27 Februari 1992 adalah satu tarikh biasa. Tiada apa yang istimewa sangat pun padanya, termasuklah untuk Stella Liebeck, 79 tahun. Hari itu, dia cuma keluar menemankan cucunya, Christopher Tiano ke bandar Albuquerque, New Mexico.

Dan seperti biasa, aktiviti berjalan-jalan tidak akan sah tanpa ada cemelan. Jadi, Christopher pun bawa neneknya singgah ke restoran pandu-lalu McDonald’s berhampiran. Hidangan yang dipesan adalah satu set Value Meals, termasuk secawan kopi buat Stella.

Masa itu, harga untuk secawan kopi McDonald’s hanya $0.49. Lebih kurang RM2, macam itu. Kira berpatutan lah, kan? Tapi, kopi yang dipesan Stella ini bakal jadi kopi termahal pernah dihasilkan oleh McDonald’s. Seberapa mahal? Semahal 3 juta dollar. Kenapa boleh jadi semahal itu?

Begini. Kopi tadi memang dihidangkan seperti biasa. Lengkap bersama paket krim dan gula. Cuma sebelum dapat membancuh, Christopher perlu mencari dan berhenti di kawasan parkir. Jadi sementara itu, Stella meletakkan cawannya di celah paha. Usai saja kereta diparkir, Stella pun terus membuka penutup cawan – sedia untuk membubuh krim dan gula. Tapi tidak semena-mena, kopinya tertumpah.

Dengan kopi sepanas itu (180-190°F atau 82-88°C), Stella mengalami le.curan tahap kedua dan ketiga pada lebih 16% bahagian bawah badannya (Tapalaga, 2021). Lecuran sebegitu memang serius. Ia mengakibatkan kulit melepuh. Ketiga-tiga lapisan kulit – epidermis, dermis, dan hipodermis – juga boleh ro.sak (Afza, n.d). Usia Stella yang sudah lanjut menambahkan lagi faktor kebimbangan.

Lapisan kulit yang terje.jas bagi setiap tahap le.curan

Jadi, dia pun dimasukkan ke hospital. Satu hingga dua minggu juga dia ditahan bagi menjalani rawatan skin grafting. Yakni, pembe.dahan di mana kulit pada bahagian lain diambil untuk menampal kawasan kulit yang mele.cur. Proses tersebut memakan biaya sehingga $13,000, tidak termasuk ubat-ubatan dan prosedur tambahan.

Ia jumlah yang besar. Terlalu besar buat keluarga biasa seperti Stella. Kalau dalam matawang kita, ia mencecah hampir RM55,000. Memang tak tertampung. Jadi, perkara ini diadukan kepada McDonald’s. Termasuk oleh menantunya, Charles Allen.

Dalam suratnya, Charles berkata, “Kami tak sangka kece.deraan seteruk ini boleh terjadi hanya disebabkan kopi tertumpah. Mungkin, mesin penyeduh kopi anda terlalu panas. Jadi, cuba periksa. Baiki kalau rosak. Tapi kalau ini memang polisi anda (menghidangkan kopi pada suhu sebegitu), kami minta anda pertimbangkan semula. Dan kami minta anda beri pampasan atas segala belanja perubatan Stella.” (Lopez, 2016)

Memang keluhan tersebut diterima. Cuma, nilai yang ditawarkan oleh McDonald’s hanya $800. Tidak sampai 10% pun dari jumlah yang diminta. Jadi pada penghujung tahun, Stella ambil keputusan untuk memfailkan sa.man. Argumennya; menghidangkan kopi yang terlalu panas – panas yang memba.hayakan. Menerusi sa.man itu, Stella menuntut $125,000.

Sekali baca, cerita sa.man-menyaman ini memang macam jenaka. Iyalah, kan. Salah sendiri sampai kopi tertumpah. Alih-alih, mahu tuding pada McDonald’s pula. Senang betul mahu buat duit. Tapi, nanti dulu. “Stella mengada-ngada mahu sa.man McDonald’s” sebenarnya cuma satu naratif. Ikutkan, tidak adil pun kalau kita lihat kes ini hanya sebagai satu jenaka.

Kerana bak kata Adam Conover, pengacara rancangan Adam Ruins Everything, “Ini sebenarnya satu kes nadir (rare) di mana individu dari kelas pekerja mendepani dan memenangi argumen dengan sekumpulan peguam yang mewakili syarikat korporat, lalu menjadikan dunia ini lebih baik (untuk pengguna).”

Lebih baik yang bagaimana? Pertama-tama, mari nukil daripada Stella sendiri. “Saya buat ini bukan untuk dapatkan duit. Saya buat kerana mahu mereka turunkan suhu hidangan supaya orang lain tidak perlu lalui apa yang saya lalui.” (Simmons, 2021)

Apa yang Stella lalui? Le.curan tahap kedua dan ketiga kerana tumpahan kopi. Adakah itu salah McD’s? Tentu sekali tidak. Stella sendiri mengakui perkara tersebut. Tetapi apa yang dia bangkitkan ialah suhu hidangan kopi terlalu panas.

Ini pun yang dihujahkan oleh peguamnya, Ken Wagner. Kata Ken, kopi memang perlu diseduh pada suhu yang tinggi. Idealnya pada suhu 195-205°F. Dia pun memahami yang McDonald’s perlu menghidangkan kopi segar dan tahan lama (kepanasannya).

Tetapi, suhu ketika menghidang sepatutnya tidak melebihi 165°F (73.8°C). Ini kerana air pada suhu 155°F (68°C) boleh menyebabkan le.curan tahap ketiga jika menyentuh kulit selama sesaat (Hiskey, 2015). Lagipun, suhu ideal untuk meminum kopi memang 140-155°F (60-68°C). Sebab itu, polisi McDonald’s yang menghidangkan kopi pada suhu 180-190°F atau 82-88°C (yakni hanya kurang 12°C dari takat didih) wajar dipermasalahkan.

Tempoh sentuhan pada kulit yang boleh akibatkan le.curan tahap ketiga bagi suhu air berbeza

Tambahan, kes Stella bukanlah satu-satunya. Sepanjang tempoh 1982-1983, McDonald’s menerima 700 laporan berkaitan kes serupa – mele.cur akibat tumpahan kopi. Jika dijumlahkan, bil perubatan mereka semua mencecah sehingga $500,000 (Tapalaga, 2021).

Memang banyak. Tetapi amat menghampakan – apabila  fakta tersebut dikemukakan, kumpulan peguam McDonald’s cuma menjawab, “Apalah sangat 700 kes le.cur berbanding berbillion cawan yang selamat dijual?”

Jawapan tersebut cukup untuk membuat salah seorang hakim, Betty Farnham menggelengkan kepala dan berkata, “Setiap angka itu mewakili manusia. Saya tidak rasa syarikat kamu benar-benar faham dan peduli tentang perkara ini.” (CAOC, n.d.)

Lantas, atas penghujahan bahawa McDonald’s alpa dalam mengingatkan pelanggan tentang risiko le.cur, mahkamah pun memihak pada Stella. McDonald’s sendiri mengakui yang mereka tiada penerangan untuk menjelaskan mengapa mereka tidak ada usaha untuk mengingatkan pengguna tentang perkara tersebut.

Ia seumpama, seorang pelanggan terjatuh akibat lantai licin. Kepalanya terhentak lalu berlaku kece.deraan dalaman. Pelanggan ini boleh menang sa.man jika pemilik premis gagal menjelaskan mengapa mereka tidak meletakkan papan tanda lantai (“Awas, Lantai Licin”). Hujah sama terpakai dalam kes Stella.

Dengan demikian, pada 17 Ogos 1994, mahkamah pun mengurniakannya hak pampasan kece.deraan bernilai $200,000. Cuma sebab dia sendiri yang akibatkan tumpahan, maka jumlah tersebut dikurangkan menjadi $160,000.

Mahkamah turut mengenakan den.da $2.7 juta terhadap McDonald’s. Ini, kata hakim, mewakili jumlah hasil jualan kopi selama dua hari. Den.da ini bagaimana pun dikurangkan dari semasa ke semasa – kepada $650,000 dan kemudian $500,000 (Simmons, 2021).

Label amaran pada minuman panas diarusperdanakan kesan dari kes Stella ini

Memang, Stella memenangi sa.man. Sampai ia meraihkannya banyak perhatian. Namun, kesihatannya tetap tidak dapat dikembalikan. Dia malah mening.gal dunia 10 tahun kemudian, iaitu pada 2004 di usia 91 tahun.

Ada yang mengingati ceritanya sebagai jenaka. Ada juga yang malah mengkritiknya.

Cuma apa yang pasti, menerusi kes ini Stella meninggalkan beberapa legasi. Bukan sekadar dalam bentuk Anugerah Stella yang dinamakan bersempena dia. Tetapi yang paling utama adalah tentang bagaimana minuman panas dihidangkan.

Misalnya, pengarusperdanaan label amaran “Awas: Minuman Panas”, ciri pemegang cawan dalam kenderaan, dan lubang kecil pada penutup supaya tiada lagi keperluan untuk membukanya semata-mata untuk membubuh krim dan gula (Johnson, 2019).

Tuntas, seperti kata Adam Conover tadi, kes Stella ini walaupun bukanlah satu-satunya kes yang seumpamanya (dan McDonald’s pun bukan satu-satunya francais yang pernah disa.man atas sebab sama), ia mampu menjadikan dunia ini lebih mesra pengguna – sekalipun dalam hal sekecil hidangan kopi.

RUJUKAN:

Afza, Nurul. (n.d.) Luka Melecur: Punca, Simptom dan Rawatan. The Diagnosa.

CAOC. (n.d.) The McDonald’s Hot Coffee Case. Consumer Attorneys Of California.

Hiskey, Daven. (2015, 22 July). Third Degree Burns. Today I Found Out.

Johnson, Theresa Christine. (2019, 13 February). Drink at Your Own Risk: How a 90s Lawsuit Changed (or Failed to Change) Coffee Drinking. TheDieLine.

Lopez, German. (2016, 16 December). What a lot of people get wrong about the infamous 1994 McDonald’s hot coffee lawsuit. Vox.

Simmons, Andy. (2021, 15 July). Remember the Hot Coffee Lawsuit? It Changed the Way McDonald’s Heats Coffee Forever. Reader’s Digest.

Tapalaga, Andrei. (2021, 11 October). A $2.9 Million McDonald’s Hot Coffee. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.