Mehrgarh merupakan sebuah tapak arkeologi yang terletak di Balochistan, barat daya Pakistan. Dalam bahasa tempatan , mehr membawa maksud ‘cinta’ dan garh pula bermaksud ‘langit’. Justeru, nama Mehrgarh boleh dimengertikan sebagai ‘langit cinta’.

Bagi lingkungan arkeologi, Mehrgarh dianggap sebagai salah sebuah tapak Neolitik paling penting di Asia Selatan, lebih-lebih lagi kerana ia menyimpan bukti pertanian terawal. Tambahan, Mehrgarh adalah tamadun yang mendahului Tamadun Lembah Indus yang umum kenali sebagai salah sebuah tamadun terawal manusia.

Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas berkaitan perkembangan tapak Mehrgarh dari semasa ke semasa, sejarahwan membahagikan penempatan di sana kepada tujuh era berbeza – iaitu Era Mehrgarh I hingga VII.

Lokasi tepat Mehrgarh bertempat di Dataran Kachi, tidak jauh dari Genting Bolan yang terletak di barat Sungai Indus. Persekitaran di Dataran Kachi sememangnya sesuai untuk diduduki manusia, terutama dengan kehadiran sumber air dan tanah yang subur.

Lokasi tamadun Mehrgarh

Genting Bolan pula merupakan ciri geografi yang penting kerana mampu menghubungkan antara Mehrgarh dan rantau barat seperti Lembah Indus, Dataran Irani, dan juga Hilal Subur (Timur Dekat). Dalam erti kata lain, Genting Bolan sejak ribuan tahun dahulu menyaksikan berlakunya interaksi pelbagai lapisan masyarakat – baik pedagang, pasukan ten.te.ra, mahupun suku-suku nomad. Nilai strategik yang dimiliki Genting Bolan terus berkekalan hingga ke zaman moden, khususnya sewaktu penja.ja.h British memanfaatkannya bagi meny.era.ng Afghanistan.

Pada hari ini, lokasi Mehrgarh tidak jauh dari bandar Quetta, Kalat, dan Sibi manakala Mohenjo-Daro dan Harappa yang merupakan pusat Tamadun Lembah Indus pula masing-masing terletak di timur laut dan tenggara Mehrgarh.

Penemuan tapak arkeologi Mehrgarh berlaku agak lewat berbanding Mohenjo-Daro dan Harappa yang masing-masing dijumpai seawal tahun 1911 (ekskavasi pertama dilakukan pada 1920an) dan 1826 Masehi (ekskavasi pertama dilakukan pada 1920).

Mehrgarh, sebaliknya, hanya dijumpai pada tahun 1974. Individu yang bertanggungjawab di atas penemuan tersebut ialah Jean-François Jarrige yang bertugas sebagai ahli arkeologi Perancis. Selain Mehrgarh, Jarrige turut mengetuai ekskavasi di beberapa tapak arkeologi lain seperti Nausharo, Pirak, Sibri, Dauda Damb, Lal Shah, Damboli, dan Shah Ghair.

Tapak arkeologi Mehrgarh

Sepanjang tahun 1974 hingga 1986, Jarrige dan pasukannya menjalankan ekskavasi arkeologi di tapak yang berkeluasan 495 ekar itu. Ia kemudian terhenti selama 10 tahun sebelum disambung semula pada tahun 1997.

Bagaimanapun, mereka hanya sempat bekerja selama empat tahun kerana pada tahun 2000, projek yang merupakan usaha sama antara Misi Arkeologi Perancis dan Jabatan Arkeologi Pakistan ini terpaksa dihentikan. Walaupun tidak sempat diselesaikan, banyak maklumat yang sempat digali.

Tapak arkeologi Mehrgarh merupakan sebuah tell atau gundukan buatan yang zaman berganti zaman, semakin meninggi kerana bangunan-bangunan baru didirikan di atas runtuhan bangunan lama.

Antara run.tu.han dari tamadun Mehrgarh

Petempatan paling dikenali di Mehrgarh terletak di penjuru timur laut, disebut oleh lingkungan arkeologi sebagai MR3. Era penghunian kawasan ini dilabel sebagai Era Mehrgarh I, dengan usianya boleh dijejak kembali pada tahun 7,000 hingga 5,500 SM, seiring dengan berlangsungnya Zaman Neolitik. Ketika itu, Mehrgarh masih merupakan sebuah perkampungan kecil yang bergantung sepenuhnya pada aktiviti pertanian dan penternakan.

Kebudayaan di Mehrgarh pada waktu itu bersifat asemarik, yakni tidak menghasilkan apa-apa jenis barang seramik dan tembikar. Bukti arkeologi juga menunjukkan yang masyarakat Mehrgarh ketika itu memanfaatkan bijih tembaga, serta pelbagai jenis alatan batu dan tulang lain.

Penemuan barang buatan tamadun asing, cengkerang yang berasal dari pantai yang jauh, dan lapis lazuli dari Afghanistan mengisyaratkan betapa penduduk Mehrgarh sudah pun mengadakan interaksi dengan dunia seawal Era Mehrgarh I lagi.

Pada era tersebut, mereka menetap di dalam rumah tanah liat serba ringkas yang mempunyai empat ruang terpisah. Rumah ini umumnya berbentuk segi empat tepat, dengan bongkah-bongkah tanah liatnya pula berbentuk sedikit panjang. Bentuk bangunan ini agak serupa dengan bangunan dari milenium ke-7 Sebelum Masehi di Mesopotamia, justeru melahirkan hipotesis wujudnya hubungan antara dua tamadun berkenaan.


Gambaran reka bentuk rumah pada zaman Mehrgarh

Mehrgarh paling dikenali kerana menyimpan bukti pertanian terawal di Asia Selatan. Penghuni terawalnya menanam beberapa jenis tumbuhan seperti barli, gandum einkorn, gandum emmer, buah jujube India, dan kurma. Dapatan arkeologi juga ada menjumpai tinggalan haiwan tenakan seperti kambing, biri-biri, dan lembu di samping haiwan-haiwan liar seperti gazel, kerbau air, dan gajah.

Di samping pertanian dan penternakan, tamadun awal di Mehrgarh juga menyimpan bukti penghasilan kapas dan pene.bu.kan gigi terawal yang laporannya masing-masing diterbitkan dalam Journal of Archaeological Science tahun 2002 dan Nature tahun 2006.

Peringkat pendudukan berikutnya disebut sebagai Era Mehrgarh II yang berlangsung pada tahun 5,500 hingga 4,800 Sebelum Masehi. Ketika itu, penduduk Mehrgarh sudah mula menghasilkan barangan seramik. Era ini juga menyaksikan berlaku perpindahan dari kawasan MR3 ke MR4, di samping aktiviti pertanian bergiat lebih rancak dengan barli menjadi tanaman utama.

Kawasan MR4 turut menyimpan runtuhan beberapa buah bangunan yang dibina daripada bata jemur. Ia berbentuk segi empat tepat dan dibahagikan secara simetri kepada beberapa ruangan kecil. Bagaimanapun, bangunan ini dipercayai bukanlah rumah kerana ia tidak mempunyai pintu dan tinggalan barang seharian. Lingkungan arkeologi berpendapat ia adalah jelapang atau gudang kegunaan seluruh masyarakat.

Antara hasil seni dari zaman Mehrgarh

Hasil seni utama yang dikeluarkan oleh masyarakat Mehrgarh ketika itu ialah batu manik dan perhiasan cengkerang. Antara batu yang digunakan bagi menghasilkan manik termasuklah batu kapur, batu steatite, batu akik dan batu jasper. Kegiatan industri seni ini mendorong kepada peningkatan aktiviti import barangan mentah dari tamadun-tamadun luar.

Kerancakan sebegini berlanjutan sehingga Era Mehrgarh III yang berlangsung dari 4,800 hingga 3,500 Sebelum Masehi. Pada era ini, kawasan petempatan sekali lagi berpindah – kali ini ke MR1. Sejumlah gudang dan rumah berjaya dijumpai oleh lingkungan arkeologi, dengan reka bentuknya didapati lebih terperinci berbanding zaman sebelumnya. Misalnya, setiap tapak bangunan ditambak dengan batu kerikil dan bongkah-bongkah batu binaannya pula diperbuat menggunakan acuan khusus.

Era Mehrgarh IV – VII yang berpanjangan dari 3,500 hingga 2,500 SM pula menyaksikan penghasilan barang tembikar dan barang seni semakin mengalami perkembangan khususnya dari sudut reka bentuk. Sememangnya, keadaan ini sepadan dengan Zaman Tembaga yang sedang berlangsung ketika itu.

Barangan tembikar dan perhiasan cengkerang yang dihasilkan oleh tamadun Mehrgarh

Bagaimanapun, Mehrgarh ditinggalkan secara besar-besaran menjelang lewat era Mehrgarh VII. Sejarahwan mengandaikan yang ia berpunca daripada perubahan cuaca yang menjadikan bumi Balochistam semakin gersang dan tidak sesuai untuk aktiviti pertanian. Justeru, kebanyakan penghuninya berpindah ke Lembah Indus yang lebih subur.

Walaupun kaya dengan nilai sejarahnya yang tersendiri, keadaan tapak arkeologi Mehrgarh pada hari ini agak menyedihkan. Pakistan seakan-akan langsung tidak mengambil peduli tentang tapak berkenaan, sedangkan ia sudah pun tercalon sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pada tahun 2002, Mehrgarh menjadi mang.sa perba.la.han kaum antara Raisani dan Rind yang saling berbalas tem.ba.kan pe.lu.ru berpandu. Akibatnya, tapak berkenaan mengalami kero.sa.kan teruk. Oktober 2014 pula, pihak berkuasa Itali member.kas sin.di.ket penjualan barangan antik dari Mehrgarh secara ha.ram di Rome. Bagaimanapun, barangan tersebut masih belum dipulangkan kerana sikap tidak peduli yang dipamerkan oleh kerajaan Pakistan.

Cukup menghampakan, apabila tinggalan bersejarah yang seharusnya dimiliki secara bersama oleh seluruh penduduk dunia dikesampingkan, diabaikan, dan dibiarkan tidak terpelihara akibat kealpaan pihak berkuasa.

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (23 September 2019). A Treasure in Ruins: Ancient Mehrgarh Lost to Thieves and Violence. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.