Pada 8 Disember 1941, Jepun telah melancarkan kempen “Greater East Asia Co-Prosperity Sphere” atau “Kawasan Kemakmuran Besama Asia Timur Raya” menerusi serangan ke atas markas Tentera Laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Dengan itu, Jepun telah mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat yang dilihat sebagai kuasa dominan di Pasifik.
Kita mudah terlepas pandang apabila melibatkan soal peperangan kerana kita hanya melihat satu aspek peperangan iaitu faktor serangan dan kesan terhadap kawasan serangan. Penulis ingin meletakkan perspektif baru kepada pembaca untuk meneliti situasi di bandar Tokyo semasa pra-Perang Dunia Kedua melalui latar masyarakat mereka.
Sebelum 8 Disember 1941 lagi, Tentera Empayar Jepun telah lama berperang menerusi penjajahan ke atas China. Penulis meletakkan perkataan “China: bagi memudahkan pengulasan kerana Jepun juga berperang dengan Qing-China dan beberapa daerah di China. Peperangan dengan China pada 1937 yang digelar sebagai “The China War” atau “Perang China” bermula di Jambatan Marco Polo berdekatan dengan Beijing.
Peperangan bukan murah dan mempunyai kos. Barangan-barangan mewah di Tokyo ‘hilang’ dan barangan komoditi seperti beras semakin berkurangan walaupun Jepun sendiri mengeluarkan beras menerusi kawasan perkampungan mereka di luar Tokyo. Bandar-bandar metropolitan di Jepun termasuk Tokyo terpaksa menggunakan sistem kupon untuk menghadkan pembelian makanan. Kualiti sayur dan daging turut menurun terutamanya di kedai-kedai di Ginza yang terkenal dengan kualiti makanan yang amat tinggi.
Bagi memasak, masyarakat Tokyo terpaksa menggunakan kayu arang disebabkan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat terhadap beberapa komoditi yang penting seperti besi dan petroleum. Ini memaksa kerajaan Jepun untuk menghadkan penggunaan petroleum dan arang batu hanya untuk kegunaan ketenteraan.
Kehidupan di bandar-bandar utama menjadi kelam dan sayu. Masyarakat elit Jepun yang suka akan fesyen kebiasaannya akan memakai kimono yang berwarna-warni atau sut dari Barat kini cuba untuk tidak menonjolkan diri. Menurut novelis terkenal Nagia Kafu, beliau menggambarkan Tokyo sebagai bandar yang sunyi dan tiada aktiviti pada waktu malam. Beliau menambah dalam diari catatan beliau, masyarakat Tokyo berpakaian lama dan wanita yang tidak mempunyai sebarang solekan. Pada sebelah malam, tiada lampu yang dipasang dan jalan-jalan Tokyo akan bergelap.
Disebabkan peperangan dengan China, slogan “Zeitaku wa Tekida” atau “Kemewahan adalah musuh” dan “Bangsa Jepun yang sebenar tidak leka dengan kemewahan” di pasang sekitar Tokyo. Lebih mencuit hati apabila ada artis graffiti yang mengubah slogan tersebut kepada “Zeitaku wa Su-Tekida” atau “Kemewahan amat Indah” sebagai tanda protes terhadap kempen ini.
Kempen-kempen ini diterajui oleh sukarelawan dari persatuan wanita yang patriotik. Mereka akan mengecam wanita yang memakai pakaian yang mewah dan bersolek serta memakai cermin mata bersalut emas yang merupakan kebiasaan pada ketika itu. Wanita yang memakai pakaian mewah akan dilabel individualistik dan memuja Barat. Situasi ini diolah Nagai Kafu sebagai memburu ahli sihir atau lebih terkenal dengan frasa “witch hunting”.
Selain itu, setiap premis yang menjual barangan harian akan diperhatikan oleh ejen perisikan Tentera Empayar Jepun yang bertugas dibawah Cawangan Pertahanan Empayar Jepun. Pelanggan hanya mampu membeli satu barang pada satu-satu masa untuk mengurangkan perbelanjaan secara berlebihan. Pada tahun 1935, syarikat seperti Shiseido mempraktikkan penggunaan wanita yang membantu para pelanggan untuk bersolek. Dan ini meningkatkan jumlah jualan mereka. Ini kerana pada awal tahun sebelum 1935 lagi, Tentera Empayar Jepun sibuk melancarkan perang terhadap beberapa kawasan di China.
Pengurangan pembelian barangan ini dibuat oleh kerajaan Jepun untuk memindahkan barangan-barangan dari pasaran domestik dan disalurkan ke tentera mereka di China dengan nama ‘Pakej Waktu Perang”. Pakej ini dipenuhi dengan snek, sapu tangan, pensel, buku catatan. Ini bertindak sebagai peningkat moral tentera mereka yang jauh dari tanah air.
Masyarakat Jepun juga terkenal dari sudut hiburan. Pada petang 31 Oktober 1940, malam sebelum kelab malam dan dewan tari-menari diharamkan, setiap dewan tari-menari dipenuhi dengan lelaki dan perempuan, menari untuk kali terakhir berlatarbelakangkan muzik jazz. Surat khabar Asahi mengambarkan situasi ini seperti “kentang yang direbus di dalam periuk, kerap berlaga sesama sendiri”. Penulis pernah mengunjungi beberapa kawasan di bandar Tokyo yang amat terkenal dengan budaya jazz dan musik tradisional. Mereka mengasimilasikan musik tradisional dengan elemen moden agar kekal relevan dengan arus permodenan.
Tarian merupakan sesuatu yang popular dikalangan masyarakat pra-Perang Dunia Kedua di Tokyo. Penari professional yang kebanyakanya adalah wanita memenuhi pentas sejak tahun 1938 lagi. Namun, disebabkan peperangan, jumlah mereka berkurangan. Kebanyakan mereka akan bekerja di kilang-kilang senjata dan jentera berat.
Informasi adalah komoditi. Rakyat Jepun akan beratur panjang untuk membaiki radio mereka bagi mendengar situasi peperangan yang berlangsung. Namun, ada juga yang tidak berpuas hati kerana kerajaan Jepun yang ketika itu dibawah pimpinan Konoe Fumimaro menghadkan maklumat berkaitan peperangan. Beliau akan digantikan dengan seseorang yang terkenal dengan nada yang membosankan iaitu Tojo Hideki. Namun, masyarakat Jepun tetap optimis, mereka akan menang berdasarkan informasi yang terhad. Konoe Fumimaro bagaimanapun, hanya dapat menahan marah apabila Jepun menyerang Amerika Syarikat kerana beliau sedar bahawa Jepun akan kalah, begitu juga dengan Nagai Kafu.
Penulis ingin membawa pembaca untuk melihat situasi sebenar yang dilalui oleh masyarakat Jepun ketika itu. Dalam satu lawatan kajian ke Jepun, penulis sempat berbual dengan masyarakat Jepun. Salah satu daripada mereka merupakan lulusan dari university terkenal Amerika Syarikat yang menyelar tindakan Jepun yang dianggap tidak bersedia untuk peperangan. Namun, walaupun tidak menyokong tindakan kerajaan Jepun ketika itu, beliau tetap menghormati Maharaja Jepun dan konstitusi Jepun. Dengan nada patriotik, penulis diingatkan oleh beliau untuk menghargai nilai kemerdekaan. Penulis hanya mampu merenung jauh.
Rujukan:
Pembacaan Awal yang disarankan:
1) Japan 1941: Countdown to Infamy, Eri Hotta
Pembacaan Lanjutan:
1) Capital Cities at War, Jay Winter dan Jean-Louis Robert
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih