenyum dan menangis. Tersenyum, memandang anak cucu yang riang berlari mengejar kehidupan dan kedewasaan di bumi bertuah ini, hasil perjuangan mereka yang mungkin tidak seberapa, tetapi membuahkan kedamaian pada hari ini.

Menangis, kerana mengenangkan dalam perjuangan tersebut, ada rakan-rakan mereka sendiri yang kehilangan usia remaja dan kehidupan mereka. Pada hari ini, setiap kali mereka membuka mulut menceritkan kembali kisah-kisah sebegini, ada yang tertawa sinis kepada mereka, mengatakan mereka nyanyuk dan masih dibalut nostalgia tidak berpenghujung yang tiada nilai dalam dunia moden pada hari ini. Tak kurang yang memandang mereka sebagai pemutar – belit sejarah yang cuba mengubah kisah. Mahu baca atau tidak, mahu mengikut atau tidak..itu pilihan masing-masing. Yang pasti, bagi saya, kisah mereka harus terus dikhazanahkan. Manalah tahu, di antara yang sinis itu, masih ada anak cucu yang masih mahu menatapnya, dan menyedari asal-usul mereka – menyedari bahawa kedamaian yang mereka nikmati, walau serelatif mana, datangnya bukan sendiri, sebaliknya dibayar dengan pengorbanan manusia lain yang mungkin mereka sendiri tidak kenali.

“ Abu Seman, Jamil Paratrooper, Sallehuddin, Hamzah 1OO, Hamzah HK, Rasidi, Jalaludin, Ridzuan, Bah Mandi , Apot , Saleh, Mail Cinoni, Ismail Rantai, Saladin Omar, Tuan Zabri, En.Anuar, En Ishak, En Mahmud – sekadar menyebut beberapa nama pelopor kumpulan Vat 69 Komando yang saya masih ingat. Ketika itu, pada tahun 1969, lebih daripada 1000 anggota – kebanyakanya nombor badan masing-masing berpangkal 49 dan 5, yang baru selesai tamat latihan rekrut Pasukan Polis Hutan (PPH), telah dipanggil untuk pemilihan bagi pasukan Komando 69 ( ketika itu disebut SPU – Special Project Unit). Namun benarlah kata pepatah, bukan senang nak senang. Diakhir pemilihan itu, hanya 66 orang yang lulus, lalu diserapkan ke dalam Terup 1 seramai 33 orang dan Terup 2 juga seramai 33 orang – menjadi perintis pasukan elit PDRM itu.

Antara bekas-bekas anggota VAT69 yang pernah melakar sejarah perjuangan menentang komunis

Selepas kedua-dua terup nukleus ini sudah ditubuhkan pun, bukan semua 66 orang tadi kekal berada di dalam pasukan itu. Latihan yang dijalankan oleh jurulatih daripada pasukan SAS British – , antara pasukan elit paling terkemuka di dunia itu, membuatkan ada di antara pelatih itu yang muntah hijau. Tiada hari tanpa latihan. Tiada hari untuk berjalan – semua pergerakan dalam dilakukan dalam keadaan berlari. Bagi memantapkan fizikal anggota, ketika itu setiap hari diadakan latihan jalan lasak di jalanraya dan latihan merentas halangan di bukit. Ramai yang terkeluar , termasuk yang sering mengadu sakit atau gagal menepati ujian masa. Ketika itu, latihan pertama Vat 69 dijalankan di Fort Kemar, kemudian bertukar ke Gubir dan seterusnya beralih pula ke Fort Legap.

Pada 11/05/1972, VAT69 telah menembak dua orang pembekal maklumat kepada pihak PKM ( komunis) di Sungai Siput Perak. Kalau saya tidak silap, kedua-duanya itu ditembak oleh Abu Seman. Pada keesokan harinya, iaitu 12/O5/1972, bermulalah pertempuran pertama Vat 69 Patrol 2 yang dipimpin oleh Platun Komander, Tuan Zabri. Pegawai Memerintah (CO) Vat 69 ketika itu ialah Tuan A.Navaratnam.

Bayangkanlah , waktu itu, anggota Vat 69 Komando hanya menerima elaun hutan Rm5 sehari. Itu kalau waktu bertugas di hutan. Kalau tidak, dan sekadar berada di kem, tak adalah elaun apa-apa kecuali elaun PPH Rm 45 sebulan. Selepas peristiwa pertempuran pada 1972 itu barulah anggota VAT69 diberikan Elaun Bahaya sebanyak Rm15O sebulan. Jadi bayangkanlah, berapa sangatlah gaji dan elaun yang kami dapat ketika itu jika mahu dibandingkan dengan bahaya yang kami hadapi bagi membebaskan Negara daripada cengkaman komunis. Namun, harus saya akui, ketika itu rata-rata setiap anggota yang memasuki pasukan VAT69 Komando bukanlah kerana mengejar material dan wang ringgit, tetapi sebaliknya didorong oleh darah perwira yang memang telah mengalir di dalam tubuh badan mereka.

Zaman kami adalah zaman susah. Rata-rata kami yang bujang ketika itu tinggal diberek VAT69 berdekatan kantin rekrut yang berkedudukan hampir dengan Balai Pengawal pintu masuk kem Briged Utara itu. Ia juga mengadap lombong tinggal tempat bersemadinya Buaya Batu yang masih wujud sehingga sekarang. Kebanyakan kami orang bujang ketika itu memang makan di kantin tersebut – pagi-paginya dengan roti kapit sapu kaya atau pun jem nenas/rambutan bersama telur rebus 2 biji dan air kopi atau teh sungai Kelang segelas ( airnya keruh dan kurang rasa susunya).

Makan tengah hari biasanya berlaukkan ikan, ayam atau daging bergilir-gilir mengikut hari. Hari Jumaat ada istimewa sikit – nasi minyak. Nak tambah selera sikit, bolehlah beli sambal ikan bilis atau sambal petai yang dijual oleh isteri-isteri Polis (ahli-ahli PERKEP), yang ketika itu harganya cuma 20 sen.

Percayakah anda, yang ketika itu, bila masuk hutan untuk operasi, kami lebih suka pakai jeans atau seluar dungaree yang di warnakan celoreng sendiri atau hijau gelap, memandangkan ia lebih lasak dan tahan lama, berbanding uniform daripada stor yang cuma diberikan sepasang setiap setahun atau dua tahun sekali. Belt kit dan pouches pun kami jahit sendiri, agar boleh mengisi 2OO/3OO butir peluru, grenad, schermuly flare dan claymore. Ketika itu, Pegawai Pemerintah ( OC) kami adalah Tuan Osman. Nak mintak kasut but hutan yang diperbuat daripada kain di stor tu pun jenuh bergaduh dulu. Hanya selepas pertempuran pertama di Sungai Siput itu barulah dapat Anti Spike Boots yang bertapak besi itu. Kalau nak cepat, beli di Siam pakai duit sendiri.

 

Schermuly flare

 

Claymore mine
Antara Kelengkapan yang terdapat dalam belt kit dan pouches anggota VAT69. Biasanya belt kit dan pouches disalut dengan bahan resin supaya tahan lama dan menjadi kalis air – dilakukan sendiri
Pek patrol – gerben atau beg besar yang mengisi kelengkapan selainnya seperti pakaian dan rangsum. Untuk satu-satu operasi boleh mencecah berat sehingga 15 kilo atau lebih

VAT69 juga pernah dihantar bertugas di Sarawak bagi mengekang pergerakan PARAKU. Platun ASP Zabri juga terlibat. Oleh kerana Operasi pada masa itu terkadang melibatkan wilayah Indonesia terutama di sempadan Kalimantan, kami terpaksa melakukan gerakan bersama dengan pihak Indonesia. Setiap platun VAT69 yang bergerak ketika itu, disertai oleh 5 atau 6 anggota Komando Siliwangi yang berpengkalan di Bandung. Apa yg menariknya, anggota-anggota Komando Siliwangi ini tidak memakai sebarang uniform. Biasanya mereka itu akan berada selama 6 bulan dalam satu-satu operasi sebelum diganti oleh trup lain. Rata-rata mereka itu mengamalkan ilmu batin, juga memakai pelbagai jenis tangkal samada rantai atau gelang daripada akar kayu. Ada juga yang memakai tangkal yang di ikatkan ke pinggang. Oleh kerana rata-rata anggota VAT69 ketika itu berambut panjang, mereka menggelar kita sebagai Tentera Berambut Gondrong. Saya masih ingat lagi, call sign atau panggilan mereka ketika itu ialah Gempur Satu dan Gempur Dua.

Di Sarawak juga VAT69 pernah beberapa kali terlibat bertempur dan juga dapat menawan beberapa kem musuh. Selalunya musuh dapat lari sebelum pasukan kita sampai. Malah, dalam satu kejadian, lucunya mereka cuba membawa lari sebuah mesin jahit daripada pengkalan mereka. Namun, mungkin kerana terlalu berat, ia ditinggalkan di tengah perjalanan sebelum kami jumpai. Selalunya apa yang kami jumpai bila mereka tinggalkan satu-satu kem adalah pakaian-pakaian lusuh mereka, peralatan-peralatan memasak seperti kayu cabang dan lubang di dalam tanah bagi mengelakkan api terlalu marak atau ditiup angin, serta tin-tin yg mereka gunakan sebagai periuk memasak.

Peristiwa yg menyayat hati dalam sejarah VAT69 ialah ketika Tuan Zabri Abdul Hamid meninggal dunia terpijak jerangkap samar selepas pasukan kami memenangi satu pertempuran di Hulu Perak pada 1975 dalam Ops Sukat. Kami semua menitiskan air mata kerana kehilangan pemimpin yg amat disayangi. Ketika itu tiga patrol diketuai Ismail Rantai, Wan Tahar dan Sheikh Ismail, ditugaskan bagi menggagalkan cubaan komunis untuk meletupkan satu empangan di Perak. Selepas hampir tiga bulan berada di hutan, satu pasukan bantuan ditugaskan menghantar bekalan makanan ke Point Charlie.
Malangnya, empat anggota yg menaiki bot diserang hendap dan dibunuh kejam dengan mayat mereka dikelar dengan pisau oleh komunis dan sebanyak 152 kotak rangsum dirampas oleh pihak PKM.

Selepas membuat penjejakan, pasukan kami kemudian mengesan kedudukan khemah musuh berhampiran Grik pada 3 September 1975. Serentak itu, tiga patrol terdiri daripada 18 orang bergabung dalam taktik standard line. Kesemua kami berpecah mengambil kedudukan dan bertempur hebat dengan komunis yg dianggarkan berkekuatan antara 30 hingga 40 orang. Pertempuran itu mengorbankan 18 orang dan dua anggota VAT 69 parah iaitu Aziz Idris dan ketua patrol, Sheikh Ismail.

Selepas pertempuran selesai, kami menemui semula bekalan makanan yg dirampas oleh PKM itu yang dipercayai untuk projek khas meletupkan empangan. Kami juga dapat merampas senjata, bom tangan dan pelancar roket daripada PKM itu. Tuan Zabri mengarahkan pasukan kami menghala ke tempat pendaratan helikopter yg jaraknya kira-kira sehari perjalanan bagi mengeluarkan anggota yang tercedera untuk mendapatkan rawatan. Tuan Zabri juga arahkan kami jangan mengejar komunis itu kerana bimbang terkena jerangkap samar dan meminta kami tumpukan perhatian kepada misi membawa anggota keluar. Beliau sering mengingatkan kami supaya jangan sesekali tersalah langkah terpijak jerangkap samar yang biasa dipasang di denai binatang. Malangnya ketika dalam perjalanan, Tuan Zabri sendiri yang terkena. Beliau bersama penjejak Sen, Bah Udar berada di depan, manakala penjejak Apot, berada di belakang kerana kepenatan bertempur. Ketika melintasi kawasan sungai, Tuan Zabri telah terpijak akar kayu yg dipasang jerangkap samar. Letupan kuat berlaku dan ketika itu
beliau terputus kaki kanan, tetapi masih sedarkan diri dan darah banyak mengalir.

Pusara arwah ASP Zabri di Tapah, Perak

Selepas letupan itu, kami membuat keputusan melalui laluan lain kerana percaya komunis akan menunggu di mana-mana tempat dan akan menyerang kami ketika dalam perjalanan. Tuan Zabri dibawa keluar menggunakan pengusung dan Kpl Rahman, yang ditumpangkan daripada medik SLPPH merawatnya di sepanjang perjalanan. Namun, beliau menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke tapak pendaratan pesawat disebabkan heli tidak dapat masuk kerana takut ditembak komunis.

Selepas peristiwa malang itu, VAT69 juga telah terlibat dengan beberapa lagi pertempuran seperti di Ayer Kala, Lenggong Perak. Misi Operasi itu adalah untuk pengesahan kehadiran 5O orang Komunis Kumpulan Propaganda yang berkekuatan 8 orang penembak tepat – 6 orang bersenjatakan SLR dan 2 orang bersenjatakan Carbine, seperti maklumat yang telah diberi oleh pihak SB ( Cawangan Khas). Ketika itu VAT69 menjalankan Operasi selama 3 bulan di dalam hutan bagi menjejaki pasukan propaganda PKM ini. Saya masih ingat, sehari sebelum Hari Raya Haji, kami telah menjumpai satu kem pengganas PKM di Ayer Kala yang lokasinya bersempadan dengan ladang getah dan hutan tebal. Walaupun sudah menjumpai kem PKM tersebut, Sarjan Osman dan Kpl Kadir yang mengetuai platun ketika itu mengambil keputusan tidak mahu menghantar patrol bagi membuat pemeriksaan dan tindakan susulan kerana meraka berasakan ia adalah satu perangkap. Ini disebabkan kedudukan kem yang dijumpai itu seolah-olah telah dirancang supaya kami kami menjumpainya, berdasarkan keadaan kem yang berselerak.

Kawasan tersebut sebenarnya adalah Kawasan Perintah Berkurung, di mana setiap hari dilakukan bancian terhadap ahli keluarga di setiap rumah penduduk disitu yang rata-ratanya adalah kaum Cina. Mereka juga diberi kupon makanan setiap hari di mana mereka boleh mendapatkan makanan yang diedarkan oleh Pasukan Keselamatan kita berdasarkan jumlah kupon. Ini bertujuan supaya penduduk di situ tidak membantu memberi makanan kepada pihak komunis yang bergerak di kawasan itu yang diketuai oleh Ah Peng. Ah Peng ini mempunyai 3 orang isteri – dua orang Asli dan seorang berbangsa Cina.

Nak dijadikan hal, lokasi antara jalanraya dengan kawasan kem PKM itu sekitar 18 map square ( kotak peta), yang memerlukan sekurang-kurangnya 3 atau 4 hari perjalanan untuk sampai ke sana. Bagi menjimatkan masa, kami menggunakan jalan kampung. Namun malangnya, pasukan kami telah terserempak dengan 2 orang leaki Cina yang menunggang motosikal yang kami syaki sebagai talibarut PKM. Biarpun begitu, kami tidak boleh menahan mereka disebabkan tiada sebarang bukti fizikal atau pun dokumentasi yang menunjukkan mereka itu komunis. Malam itu kami tidak bergerak, dan hanya bergerak pada keesokan paginya, dan pada pagi itu jugalah kami menemui satu lagi kem PKM yang berkekuatan antara 3O-4O orang anggota. Mereka mungkin telah bergerak melarikan diri subuh itu juga, disebabkan najis mereka yang kami jumpa pun masih panas lagi. Kami mengesyaki 2 lelaki Cina yang kami temui sebelum itulah yang telah memberikan maklumat kepada mereka.

Ketika dalam perjalanan pulang daripada misi itu, pasukan kami telah menggunakan jalan lain, dan kami juga telah menjumpai beberapa kawasan serang hendap yang telah dipasang oleh PKM itu, di tiga kawasan strategik yang berbeza – berkekuatan antara 3O – 4O anggota. Salah satu kawasan serang hendap mereka itu dirangka pada tiga penjuru serangan, dan jika ditakdirkan ketika itu kami lalu di kawasan berbukit itu yang lokasinya cuma antara 3-5 meter dari laluan balak yang curam itu, pasti pasukan kami akan habis diserang tanpa sempat menyelamatkan diri lagi.

Ketika kumpulanperintis ini ditubuhkan, Platun 1 diketuai oleh Inspektor Ishak, Platun 2 diketuai oleh Inspektor Zabri dan Platun 3 diketuai oleh InspektorAnuar, manakala Platun 4 ketika itu masih belum ada platun komander lagi kerana kebanyakan anggota masih dalam latihan. Kisah yang saya ceritakan ini berkisar pada tahuntahun awal semasa mula-mula VAT69 ditubuhkan, dan selepas itu pun VAT69 terus mencipta rekod-rekod perjuangan yang cemerlang sehinggalah saat PKM meletakkan senjata pada tahun 1989”

Ketika kita sedang enak menjamu selera sambil berkumpul rakan-taulan semasa perayaan seperti yang kita sambut ini, satu ketika dulu, mereka hanya menyambutnya di hutan. Takbir digantikan dengan sekadar siulan beburung atau bunyi unggas hutan – atau dentuman senjata jika tiada kesempatan. Rendang dan ketupat pula hanya diganti pek rangsum yang setelah sekian lama, baunya pun mapu menyebabkan kita mahu muntah. Wajah anak isteri, ibu bapa pula diganti oleh sekadar wajah rakan-rakan sepasukan. Tiada baju baru berwarna-warni, sebaliknya sekadar pakaian operasi yang baunya sudah tak seperti orang. Di saat kita seronok meletupkan meriam buluh, mereka pula berdepan letupan yang pasti saja merenggut nyawa. Wajarkah kita lupakan saja mereka-mereka yang sebegini, yang di saat tua sebegini meniti hari mengenang perjuangan mereka sendiri, yang diwarisi barisan-barisan pejuang yang masih menyambung perjuangan itu dalam diam, sedang kita sendiri mencebik dan menafikan segala apa yang mereka lakukan?

Tepuk dada tanya jiwa. Nikmat manakah yang sebenarnya kita dustakan?

=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

1 Comment

  1. tahniah buat penulis yg berusaha gigih mengembalikan ‘rasa kebanggaan’ itu kpd kami anak2 merdeka. penghormatan seharusnya diberi kpd wira2 negara sehingga ke akhir hayat mrk. teruskanlah usaha murni Tuan, kami setia bersama. penat jerih dan segala derita perwira2 kita akan sentiasa tersemat di sanubari..

Leave A Reply