Dalam iklan ini dapat didengar perbualan antara Adibah Noor dan penumpang itu yang bercakap Melayu dengan aksen British yang sangat pekat. Namun apabila ditanya sudah berapa lama tinggal di London, penumpang itu hanya tinggal selama 10 hari.

Dan kalau kamu peka dengan industri hiburan Malaysia, terdapat seorang penyanyi Malaysia yang mengatakan dia sudah tidak lagi biasa bertutur Bahasa Inggeris dalam aksennya yang lama. Penyanyi tersebut memberitahu bahawa aksennya sudah bertukar kepada aksen yang baru iaitu aksen British kerana sering bertutur dengan tunangnya yang menetap di United Kingdom. Malah Dr. Amalina Che Bakri juga pernah dikecam netizen kerana dikatakan bercakap dengan aksen British yang dibuat-buat.

Sebalik yang terjadi pada aktres antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh yang mengekalkan aksennya walaupun sudah tinggal lama di luar negara. Malah beliau juga mengekalkan aksennya dalam filem Star Trek: Discovery yang mendapat kritikan positif dan juga negatif.

Jadi, benarkah aksen boleh ditukar-tukar?

Sebagai rakyat Malaysia, kebanyakan daripada kita mempunyai keupayaan untuk bertutur dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda bagi kebanyakan daripada kita dan menjadi bahasa pertama (L1) yang dikuasai. Manakala Bahasa Inggeris ialah bahasa kedua (L2) yang dipelajari sejak dari kecil secara formal mahupun tidak formal. Di Malaysia, Bahasa Inggeris yang digunakan ialah Malaysian English (MyE). MyE ialah hasil campuran antara British English, American English dan juga bahasa ibunda tiga kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Percampuran ini yang mempengaruhi pembentukan Malaysian English daripada segi kosa kata, intonasi dan tatabahasa.

Ya, sebenarnya aksen boleh ditukar.

Penukaran aksen boleh terjadi secara sedar mahupun tidak sedar. Penukaran aksen dalam keadaan sedar tidak datang secara semulajadi dan memerlukan kawalan yang berterusan untuk mengekalkan aksen tersebut. Sebagai contoh, ada yang dengan sengaja menukar aksen dan gaya percakapan kerana ingin meningkatkan status sosial. Ada juga yang menukar aksen kerana tuntutan kerjaya seperti dalam lakonan dan juga alih suara. Jika penukaran aksen dilakukan atas faktor begini, penutur memerlukan daya usaha yang lebih tinggi untuk mengekalkan aksen asing tersebut dan akan kembali kepada aksen natif selepas itu.

Penukaran aksen secara tidak sedar pula berlaku terutamanya dalam pembelajaran bahasa kedua (L2). Untuk mendapatkan aksen seperti penutur asal, pembelajaran hendaklah dilakukan sejak dari kecil lagi. Jika pembelajaran tersebut dilakukan pada umur yang lebih tua, terutamanya selepas waktu baligh, peluang untuk mendapatkan aksen seperti penutur asal menjadi semakin sukar. Hal ini disebut sebagai ‘waktu kritikal’. Mereka yang mempelajari bahasa baru setelah melangkaui ‘waktu kritikal’, aksen mereka akan dipengaruhi oleh aksen bahasa ibunda mereka.

Oleh sebab itu, bagi mereka yang belajar di negara yang majoriti bertutur dalam Bahasa Inggeris sejak dari kecil hingga dewasa, mereka akan lebih mudah untuk bertutur dalam aksen natif penutur asal. Hal ini demikian kerana, cara yang paling mudah untuk mendapatkan aksen seperti penutur asal adalah dengan sentiasa berkomunikasi dengan penutur asal. Interaksi ini dilihat lebih berkesan daripada pembelajaran secara formal di dalam kelas.

Bertutur dalam bahasa asing seperti penutur asal bahasa berkenaan sering dilihat sebagai satu kayu pengukur tentang kefasihan dan tahap penguasaan seseorang dalam bahasa asing tersebut. Disebabkan inilah ramai yang sanggup bercakap dengan aksen yang dibuat-buat selain kerana merasakan mereka akan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Tahukah anda?

Penyanyi dan pemuzik mempunyai keupayaan untuk meniru aksen asing dengan lebih mudah berbanding dengan mereka yang bukan penyanyi dan pemuzik. Sebagai contoh, jika mereka mendengar perkataan bahasa Perancis, mereka boleh mengucapkan semula perkataan bahasa Perancis dengan aksen yang sama atau lebih kurang dengan penutur asal. Namun berbanding dengan pemuzik, penyanyi mampu meniru aksen asing dengan lebih tepat.

Hal ini terjadi kerana proses menyanyi itu lebih dekat dengan pengucapan berbanding bermain alatan muzik. Secara umum, segala bentuk vokalisasi adalah berdasarkan prinsip yang sama dan merangkumi integrasi pelbagai jenis rangkaian dan bahagian di dalam otak. Selain daripada itu, keupayaan penyanyi untuk meniru aksen dengan tepat bergantung pada kefleksibilitian motor vokal yang menyerupai keupayaan bayi yang dapat mempelajari segala jenis bahasa dan fonem dalam ‘waktu kritikal’. Keupayaan bayi untuk mempelajari segala jenis bahasa juga bergantung pada cara ia disampaikan. Bayi akan lebih mudah menangkap bahasa yang disampaikan secara bermelodi seperti lullaby yang selalu dinyanyikan oleh para ibu bapa.

Kesimpulan

Tidak mustahil bagi seseorang untuk menukar aksen dalam pertuturan seharian. Sama ada penukaran itu berlaku dalam keadaan sedar mahupun tidak, semuanya bergantung pada tujuan masing-masing. Jika menukar aksen supaya dipandang tinggi oleh masyarakat, sedarlah tiada yang lebih penting selain bertutur dengan tatabahasa yang betul. Akhir kata, berbanggalah dengan aksen asli anda!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.