Pertandingan Piala Dunia sering membuktikan yang nama dan sejarah tidak menjaminkan kejayaan. Prestasi rancak Mexico ketika menentang Jerman berakhir dengan kemenangan tipis yang amat bermakna. Skuad kebangsaan Iceland pula menjadi lambang kebanggaan apabila seperti guruh, mereka mengekalkan momentum dari Euro lagi. Tetapi peristiwa-peristiwa sebegini bukanlah baru. Perancis dan Uruguay pernah ditumbangkan oleh Denmark dan Senegal pada tahun 2002. Pada tahun tersebut, Korea Selatan membenamkan Itali dan Sapin sebelum dikekang tipis oleh Jerman di peringkat Separuh Akhir.

Kemanisan-kemanisan ini semestinya akan dikenang selamanya. Pertandingan Piala Dunia dikatakan mampu menjana perolehan yang besar. Sebanyak 32 pasukan akan beraksi. Tetapi jumlah kunjungan tentu sekali akan melibatkan hampir setiap negara. Seramai 100,000 orang China sahaja mengunjungi Rusia untuk menyaksikan Piala Dunia 2018. Bilangan penerbangan daripada Mexico pula menjangkakan kehadiran seramai 25,000 orang daripada negara “giant-killer” tersebut [1].

Jabatan Sukan dan Pelancongan Moscow mengharapkan kedatangan yang melebihi angka juta [2]. Petadbiran Moscow melaksanakan kawalan harga bagi penginapan hotel untuk menjaga nama baik di mata pelancong. Tentu sekali usaha ini dibuat sebagai modal untuk mengembalikan para pelancong. Jadi keuntungan yang dibayangkan setniasa merambangkan mata kerajaan. Ada juga pihak yang membuatkan Piala Dunia sebagai jaringan politik masing-masing.

Bagi mereka, penyediaan hotel tidak akan merugikan. Pembinaan 11 hotel utama tidak akan menjejaskan ekonomi, kerana perusahaan ini boleh menempatkan pengunjung-pengunjung lain dalam jangka masa panjang. Namun harus dijelaskan bahawa hotel bukanlah satu-satunya keperluan. Berdasarkan peraturan yang ditetapkan FIFA, tuan rumah perlu menyediakan enam stadium berkapasiti 40,000 penonton. Bagi majlis-majlis pembukaan dan penutupan pula, FIFA mewajibkan stadium besar bagi menempatkan 60,000 dan 80,000 orang.

Stadium-stadium pula perlu disokong dengan penyediaan tapak letak kenderaan dan perhubungan pengangkutan awam. Keefisyenan juga harus disandarkan dengan persediaan keselamatan. Persekutuan Rusia dipercayai telah membuat perbelanjaan besar sebanyak AS$14 bilion (RM56 bilion) [3]. Kos yang dahsyat memang melahirkan banyak tanda tanya. Rusia memang terkenal sebagai negara penyumbang bagi dunia bolasepak dengan liga yang boleh dihormati.

Namun negara ini juga masyhur dengan masalah korupsi yang diperangi kerajaan dengan dasar ‘siviliki’. Melaburkan AS$14 bilion untuk 64 perlawanan memerlukan duit kopi yang banyak untuk mempercepatkan proses. Rusia hanya mempunyai masa selama tujuh tahun sahaja untuk bersedia. Bermula tahun 2014, Rusia membangunkan sebanyak 12 stadium di 11 kota. Empat daripadanya dibina dari tanah lapang sahaja. Persediaan rapi dibuat untuk melengkapkan piawaian keselamatan global untuk memelihara pengunjung daripada masalah keganasan puak pelampau.

Lapangan terbang dinaiktaraf dengan sistem kawalan udara, pengawasan, navigasi dan komunikasi yang terkini. Sebuah projek kereta trem dimulakan di Samara. Pengurusan najis pun diutamakan Rusia, kerana kedatangan jutaan orang tentu sekali akan mengatasi kemampuan biasa. Untuk menjimatkan kos, Rusia menubuhkan sebuah suruhanjaya sukarelawan yang menarik pendaftaran seramai 177,000 orang.

Kos yang besar ini bukanlah satu perkara yang baru. Brazil mengeluarkan perbelanjaan melebihi AS$11.6 bilion (RM38.3 bilion). Namun Brazil tidak berjaya menjadi juara selepas dimalukan Jerman dengan kekalahan 1-7. Lebih teruk lagi, Brazil tidak mendapat keuntungan yang diharapkan. Laporan kewangan menunjukkan hanya FIFA yang mendapat keuntungan besar menerusi hak penyiaran dan penajaan. FIFA turut mendapat sebahagian daripada hasil jualan tiket sebagai royalti, ketika mereka tidak langsung membangunkan stadium dan infrastruktur.

Yang menanggung rugi ialah rakyat Brazil, apabila perbelanjaan kerajaan menciptakan projek gajah putih. Stadium Maracana boleh menempatkan seramai 40,000 pengunjung. Selepas Piala Dunia, stadium ini diberikan kepada Nacional Futebol Clube yang berada di liga bawahan dengan fanbase 1,500 orang setiap perlawanan sahaja. Jika wujudnya perumpamaan “menampar muka dengan kaki sendiri”, inilah contoh yang terbaik.

Walau apa pun, Piala Dunia tidak semestinya merugikan. Afrika Selatan menunjukkan kemenangan strategik meskipun ternyata wujud jurang antara kaya dan miskin. Tetapi tujuan utama kerajaan masih bersifat inklusif kepada keperluan pelaburan asing. Afrika Selatan mengharapkan kedatangan pengunjung akan membuka mata dunia korperat untuk melihat negara mereka. Selepas Piala Dunia 2010, jumlah pelancongan Afrika Selatan didapati meningkat pada 7% bagi tiga tahun, iaitu hampir 10 juta pelancong. Dan mereka hanya berbelanja sebanyak AS$4 bilion (RM12 bilion) sahaja.

Maka asas pertama untuk menjaminkan keuntungan dalam pengurusan Piala Dunia tertakluk kepada keadaan negara tuan rumah. Umumnya sebuah pembangunan mengejut akan mengganggu imbangan kos sara hidup yang akan berpanjangan. Namun jumlah perbelanjaan Perancis pada 1998 yang tidak melebihi AS$400 juta (nilai sekarang) memaparkan disiplin pembangunan yang harus dicontohi. Stadium sedia ada yang serba baik akan menjaminkan keuntungan besar-besaran atas penjimatan kos.

Dengan prasarana sedia ada yang mapan sahaja barulah tuan rumah boleh berjaya. Jika tidak, FIFA mendapat keuntungan yang banyak. Syarikat pembinaan akan merasai pelaburan daripada kerajaan, yang tentu sekali terdiri daripada kroni. Dan rakyat akan membayar kos tersebut tetapi akan gembira kerana – “kita adakan Piala Dunia”, walaupun ada dalam kalangan mereka akan melahirkan anak dalam masa 9 bulan selepas demam Piala Dunia.

[1] https://sputniknews.com/worldcup-2018-archive/201802141061656018-fifa-world-cup-mexico-fans/

[2] http://welcome2018.com/en/journal/materials/moskva-ozhidaet-do-1-mln-bolelshchikov-v-dni-chm-2018/

[3] https://www.rbc.ru/society/08/06/2018/5b02f8039a7947289e44a869?from=center_2 (RU)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.