Bagi yang pernah berkunjung ke China, pasti sudah pergi ke merata tempat dari Beijing hinggalah ke Xian. Di Xian, antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong ialah Makam Qin Shi Huang, Muzium Sejarah Shaanxi dan Masjid Agung Xian. Masjid ini menjadi tumpuan penduduk Islam di Xian dan menjadi tempat tarikan pelancong yang popular di wilayah itu. Kebanyakan majoriti pembinaan masjid berkenaan dibuat semasa era Dinasti Ming.
Masjid Agung Xian turut dikenali sebagai Masjid Huajue berikutan ia terletak di alamat 30, Huajue Lane. Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Agung Timur kerana terletak di sebuah timur sebuah lagi masjid tertua di Xian iaitu Masjid Daxuexi. Berdasarkan rekod sejarah terutama catatan tablet batu di masjid berkenaan, ia dikatakan dibina pada tahun 742 Masihi semasa era Maharaja Xuanrong dari Dinasti Tang. Masjid tersebut dibina sebagai tanda penghormatan kepada pendakwah-pendakwah Islam yang tiba di China semasa era dinasti berkenaan dan sejak itu, lebih banyak masjid dibina di serata China. Proses penambahbaikan dan penambahan bangunan dibuat semasa era Dinasti Song, Yuan, Ming dan Manchu.
Masjid ini berkeluasan 6,000 meter persegi dan merupakan sebuah kompleks bangunan yang mempunyai lima laman. Di laman pertama, laman ini mempunyai sebuah pintu gerbang kayu setinggi sembilan meter dengan jubin lantai yang disadur. Pintu gerbang ini dikatakan dibina pada abad ke-17 dan ada tiga kamar di antara pintu gerbang berkenaan. Tiga kamar ini digunakan sebagai tempat pameran sesetengah perabot era Dinasti Ming dan Manchu. Di laman kedua pula, wujud satu batu bersurat yang menampilkan ukiran skrip kaligrafi Mi Fu (penulis kaligrafi era Dinasti Song) dan Dong Qichang (penulis kaligrafi era Dinasti Ming).
Di laman ketiga Masjid Agung Xian atau lebih tepat pada pintu masuk laman berkenaan, wujud sebuah dewan yang mengandungi pelbagai ukiran dari pelbagai era. Sementara di tengah-tengah laman pula ialah Menara Xingxin yang menjadi tumpuan pelancong di mana pada satu ketika ia pernah memainkan peranan sebagai menara bagi muazzin melaungkan azan. Laman keempat inilah yang menempatkan dewan solat di mana ia mampu memuatkan lebih seribu orang pada satu-satu masa. Secara keseluruhannya, masjid ini merupakan manifestasi gabungan seni bina China dengan fungsi yang dinyatakan syarak.
Contohnya, kebanyakan bangunan di China dibina sepanjang garisan utara-selatan bagi mengikut kaedah feng shui. Walaupun Masjid Agung Xian dibina berpandukan arah kiblat ke Kaabah di Makkah, ia masih dibina mengikut garisan feng shui. Selain itu, masjid ini turut menampilkan ukiran kaligrafi China dan Arab di mana sesetengah ukiran menghasilkan gaya baru dikenali sebagai Sini. Sini merupakan teks bertulis Arab tetapi dihasilkan mengikut kaligrafi China.
Sementara dewan solatnya merupakan sebuah bangunan yang dibina dari kayu balak berkualiti dengan mempunyai bumbung limas yang disokong dengan pendakap kayu yang dicat. Dewan ini turut mengandungi enam serambi anjung dan lima buah pintu. Ia dibina di atas sebuah platform batu yang besar yang disusun dengan pelepar/susur tangga yang menarik. Dewan ini terdiri daripada tiga buah bangunan yang bersambung dari belakang. Hiasan dalaman dewan ini fokus kepada kawasan kiblat di mana dinding belakangnya dipenuhi dengan ukiran kayu yang mengandungi elemen flora dan kaligrafi.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih