Sekitar minggu terakhir bagi bulan Jun yang lepas, kebanyakan media antarabangsa mengeluarkan liputan berkenaan hasil ujian geomagnetik yang dilakukan ke atas tapak arkeologi di Reccopolis, sebuah kota purba berusia 1400 tahun dari Kerajaan Visigoth yang terletak berhampiran Madrid, Sepanyol.

Selain menemukan pelan bagi sejumlah binaan, jalan dan terowong yang selama ini belum pernah diketahui berada di bawah tanah tapak berkenaan, pasukan pengkaji yang diketuai oleh seorang professor dari Universiti Harvard itu turut digemparkan dengan penemuan pelan sebuah struktur yang dianggap mirip dengan binaan masjid-masjid di Timur Tengah.

Andai struktur tersebut benar-benar dipastikan sebagai sebuah masjid (menerusi kerja-kerja ekskavasi), maka penemuan ini bakal meraih signifikasi tersendiri kerana berhasil menemukan salah satu masjid tertua di Eropah!

SEJARAH PEMBINAAN KOTA RECCOPOLIS DAN KEKUASAAN VISIGOTH DI IBERIA

Reccopolis terletak berhampiran Sungai Tagus di Sepanyol. Kredit (Live Science)

Masyarakat Visigoth merupakan satu kumpulan etnik dari Jerman. Mereka menubuhkan sebuah kerajaan di barat laut Eropah pada Zaman Purba, jauh sebelum bermulanya Zaman Pertengahan (pertengahan abad ke-5 hingga abad ke-15M). Era kekuasaan Visigoth ini sering dibayangi oleh pemerintahan Empayar Rom. Namun pada tahun 410M, raja Visigoth yang bernama Alaric berjaya menjarah Rome dan kemudian menduduki kawasan selatan Perancis sebelum mula memasuki Semenanjung Iberia.

Pada separuh kedua abad ke-6M, Semenanjung Iberia menjadi pusat kekuasaan Visigoth. Rajanya yang bernama Leovigild kemudian mendirikan kota diraja di Toledo, Sepanyol. Beliau juga merupakan pemerintah Visigoth yang bertanggungjawab membina kota Reccopolis di tepi Sungai Tagus pada tahun 578M.

Dicatatkan bahawa selama dua setengah abad, bermula dari tarikh pembinaannya hingga ke pertengahan abad ke-9M, kota Reccopolis yang turut dianggap sebagai Atlantis Islam ini dikenali sebagai pusat penghasilan dan penggunaan di Iberia.

Hal ini (mercu Islam di kota Reccopolis) diperkirakan tidak bercanggah dengan sejarah memandangkan pada tahun 711M, kekuasaan Visigoth tumbang ke tangan Kekhalifahan Umayyah menerui panglima Tariq ibn Ziyad di samping bukti-bukti geofizikal yang ditemui oleh McCormick dan pasukannya ada menunjukkan beberapa tanda pengaruh Islam di tapak Reccopolis.

Rajah menunjukkan pelan kota purba Reccopolis. Kredit (Live Science)

UJIAN GEOMAGNETIK KE ATAS TAPAK RECCOPOLIS

Sebenarnya, tapak ini telah lama dikaji. Namun, kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan setakat ini hanya berjaya menemukan 8% dari keseluruhan keluasan kota Reccopolis tersebut – jika dibandingkan dengan hasil ujian geomagnetik berkenaan.

Usaha melakukan ujian geomagnetik ini bermula apabila Michael McCormick, seorang ahli arkeologi dan sejarahwan (yang mengkaji) zaman pertengahan dari Universiti Harvard melawat tapak tersebut pada tahun 2014. Dalam lawatannya itu, beliau menemukan beberapa runtuhan; runtuhan sebuah istana, runtuhan sebuah gereja kecil dan runtuhan beberapa buah kedai. Sebaik sahaja menyaksikan  runtuhan berkenaan, beliau bergurau dengan rakannya, Lauro Olmo Enciso yang merupakan seorang pengkaji dan pengarah ekskavasi dari Universiti Alcala, Sepanyol dengan bertanya, “Mana lagi bahagian yang lain dari kota ini?”

Pemandangan geomagnetik bagi kota Reccopolis pada tahun 2015. Kredit (Live Science)

Menerusi pertanyaannya yang bersahaja itu, McCormick kemudiannya melakukan kerjasama dengan sekumpulan pengkaji dan memulakan ujian geomagnetik pertama ke atas tapak berkenaan pada tahun berikutnya, tahun 2015. Ujian tersebut membenarkan mereka melihat struktur-struktur yang tertanam jauh di bawah tanah dengan pemetaan anomali magnetik di bawah permukaan bumi.

“Di setiap ruang yang mampu kami tinjau, kami menjumpai sejumlah binaan, jalan dan terowong,” ujar McCormick kepada media Live Science. Lebih daripada itu, mereka turut menemukan sebuah petempatan pinggir bandar di luar kawasan kota Reccopolis. Hasil penemuan tersebut disiarkan pada minggu lepas di dalam jurnal Antiquity.

Mengulas tentang penemuan berkenaan, Noel Lenski berkata, “Menerusi ujian geomagnetik yang baru dilakukan ini, kita berhasil meraih maklumat bahawa ruang dalaman kota ini berada dalam keadaan yang agak maju di samping populasinya pula begitu ramai hinggakan ia melimpah ke luar kota.”

Ujar professor dalam bidang klasik dan sejarah dari Universiti Yale itu lagi, “Apa yang lebih penting, pembinaan kota ini dilakukan pada suatu tempoh masa yang selama ini disifatkan oleh para sejarahwan sebagai era merudumnya pembangunan dan kejatuhan demografik.”

Pada hakikatnya, Reccopolis memang dibina pada abad ke-6 yang penuh dengan kekacauan. Dari Eropah Barat hingga ke Cina, era ini dikenali dengan migrasi besar-besaran, kejatuhan pelbagai kuasa imperial, kekurangan makanan dan kemiskinan, serta penyebaran hawar bubon buat kali pertama.

Justeru, seperti kata McCormick, pembinaan kota Reccopolis yang dilakukan oleh raja Visigoth pada waktu-waktu sukar sebegitu agak mengagumkan – lebih-lebih lagi mereka perlu mengumpulkan sumber yang cukup untuk mendirikan kota sebesar Reccopolis ini.

KEMUNGKINAN MASJID TERTUA DI EROPAH TERTANAM DI SINI

Dalam ujian geomagnetik yang dilakukan ke atas tapak Reccopolis ini, McCormick dan pasukannya menemukan sebuah pelan binaan yang besar dengan reka bentuk yang berbeza dengan binaan-binaan lain di situ. Selain menghadap ke arah Mekah, binaan tersebut juga kelihatan mirip dengan masjid-masjid di Timur Tengah.

Menurut McCormick, hanya kerja-kerja ekskavasi sahaja yang mampu memberikan kepastian tentang status binaan tersebut – apakah ia benar-benar sebuah masjid.

Apapun jika memang benar ia merupakan sebuah masjid, maka tapak Reccopolis ini menyimpan khazanah berharga bukan sahaja buat penganut agama Islam, malah kepada sejarah dunia sekaligus meletakkan binaan tersebut sebaris dengan Masjid Jamek Cordoba yang dibina pada tahun 785M.

NOTA BAGI GAMBAR TAJUK:

Runtuhan Reccopolis, di mana kerja-kerja ekskavasi terkini menunjukkan tanda-tanda kehadiran pengaruh Muslim di tapak berkenaan.

RUJUKAN:

Megan Gannon. (20 Jun 2019). Europe’s Oldest Mosque May Be Buried Underground in This Visigothic City. Live Science.
https://www.livescience.com/65760-visigoth-reccopolis-city-revealed.html

Nandika Chand. (25 Jun 2019). Ancient Mosque Might Be Buried Underground In The Outskirts of Madrid. IBTimes.
https://www.ibtimes.com/ancient-mosque-might-be-buried-underground-outskirts-madrid-2802892

TRTWorld. (27 Jun 2019). Europe’s oldest mosque could be in Spain’s Madrid, archaeologist say.
https://www.trtworld.com/europe/europe-s-oldest-mosque-could-be-in-spain-s-madrid-archaeologists-say-27809


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.