Kalau sebut nama Mastika, ramai terus teringat muka depan bergambar pocong, pontianak atau cerita ghaib seperti “Anak Saya Kahwin Dengan Jin”.
Tapi sebenarnya, di sebalik segala kisah seram yang pernah jadi kegilaan rakyat Malaysia pada era 1990-an, Mastika bermula sebagai majalah nasionalisme Melayu yang berakar pada perjuangan bangsa, ilmu dan budaya.
Majalah ini diterbitkan pada 1 Jun 1941 di Singapura oleh Utusan Melayu Press, tak lama selepas pelancaran Utusan Melayu Jawi (1939) dan Utusan Zaman (1939).
Pengarang pertamanya, Abdul Rahim Kajai pun bukan calang-calang tokoh. Dialah Bapa Wartawan Melayu yang menjadikan pena sebagai senjata untuk menyedarkan bangsa tentang erti maruah dan kemerdekaan.
Antara pengarang pentingnya termasuk Haji Mohd. Dahlan Masoud (1946–48), Kamaluddin Mohammad atau Keris Mas (1948–53) dan Usman Awang (1950–62). Semua tokoh besar dunia sastera dan wartawan yang menjadikan Mastika medan membina bangsa.
Ketika mula diterbitkan, Mastika ditulis sepenuhnya dalam tulisan jawi dan kandungannya sarat dengan sejarah, politik, sastera dan budaya yang menjadi wahana ilmu dan semangat kebangsaan.
Ini dianggap sebagai satu bentuk pendidikan rakyat pada zaman orang Melayu baru belajar memegang pena dan membaca akhbar.
Namun, penerbitannya terhenti seketika akibat Perang Dunia Kedua, sebelum kembali beroperasi pada November 1946.
Tahun 1948, Mastika hampir berkubur. Edaran merosot teruk sampai penulis dibayar dengan majalah percuma sebagai ganti upah.
Tapi Keris Mas selamatkan semuanya. Dia ubah wajah Mastika dengan kurangkan rencana berat, tambah cerita cinta dan detektif dan buat muka depan berwarna dengan wajah artis tempatan atau antarabangsa.
Gaya baru itu berjaya. Edaran meningkat, pengarang terkenal mula menghantar karya semula dan Mastika diselamatkan buat kali pertama.
Bila Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur pada 1959, Mastika pun turut ikut tumpang sekaki.
Menariknya, Mastika sememangnya bergerak seiring dasar kebangsaan. Ia menyokong Raja-Raja Melayu, agama Islam, hak Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai tunggak negara.
Tapi caranya lembut dengan mesej kerajaan disampaikan dalam bentuk penceritaan kreatif. Menurut bekas Penolong Pengarangnya, Sahidan Jaafar, ada ketika ruang dalam Mastika dibeli oleh jabatan kerajaan seperti RTM untuk menyiarkan agenda negara, tapi diolah dengan naratif pendek yang lebih lembut dan menarik untuk pembaca.
Walaupun bermula dengan semangat nasionalisme, Mastika tetap sebuah produk komersial. Ia dijual untuk keuntungan. Tapi keuntungan itu tidak datang dari iklan tapi sebaliknya dari jualan naskhah.
Masuk dekad 1950-an dan 60-an, Mastika kekal majalah paling berpengaruh di Tanah Melayu. Ia mula mencetak dalam tulisan rumi (1967) dan menukar wajah daripada majalah sastera ke arah pendidikan dan budaya umum.
Tapi menjelang 1990-an, minat pembaca berubah kerana majalah hiburan, gosip dan “sensasi” mula menelan pasaran. Jualan Mastika merosot hingga hanya 6,000 naskhah pada pertengahan 1995.
Ketika semua fikir Mastika akan ditutup, datang idea berani daripada Editor Kumpulan Utusan Melayu masa tu iaitu Johan Jaaffar. Formatnya dikecilkan sama saiz dengan Reader’s Digest, mudah disimpan dalam beg dan kandungan dirombak besar-besaran.
Dari artikel akademik kaku, Mastika beralih kepada kisah misteri, seram dan human interest. Orang kampung suka. Pembaca bandar pun beli sebab “seramnya real.”
Dari isu-isu politik dan sosial, ia beralih kepada kisah pelik, aneh dan misteri.
Dan strategi itu menjadi. Mastika meledak mencapai edaran tertinggi dalam sejarah majalah Melayu dengan lebih 320,000 naskhah pada Ogos 2000.
Pada puncak kegemilangannya, Mastika pernah mencatat jualan antara 200,000 hingga 300,000 naskhah sebulan, dengan keuntungan tahunan mencecah RM2–3 juta sekitar tahun 2000.
Tahun 1997 saja, keuntungannya melebihi RM1 juta. Itu belum termasuk pengaruhnya di luar bandar dimana separuh juta pembacanya datang dari masyarakat kampung yang setia menunggu keluaran baharu setiap bulan.
Walau ramai kata Mastika “turun kelas” sebab jadi majalah seram, hakikatnya ia masih kekal berperanan sosial.
Di bawah pimpinan pengarang seperti Zulkarnain Zakaria, Mastika banyak membongkar isu masyarakat antaranya fenomena Black Metal sekitar 2005.
Mastika jadi pencetus nasional apabila melaporkan remaja yang menyembah syaitan, kencing atas al-Quran dan sebagainya. Artikel itu mencetus perbahasan di Parlimen dan akhirnya membawa kepada fatwa pengharaman
Black Metal oleh Majlis Fatwa Kebangsaan . Tulisan itu malah menang Anugerah Kewartawanan Malaysian Press Institute dan Petronas.
Dalam setiap isu, Mastika tak lah sekadar menakut-nakutkan. Ada mesej moral di hujung cerita. Kalau isu tentang penderaan wanita, hujungnya selalu ada pengajaran seperti jangan berputus asa, jangan hukum semua lelaki dan teruskan hidup dengan tabah.
Nilai positif inilah yang buat Mastika tetap dekat di hati pembaca terutamanya golongan Melayu luar bandar yang melihat majalah sebagai cermin realiti hidup mereka.
Kulit depan Mastika pun berubah mengikut zaman. Dari tulisan jawi di tahun 1940-an, gambar tokoh politik di 70-an, ilustrasi mayat dan hantu di 90-an, hingga foto realistik di 2000-an. Semua menunjukkan kepekaan pengarang terhadap citarasa rakyat.
Tapi selepas 77 tahun, arus digital mula menelan dunia majalah cetak. Edaran merosot, generasi muda beralih ke internet.
Pada November 2018, Mastika menutup tirai penerbitan fizikalnya.
Namun kisahnya belum tamat. Sejak 2021, Mastika kembali dalam bentuk digital di laman Utusan TV.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




