Perasan tak bila kita berada di tempat tinggi tak kiralah di rumah flat, bangunan pencakar langit atau di gunung, kita rasakan masa berlalu lebih pantas. Mungkin ini sekadar persepsi kita sahaja. Hakikatnya, ia disokong oleh sains melalui satu kajian yang diketuai Profesor Hidetoshi Katori dari Universiti Tokyo, Jepun.
Kajian-kajian yang dibuat sebelum ini menunjukkan masa berlalu lebih pantas di bahagian atas atmosfera – bahagian di mana satelit GPS mengelilingi bumi. Tetapi untuk kajian Profesor Katori, ini merupakan kali pertama kesan tersebut diukur dari bahagian atas bangunan pencakar langit atau mana-mana bangunan yang terbuka kepada orang awam.
Bangunan yang dipilih pasukan Profesor Katori ialah menara tertinggi di Jepun dan bangunan ketiga tertinggi di dunia, Tokyo Skytree. Bagi mengukur perbezaan masa di altitud berbeza, sebuah jam khas sebesar peti sejuk iaitu jam atom kekisi digunakan. Dan hasilnya, masa di dek pemerhatian berlalu empat nanosaat lebih pantas berbanding di bawah menara.
Jadi, bagaimana semua ini berlaku? Ia boleh dijelaskan menerusi teori relativiti Albert Einstein. Teori tersebut menjelaskan wujud hubungan antara masa dengan kekuatan tarikan graviti di tempat di mana ia diukur. Fenomena ini memberi kesan kepada pergerakan elektron yang mengelilingi nukleus atom. Ia mengeluarkan radiasi elektromagnet apabila tahap tenaganya berubah – cara yang digunakan saintis untuk mengukur masa.
Kadar pengeluaran radiasi elektromagnet berbeza-beza mengikut kekuatan graviti dan ini boleh diukur menggunakan jam atom kekisi. Jam ini menggunakan kebuk vakum yang telah disejukkan pada suhu paling rendah bagi menjejak radiasi tanpa sebarang gangguan latar belakang. Kebiasaannya, jam sebegini bersaiz sebuah makmal tetapi untuk eksperimen di Skytree, sebuah unit khas dibangunkan bagi membolehkan ia dibawa ke dek pemerhatian Skytree.
Bagaimanapun, usaha memasang jam ini bukan sesuatu yang mudah. Pertama, mereka perlu mengatasi masalah gegaran yang dihasilkan daripada landasan keretapi berhampiran. Kedua, mereka berdepan kesukaran menyejukkan jam disebabkan sistem pemanas Skytree. Tetapi pada akhirnya, jam tersebut dapat digunakan selepas mereka mengambil pelbagai pendekatan termasuk memasang penghalang gegaran bagi membolehkan eksperimen dapat dijalankan.
Jam Profesor Katori ini 100 kali ganda lebih tepat daripada jam atom cesium yang digunakan ketika ini sebagai alat mengukur masa. Dan beliau percaya menerusi eksperimen ini, ia boleh digunakan sebagai pemantau pergerakan plat tektonik seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Satu lagi faktor yang mempengaruhi persepsi masa di tempat tinggi ialah kedudukan matahari. Perlu diingat, apabila berada di tempat tinggi, manusia akan mendapat lebih banyak cahaya matahari setiap hari berbanding yang berada di tempat rendah. Sebabnya mudah, matahari terbit awal dan terbenam lewat.
Perbezaan ini nampak kecil tetapi besar impaknya dari segi masa terutama pada bulan Ramadan. Contoh paling senang, waktu berbuka puasa di kawasan tanah tinggi lebih lewat berbanding orang yang berada di tempat lebih rendah.
Dan jangan sangka ia terhenti setakat bangunan tinggi sahaja. Hakikatnya, orang tinggi juga merasakan masa berlalu lebih pantas daripada orang pendek. Menurut saintis neuron David Eagle, masa isyarat jari kaki untuk sampai kepada otak orang tinggi lebih perlahan daripada orang pendek. Walaupun perbezaan ini nampak kecil secara mata kasar, ia memberi impak besar termasuk aplikasi dalam pelbagai bidang termasuk astrofizik.
Bagi ahli astrofizik Emma Osborne dari Universiti Southampton, kesan ini lebih mudah dilihat pada bahagian muka dan kaki orang tinggi. Jika diaplikasikan teori relativiti Einstein untuk masa pada bahagian kaki dan muka mereka, ciri ketuaan akan muncul terlebih dahulu di bahagian muka berbanding bahagian kaki. Sebabnya mudah, masa bergerak lebih perlahan jika hampir dengan titik graviti – dalam kes orang tinggi, kaki mereka. Tetapi Osborne menambah jika ada perubahan sekalipun, ia agak kecil dan tidak akan disedari sesiapa.
Susahnya jadi tinggi. Sudahlah dapat tahu potensi kena penyakit tertentu tinggi. Sekarang baru tahu masa dirasakan lebih pantas berlalu berbanding orang lain.
RUJUKAN
Carpineti, A. (2022, 27 Mei). Living In Super Skyscrapers Or Tall Megastructures Will Likely Affect Your Sense Of Time.
Thomsen, M. (2020, 24 April). Scientists find time passes nanoseconds faster at the top of skyscrapers than on the ground. Daily Mail.
Martin, S. (2019, 15 Oktober). Time is travelling FASTER for taller people – and this is how. Daily Express.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih