Sebut saja nama Medusa, sudah pasti ada yang kecut perut membaca kisah mitos Yunani ini. Mana tidaknya, sesiapa yang terpandang wajah wanita berambut ular yang disumpah oleh Dewi Athena ini akan bertukar menjadi batu dan hanya berjaya dikalahkan anak Dewa Zeus, Perseus. Malah, kisah ini menjadi sebahagian daripada dua versi filem Clash of the Titans yang ditayangkan pada tahun 1981 dan 2010. Tetapi apa kisah sebenar yang menyelubungi Medusa?

Menurut catatan Ovid dalam Metamorphoses, Medusa merupakan seorang wanita yang jelita. Kejelitaannya membuatkan ramai jatuh hati bukan kepalang termasuk seorang dewa Yunani bernama Poseidon. Poseidon yang merupakan pemerintah dunia lautan terlalu gilakannya sehingga ke satu tahap mengadakan hubungan kelamin dengan Medusa dalam sebuah kuil khas yang didedikasikan kepada Athena.

Apabila Athena mendapat tahu apa yang berlaku, Medusa disumpah oleh dewi berkenaan dengan rambutnya bertukar menjadi ular. Dewi itu turut memberi amaran sesiapa yang melihat wajahnya akan bertukar menjadi batu. Justeru tidak hairanlah, gambaran perawan cantik yang digambarkan Ovid bertukar kepada raksasa hodoh seperti digambarkan oleh Virgil. Ada juga sesetengah variasi mitos yang menyatakan Gorgon bersaudara (Medusa merupakan salah seorang daripada tiga raksasa wanita) sememangnya raksasa dan diliputi dengan ular.

Jadi bagaimana kisah Perseus dan Medusa ini boleh terjadi? Semua ini bermula bertahun-tahun sebelum takdir menemukan mereka. Perseus memang anak Zeus tetapi bondanya ialah Puteri Danae, puteri kepada Raja Acrisius dari Argos. Pada suatu hari, seorang ahli nujum memberi amaran satu masa nanti, cucu lelakinya akan membunuh baginda. Untuk mengelak perkara itu berlaku, Danae dikurung di satu tempat terpencil dan sukar dilalui manusia. Tetapi itu tidak menghalang Zeus untuk meniduri baginda sama ada menerusi penyamaran (versi filem Clash of the Titans) atau melalui hujan emas (mitos klasik Yunani).

Yang pasti, Danae kemudiannya mengandung dan tidak lama kemudian, melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat bernama Perseus. Acrisius yang takut tilikan itu akan menjadi kenyataan tetapi tidak mahu mengundang kemurkaan Zeus mengambil keputusan untuk membuang dua beranak itu ke lautan dalam sebuah peti kayu. Tidak lama kemudian, Raja Seriphus, Dictys menyelamatkan mereka dan membesarkan Perseus ibarat puteranya sendiri. Tetapi terdapat ramai orang yang tidak menyukai kehadiran Perseus.

Dalam mitos Perseus sendiri, musuhnya ialah Polydectes, Raja Seriphus dan adinda kepada Dictys. Dan bagi membolehkan Perseus tidak lagi menjadi duri dalam daging dan merealisasikan hasratnya memperisterikan Danae, baginda menghantar putera Zeus itu untuk membawa pulang kepala Medusa. Misi tersebut diibaratkan misi mustahil lebih-lebih lagi dengan reputasi Medusa yang bisa menukar sesiapa saja menjadi batu jika menatap wajahnya. Namun, Polydectes tidak sedar pesaingnya itu mendapat bantuan dari dewa-dewi Yunani yang bersimpati dengan misi mustahilnya itu.

Dengan statusnya sebagai putera Zeus, bantuan diterima dalam pelbagai bentuk. Dewa Kematian Hades mengurniakannya Topi Halimunan, Dewa Penyampai Hermes (sepasang sandal bersayap), Athena (sebuah perisai gangsa yang boleh memantulkan cahaya) dan Dewa Pembuatan Hephaestus (sebilah pedang). Dengan semua kurnia ini, ia dimanfaatkan sebaiknya oleh Perseus. Selepas menemui sasarannya, Medusa dipenggal olehnya dengan perisai gangsa Athena tatkala sedang tidur. Ironi kerana dewi yang sama menyumpahnya juga bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap kematiannya.

Rajah 1: Patung Perseus memegang kepala Medusa di Loggia dei Lanzi, Piazza della Signoria di Florence, Itali. Patung ini dihasilkan pada tahun 1545-1554 oleh pengukir Itali terkenal, Benvenuto Cellini.

Selepas berjaya memenggal Medusa, sebuah kuda bersayap bernama Pegasus muncul dari lehernya. Tetapi menurut Hesiod dalam karyanya Theogony, gergasi emas bernama Chrysaor turut muncul dari lehernya. Kakak dan adik Medusa yang mendapat tahu apa yang berlaku segera menyerang Perseus tetapi beliau berjaya melarikan diri dengan Topi Halimunan yang dikurniakan oleh Hades. Jika mengikut variasi mitos lain, beliau melarikan diri dengan Pegasus seperti dipaparkan dalam Clash of the Titans. Selepas itu sama ada dengan sandal Hermes atau Pegasus, Perseus kembali ke Seriphus.

Tetapi dalam perjalanan, lebih banyak pengembaraan menarik yang ditempuh putera Zeus itu. Walaupun Perseus merupakan protagonis mitos ini, kepala Medusa turut memainkan peranan penting dalam kebanyakan pengembaraannya. Apabila darah wanita itu menitis semasa Perseus melalui kawasan lembah Libya, ia mengakibatkan kemunculan banyak kala jengking. Dan pada satu ketika semasa hendak melepaskan lelah, beliau bertembung dengan Dewa Atlas. Apabila permohonannya untuk berehat seketika ditolak, Perseus menunjukkan kepala Medusa terhadap Atlas dan menyebabkan beliau bertukar menjadi gunung.

Rajah 2: Lukisan Perseus menyelamatkan Andromeda oleh Peter Paul Rubens pada tahun 1622.

Perseus juga bertemu dengan Andromeda, puteri kepada Raja Aethiopia, Cepheus. Untuk menyelamatkan Andromeda dari menjadi mangsa bahaman Cetus sebagai korban kepada Poseidon, beliau menggunakan kepala Medusa dan menukarnya menjadi batu. Kepala yang sama digunakan terhadap Phineus, bapa saudara Andromeda merangkap tunangnya, perampas takhta Argos, Proetus dan Polydectes sendiri. Selepas takhta Seriphus diambil alih oleh Dictys, Perseus menyerahkan kepala Medusa kepada Athena di mana ia digunakan sebagai pelindung setiap kali beliau turun ke medan peperangan.

Rajah 3: Lukisan Perseus menukar Phineus menjadi batu dengan kepala Medusa oleh Jean-Marc Nattier yang dihasilkan pada abad ke-18.

Walaupun Medusa dianggap raksasa dalam mitos klasik Yunani tetapi kepalanya dianggap simbol perlindungan pada azimat bagi menghalau unsur-unsur jahat dari mengganggu si pemakainya. Malah, nama Medusa itu sendiri berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud untuk menjaga atau melindungi. Imejnya boleh dilihat dalam pelbagai artifak Yunani dan Rom yang ditemui di pelbagai tapak arkeologi sekitar Eropah. Contohnya, penemuan loket yang mengandungi imej Medusa yang bertarikh dari abad kedua hingga keempat Masihi Rom yang ditemui di kawasan desa Cambridgeshire. Atau kepala Medusa yang diperbuat daripada marmar berusia 2,000 tahun yang ditemui di tapak arkeologi sebuah pusat perdagangan Rom di Turki.

Hari ini, imej Medusa terus kekal hidup dalam dunia moden hari ini. Tidak percaya? Lihat simbol yang digunakan firma pakaian fesyen terkenal, Versace sebagai logo syarikatnya. Atau bagi peminat francais Assassin’s Creed, pasti ramai menyumpah melihat kelibat Medusa dalam Assassin’s Creed: Odyssey kerana wanita ini merupakan antara musuh yang paling sukar ditewaskan dalam francais berkenaan. Semua ini menunjukkan mitos klasik lama masih wujud sehingga hari ini dan menjadi sebahagian daripada fabrik dunia moden.

Rajah 4: Medusa dalam Assassin’s Creed: Odyssey. Kredit: https://newsbeezer.com/polandeng/hunt-for-medusa-in-the-new-trailer-of-assassin-39-s-creed-odyssey-•-eurogamer-pl/

RUJUKAN:

DHWTY. (2019). The Real Story of Medusa: Protective Powers from a Snake-Haired Gorgon. Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/legend-medusa-and-gorgons-002773


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.